oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin ( www.danialzainalabidin.com )

Allah tidak pernah menghina atau memuliakan makhluk-makhluk-Nya berdasarkan jantina. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya kepada Allah. Berhubung dengan ini, di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman: “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu”.

Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba Allah. Jika seseorang wanita beriman dan beramal salih dia diganjari Allah dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Ali-Imran ayat 195 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain”.

Islam tidak mengizinkan wanita dikotak-katikkan dan dizalimi oleh golongan lelaki. Dalam surah an-Nisaa ayat 19, Allah menegaskan, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata”.

Para suami diperintahkan Allah supaya menjaga isteri-isteri mereka dengan baik dan tidak menjadikan isteri-isteri seperti bola yang boleh ‘ditendang’ ke sana ke mari. Jika si isteri mempunyai kelemahan, si suami juga mempunyai kelemahan. Allah menyuruh si suami melihat kebaikan yang banyak yang ada pada isteri dan tidak hanya memfokuskan kepada satu dua kelemahan yang ada. Hal ini disebutkan dalam surah an-Nisaa ayat 19, “Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.

Berhubung dengan wanita dijadikan daripada tulang rusuk, dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan dari tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang di bahagian teratas. Jika kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan jika kamu biarkan saja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)”.

Adakah ayat ini bermaksud kaum wanita benar-benar dijadikan Allah daripada tulang rusuk kaum lelaki? Sebenarnya, dalam al-Quran Allah menyatakan dengan jelas bahawa manusia sebenarnya berasal daripada nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah al-Haj ayat 5 Allah berfirman, “Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) Kami telah menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nutfah.”.

Dalam surah an-Nisaa ayat 1 pula Allah berfirman, “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai”.

Berhubung dengan ayat ini, Abul A`la al-Mawdudi berkata dalam The Meaning of The Quran ( jilid 2 hal. 94), “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza daripada apa yang sering difahami. Oleh itu, yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan tidak perlu membuangkan masa bagi mencari perinciannya”.

Oleh kerana kenyataan al-Quran berhubung kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak boleh mencanggahinya. Justeru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak boleh ditafsirkan dalam bentuk yang mencanggahi al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya tentang asal usul kejadian wanita sebaliknya tentang kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik.

Justeru, dalam kitab Riadus Salihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qartubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk”. Dia bukan dicipta daripada tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam keadaan bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya justeru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia akan menghadapi masalah. Demikianlah juga dengan kaum wanita, tanpanya kehidupan tidak akan sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semula jadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza daripada kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semula jadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama dengannya untuk mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadangkala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Justeru Islam tidak menghina kaum wanita dan wanita tidak Allah jadikan daripada tulang rusuk lelaki.

oleh Ustaz Hj. Mohd Zamri ( www.mantop.com.my )

"Apakah hukum bercinta dalam islam? Maksud saya bercinta sebelum kahwin. Seperti belia yang kebanyakan di zaman ini. Ada yang cakap hukumnya boleh selagi tidak melanggar batas-batas syariat, kerana cinta adalah fitrah manusia. Ada pula yang cakap cinta sebelum kawin tidak boleh.. menggunakan hujah "Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)" ( Surah al-Isra : 32). Kalau difikirkan, bercinta sebelum kahwin mendatangkan banyak cabaran dan mudah melalaikan seseorang. Apa pandangan ustaz?"

Emel seumpama di atas, biasa memasuki kotak emel Ustaz.

CINTA. Kalimah yang sering menghantui remaja dulu, kini dan selamanya. Satu fitrah manusia yang tidak dapat tidak perlu dikendalikan dengan bijaksana. Jika tidak, tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran. Adakah Islam membenarkan percintaan sebelum pernikahan? Persoalan yang sering membelenggu benak remaja.

Pertama sekali, sebagai seorang muslim sejati, seharusnya kita menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Telah aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya maka kamu tidak akan tersesat untuk selamanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku”.

Kita lihat kepada dalil Quran yang dibangkitkan oleh si penanya iaitu Surah al-Isra’ : ayat 32. "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."

Dalam konteks bercinta sebelum kahwin, kalau dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di tempat sunyi atau ditempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat sebagai muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, lepas tu… hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua.

Justeru, ada pertanyaaan seperti “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup, ustaz?”. Bila direnung-renung, betul jugak kan? So, ustaz berpendapat bahawa “term” bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada “term” berkenalan sebelum kahwin. Jom kita refer kepada sirah sekejap. Pada zaman Rasulullah S.A.W ada seorang sahabat yang ingin kahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah S.A.W untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya.

Rasulullah S.A.W menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu. Kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami atau isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak.

Macam mana plak prosedurnya? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpe berdua je. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insya Allah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina.

Selain itu, di zaman cyber ni faham-faham laa. Macam-macam teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat boleh lah rujuk,

Bagi lelaki, Surah An-Nur : ayat 30
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."

Bagi wanita, Surah An-Nur : ayat 31
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Sekian dimaklumkan. Bagi mengakhiri artikel ini, ustaz selitkan seloka untuk renungan semua.

ANDA TELAH BERSEDIA UNTUK BERCOUPLE JIKA...

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda memang untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu semata-mata.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi, berpegangan tangan dan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti berpegangan tangan, menyentuh dan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah lepas ilmu ‘fardhu ain’ dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda. Atau sebaik-baiknya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih kandas ilmu fardu ain, mengaji Quran pun lintang pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran. Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan dan sedaya upaya menjadi muslimin dalam erti kata yang sebenar.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika..

Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih, solat jarang-jarang, puasa kadang-kadang... aduhai!

Anda, ada apa-apa cerita tentang cinta?

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadis yang menerangkan besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan pemberi riba diperangi Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Allah memberi ingatan :
Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil serta tidak mahu meninggalkan "saki-baki" riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Ayat ini menyebut "saki-baki", menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar mengikut sunnah dan menjadi Mukmin sejati, perlu memiliki pengetahuan yang jelas tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya secara 100%.

Selain itu, ayat ini secara tidak langsung membuktikan seorang Mukmin mampu menjauhi riba dalam hidupnya, tidak sebagaimana dakwaan segelintir masyarakat kononnya kita tidak dapat lari daripada riba di akhir zaman ini.

Zahir daripada ayat ini juga menunjukkan "peperangan" berlaku sejak di alam dunia lagi. Malang bagi seseorang dan pemimpin yang tidak memperdulikan dosa ini.

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :
Maksudnya; "Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah (SWT)."

Imam Abu Hanifah berkata bahawa inilah ayat dalam al-Quran yang paling menakutkan.

Imam Malik bin Anas pula berkata :
Maksudnya; "Telahku buka lembaran-lembaran kitab Allah (SWT) dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidakku dapati (dosa) yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah (SWT) telah mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya"

Berkata Imam Qatadah : "Allah (SWT) menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada."

2. Kehilangan berkat harta dan kehidupan.

Tercatat didalam al-Quran :
Maksudnya; "Allah (SWT) menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276)

Kehilangan berkat itu akan berlaku didunia dan akhirat.

Hukuman di Dunia.
Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta bagi orang yang terlibat dengan riba adalah hartanya akan mudah hilang atau habis tanpa dirasai. Selain itu, harta itu mendorongnya melakukan pelbagai bentuk aktiviti tidak berfaedah dan dosa.

Ia juga akan berasa terlalu miskin dan fakir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Harta haram seperti ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan maksiat, perkara fasik dan hina, tatkala itu akan hilang sifat amanah dan kebaikan dalam diri.

