oleh Ustaz Hj. Mohd Zamri ( www.mantop.com.my )

"Apakah hukum bercinta dalam islam? Maksud saya bercinta sebelum kahwin. Seperti belia yang kebanyakan di zaman ini. Ada yang cakap hukumnya boleh selagi tidak melanggar batas-batas syariat, kerana cinta adalah fitrah manusia. Ada pula yang cakap cinta sebelum kawin tidak boleh.. menggunakan hujah "Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)" ( Surah al-Isra : 32). Kalau difikirkan, bercinta sebelum kahwin mendatangkan banyak cabaran dan mudah melalaikan seseorang. Apa pandangan ustaz?"

Emel seumpama di atas, biasa memasuki kotak emel Ustaz.

CINTA. Kalimah yang sering menghantui remaja dulu, kini dan selamanya. Satu fitrah manusia yang tidak dapat tidak perlu dikendalikan dengan bijaksana. Jika tidak, tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran. Adakah Islam membenarkan percintaan sebelum pernikahan? Persoalan yang sering membelenggu benak remaja.

Pertama sekali, sebagai seorang muslim sejati, seharusnya kita menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Telah aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya maka kamu tidak akan tersesat untuk selamanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku”.

Kita lihat kepada dalil Quran yang dibangkitkan oleh si penanya iaitu Surah al-Isra’ : ayat 32. "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."

Dalam konteks bercinta sebelum kahwin, kalau dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di tempat sunyi atau ditempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat sebagai muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, lepas tu… hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua.

Justeru, ada pertanyaaan seperti “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup, ustaz?”. Bila direnung-renung, betul jugak kan? So, ustaz berpendapat bahawa “term” bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada “term” berkenalan sebelum kahwin. Jom kita refer kepada sirah sekejap. Pada zaman Rasulullah S.A.W ada seorang sahabat yang ingin kahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah S.A.W untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya.

Rasulullah S.A.W menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu. Kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami atau isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak.

Macam mana plak prosedurnya? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpe berdua je. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insya Allah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina.

Selain itu, di zaman cyber ni faham-faham laa. Macam-macam teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat boleh lah rujuk,

Bagi lelaki, Surah An-Nur : ayat 30
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."

Bagi wanita, Surah An-Nur : ayat 31
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Sekian dimaklumkan. Bagi mengakhiri artikel ini, ustaz selitkan seloka untuk renungan semua.

ANDA TELAH BERSEDIA UNTUK BERCOUPLE JIKA...

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda memang untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu semata-mata.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi, berpegangan tangan dan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti berpegangan tangan, menyentuh dan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah lepas ilmu ‘fardhu ain’ dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda. Atau sebaik-baiknya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih kandas ilmu fardu ain, mengaji Quran pun lintang pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran. Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan dan sedaya upaya menjadi muslimin dalam erti kata yang sebenar.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika..

Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih, solat jarang-jarang, puasa kadang-kadang... aduhai!

Anda, ada apa-apa cerita tentang cinta?

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadis yang menerangkan besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan pemberi riba diperangi Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Allah memberi ingatan :
Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil serta tidak mahu meninggalkan "saki-baki" riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Ayat ini menyebut "saki-baki", menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar mengikut sunnah dan menjadi Mukmin sejati, perlu memiliki pengetahuan yang jelas tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya secara 100%.

Selain itu, ayat ini secara tidak langsung membuktikan seorang Mukmin mampu menjauhi riba dalam hidupnya, tidak sebagaimana dakwaan segelintir masyarakat kononnya kita tidak dapat lari daripada riba di akhir zaman ini.

Zahir daripada ayat ini juga menunjukkan "peperangan" berlaku sejak di alam dunia lagi. Malang bagi seseorang dan pemimpin yang tidak memperdulikan dosa ini.

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :
Maksudnya; "Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah (SWT)."

Imam Abu Hanifah berkata bahawa inilah ayat dalam al-Quran yang paling menakutkan.

Imam Malik bin Anas pula berkata :
Maksudnya; "Telahku buka lembaran-lembaran kitab Allah (SWT) dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidakku dapati (dosa) yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah (SWT) telah mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya"

Berkata Imam Qatadah : "Allah (SWT) menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada."

2. Kehilangan berkat harta dan kehidupan.

Tercatat didalam al-Quran :
Maksudnya; "Allah (SWT) menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276)

Kehilangan berkat itu akan berlaku didunia dan akhirat.

