oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin ( www.danialzainalabidin.com )

Allah tidak pernah menghina atau memuliakan makhluk-makhluk-Nya berdasarkan jantina. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya kepada Allah. Berhubung dengan ini, di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman: “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu”.

Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba Allah. Jika seseorang wanita beriman dan beramal salih dia diganjari Allah dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Ali-Imran ayat 195 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain”.

Islam tidak mengizinkan wanita dikotak-katikkan dan dizalimi oleh golongan lelaki. Dalam surah an-Nisaa ayat 19, Allah menegaskan, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata”.

Para suami diperintahkan Allah supaya menjaga isteri-isteri mereka dengan baik dan tidak menjadikan isteri-isteri seperti bola yang boleh ‘ditendang’ ke sana ke mari. Jika si isteri mempunyai kelemahan, si suami juga mempunyai kelemahan. Allah menyuruh si suami melihat kebaikan yang banyak yang ada pada isteri dan tidak hanya memfokuskan kepada satu dua kelemahan yang ada. Hal ini disebutkan dalam surah an-Nisaa ayat 19, “Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.

Berhubung dengan wanita dijadikan daripada tulang rusuk, dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan dari tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang di bahagian teratas. Jika kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan jika kamu biarkan saja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)”.

Adakah ayat ini bermaksud kaum wanita benar-benar dijadikan Allah daripada tulang rusuk kaum lelaki? Sebenarnya, dalam al-Quran Allah menyatakan dengan jelas bahawa manusia sebenarnya berasal daripada nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah al-Haj ayat 5 Allah berfirman, “Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) Kami telah menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nutfah.”.

Dalam surah an-Nisaa ayat 1 pula Allah berfirman, “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai”.

Berhubung dengan ayat ini, Abul A`la al-Mawdudi berkata dalam The Meaning of The Quran ( jilid 2 hal. 94), “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza daripada apa yang sering difahami. Oleh itu, yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan tidak perlu membuangkan masa bagi mencari perinciannya”.

Oleh kerana kenyataan al-Quran berhubung kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak boleh mencanggahinya. Justeru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak boleh ditafsirkan dalam bentuk yang mencanggahi al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya tentang asal usul kejadian wanita sebaliknya tentang kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik.

Justeru, dalam kitab Riadus Salihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qartubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk”. Dia bukan dicipta daripada tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam keadaan bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya justeru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia akan menghadapi masalah. Demikianlah juga dengan kaum wanita, tanpanya kehidupan tidak akan sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semula jadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza daripada kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semula jadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama dengannya untuk mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadangkala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Justeru Islam tidak menghina kaum wanita dan wanita tidak Allah jadikan daripada tulang rusuk lelaki.

0 ulasan