Ia juga bakal ditimpa ujian harta yang banyak seperti dirompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim daripadanya juga lebih makbul.

Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibn Mas'ud r.a. :
Maksudnya; "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad, al-Hakim)

Hukuman di Akhirat.
Ibn Abbas berkata :
Maksudnya; "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihatnya dan persaudaraannya."

3. Seperti berzina dengan ibu bapa sendiri.

Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam satu hadis yang cukup mendalam maksudnya :
Maksudnya; "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (al-Tabrani, 7/158, al-Hakim)

4. Lebih berat daripada 36 kali zina.

Rasulullah S.A.W. juga memberi amaran :
Maksudnya; "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)

Hadis ini bukan untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memberi fokus kepada bahaya dosa riba. Justeru itu, saya amat mengharapkan umat islam membuka mata mereka kepada isu ini agar tidak terjebak dengannya.

Itulah gambaran betapa besarnya dosa riba, dan barangsiapa yang terlibat dengannya sudah pasti amat sukar memperolehi khusyuk di dalam solat mereka. Antara bentuk riba yang amat berleluasa ketika ini dan disertai oleh begitu ramai umat islam ialah:

  • Pinjaman membeli kereta (Car Loan)
  • Pinjaman membeli rumah (Home Loan)
  • Pinjaman mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft)
  • Pinjaman membeli mesin dan alatan untuk syarikat (Hire Purchase Loan)
  • Membuat pinjaman peribadi (Personal Loan)

Apakah transaksi yang berlaku?
Sebagai contoh sebenar yang berlaku di bank konvensional hari ini, di atas permintaan pelanggan A untuk membeli kereta, rumah, memperoleh modal syarikat atau sebarang tujuan peribadi, konvensional memberi pinjaman sebanyak RM10,000 kepada pelanggan A dan sebagai imbalan balik kepada bank, pihak bank menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8% (bersamaan RM8,000 sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu sebagai balasan kerana memberikan pelanggan wang yang diperlukan.

8% itulah yang dinamakan 'Riba al-Duyun' jenis al-Qard. Ulama menyepakati jenis pulangan seperti ini adalah riba.

Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan mengikut bulan. Menurut hukum islam, jumlah RM8,000 yang diperolehi ini ialah hasil bank yang haram. Pelanggan yang memberi RM8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba.

Rasulullah S.A.W. menyebut :
maksudnya; "Individu yang memberi (riba) dan yang mengambilnya adalah sama." (Riwayat Muslim).

Kisah iblis laknatullah dengan ahli neraka.

Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis laknatullah itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada iblis laknatullah: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah iblis laknatullah menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai para penghuni neraka." Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang ke arah ketua mereka iaitu iblis laknatullah .

Kata iblis laknatullah : "Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah (SWT) telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa'iir."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. Akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah (SWT) sedangkan dia Allah (SWT) yang menciptakan segala sesuatu?"

Akhirnya iblis laknatullah berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah (SWT), dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata iblis laknatullah itu maka mereka melaknati iblis itu. Setelah itu iblis laknatullah dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya."

Wallahu'alam.

Iblis laknatullah menemui ajal.

Abu Laits Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Afnah bin Qays berkata: Saya pergi ke Madinah ingin bertemu dengan Omar bin Al Khattab R.A, tiba-tiba saya bertemu dengan Ka'bul Ahbaar yang menceritakan dalam suatu majlis, "Ketika Adam A.S sedang menghadapi saat kewafatan, baginda berkata: "Ya Rabbi, musuhku pasti akan mengejek padaku jika ia melihat aku telah mati, padahal ia diberi hingga hari kiamat".

Maka di jawab Allah (SWT): "Hai Adam, kamu langsung menuju ke syurga, sedang si celaka (iblis) ditunda hingga hari kiamat supaya merasakan sakit maut, sebanyak makhluk yang pertama hingga yang terakhir". Lalu nabi Adam A.S pun bertanya kepada malaikat Izrail: "Sebutkan kepadaku bagaimana rasa pedihnya maut". Sesudah diterangkan oleh malaikat Izrail, nabi Adam A.S pun berkata: "Tuhanku, cukup!! cukup!!"

Maka gemuruhlah suara para hadirin berkata: "Hai Abul Ishaq, ceritakan pada kami, bagaimanakah ia merasakan maut, pada mulanya Ka'abul Ahbaar menolak, tetapi kerana didesak, maka ia berkata: "Jika dunia sudah akhir dan hampir ditiup sangkakala, sedang orang ramai di pasar sedang sibuk bertengkar dan berdagang, tiba-tiba terdengarlah suara yang sangat keras di langit, sehingga separuh penduduk bumi pengsan kerananya selama tiga hari.

Bagi mereka yang tidak pengsan bingung bagaikan kambing ketakutan. Dalam keadaan hiruk piruk sedemikian, maka terdengarlah lagi satu suara gemuruh bagaikan suara halilintar yang sangat keras bunyinya, maka tidak seorangpun melainkan mati kerananya dan kesemua manusia, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain makhluk mati, maka tiba giliran iblis laknatullah pula untuk merasainya.

Maka Allah (SWT) pun memerintahkan malaikat Izrail: "Aku telah menjadikan padamu pembantu sebanyak orang yang pertama hingga yang terakhir dan Aku telah memberikan kekuatan penduduk langit dan bumi dan kini. Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan kemarahan, maka turunlah dengan membawa murka dan kemarahanKu kepada si celaka dan terkutuk iblis. Maka rasakan kepadanya kepedihan maut yang telah dirasakan oleh orang yang terdahulu hingga terakhir dari jin dan manusia, berlipat-lipat ganda, dan hendaknya kamu membawa tujuh puluh ribu malaikat yang kesemuanya penuh rasa murka dan kecemasan, dan tiap malaikat Zabaniyah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan tujuh puluh ribu bantolan dari neraka Ladha, dan beritakan pada malaikat Malik supaya membuka pintu-pintu neraka".

Maka turunlah malaikat Izrail dengan bentuk yang sangat mengerikan, sehingga andai kata seluruh penduduk langit dan bumi dapat melihat bentuk yang mengerikan itu niscaya akan cair kesemuanya kerana tersangat ngeri akan keadaan bentuknya, maka apabila sampai kepada iblis laknatullah dan dibentaknya sekali sahaja, langsung ia pengsan dan berdengkur dan andaikan dengkur itu dapat didengari oleh penduduk timur hingga barat, niscaya pengsanlah kesemuanya.

Setelah sedar iblis laknatullah, lalu malaikat Izrail pun membentak iblis laknatullah sekali lagi: "Berhentilah hai penjahat!!!, kini aku rasakan padamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya hitungan orang yang telah engkau sesatkan dalam beberapa abad yang engkau hidup, dan hari inilah hari yang ditentukan oleh Tuhan bagimu, maka ke manakah engkau akan lari!!"

Maka larilah iblis laknatullah lari ketakutan ke hujung timur, tiba-tiba malaikat Izrail muncul di hadapannya. Lalu iblis laknatullah pun menyelam ke dalam laut, namun malaikat Izrail tetap muncul di hadapannya, lantas ia dilemparkan oleh laut, maka ia berlari keliling bumi, namun tetap tidak ada tempat untuknya berlindung. Kemudian iblis laknatullah berdiri di tengah dunia di kubur nabi Adam A.S sambil berkata: "keranamu aku telah menjadi celaka, duhai sekiranya aku tidak dijadikan". Lalu ia bertanya pada malaikat Izrail: "Minuman apakah yang akan kau berikan padaku dan dengan siksa apakah yang akan kau timpakan kepadaku?"

