oleh Mohd. Ridhuan Tee Abdullah (dipetik dari Utusan Malaysia bertarikh 17/11/2008)

SETELAH mendengar dan membaca dolak-dalih Datuk Tan Lian Hoe yang menyalahkan wartawan (Utusan Malaysia terutamanya) dan orang lain kerana memutar-belitkan kenyataannya sebelum ini, saya terus terpanggil untuk terus menulis. Apatah lagi isu pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus (Dasar Ekonomi Baru) masih belum reda setelah berkali-kali ia disarankan oleh MCA, DAP dan Gerakan agar ia dihapuskan.

Terbaru, timbul pula cerita lama yang secara sengaja dibangkitkan semula oleh ketiga-tiga parti politik Cina ini. Mereka mahukan negara kita meniru atau mencontohi trend yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang memilih Barack Hussein Obama, seorang pemimpin berkulit hitam menjadi Presiden negara tersebut, memecah tembok perkauman antara kulit putih dan kulit hitam selama lebih 200 tahun.

MCA, DAP dan Gerakan mahukan negara kita turut memecah tembok perkauman ini dengan melantik bukan Melayu sebagai ketua negara atau ketua syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) atau kerajaan negeri seperti.

Apa yang saya lihat, kerajaan telah banyak membuka ruang dan peluang sebegini, cuma saya belum melihat respons syarikat-syarikat yang diterajui oleh bukan Melayu membuka ruang dan peluang kepada orang Melayu. Kalau adapun hanyalah sebagai syarat untuk mengaburi mata orang Melayu sahaja atau melariskan perniagaan mereka dalam sektor makanan dan perkhidmatan.

Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak diberikan kesempatan masa untuk bersembahyang dan solat Jumaat.

Permainan politik ini membuatkan saya teringat kepada kata-kata bekas Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock yang meluahkan pandangannya terhadap seorang pemimpin Melayu seperti yang dinukilkan oleh teman seangkatannya, Thio Chan Bee. Chan Bee dalam artikel bertajuk The Foundation of Racial Harmony, merakamkan perbualan Cheng Lock dengan seorang pemimpin Melayu ketika MCA hendak ditubuhkan.

"Orang Cina sudah mempunyai kuasa ekonomi manakala orang Melayu mempunyai kuasa politik. Jika orang Cina menolong orang Melayu membantu meningkatkan status ekonominya, sudah pasti orang Melayu akan berkongsi kuasa politik dengan orang Cina.

Jika orang Cina mahu memberikan kerjasama dengan orang Melayu, orang Melayu pasti mengalu-alukan kerjasama itu. Sebaliknya, jika orang Cina bertekad untuk menentang orang Melayu, sudah tentu secara spontan orang Melayu akan membalas tindakan tersebut".

Mendengar sahaja kata-kata itu, Cheng Lock berasa gembira dan mengumumkan penubuhan MCA dengan matlamat utama untuk menggalakkan dan mengekalkan hubungan harmoni antara kaum di Malaya. Asas hubungan kerjasama telah disepakati (Bulletin MCA, The Guardian. Vol 2. June 2006: 5). Dengan tertubuhnya MCA juga, semakin ramai orang Cina tidak dihantar balik ke negeri asal mereka di China.

Inilah bentuk pakatan politik yang dikatakan telah berjaya menyatukan kaum Melayu-Cina ketika itu. Orang Melayu berpegang kepada prinsip more power more say, manakala orang Cina dengan budaya more money more say. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, amat optimis dengan formula ini dan pernah meluahkan kata-kata yang sama, let Malay handle the power, the Chinese take care of the business (Comber, 2007). Tunku juga merasakan formula ini akan membawa kejayaan kepada Tanah Melayu dan ia perlu dikekalkan.

Kenyataan ini turut diperakui oleh Comber (2007: xxii) yang memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 yang menyebut bahawa "Orang- orang Melayu telah memperolehi kuasa politik untuk diri mereka sendiri. Orang- orang Cina dan India telah memenangi kuasa ekonomi."