Hukuman di Dunia.
Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta bagi orang yang terlibat dengan riba adalah hartanya akan mudah hilang atau habis tanpa dirasai. Selain itu, harta itu mendorongnya melakukan pelbagai bentuk aktiviti tidak berfaedah dan dosa.

Ia juga akan berasa terlalu miskin dan fakir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Harta haram seperti ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan maksiat, perkara fasik dan hina, tatkala itu akan hilang sifat amanah dan kebaikan dalam diri.

Ia juga bakal ditimpa ujian harta yang banyak seperti dirompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim daripadanya juga lebih makbul.

Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibn Mas'ud r.a. :
Maksudnya; "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad, al-Hakim)

Hukuman di Akhirat.
Ibn Abbas berkata :
Maksudnya; "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihatnya dan persaudaraannya."

3. Seperti berzina dengan ibu bapa sendiri.

Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam satu hadis yang cukup mendalam maksudnya :
Maksudnya; "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (al-Tabrani, 7/158, al-Hakim)

4. Lebih berat daripada 36 kali zina.

Rasulullah S.A.W. juga memberi amaran :
Maksudnya; "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)

Hadis ini bukan untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memberi fokus kepada bahaya dosa riba. Justeru itu, saya amat mengharapkan umat islam membuka mata mereka kepada isu ini agar tidak terjebak dengannya.

Itulah gambaran betapa besarnya dosa riba, dan barangsiapa yang terlibat dengannya sudah pasti amat sukar memperolehi khusyuk di dalam solat mereka. Antara bentuk riba yang amat berleluasa ketika ini dan disertai oleh begitu ramai umat islam ialah:

  • Pinjaman membeli kereta (Car Loan)
  • Pinjaman membeli rumah (Home Loan)
  • Pinjaman mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft)
  • Pinjaman membeli mesin dan alatan untuk syarikat (Hire Purchase Loan)
  • Membuat pinjaman peribadi (Personal Loan)

Apakah transaksi yang berlaku?
Sebagai contoh sebenar yang berlaku di bank konvensional hari ini, di atas permintaan pelanggan A untuk membeli kereta, rumah, memperoleh modal syarikat atau sebarang tujuan peribadi, konvensional memberi pinjaman sebanyak RM10,000 kepada pelanggan A dan sebagai imbalan balik kepada bank, pihak bank menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8% (bersamaan RM8,000 sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu sebagai balasan kerana memberikan pelanggan wang yang diperlukan.

8% itulah yang dinamakan 'Riba al-Duyun' jenis al-Qard. Ulama menyepakati jenis pulangan seperti ini adalah riba.

Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan mengikut bulan. Menurut hukum islam, jumlah RM8,000 yang diperolehi ini ialah hasil bank yang haram. Pelanggan yang memberi RM8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba.

Rasulullah S.A.W. menyebut :
maksudnya; "Individu yang memberi (riba) dan yang mengambilnya adalah sama." (Riwayat Muslim).

Kisah iblis laknatullah dengan ahli neraka.

Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis laknatullah itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada iblis laknatullah: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah iblis laknatullah menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai para penghuni neraka." Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang ke arah ketua mereka iaitu iblis laknatullah .

Kata iblis laknatullah : "Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah (SWT) telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa'iir."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. Akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah (SWT) sedangkan dia Allah (SWT) yang menciptakan segala sesuatu?"

Akhirnya iblis laknatullah berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah (SWT), dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata iblis laknatullah itu maka mereka melaknati iblis itu. Setelah itu iblis laknatullah dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya."

Wallahu'alam.

Iblis laknatullah menemui ajal.

Abu Laits Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Afnah bin Qays berkata: Saya pergi ke Madinah ingin bertemu dengan Omar bin Al Khattab R.A, tiba-tiba saya bertemu dengan Ka'bul Ahbaar yang menceritakan dalam suatu majlis, "Ketika Adam A.S sedang menghadapi saat kewafatan, baginda berkata: "Ya Rabbi, musuhku pasti akan mengejek padaku jika ia melihat aku telah mati, padahal ia diberi hingga hari kiamat".

Maka di jawab Allah (SWT): "Hai Adam, kamu langsung menuju ke syurga, sedang si celaka (iblis) ditunda hingga hari kiamat supaya merasakan sakit maut, sebanyak makhluk yang pertama hingga yang terakhir". Lalu nabi Adam A.S pun bertanya kepada malaikat Izrail: "Sebutkan kepadaku bagaimana rasa pedihnya maut". Sesudah diterangkan oleh malaikat Izrail, nabi Adam A.S pun berkata: "Tuhanku, cukup!! cukup!!"