Malaikat Izrail pun menjawab: "Dengan minuman dari neraka Ladha dan serupa dengan siksa ahli neraka dan berlipat-lipat ganda", maka bergulingan iblis laknatullah di tanah sambil menjerit sekeras suaranya, kemudian berlari ketakutan dari barat ke timur dan patah balik dari timur ke barat dan sampai ke tempat mula-mula ia diturunkan ke muka bumi ini.

Maka malaikat Zabaniyah A.S pun menghadang iblis laknatullah dengan bantolan-bantolan dari neraka Ladha. Bumi ini bagaikan bara api, sedang iblis laknatullah dikerumuni oleh malaikat Zabaniyah dan menikamnya dengan bantolan-bantolan dari neraka itu.

Tatkala iblis laknatullah mula merasai sakaratul maut maka dipanggil nabi Adam A.S dan Siti Hawa untuk melihat keadaan iblis laknatullah itu, maka bangkitlah keduanya untuk menyaksikannya. Sesudah melihat, maka keduanya berdoa: "Ya Tuhan kami, sungguh engkau telah menyempurnakan nikmatMu pada kami".

Wallahu'alam.

Iblis laknatullah datang mengganggu ketika sakaratul maut.

Syaitan laknatullah dan iblis laknatullah akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis laknatullah mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi tujuh golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah S.A.W menerangkan: Yang bermaksud: "Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."

Rombongan 1
Akan datang iblis laknatullah dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan iblis laknatullah itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah (SWT) inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang iblis laknatullah kepada orang yang di dalam Sakaratul Maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, harimau, singa, ular dan kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang didalam Sakaratul Maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah (SWT), matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3
Akan datang iblis laknatullah mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah (SWT). Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam Sakaratul Maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5
Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh iblis laknatullah, berkata dengan rayu-merayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: "Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula iblis laknatullah yang menyerupai ulamak dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam Sakaratul Maut: "Aku tidak tahu."

Berkata ulamak iblis laknatullah: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah hendaklah kamu patuh kepada kami."

Ketika itu orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh iblis laknatullah bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut). Kemudian orang yang sedang dalam Sakaratul Maut itu bertanya kepada ulamak palsu: "Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis laknatullah merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu."

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata iblis laknatullah: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah." Berkata orang yang dalam Sakaratul Maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini."

Dalam keraguan itu maka Malaikat Izrail pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan iblis laknatullah yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati iktikad Muhammad S.A.W bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa iblis laknatullah itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu manusia Sakaratul Maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin 'Laa ilaaha illallah' untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis laknatullah dan syaitan laknatullah yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: "Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa ilaaha illallah."

Wallahu'alam.

Perihal syaitan laknatullah.

Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan biru.

Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah (SWT) jadikan Jaan.

Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud R.A pula menyatakan bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.

Dari api yang amat panas inilah Allah (SWT) telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah (SWT) masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah (SWT). Jin juga di beri izin oleh Allah (SWT) menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah S.A.W mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga diperintahkan oleh Allah (SWT) menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah (SWT) kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah (SWT) dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 % mirip kepada manusia.

Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah (SWT) dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian Jin. Manakala makhluk-makluk lain pula Allah (SWT) jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata.

Manusia memerlukan masa mengandung selama 9 bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh. Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis laknatullah pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.

Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam A.S). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah (SWT) telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.

Jin, Ifrit, Syaitan laknatullah dan Iblis laknatullah adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah (SWT). Iblis laknatullah dan Syaitan laknatullah juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah (SWT) sehingga ke hari kiamat.

Lafaz "syaitan" sebenarnya berlaku untuk golongan jin dan manusia yang melampaui batas dan membangkang terhadap hukum-hakam Allah. Orang Arab kadangkala menamakan "ular" sebagai syaitan kerana ia membangkang, cepat bergerak dan amat membahayakan. Allah (SWT) menyebutkan bahawa pohon "Zaqqum" bagaikan kepala syaitan. Pohon Zaqqum adalah pohon yang tumbuh di dasar neraka sebagaimana firman Allah (SWT) yang bermaksud: "Muncungnya bagaikan kepala syaitan." (Ash-Shaffat: 65)

Syaitan laknatullah sentiasa melihat kita sedangkan kita tidak dapat melihatnya. Dia mendengar apa yang kita katakan sedangkan kita tidak merasa apa bisikannya. Iblis laknatullah menggoda manusia dengan cara yang halus dan tidak dirasakan. Rasulullah S.A.W ada bersabda: "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia seperti berjalan atau mengalirnya darah."

Dari Abu Hurairah R.A, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk salah seorang kamu (setiap orang) ketika tidur pada waktu malam dengan tiga ikatan. Apabila orang yang tidur itu bangun dari tidurnya kemudian dia mengingati Allah S.W.T (membaca doa bangun tidur) maka terbukalah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terbukalah satu ikatan lagi dan jika dia mengerjakan solat (fardu Subuh) terbukalah yang ketiga, sehingga dia menjadi sihat dan cergas. Kalau tidak melakukan yang tiga itu, dia merasakan rimas atau malas."

Permusuhan iblis laknatullah serta syaitan laknatullah dengan bani Adam sampai kemuncaknya pada waktu munculnya Al Masih Ad-Dajjal. Pada waktu itu, syaitan laknatullah akan menggandakan usahanya untuk menjerumuskan bani Adam sama-sama menemaninya ke neraka Jahannam. Moga Allah (SWT) memberi kita perlindungan dari tipudaya syaitan laknatullah ini.

Umar al-Khattab R.A berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan:

  1. Zalituun laknatullah - Duduk di pasar atau kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.
  2. Wathiin laknatullah - Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah (SWT).
  3. A'awan laknatullah - Menghasut sultan, raja, pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan atau kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
  4. Haffaf laknatullah - Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat.
  5. Murrah laknatullah - Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah (SWT). Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour.
  6. Masuud laknatullah - Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.
  7. Daasim laknatullah - Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim laknatullah akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).
  8. Walahaan laknatullah - Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yang lain.
  9. Lakhuus laknatullah - Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.
Wallahu'alam.

Allah (SWT) telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa iblis laknatullah supaya dia berjumpa dengan Rasulullah S.A.W untuk memberitahu segala rahsianya, samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat nabi Muhammad S.A.W dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.

Maka Malaikat itu pun berjumpa iblis dan berkata, "Hai iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah S.A.W. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah S.A.W hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras"

Demi mendengar sahaja kata malaikat yang dahsyat itu, iblis laknatullah sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah S.A.W dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai, panjangnya seperti ekor lembu. Iblis laknatullah pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah S.A.W. Maka iblis laknatullah berkata,"Ya Rasulullah! Mengapa dikau tidak menjawab salam aku? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah (SWT)?"