Namun, keadaan berlaku sebaliknya. 'Formula' Tunku ini semakin meretakkan hubungan baik antara Cina-Melayu kerana orang Cina tidak mahu mematuhi perkara yang telah dipersetujui itu. Orang-orang Cina lebih terpengaruh dengan kempen Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh PAP sebelum itu yakni konsep sama rasa dan sama rata. Setelah ekonomi dikuasai, PAP juga mahukan jawatan tertinggi negara turut dibuka kepada mereka, termasuk jawatan Perdana Menteri.

Kebaikan
'Formula' Tunku ini ditentang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Dr. Mahathir mengkritik secara terbuka terhadap Tunku Abdul Rahman dengan melabelkan Tunku sebagai Chinese lover. Penguasaan kuasa ekonomi dan kuasa politik mengikut garis kaum ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, malah akan merumitkan lagi keadaan pada masa akan datang.

Hari ini, apa yang nyata, formula ini tidak boleh diterima pakai. Keadaan sudah jauh berubah dan jauh berbeza. Menurut Lee Boon Kok (temubual, 8 Januari 2007), kata-kata biarlah orang Melayu memegang kuasa politik dan orang Cina, memegangkan kuasa ekonomi sudah tidak relevan lagi.

Orang Cina mahu lebih daripada itu. Mereka bukan hanya mahukan kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik. Dengan adanya kuasa politik, barulah kegiatan ekonomi boleh berkembang dan berjalan dengan lancar.

Orang Cina tidak akan berhenti menuntut dan mendesak selagi tidak wujud konsep sama rata dan sama rasa. Melalui sistem perkongsian kuasa dengan dalam Barisan Nasional (BN), kuasa juga mereka telah perolehi, tetapi mereka terus meminta lebih kuasa.

DAP terus membangkitkan bahawa jawatan Menteri Kewangan, malah jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, perlu dibuka kepada orang Cina. Begitu juga desakan jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam.

Orang Cina terus mendesak agar jawatan-jawatan ini diberikan kepada mereka selain dibolot daripada orang Melayu. Pendek kata, apa yang dirasai oleh orang Melayu, mesti juga dirasai oleh orang Cina.

Inilah sifat kiasu atau mahu sentiasa menang yang mula bersarang pada generasi hari ini. Sifat kiasu ini adalah baik jika digunakan pada tempatnya yang betul. Tetapi dalam konteks yang berlaku masa kini, sifat ini berlaku dalam keadaan yang amat menakutkan. Sekadar mempunyai kuasa ekonomi tidak cukup, ia mesti disertai dengan kuasa politik, barulah boleh mendapat segala-galanya.

Saya tidak menafikan sumbangan orang Cina terhadap perkembangan ekonomi negara kita. Tanpa orang Cina, Malaysia tidak seperti adanya pada hari ini. Jika dicabut semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur sahaja, kita dapat lihat bagaimana hodohnya wajah Kuala Lumpur seolah-olah seperti berada pada zaman pra-merdeka.

Saya fikir semua orang mengakui bahawa orang Cina telah memberikan sumbangan yang begitu besar terhadap perkembangan dan kegiatan ekonomi negara ini.

Namun, apa yang saya persoal adalah yang melampaui batas seperti kaduk naik junjung atau seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Lihatlah realiti sejarah dan keadaan sebenarnya Malaysia.

Kita perlu ingat, keadaan di AS berlainan dengan keadaan kita. Begitulah juga dengan sejarahnya. Malaysia bukan AS dan AS bukan Malaysia. Mengambil contoh AS, adalah pemikiran ultra kiasu yang bahaya dalam politik di Malaysia. Inilah akibatnya apabila masih ramai warganegara buta sejarah, seperti mana yang disebut oleh Lian Hoe.

Lian Hoe yang tampil mempertahankan diri, mengatakan bahawa mereka yang mempolitikkan ucapannya sebagai buta sejarah dan mempunyai mentaliti kelas ketiga.

Selaku seorang pengkaji, saya terus mencari biodata Lian Hoe untuk melihat kepakaran bidang beliau. Setelah diselidiki maka barulah saya tahu bahawa beliau memiliki ijazah pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, pernah menjadi guru dan penolong kanan sekolah sebelum bergiat secara aktif dalam politik. Bermakna beliau bukanlah pakar bidang sejarah.

