oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Rasuah ialah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudaratan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan.

Dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba mengatakan bahawa "Ini bukan rasuah, tetapi upah."

Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan al-Quran dan Hadis.

Allah (SWT) berfirman :
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah : 188)

Disebutkan dalam Hadis :
"Rasulullah S.A.W telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)." (Riwayat al-Tirmizi)

Takrif Rasuah dan Sogokan.

  • Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpamanya.

  • Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.

  • Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya, atau sebahagian daripadanya.

  • Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.

  • Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

  • Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada sudah dimulakan atau tidak, dan termasuk menggunakan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.

Beberapa bentuk kesalahan rasuah secara umum :

  • Meminta / Menerima Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.

  • Menawar / Memberi Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.

  • Membuat Tuntutan Palsu. Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada prinsipal / majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan dengan tujuan untuk mengeliru / memperdayakan prinsipal / majikannya.

  • Menyalahguna Jawatan / Kedudukan. Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan agar membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara-maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

Bagi sesiapa yang bekerja di sektor perniagaan dan politik terutamanya, saya berpendapat tidak sukar untuk menemui atau mendapati salah satu antara empat kategori tadi berlaku. Ingatlah sekali lagi beberapa penekanan islam berikut :

1. Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)." (Riwayat Abu Daud)

2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan untuk mengutip zakat daripada kabilah Azad. Maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian daripada wang yang dikutip sambil berkata:

"Ini untukmu (bahagian untuk islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)." Maka Baginda murka sambil berkata: "Ketahuilah, pergilah kamu duduk dirumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W, mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah S.A.W telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua, separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah : "Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih daripada separuh." Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi ! Demi Allah, kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu ialah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya !"

Mendengar jawapan tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak !" (Imam Malik, Al-Muwattha : 1450)

4. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur." (Riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, tidak kira sama ada itu ialah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya jelas haram di dalam islam.

Semua harta yang diperolehi daripada jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini pasti akan kehilangan peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat mereka, akibat makan, minum, pakai mereka datang daripada sumber kotor sebegini.

0 ulasan