Maka jawab Nabi S.A.W dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah (SWT)! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagaimana engkau tipu Adam nabi Allah (SWT) sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Ayub nabi Allah (SWT) engkau tipu dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Daud nabi Allah (SWT) dengan perempuan Urya, Sulaiman nabi Allah (SWT) meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai iblis laknatullah! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah Azza Wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah (SWT). Maka aku kenal baik-baik engkaulah iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"

Iblis laknatullah berkata: "Ya Nabi Allah (SWT)! Janganlah dikau marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan aku. Kedatangan aku adalah disuruh Allah (SWT) untuk memberitahu segala tipu daya aku terhadap umat tuan dari zaman Adam nabi Allah (SWT)hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah (SWT)! Setiap apa yang tuan tanya aku sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah aku berani sembunyikan." Maka iblis laknatullah pun bersumpah menyebut nama Allah (SWT) dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya aku berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan aku menjadi abu"

Mendengarkan pengakuan iblis laknatullah dan sumpahnya, maka Rasulullah S.A.W berasa sukacita dan merasakan inilah peluang keemasan untuk baginda menyiasat segala perbuatan iblis laknatullah dengan disaksikan oleh sekalian sahabat R.A yang hadir di majlis berkenaan. Ianya juga akan menjadi senjata atau perisai kepada sekalian umat hingga kemudian hari.

Rasulullah S.A.W bertanya: "Wahai iblis! Siapakah yang sebesar-besar seteru engkau dan apakah pandanganmu terhadap aku ini?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah (SWT), dikaulah musuh aku yang paling besar daripada segala seteru ku di muka bumi ini."

Maka Rasulullah S.A.W merenung wajah iblis laknatullah menyebabkan iblis laknatullah menggeletar segenap tubuh badan serta anggotanya disebabkan terlalu gerun akan kebesaran Baginda S.A.W.

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah (SWT), aku mampu menyamar sebagai sesiapa juga termasuk haiwan sekali dengan suara-suara yang tepat. Aku ditegah Allah Azza Wajalla untuk menyamar sebagai dirimu kerana jika aku melakukan yang demikian, nescaya terbakarlah aku menjadi abu. Aku bersungguh-sungguh merentap iktikad anak Adam supaya mereka menjadi kafir ialah kerana dikau bersungguh-sungguh menasihatkan mereka dengan memberikan pedoman kepada seluruh manusia supaya berpegang teguh kepada Islam. Begitulah juga kesungguhan aku menarik mereka kepada kafir, murtad dan munafik. Aku tarik sekalian umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus dan beralih kepada jalan yang sesat. Aku berharap mereka akan masuk ke neraka bersama-sama dengan ku serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Bagaimanakah perbuatanmu kepada makhluk Allah (SWT) ?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah (SWT), aku goda perempuan-perempuan supaya merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan sesetengahnya hingga menghasilkan benih yang bersalah-salahan sifatnya. Aku goda segala manusia supaya meninggalkan solat dan leka dengan makan-minum dan berbuat kemungkaran. Sesetengahnya aku lalaikan dengan harta-bendanya daripada emas, perak, rumah dan ladang dan hasilnya dibelanjakan ke atas segala pekerjaan yang haram. Telah banyak kaum lelaki dan perempuan terpesong imannya menerusi tentera jin, iblis dan syaitan yang aku perintahkan supaya menarik mereka ke jalan kemungkaran. Kalau terdapat sesuatu pesta yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, maka aku akan menggoda bersungguh-sungguh supaya mereka kehilangan maruah, meminum arak dan mempengaruhi rakannya dengan cara paksaan supaya meminum arak sehingga hilang akal dan hilang rasa malu mereka. Lalu aku hulurkan tali percintaan yang asyik sehingga terbuka beberapa pintu maksiat yang besar supaya mereka berkasih-kasihan sehingga melakukan perzinaan. Apabila manusia berhasad-dengki, maka terpaksalah mereka mencari wang menerusi tipu daya serta mencuri. Sekiranya mereka menyedari kesalahan masing-masing dan ingin bertaubat atau beramal-ibadat, aku akan halang mereka sehingga mereka bertangguh dan bertempoh dalam berbuat kebajikan. Aku juga akan menggoda dengan lebih kuat supaya melazimkan maksiat dan menyukai isteri orang. Maka telah ramai umat dikau telah aku sesatkan dengan jalan ini dengan bantuan jin, syaitan dan iblis di mana aku menyuruh mereka menghasut seluruh anggota manusia hingga ke dalam tubuh badannya. Apabila mereka digoda pada hati, maka mereka akan sentiasa riak dan takabbur, ujub serta melengah-lengahkan amalnya dan berlaku sombong. Apabila mereka digoda pada lidah, maka sentiasalah mereka gemar berdusta, mencela dan mengumpat satu sama lain. Demikianlah aku menghasut mereka semasa siang, malam, pagi dan petang."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Mengapakah engkau suka bersusah-payah dan berpenat-penatan untuk melakukan pekerjaan yang tidak memberikan sebarang faedah kepada dirimu bahkan menambahkan lagi laknat ke atas dirimu serta engkau akan ditimpakan sebesar-besar siksaan di dalam neraka yang paling bawah sekali?"

Rasulullah S.A.W bertanya:" Hai laknatullah! Siapakah yang menghidupkan engkau? Siapakah yang menjadikan engkau? Siapakah yang melanjutkan usia engkau? Siapakah yang menerangkan mata engkau? Siapakah yang memberikan pendengaran telinga engkau? Siapakah yang memberikan kekuatan kepada anggota engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Adalah sekeliannya itu adalah anugerah daripada Allah (SWT) yang Maha Besar. Tetapi hawa nafsu dan takabur serta khianat telah menyebabkan aku melakukan sebesar-besar kejahatan. Tuan juga sedia maklum bahawa aku pernah menjadi ketua segala malaikat sehingga ribuan tahun dan bersujud kepada Allah (SWT) semenjak di dunia ini lagi dan aku telah dinaikkan darjat menerusi satu langit ke satu langit dengan aman. Aku pun mendiami tempat ku dengan beribadat bersama-sama malaikat serta berkhidmat kepada Allah Azza Wajalla dalam tempoh yang begitu lama. Tiba-tiba datang firman Allah (SWT) kepada ku sekaliannya mengenai dijadikanNya seorang khalifah di dalam dunia ini. Maka aku membantah kerana tidak suka berkhalifah. Lantas Allah Azza Wajalla menjadikan seorang lelaki dan dititahkan aku dan sekalian malaikat memberikan penghormatan kepada Adam kecuali aku seorang enggan bersujud dan aku telah mengingkari hukumNya. Maka aku dimurkai Allah Azza Wajalla serta dilaknatiNya aku sehingga hari Qiamat. Wajah ku yang selama ini bercahaya dan cantik telah dihapuskan oleh wajah yang hodoh dan keji. Aku sakit hati dan begitu berdendam kepada Adam. Kemudian Adam diangkat oleh Allah Azza Wajalla menjadi raja di dalam syurga serta dikurniakan seorang isteri untuk dijadikan permaisuri yang memerintah segala bidadari. Sentiasalah mereka dalam kesukaan dan kesenangan. Hasad-dengki ku menjadi-jadi kepada kedua mereka dan merancang untuk mengkhianati mereka. Akhirnya aku telah menipu Siti Hawa supaya meminta Adam memakan buah khuldi larangan Allah Azza Wajalla. Maka kerana perempuan itulah, Adam termakan buah larangan berkenaan sehingga mereka dihalau dari syurga dan diturunkan ke dunia secara terpisah kedua suami-isteri beberapa lama sehinggalah dipertemukan kembali oleh Allah Azza Wajalla dengan selamatnya sehingga mereka mendapat beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang bernama Qabil supaya membunuh abangnya Habil sehingga mati. Itupun aku masih tidak berpuas hati sehingga aku dapat melakukan pelbagai tipu-daya ke atas sekalian anak-cucunya hinggalah ke Hari Qiamat. Tetapi dikau telah menghalang pekerjaan ku dengan menarik mereka supaya memeluk Islam. Ada pun sebelum dikau diputerakan ke dalam dunia ini, aku bersama-sama bala tentera ku mampu naik ke langit dengan mudahnya mencuri rahsia dan tulisan-tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat dan mendapat pahala serta syurga. Demikian juga bagi mereka yang beribadat malam akan mendapat setinggi-tinggi pahala. Apabila aku turun ke dunia, maka aku khabarkan kepada mereka itu dengan jalan yang sesat melalui pelbagai tipu daya sehingga mereka berpegang kepada kitab-kitab bidaah dan karut. Tetapi apabila dikau zahir ke alam dunia ini, maka aku tidak diizinkan Allah (SWT) untuk naik ke langit dan aku tiadalah lagi mendapat apa-apa rahsia umat mu. Ramai malaikat yang menjaga di pintu tiap-tiap lapisan langit dan jika aku berdegil untuk naik ke langit, nescaya malaikat akan melontar anak panah api yang bernyala-nyala. Telah ramai bala tentera ku daripada golongan jin, iblis dan syaitan terkena lontaran malaikat sehingga badan mereka terbakar menjadi abu. Aku dan bala tentera ku amat susah hati dalam usaha menjalankan hasutan ditambah pula dikau dapat menzahirkan mukjizat-mukjizat yang amat hebat di hadapan sekalian raja-raja dan di khalayak ramai."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apakah tipu helah terawal engkau ke atas manusia?"