Sejarah
Seorang pakar adalah mereka yang mengkhusus dalam bidang diceburi dengan mendapat ijazah sarjana dan doktor falsafah. Apatah lagi bidang antara bahasa Melayu dan sejarah agak jauh berbeza. Trend buta sejarah atau sengaja membutakan sejarah mula berleluasa dalam masyarakat bukan Melayu hari ini. Dunia sudah terbalik. Golongan pakar bercakap sesuatu di luar kepakarannya. Manakala yang pakar tidak bercakap tentang kepakarannya. Ini yang disebutkan sebagai pakar atau profesor kangkung. Budaya merujuk pakar sudah tidak berlaku lagi.

Hari ini, semua orang mahu mendapatkan keuntungan politik dan menjadi jaguh, maka bercakaplah mereka walaupun terkeluar daripada bidang mereka. Dengan harapan, mudah-mudahan apa yang dikeluarkan itu dapat menambah undi dan terus memegang kuasa.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila ia disokong oleh sistem pendidikan perkauman yang tidak banyak membantu mencelikkan mereka yang buta sejarah.

Apa yang wujud adalah, yang buta sejarah terus menjadi buta. Manakala yang tidak buta, buat-buat buta, sehingga menjadikan kenyataan-kenyataan yang dihamburkan amat pahit untuk diterima oleh mereka yang faham sejarah. Apatah lagi dalam kes Lian Hoe (Gerakan), Low Tiong Lai (MCA) dan Lim Kit Siang (DAP), yang saya fikir sengaja membutakan sejarah.

Semua ini berlaku disebabkan kita gagal melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasional yang tinggi. Apa yang ada hari ini ialah rakyat yang mempunyai semangat perkauman yang amat menebal. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan perkauman yang terus- menerus dibiarkan terasing daripada arus perdana.

Secara umumnya, terdapat dua jenis kumpulan bukan Melayu di negara ini berasaskan pendidikan perkauman.

Dalam hal ini, saya hanya mengambil contoh kumpulan orang Cina sahaja yang mewakili 26 peratus keseluruhan penduduk, yakni berjumlah 6.5 juta orang, selaku majoriti kedua terbesar.

Kumpulan pertama orang Cina, mewakili 85-90 peratus, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Rata-rata berpendapat bahawa hanya sekolah Cina sahaja yang dapat mengekalkan kecinaan mereka.

Kumpulan ini kebanyakan tidak bergantung kepada kerajaan. Mereka banyak berdikari dengan menjalankan perniagaan persendirian.

Manakala selebihnya mewakili kumpulan kedua, 10-15 peratus, adalah kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary. Kumpulan kedua ini banyak mensosialisasikan diri mereka dengan persekitaran Melayu, berbanding majoriti kumpulan satu hanya mensosialisasikan diri mereka dengan kelompok Cina sahaja.

Melalui kajian yang saya lakukan, kebanyakan di kalangan mereka langsung tidak mempunyai kawan berbangsa Melayu, apatah lagi untuk bergaul antara satu sama lain. Pendek kata majoriti hidup dalam kepompong dan tempurung mereka sahaja.

Proses sosialisasi itu telah berlaku sekian lama dalam kesemua bidang, ekonomi, politik, sosial, media dan sebagainya.

Akibatnya, kita hanya berjaya melahirkan rakyat yang hidup dalam kepompong perkauman, hanya meletakkan kepentingan bangsa atau etnik di hadapan, dengan mengenepikan kepentingan nasional.

Tidakkah sepatutnya dalam sebuah negara berbilang kaum, kepentingan nasional mesti diletakkan di hadapan berbanding dengan kepentingan etnik?

KENAPAKAH setelah lebih daripada 50 tahun merdeka kita masih gagal untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang meletakkan kepentingan nasional di hadapan? Inilah perkara yang mesti dikaji dan diuji oleh pemimpin-pemimpin hari ini agar jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan atau sengaja melupakan kepentingan masa hadapan atau kepentingan negara secara keseluruhan.

Kenapakah kita tidak belajar daripada negara jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang berjaya menanamkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi kalangan rakyat mereka berbilang kaum?

Tidakkah kita belajar daripada pengalaman apa yang berlaku di Singapura? Setelah sebuah negeri Melayu terlepas kepada tangan bukan Melayu, apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu di sana? Terbelakah nasib orang Melayu? Adakah orang Melayu mendapat tempat dalam percaturan kuasa politik?