Maka gemuruhlah suara para hadirin berkata: "Hai Abul Ishaq, ceritakan pada kami, bagaimanakah ia merasakan maut, pada mulanya Ka'abul Ahbaar menolak, tetapi kerana didesak, maka ia berkata: "Jika dunia sudah akhir dan hampir ditiup sangkakala, sedang orang ramai di pasar sedang sibuk bertengkar dan berdagang, tiba-tiba terdengarlah suara yang sangat keras di langit, sehingga separuh penduduk bumi pengsan kerananya selama tiga hari.

Bagi mereka yang tidak pengsan bingung bagaikan kambing ketakutan. Dalam keadaan hiruk piruk sedemikian, maka terdengarlah lagi satu suara gemuruh bagaikan suara halilintar yang sangat keras bunyinya, maka tidak seorangpun melainkan mati kerananya dan kesemua manusia, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain makhluk mati, maka tiba giliran iblis laknatullah pula untuk merasainya.

Maka Allah (SWT) pun memerintahkan malaikat Izrail: "Aku telah menjadikan padamu pembantu sebanyak orang yang pertama hingga yang terakhir dan Aku telah memberikan kekuatan penduduk langit dan bumi dan kini. Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan kemarahan, maka turunlah dengan membawa murka dan kemarahanKu kepada si celaka dan terkutuk iblis. Maka rasakan kepadanya kepedihan maut yang telah dirasakan oleh orang yang terdahulu hingga terakhir dari jin dan manusia, berlipat-lipat ganda, dan hendaknya kamu membawa tujuh puluh ribu malaikat yang kesemuanya penuh rasa murka dan kecemasan, dan tiap malaikat Zabaniyah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan tujuh puluh ribu bantolan dari neraka Ladha, dan beritakan pada malaikat Malik supaya membuka pintu-pintu neraka".

Maka turunlah malaikat Izrail dengan bentuk yang sangat mengerikan, sehingga andai kata seluruh penduduk langit dan bumi dapat melihat bentuk yang mengerikan itu niscaya akan cair kesemuanya kerana tersangat ngeri akan keadaan bentuknya, maka apabila sampai kepada iblis laknatullah dan dibentaknya sekali sahaja, langsung ia pengsan dan berdengkur dan andaikan dengkur itu dapat didengari oleh penduduk timur hingga barat, niscaya pengsanlah kesemuanya.

Setelah sedar iblis laknatullah, lalu malaikat Izrail pun membentak iblis laknatullah sekali lagi: "Berhentilah hai penjahat!!!, kini aku rasakan padamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya hitungan orang yang telah engkau sesatkan dalam beberapa abad yang engkau hidup, dan hari inilah hari yang ditentukan oleh Tuhan bagimu, maka ke manakah engkau akan lari!!"

Maka larilah iblis laknatullah lari ketakutan ke hujung timur, tiba-tiba malaikat Izrail muncul di hadapannya. Lalu iblis laknatullah pun menyelam ke dalam laut, namun malaikat Izrail tetap muncul di hadapannya, lantas ia dilemparkan oleh laut, maka ia berlari keliling bumi, namun tetap tidak ada tempat untuknya berlindung. Kemudian iblis laknatullah berdiri di tengah dunia di kubur nabi Adam A.S sambil berkata: "keranamu aku telah menjadi celaka, duhai sekiranya aku tidak dijadikan". Lalu ia bertanya pada malaikat Izrail: "Minuman apakah yang akan kau berikan padaku dan dengan siksa apakah yang akan kau timpakan kepadaku?"

Malaikat Izrail pun menjawab: "Dengan minuman dari neraka Ladha dan serupa dengan siksa ahli neraka dan berlipat-lipat ganda", maka bergulingan iblis laknatullah di tanah sambil menjerit sekeras suaranya, kemudian berlari ketakutan dari barat ke timur dan patah balik dari timur ke barat dan sampai ke tempat mula-mula ia diturunkan ke muka bumi ini.

Maka malaikat Zabaniyah A.S pun menghadang iblis laknatullah dengan bantolan-bantolan dari neraka Ladha. Bumi ini bagaikan bara api, sedang iblis laknatullah dikerumuni oleh malaikat Zabaniyah dan menikamnya dengan bantolan-bantolan dari neraka itu.

Tatkala iblis laknatullah mula merasai sakaratul maut maka dipanggil nabi Adam A.S dan Siti Hawa untuk melihat keadaan iblis laknatullah itu, maka bangkitlah keduanya untuk menyaksikannya. Sesudah melihat, maka keduanya berdoa: "Ya Tuhan kami, sungguh engkau telah menyempurnakan nikmatMu pada kami".

Wallahu'alam.