Jawab iblis laknatullah: "Pertama, aku palingkan iman mereka sehingga terpesong iktikad mereka kepada kekafiran samada pada perkataan, perbuatan, kelakuan dan hati mereka. Namun jika mereka gagal aku pesongkan, aku akan berusaha menarik mereka kepada jalan yang mengurangkan pahala supaya lama-kelamaan, mereka akan terjerumus juga mengikut kemahuan ku"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apabila umatku mendirikan solat, bagaimanakah keadaan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Itulah sebesar-besar kesusahan kepada ku. Gementarlah seluruh badan ku dan lemahlah tulang sendi ku, maka pada waktu itu, aku menyuruh puluhan syaitan iblis menggoda setiap orang yang hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas bersolat dan hatinya supaya was-was dalam solatnya serta terlupa bilangan rakaatnya. Mereka juga akan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak cepat-cepat menamatkan solatnya. Sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang yang hendak bersolat supaya ia tidak kusyuk dalam solatnya sehingga mereka berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka) tidaklah tetap hatinya serta hilanglah kusyuknya. Sesetengah iblis memasuki telinga orang yang bersolat supaya memasang telinga mendengar perbualan orang, bunyi-bunyian dan sebagainya yang sia-sia belaka. Sesetengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang bersolat itu tidak berupaya lama-lama semasa bersujud atau bertahiyyat. Di dalam hatinya sering bekehendakkan agar solatnya segera tamat dan ini tentunya akan mengurangkan pahala solat. Jika sekalian iblis berkenaan gagal menggoda seperti yang demikian, nescaya mereka akan aku hukum seberat-beratnya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah (SWT), apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah (SWT), maka terbakarlah tubuh ku serta putus-putus segala urat ku, maka larilah aku dari mereka."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah (SWT), apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Telah binasalah diri ku dan gugurlah tulang ku kerana mereka telah menyempurnakan rukunnya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku berpuasa kerana Allah (SWT), apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah (SWT), inilah suatu bencana yang besar bahayanya terhadap ku kerana apabila masuk malam awal Ramadan, maka memancarlah nur Arasy dan Kursiy serta segala malaikat menyambut dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar-besar anugerah Allah (SWT) yang Maha Pengampun segala dosa yang telah lalu serta digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa. Tambahan pula yang menghancurkan hati ku ialah segala isi langit, bulan dan bintang serta malaikat sehinggalah burung-burung dan ikan-ikan laut dan air tawar juga tiap-tiap yang bernyawa di atas muka bumi mendoakan siang dan malam memohon ampun bagi orang-orang yang berpuasa. Satu lagi setinggi-tinggi kemuliaan orang yang berpuasa ialah Tuhan menjadikan 1000 kemerdekaan dari azab neraka pada setiap hari dalam Bulan Ramadan, segala pintu neraka ditutup, segala pintu syurga dibuka, angin/bayu syirah yang amat lembut berhembusan ke dalam syurga. Maka pada hari mulanya umat mu berpuasa, datanglah segala bala tentera malaikat yang garang tanpa mengira lawannya menangkap aku dengan perintah Allah (SWT) serta ditangkapnya segala bala tentera ku iaitu jin, syaitan dan ifrit serta dipasung kaki tangannya dengan besi panas dan dirantainya kami sekaliannya serta dibenamkan ke dalam bumi yang amat dalam dan ditambah pula dengan beberapa azab sengsara sehingga selesai ibadat puasa umat mu, baharulah aku dilepaskan supaya aku tidak boleh mengganggu mereka. Dan umat mu sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat puasa sebagaimana mereka bekerja untuk bersahur di waktu tengah malam seorang diri sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-malam yang lain"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Bagaimanakah halnya para sahabatku kepada engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah (SWT), Adalah sekalian para sahabat mu adalah sebesar-besar seteru kepada ku, kerana tiada upaya aku melawan mereka dan tidak ada satu pun tipudaya ku dapat memasuki mereka, kerana dikau pernah berkata sekalian para Sahabatku adalah umpama bintang di langit, jika kamu mengikuti mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk Ya Nabi Allah (SWT), sekelian para sahabat mu sangat taat mengerjakan perintah mu lagi setia serta bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan syariat mu kepada sekalian manusia menerusi Al-Quran dan Al-Hadis. Ada pun Sayyidina Abu Bakar As Siddiq bin Abi Qahafah itu semasa sebelum beliau bersama mu pun, aku gagal menghampirinya apalagi sekarang beliau telah mendampingi mu. Beliau amat kuat bersaksi di atas kebenaran dikau sehingga beliau telah menjadi wazirul a zam dan dikau telah berkata bahawa kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar dengan amal kebajikan sekalian isi dunia ini, nescaya lebih beratlah kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula, beliau telah menjadi bapa mertua mu dengan mengahwinkan puterinya Sayyidatina Aishah yang sangat hafiz hadis-hadis mu. Ada pun sahabat mu, Sayyidina Umar Al-Khattab, aku tidak berani memandang wajahnya kerana beliau sangat tegas dalam menjalankan hukum syariat mu. Jika aku terpandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi ku kerana tersangat takut kepadanya kerana imannya yang sangat kuat apalagi dikau pernah bersabda, jikalaulah ada lagi nabi selepas aku, nescaya Umar boleh menggantikannya kerana harapan besar dikau ke atasnya. Beliau juga mampu membezakan iman dan kafir sehingga beliau mendapat gelaran Umar Al-Faruk. Ada pun sahabat mu, Sayyidina Osman Al-Affan itu lebih-lebih lagi tidak dapat aku hampiri kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran, siang, malam, pagi dan petang. Dialah penghulu segala orang yang sabar dan penghulu segala syuhada dan menjadi menantu mu sebanyak 2 kali. Kerana ketaatannya, beliau dikunjungi oleh para malaikat dengan penuh hormat kerana sangat malunya Malaikat kepada beliau. Dikau telah berkata, Barangsiapa menulis BismillaahirRahmaanirRahiim pada kitab-kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala baginya seperti pahala syahid Sayyidina Osman. Ada pun sahabat mu, Sayyidina Ali bin Abi Talib, aku sangat takut kepadanya kerana kehebatan kelakuannya serta kedahsyatan melihat keperkasaannya di medan peperangan merempuh segala musuhnya. Maka apabila iblis, syaitan dan jin memandang wajah Sayyidina Ali, nescaya terbakar kedua biji mata mereka kerana beliau sangat kuat mengerjakan perintah Tuhan serta beliau adalah julung-julungnya kanak-kanak yang memeluk Islam serta enggan menundukkan kepala kepada sebarang berhala, sebab itulah beliau digelar Ali KarimahullahuWajhah dan Harimau Allah . Dikau pernah bersabda, akulah negeri segala ilmu dan Ali adalah pintunya. Tambahan pula, beliau telah menjadi menantu dikau, maka terlebihlah ngeri aku kepadanya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Bagaimanakah tipudaya engkau terhadap umatku?"