Menurut Lily Zubaidah (2001), yang membuat kajian mengenai nasib Melayu di Singapura, bahawa orang Melayu semakin tidak mendapat tempat di bawah kerajaan PAP yang diperturunkan oleh Lee Kuan Yew. Orang Melayu tidak lagi diberikan tempat seperti dahulu. Kalau adapun tempat diberikan adalah kalangan Melayu yang telah cair sifat keMelayuan dan keIslamannya.

Kepimpinan Cina di Singapura tidak lagi mempercayai orang Melayu di sana. Dengan sebab itu, mereka terus didiskriminasikan, walaupun dinafikan sendiri oleh Melayu Singapura yang mahu menjaga periuk nasi masing-masing. Namun, perilaku mereka menunjukkan segala-galanya.

Orang Melayu langsung tidak dapat tempat untuk memegang jawatan tinggi dan kritikal dalam perkhidmatan seperti ketua tentera, polis, juruterbang, imigresen dan sebagainya.

Saya begitu teruja apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong diajukan oleh wartawan persoalan akan pandangan beliau mengenai perkembangan politik di Amerika Syarikat berkaitan kejayaan presiden Barack Obama. Lebih lunak sedikit daripada bapanya, Hsein Loong mengeluarkan kenyataan bahawa satu hari nanti orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri di Singapura.

Persoalannya, bila? Sama ada ia akan menjadi realiti atau tidak hanya Tuhan yang lalu. Keadaan hari ini yang berlaku sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita bahawa proses ke arah itu masih terlalu jauh disebabkan oleh sikap ultra kiasu yang amat menebal.

Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sikap akomodasi yang tinggi. Selain daripada isu penerimaan orang Cina sebagai warganegara (Jus Soli), orang Melayu juga sanggup melepaskan sebuah negara Melayu iaitu Singapura kepada orang Cina dalam keadaan terpaksa. Namun, setelah orang Cina mendapat negara tersebut, mereka tidak pernah percaya kepada orang Melayu.

Malah menaruh syak wasangka atau persepsi yang kurang menyenangkan. Walaupun negara ini mendakwa mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa, nyata sekali diskriminasi amat jelas dan nyata terhadap orang Melayu.

Orang Cina Singapura tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Pendek kata, proses peminggiran orang Melayu berlaku dalam hampir semua aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, budaya dan sejarah (Lily Zubaidah, 2001). Saya agak hairan bagaimana Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu begitu berani menyindir Malaysia dengan mengatakan orang Cina dipinggirkan dalam arus perdana kepemimpinan negara.

Justeru, bagi saya, membandingkan Barack Hussein Obama, pemimpin kulit hitam yang berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat adalah contoh yang amat dangkal dan amat ultra kiasu. Inilah politik kotor yang sentiasa dimain-mainkan untuk mengugut kepemimpinan hari ini. Sejarah kita berbeza sejarah Amerika Syarikat.

Kejayaan Obama masih terlalu baru. Kita jangan terlalu yakin, terutamanya umat Islam yang meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap Obama menggantikan Bush yang dianggap sebagai dajal.

Jika Obama beragama Islam, saya tidak yakin beliau pergi lebih jauh sehingga setakat ini. Faktor peribadi beliau turut membantu. Beliau bukanlah dalam kategori kulit hitam tulen seperti kulit hitam di Afrika.

Ibunya adalah rakyat Amerika Syarikat berkulit putih. Cuma bapanya sahaja berkulit hitam daripada Kenya. Pendek kata, Obama adalah campuran darah kulit putih dan kulit hitam.

Salah satu sokongan yang diperolehi juga disebabkan beliau secara terang mengaku berpegang kepada agama kristian. Tidak ketinggalan, beliau mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin dan korporat-korporat Yahudi antarabangsa.

Saya bimbang umat Islam akan kecewa suatu hari nanti jika terlalu bergantung harapan kepada Obama. Tunggu dan lihat. Apa pun saya boleh katakan, jika Obama beragama Islam, berkulit hitam tulen, dan tidak bersikap lunak terhadap Yahudi, jangan harap dia boleh menjadi presiden Amerika Syarikat. Inilah sejarah politik yang mesti difahami.