Jawab iblis laknatullah: "Adalah umat mu ada tiga golongan (1) Seperti air hujan turun dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan lagi banyak manfaatnya dan pertolongan kepada lainnya iaitu guru-guru yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah (SWT) dan menjauhi segala tegahanNya dan kata (malaikat) Jibril, Adapun ulama itu pelita dunia dan pelita akhirat (2) Umat mu itu seperti tanah iaitu orang (yang) sabar, bersyukur dan redha akan kurnia Tuhan kepadanya serta beramal soleh dan bertawakkal kepada Allah (SWT) dan banyak berbuat kebajikan, dan (3) Umat mu itu keadaannya seperti Fir aun yang terlampau tamak dengan harta dunia (dan) dihilangkan amal (perbuatan) akhirat. Maka (dengan) sukacitalah aku kepada mereka (umat ke 3) lalu aku masuk ke dalam tubuh mereka, aku putarkan hati mereka menuju ke lautan derhaka. Apabila telah kekal atas jalan kejahatan, aku tarik ke mana (sahaja) sesuka hati ku, jadi sentiasalah mereka bimbangkan dunia dan tidak suka menuntut ilmu, dijadikan dirinya tiada kelapangan untuk beramal, tidak mengeluarkan zakat hartanya dan sesetengah (golongan) yang miskin (yang) hendak beribadat, aku goda mereka (supaya) meminta kekayaan terlebih dahulu, maka apabila disampaikan Allah (SWT) akan hajatnya untuk mendapatkan kesenangan, maka (aku) lupakan mereka dari beramal, tidak mahu mengeluarkan zakat harta mereka ibarat Qarun dengan mahligainya dan diri mereka serta harta benda mereka habis terbenam ke dalam bumi kerana mereka tidak mahu membelanjakan (harta mereka) pada jalan-jalan kebajikan dan jika terkena kesakitan, mereka tidak sabar, mereka sentiasa bimbangkan harta mereka dan sesetengah dari mereka yang kaya asyik dengan perebutan dunia, bercakap besar kepada sesama Islam dan benci dan menghina golongan miskin. Mereka gemar mengeluarkan harta mereka kepada jalan-jalan maksiat dan menaburkan harta mereka kepada perempuan-perempuan jahat dan tempat-tempat judi dan (majlis) tarian."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Siapa pula yang sama (tarafnya) seperti engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang-orang yang meringankan syariat mu dan membenci orang-orang yang mempelajari Islam."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Siapakah pula yang memberikan cahaya pada muka engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang-orang yang berdosa dan bersumpah bohong dan (menjadi) saksi pembohong serta memungkiri janji."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Apa pula rahsia engkau terhadap umatku?"

Jawab iblis laknatullah: "Jika seorang muslim ingin membuang air besar (ke tandas), jika tidak membaca doa kepada Allah (SWT) untuk mohon perlindungan daripada syaitan, nescaya aku lumurkan najis itu ke tubuhnya tanpa disedari."

(Inilah doanya sebelum sampai ke tandas - Bismillahi AllaHomma Innii a uu dzubikaminal khubusi wal khobaa is - jika masuk ke tandas, dahulukanlah kaki kiri dan jika keluar dari tandas dahulukan pula kaki kanan dan apabila jauh empat-lima langkah daripada tandas, dibaca di dalam hati - GhufraanakalhamdulillaaHilladzii azHaba annil azaa wa aafinii - dan apabila selesai bersuci dibacakan doa - AllaaHumma ToHHir Qalbii minnifaaqi wahaSSin farjii minal fawaa hi shi) Maka jika dibacakan doa-doa tersebut, larilah aku daripadanya.

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku berjimak dengan isterinya, bagaimanakah keadaan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Jika seseorang hendak berjimak dengan isterinya, (dan) jika dia membaca: A uu dzubillaaHiminassyaitaanirrajiim, AllaHumma jannibnaa minassyaitaani wajannibissyaitaan maa razaqtanaa - maka larilah aku daripadanya. Maka jika dia tidak membacakan doa tersebut, (maka) akulah yang terlebih dahulu berjimak dengan isterinya dan jika menjadi anak (hasil pergaulannya), maka anak itu menggemari pekerjaan maksiat serta malas berbuat (baik) atas jalan kebajikan dengan sebab kelalaian ibubapanya. Demikian juga jika mereka makan atau minum dengan tidak membaca - BismillaahirRahmaaniRahiim - maka, akulah yang terlebih dahulu makan dan minum sebelum mereka, maka walaupun mereka makan, tetapi mereka tidak kenyang."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Dengan jalan manakah yang dapat menolak tipudayamu?"

Jawab iblis laknatullah: "Jika seseorang berbuat dosa, maka ia segera sedar dan bertaubat kepada Allah (SWT) dan menangis serta menyesal di atas perbuatannya serta apabila dia marah, dengan segera dia berwudhuk, nescaya padamlah kemarahannya. Barangsiapa yang membaca doa ini setiap kali solat Jumaat sebanyak 5 kali, maka dosanya akan diampunkan Tuhan kerana dia telah bertaubat. Inilah doanya : Ilaahii lasta lil firdausi ahlan, walaa aq waa a laa naaril jahiim, fahablii taubatan waghfir dzunuubii, fainnaka ghaafirudzzanbil aziim"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah yang benar-benar menjadi kegemaranmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Apabila lelaki dan perempuan tidak mencukur atau mencabut atau menggunting bulu di ari-arinya selama 40 hari, maka aku akan tinggal mengecilkan diri seperti pepijat bersarang di situ, begitu juga, (menjadi) tempat ku bergantung dan berbuai pada bulu ketiak orang yang tidak mencukurnya atau mencabutnya"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah saudaramu?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang tidur meniarap atau tidur (nyenyak) di waktu subuh, maka dia masih tidur dan tidak segera solat subuh, maka aku akan mengulitnya sehingga dia lena sehingga terbit matahari dan begitu juga pada waktu zohor, asar dan maghrib, aku (akan) beratkan hatinya (sehingga) menjadi malas mengerjakan solat."

(Apabila hendak tidur, bacalah - BismillaahirRahmaanirRahiim - sebanyak 21 X)

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Dengan jalan manakah yang boleh membinasakanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang banyak menyebut nama Allah (SWT) dan banyak memberikan sedekah dengan tidak diketahui orang, memperbanyakkan taubat, memperbanyakkan tadarrus Al-Quran serta solat di waktu malam."

Rasulullah SAW bertanya: "Hai iblis! Apakah pula yang memecahkan penglihatan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang banyak beriktikaf di masjid kerana Allah (SWT)"

(lafaz niat iktikaf - Nawaitul I tikaaf fii Haa dzal masjidi sunnatan lilLaahiTa aala)

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apa pula yang merantai engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Penjual (peniaga) yang betul timbangan (dan) sukatannya, ukuran dan tukarannya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apabila umatku memberi salam antara satu dengan yang lain, bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Apabila dua orang (muslim) bertemu di tengah jalan, lantas memberikan salam (Assalamu’alaikum warahmatullah wa barakatuh) dan dijawab oleh saudaranya, maka terasa seperti pecah dada ku, maka aku pun meratap kerana kedua-duanya telah diampunkan apabila berpisah keduanya"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah pula sahabat karibmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang minum arak atau tuak (samsu) atau (ketagih) candu atau ganja (termasuk penyalahgunaan dadah) kerana kemerbahayaannya telah nyata menyebabkan perpecahan, perkelahian dan perceraian"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah pula yang bersekutu dan sekedudukan dengan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Apabila bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan muda, maka aku duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, aku hiaskan wajahnya (perempuan) dengan jelingan dan senyuman yang menarik hati serta apabila terpandang belakang (perempuan), maka terpandanglah lehernya (perempuan) yang halus dengan pinggang dan punggungnya melenggang yang membangkitkan nafsunya (lelaki) serta manakala terpandang hadapannya (perempuan), aku hiaskan dadanya (perempuan) supaya bergetaran serta aku panah tepat pada jantung hati keduanya (lelaki dan perempuan) atau salah satu daripadanya sehingga tergerak syahwatnya. Orang yang tiada memelihara hatinya, nescaya tidak terpelihara farajnya dan apabila tidak memelihara farajnya, maka tidak terpeliharalah imannya."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Di manakah kediamanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Pada rumah berhala dan pada mana-mana batu, kayu, tembaga dan sebagainya (bahan pujaan). Apabila mereka menyembah (berhala, batu, kayu, tembaga dan sebagainya), maka aku cenderungkan hati mereka supaya bertambah-tambah keyakinannya terhadap pekerjaan mereka (menyembah berhala) yang syirik itu. Betapa ramainya umat tuan hamba telah aku pesongkan sehingga memasuki rumah berhala Majusi dan Hindu yang menunjukkan betapa nipisnya iman mereka."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Di manakah tempat perhimpunanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Pada rumah wayang dan tempat majlis tarian dan seumpamanya seperti tempat percampuran lelaki dan perempuan (secara bebas)"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Aku lihat engkau mengintai-ngintai di dalam masjid, apakah yang hendak engkau lakukan?"

Jawab iblis laknatullah: "Aku hendak mengganggu orang yang sedang bersolat di situ."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Kenapa engkau tidak takutkan orang yang sedang bersolat dan bermunajat dengan Tuhannya? Sebaliknya engkau takut pula dengan orang yang sedang tidur di sebelahnya padahal orang (yang sedang tidur) itu (mungkin) dalam keadaan lalai"

Jawab iblis laknatullah: "Adapun orang yang sedang bersolat itu amat jahil sekali, (maka) mudahlah untuk aku merosakkan (melalaikan) solatnya, tetapi orang yang sedang tidur itu (sebenarnya) alim. Maka apabila aku menggoda dan cuba merosakkan solatnya, aku takut kalau-kalau orang alim itu bangun dari tidurnya lalu menegur serta memperbetulkan solat si jahil itu"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apakah kata-kata pujian bagimu?"

Jawab iblis laknatullah: "Suara orang yang bernyanyi dan berpantun-seloka serta suara bunyi-bunyian kecuali orang yang bernyanyi, berpantun, bernazam memuji Allah (SWT), bernasyid serta berselawat di atas nabi"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah yang sekaum denganmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang menipu harta orang dan memakan harta anak yatim serta memakan riba"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Sebab apakah engkau gelapkan hati manusia?"

Jawab iblis laknatullah: "Mereka yang makan dan minum dengan (punca) mata pencarian yang haram kerana mereka buta dalam mencari harta yang halal serta mereka banyak tidur sehingga matahari tinggi dan meninggalkan solat subuh serta memenuhi perutnya dengan kenyang sekali"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah yang menggembirakan hati engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan zakat untuk hamba Allah (SWT) yang dhaif, malah zakatnya dihantar kepada orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang yang bakhil itu seteru Allah (SWT) serta orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan masuk ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan ku."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah yang menyuburkan badan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang berhasad dengki dan orang yang tidak mempelajari hukum Islam serta semua perempuan yang jahat dan perempuan yang merosakkan dirinya serta perempuan yang menjual maruahnya"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika seorang ulama meninggal dunia, bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Telah subur dan bertunaslah hasutan ku dan pekerjaan ku."

(Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud, Barangsiapa yang berdukacita di atas kematian seorang ulama, maka dituliskan Allah (SWT) pahala baginya seribu ulama dan seribu syuhada. Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud, Akan datang atas umatku yang melarikan diri dari ulama atau mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka diberikan Allah (SWT) 3 jenis bala ke atas mereka (yang membenci atau melarikan diri dari ulama dan seumpamanya) (1) Dihilangkan keberkatan dalam pencariannya (rezeki), (2) Didatangkan Allah (SWT) ke atas mereka seorang ketua yang zalim atau raja yang zalim, dan (3) dikeluarkan (dimatikan) mereka daripada dunia dengan tidak beriman Na uu dzubillaaHimin dzaalik kita berlindung dengan nama Allah (SWT) )"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku bersolat jemaah, bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Sesungguhnya segala simpulan (tali pengikat) tipudaya ku telah mereka leraikan"

(Maka sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, Barangsiapa solat 5 waktu, maka dia akan mendapat 5 perkara (1) Tidak akan terkena pada dirinya kefakiran (kemiskinan), (2) Diangkatkan darinya siksa kubur oleh Allah (SWT), (3) Dianugerahi orang itu dengan kitab tulisannya (perbuatan di dunia) pada sebelah kanan (pihak yang selamat), (4) Melalui titian (Siraatal Mustaqiim) di atas neraka sepantas kilat, (5) Dimasukkannya Allah (SWT) ke dalam syurga tanpa sebarang hisab dan tanpa sebarang siksaan. Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud, Solat lelaki berjemaah lebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya seorang diri dan solat berjemaah itu mendapat 27 darjat, serta solat berjemaah di rumahnya bersama anak (anak) dan isterinya akan mendapat pahala haji dan umrah)

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku berselawat ke atas ku, bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Mereka telah membelah muka ku disebabkan ingatan kuat terhadap tuan hamba."

(Maka sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Barangsiapa berselawat ke atasku, maka para Mailaikat akan memohon diampunkan (segala dosanya) dia dan dia adalah sebahagian daripada isi syurga")

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku bersolat Hari Raya di masjid, bagaimanakah keadaanmu? Kerana Tuhanku yang Maha Besar telah berfirman: "Hai sekelian malaikat! Saksikanlah olehmu bahawa sesungguhnya telah Aku ampunkan sekalian dosa umat Muhammad, lelaki dan perempuan." Maka apabila telah selesai dari solat dan khutbah dibacakan, maka Firman Allah (SWT): "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa kamu yang terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan dosamu itu dengan kebajikan!".