Persoalan saya, kenapa DAP, Gerakan dan MCA membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat? Kenapa tidak bandingkan Malaysia dengan negeri China atau India yang lebih bersifat ketimuran? Pada saya, DAP, Gerakan dan MCA sekadar mengambil kesempatan dalam apa jua ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang selama ini tidak didapati.

Saya ajukan persoalan ini kepada mereka untuk dijawab, bolehkah Cina Muslim atau India Muslim menjadi Perdana Menteri di negara China dan India, sedangkan mereka daripada satu bangsa yang sama.

Saya memberikan jawapan terlebih dahulu, jauh panggang dari api. Justeru, membanding Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah sikap yang amat kiasu atau ultra Cina yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang telah tinggal di tanah air tercinta ini sekian lama.

Saya masih beranggapan baik bahawa orang Melayu boleh atau akan menerima orang Cina sebagai perdana menteri atau timbalan, jika orang Cina itu beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu termasuk, fasih berbahasa Melayu dan lain-lain lagi.

Kenapa hari ini orang Melayu masih agak berat hati untuk menerima orang bukan Melayu untuk diletakkan pada hierarki yang tertinggi dalam kepemimpinan negara dan organisasi? Berbanding dengan kenapa rakyat Thai boleh menerima Thaksin sebagai ketua negara mereka suatu ketika dahulu walaupun Thaksin mempunyai darah keturunan Cina yang amat ketara? Jawapannya, kerana Thaksin beragama Buddha, sama seperti orang Siam yang lain.

Perawakan Thaksin tidak lagi kelihatan sebagai orang Cina, tetapi lebih Siam daripada orang Siam. Thaksin mempunyai semangat patriotisme Thai yang amat tinggi. Sebab itu Thaksin berjaya. Namun keadaan di Malaysia begitu jauh berbeza, majoriti bukan Melayu langsung tidak mahu dikaitkan atau diasimilasikan langsung dengan budaya dan cara hidup orang Melayu. Dengan sebab kebudayaan kebangsaan gagal mencapai matlamatnya.

Persoalan saya kepada MCA, Gerakan dan DAP, berapa ramai orang Cina hari ini yang boleh menguasai bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu dengan baik? Berapa ramai wakil-wakil rakyat Cina sanggup memakai songkok atau baju Melayu ketika ada majlis rasmi seperti persidangan Parlimen? Inikah sikap Perdana Menteri yang kita mahukan? Jika inilah sikap yang ditonjolkan, jangan harapkan mereka mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.

Hari ini seolah-olah amanat Tunku dan Cheng Lock sudah tidak relevan lagi. Orang Cina tidak hanya menuntut kek ekonomi dan kek kuasa yang lebih besar. Majoriti mereka berpendapat bahawa DEB sudah tidak relevan lagi. Lupakah kita kepada bumiputera Sabah dan Sarawak? Tidakkah mereka lebih berhak untuk menuntut? Seperti mana tuntutan mereka agar jawatan Naib Presiden UMNO hendaklah diperuntukkan kepada bumiputera UMNO Sabah?

Saya cukup bersetuju dengan idea ini, agar politik kita tidak mengkesampingkan Sabah dan Sarawak yang telah dijemput menyertai Malaysia sekian lama. Kita sedia maklumkan bahawa keadaan di sana masih kurang membangun jika dibanding dengan Semenanjung.

Justeru, jika tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional atau jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam, diajukan kepada kerajaan, yang lebih berhak mendapatkannya adalah bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya yang lain.

Inilah hakikat politik berunsurkan keadilan yang perlu dikaji dan dinilai dengan serius oleh bukan Melayu. Keadilan bukan bermakna sama rata sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Apakah yang dimaksud konsep adil dalam konteks bumiputera Sabah dan Sarawak. Pertama, mereka bukan pendatang.

Kedua, mereka dijemput menyertai Tanah Melayu seterusnya membentuk Malaysia. Ketiga, keadaan di sana masih mundur berbanding Semenanjung. Keempat, kemiskinan tegar di sana masih begitu banyak berbanding dengan Semenanjung dan sebagainya.

Sebenarnya, banyak lagi faktor yang boleh diberikan. Justeru, saya percaya, mesti ada rasionalnya kenapa kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masih mahu DEB terus disambung semula dalam versi baru. Mungkin sudah ada kesedaran bahawa, ia perlu dilaksanakan secara lebih telus agar mereka yang benar-benar layak sahaja yang dibantu, bukannya memperkayakan segelintir kroni dan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini.

Matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Kita perlu mengambil pengajaran kata-kata seorang pengkaji barat seperti Leon Comber (2007) yang menegaskan, jika semangat DEB diamalkan sejak dulu, tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Tetapi adalah jelas bahawa semua ini banyak bergantung kepada cara bagaimana dasar itu ditafsirkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia. Era selepas DEB dilaksanakan menandakan titik permulaan dalam lipatan sejarah perhubungan Melayu-Cina.

Sementara bagi orang Cina pula, sebaik sahaja DEB diwujudkan, isu ini terus menjadi fokus utama dan perbahasan hangat tanpa kesudahan. Kebanyakan tulisan penyelidik dan cendekiawan Cina (Kua Kia Soong, 1990, Thock Ker Pong, 2005, Ye Lin-Sheng, 2005 dan lain-lain) banyak mengkritik DEB, apatah lagi apabila tempohnya telah tamat. Jarang yang mahu melihat kebaikan yang diperolehi daripada dasar ini, walaupun tidak dinafikan kelemahannya akibat tidak diuruskan dengan jujur ikhlas.

Menurut Faaland (2005: 165-166), daya pendorong umum sikap orang Cina terhadap DEB, seperti dibayangkan oleh parti-parti politik mereka iaitu, DAP, MCA dan Gerakan, adalah amat jelas sekali.

Meskipun ada kelainan dari segi perinciannya, mereka menyokong objektif pembasmian kemiskinan DEB, kerana ini akan turut memberi manfaat kepada orang Cina yang miskin di kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di Kampung-Kampung Baru, di mana terdapat orang Cina yang berada dalam kemiskinan tegar.

Tetapi kebanyakan daripada mereka lebih suka merobohkan objektif penstrukturan semula DEB. Objektif ini dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan tidak adil. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dianggap menjadi penyebab kepada penghakisan kepentingan masyarakat Cina (Thock Ker Pong, 2005: 89).

Perlu ditegaskan, DEB memang tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. DEB adalah daging UMNO. UMNO dan DEB tidak banyak bezanya. Justeru, memansuhkan DEB samalah seperti memansuhkan UMNO kerana DEB ibarat anak UMNO (Faaland et al, 2005: 184).

Sama juga seperti menghapuskan sekolah Cina seolah-olah mahu menghapuskan orang Cina. Jika DEB anak UMNO, maka Sekolah Cina adalah anak orang Cina. Perjuangan mempertahankan Sekolah Cina adalah hidup mati orang Cina (Lee Boon Kok, temu bual 7 Januari 2007).

Keadaan menjadi semakin rumit apabila sistem pendidikan sebegini terus terbawa-bawa sehingga peringkat institusi pengajian tinggi. Sekolah Cina telah berkembang menjadi Universiti Cina. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) dan banyak IPT Cina yang lain.

Mengikut statistik yang saya perolehi, hampir seratus-peratus pelajar di IPT tersebut adalah orang Cina. Ini tidak termasuk Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (AIMST) yang dipunyai oleh MIC dan tuntutan yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik bumiputera Sabah dan Sarawak.

Benar, saya tidak nafikan bahawa universiti-universiti yang disebutkan tadi, mengamalkan dasar terbuka untuk sesiapa sahaja memasukinya.

Tetapi oleh kerana trade mark itu adalah sebuah universiti Cina, adalah sukar untuk menarik bangsa lain untuk memohonnya.

Justeru, rakyat Malaysia mesti bertindak berasaskan prioriti bukan emosi. Membanding keadaan Malaysia dengan keadaan Obama di Amerika Syarikat adalah sifat ultra kiasu yang mesti dijauhi.

Apa yang penting ialah rakyat Malaysia mesti berfikir berasaskan kepentingan berikut: (i) meletakkan kepentingan nasional di hadapan berbanding kepentingan etnik, (ii) mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan bangsa, (iii) mengutamakan kepentingan masa depan, berbanding kepentingan masa kini, dan (iv) mengutamakan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara.

Semua kepentingan yang diperjuangkan mesti berpandukan kepada sejarah negara, kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui secara bersama, bukannya mengikut emosi dan rasis etnik masing-masing.

0 comments