Jawab iblis laknatullah: "Ya Rasulullah! Apabila umat tuan hamba pergi (untuk) bersolat Hari Raya, maka aku sangat berdukacita dan kesal. Maka aku pun menjerit sehingga datang sekelian bala tentera ku dan (mereka) bertanya hai raja kami! Siapakah yang engkau marah? Adakah ianya (puncanya) dari langit atau dari bumi? Perintahkanlah kami sekelian pergi membinasakan barang di langit dan di bumi. Maka aku menjawab hai.. bala tenteraku! Apa yang menyebabkan aku berdukacita ialah kerana Allah (SWT) telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya ini. Wahai sekalian bala tenteraku! Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah (SWT) telah memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat mengasihi dan mengasihani mereka dengan penuh Rahmat serta diperkenankan segala doa mereka dan diampunkan segala kesalahan mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya malas beramal ibadat dan resah dengan berjalan ke sana dan ke mari serta asyik berjudi serta bersukaria memuaskan nafsu dengan mengerjakan maksiat supaya datang kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan ditimpakan bala ke atas mereka kerana dengan demikian, akan membawa kesenangan di dalam hatiku. Maka berangkatlah sekelian bala tentera iblis syaitan untuk mengganggu umat Muhammad"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Jika umatku membaca doa akhir tahun (Hijrah), bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Telah bersusah payah aku menggoda mereka sepanjang tahun, tiba-tiba mereka membaca doa (yang hanya) mengambil masa yang sedikit, maka lemahlah aku lalu aku menyapu dengan tanah (dan berkata), aduhai, celaka betapa malang dan celaka diriku dengan kerugian, maka aku pun berpaling (dan) pergi"

(Doa Hujung Tahun - AllaaHomma maa amiltu min amalin fii HaaziHissanati mimmaa nahaitanii anHu, walam tar Dhahu walam tan sahu, wahamilta alaiyya ba da qud rotika alaa, uquubatii, wada autanii ilattaubati ba da jur aatii alaa ma Siatika, fainnii astaghfiruka faghfirlii waHablii min amalin tarDhahu, wa wa datanii alaihitsawwaab)

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun, bagaimanakah keadaanmu?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah! Putuslah harapan ku, kerana barangsiapa membaca doa awal tahun, (maka) Tuhan memerintahkan dua Malaikat supaya membakar buku kesalahan hambaNya dan dituliskan kebajikan di dalam (buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca doa ini."

(Doa Awal Tahun - AllaaHomma antal abdiyyulQadiim,waHaaziHi sanatu jadiidatun, as aluka fiihal iSmata minassyaiTooni wa au liyaa ihi. Wal au na alaa Haa dzihiinnafsil ammaarati bissuu wal ish ti ghaala bisaa yuQorribunii ilaika yaa Kariim)

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Siapakah yang menyokong engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa ketika berbuat dosa berkenaan. Ya Nabi Allah (SWT)! Telah aku binasakan ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan dosa daripada berbagai-bagai (jenis) maksiat, maka aku gembira. Tiba-tiba, mereka mengucapkan kalimah-kalimah Laa ilaa Ha illAllaah dan istighfar, maka binasalah aku, kerana pada masa aku dibuang ke dunia (dulu), aku mengembara sambil bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah penghibur iblis syaitan, tetapi orang yang azan itu adalah penghalau iblis syaitan, kerana para malaikat akan hadir bersolat bersama-sama dengan mereka ."

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Sekarang apalah kesudahan ikhtiar engkau di atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan oleh Allah (SWT) ke dunia ini bagi menyelamatkan sekalian bani Adam daripada kufur kepada iman, daripada gelap gelita kepada terang benderang?!"

Maka iblis pun mengangkat kepalanya ke hadhrat Tuhan dan berkata: "Yaa Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah aku akan berusaha dengan bersungguh-sungguh pada menarik sekalian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat selama ada nyawa di tubuh mereka, aku jadikan pemuda dan wanita bercampur dan berkenalan, supaya aku dapat mencelah di dalamnya."

(Maka) Datanglah Firman Allah (SWT) :"Hai mala'un, Demi Kebesaran dan KetinggianKu, bahawa Aku sentiasa bersedia untuk mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon ampun kepadaKu"

Rasulullah S.A.W bertanya: "Hai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Rasulullah! Bahawasanya aku sangat ajaib (hairan) melihat dua macam hal sekalian hamba Allah (SWT) iaitu (1) Mereka itu mengaku kasihkan Allah (SWT), walhal mereka itu taatkan aku dan berbuat maksiat, (2) Mereka itu sangat marah kepada aku, tetapi mereka menurut hasutan ku."

(Maka) Datanglah Firman Allah (SWT) : "Hai mala un! Demi Kemuliaan dan KebesaranKu, Aku anugerahi umat Muhammad (dengan) 2 kebahagiaan : (1) Kasih mereka kepadaKu dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipudayamu, dan (2) Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa) perbuatan maksiat mereka kepadaKu"

Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat dikasihi Allah GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani hambaNya dengan limpah rahmatNya.

Setelah selesai baginda Rasulullah S.A.W berdialog dengan iblis laknatullah, maka baginda S.A.W pun menghalau iblis laknatullah dengan sabdanya : "Wahai laknatullah! Nyahlah engkau dari hadapanku ini" Maka iblis laknatullah pun keluar dengan perasaan yang amat dukacita.

Maka hairanlah para sahabat R.A yang hadir dalam majlis berkenaan mendengar tipudaya iblis laknatullah yang menyelubungi seluruh umat manusia.

Sabda Nabi S.A.W: "Hai para sahabatku! Ketahuilah olehmu bahawa iblis laknatullah telah membuat kesalahan atas beberapa sebab: (1) ia engkar dan membantah perintah Tuhan, (2) ia takbur dan besar diri (3) ia berhasad dengki dengan nabi Adam A.S (4) Ia menghasut dan mengkhianati (manusia) (dari) seorang kepada seorang (yang lain) seperti yang telah ia ajarkan kepada Qabil dengan tipudayanya sehingga berani Qabil melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil yang disayangi oleh Nabi Allah (SWT) Adam A.S"

Nabi S.A.W berkata lagi: "Bahawa pada suatu hari, iblis mengadap Musa bin Imran A.S dan berkata : Yaa.. Nabi Allah (SWT)! Apabila tuan hamba bermunajat kepada Allah (SWT) di Bukit Tursina, aku hendak bertaubat kepada Allah (SWT), adakah (taubat) aku diterimanya?"

Maka sukacitalah nabi Musa A.S mendengarkan iblis laknatullah yang hendak bertaubat itu lalu baginda menyanggupi permintaan iblis laknatullah. Setelah tiba di Bukit Tursina, maka berdoalah baginda kepada Allah S.W.T memohon petunjuk. Maka datanglah firman Allah S.W.T : "Wahai Musa, kesalahan iblis boleh Ku ampunkan dengan syarat hendaklah ia (iblis) bersujud pada kubur nabi Adam". Maka nabi Musa A.S pun menyampaikan firman Allah S.W.T kepada iblis laknatullah. Iblis laknatullah mengeluh dan berkata: "Wahai Musa! Semasa Adam masih hidup pun aku tidak sudi bersujud kepadanya, inikan pula, Adam telah mati." Maka iblis laknatullah pun beredar.

Sabda Nabi S.A.W : Bermula (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara: (1) Dengan ilmu para ulama, (2) Dengan adilnya sekalian raja-raja, (3) Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya, (4) Dengan doa sekalian fakir miskin.

Maka sekiranya tidak ada ulama, nescaya binasalah sekalian orang yang jahil dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia (ibarat) memakan (segolongan) manusia yang lain sebagaimana harimau menghambat dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan (hati) orang-orang kaya, nescaya binasalah sekalian fakir miskin dan sekiranya tidak ada doa fakir miskin, nescaya runtuhlah langit dan bumi.

Wallahu'alam.