oleh Ustaz Amin ( www.ustazamin.com )

Ketika Rasullullah s.a.w terasa berat di dalam menyampaikan risalah dakwah, Allah menurunkan ayat mengenai sejarah umat terdahulu yang juga mendustakan nabi-nabi mereka. Ia menyuntik semangat pada Nabi.

Allah menceritakan sejarah kedurhakaan umat terdahulu untuk menjadi iktibar kepada umat akhir zaman ini seperti sejarah kemusnahan kaum Lut.

Allah menceritakan sejarah kehebatan umat terdahulu yang beriman untuk menaikkan semangat umat Islam akhir zaman seperti kisah Ashabul Ukhdud.

Allah ceritakan kisah kekerasan kaum Yahudi untuk kita tahu bagaimana kerasnya bangsa ini jika tidak beriman.

Rasullullah s.a.w menceritakan sejarah terhapusnya kaum Madyan, kaum Nabi Salleh untuk menjadi iktibar bagaimana kedurhakaan akan menyebabkan kesengsaraan.

Para muslimah dari golongan Tabi’in, mendodoikan anak-anak mereka dengan kehebatan sejarah perjuangan Nabi dan para sahabat. Akhirnya generasi ini dapat menyebarkan Islam ke kawasan yang lebih luas lagi seperti terbukanya kota Andalusia.

Orang Yahudi memberi syarat bantuan kepada Raja Jordan agar tidak mengajarkan sejarah kejahatan Yahudi kepada generasi muda, akhirnya, anak-anak muda Jordan lebih menganggap Israel itu sahabat berbanding dengan sahabat seislam dari Iraq dan Palestin sendiri.

Di dalam dunia ini, subjek jihad, sejarah dan perbahasannya telah digugurkan dari silibus universiti kecuali universiti al-Azhar. Itu pun pihak Amerika memberi tekanan pada Mesir supaya menggugurkan subjek itu dari diajarkan kepada umat Islam. Mujurlah Universiti al-Azhar tidak sepenuhnya di bawah kerajaan Mesir. Akhirnya, kita umat Islam tidak tahu apa sebenarnya jihad dan ada yang salah mentafsir hingga menyatakan bahawa jihad adalah semata-mata membunuh.

Pihak penjajah menyembunyikan sejarah sebenar Tok Janggut dan Dato’ Bahaman hingga perjuangan mereka dianggap sebagai pemberontakkan.

Penjajah membawa balik segala manuskrip orang Melayu supaya orang Melayu tidak mengenal diri mereka. Akhirnya, mereka merasa rendah diri dan tiada jati diri.

Mereka menanamkan bahawa orang Melayu orang yang lemah, tidak bermaya, tiada sejarah, tiada jati diri. Akhirnya, berapa ramai orang Melayu yang mempercayai bahawa mereka golongan orang yang lemah dan tidak bermaya.

Mereka menyembunyikan bagaimana pahlawan Melayu berjuang dan syahid di dalam mempertahankan bumi Melayu.

Tidak ramai orang yang tahu perjuangan Sultan Sulaiman di Filipina, Sultan Kudrat menentang Spanyol. Pejuangan orang Melayu Brunei yang menghambat keluar De Sande, panglima Spanyol. Tidak ramai yang tahu bangsa kita bangsa penulis hebat dan pelayar yang hebat.

Kita hanya dapat tahu sejarah kita melalui mereka. Kita hanya dapat tahu sejarah kita setelah beberapa manuskrip ditemui. Lihatlah bagaimana sejarah telah disembunyikan untuk melemahkan jati diri orang Melayu.

Portugis, Spanyol dan Belanda bersama-sama mengganyang, cuba menghapuskan Islam di Nusantara. Slogan 3 G (Glory, Gospel, Gold) (kemenangan, kristian, kekayaan) diterapkan.

Mereka mendapat kemenangan di banyak tempat (glory), mereka dapat membawa balik kekayaan Nusantara (gold), tetapi yang mereka tidak berjaya ialah mengkristiankan orang Melayu (gospel).

Mereka bawa balik manuskrip kita, mereka hapuskan dan sembunyikan, tetapi tetap tidak berjaya mengkristiankan bangsa Melayu. Selama empat kurun mereka mencuba tetapi tetap gagal.

Kemudian, mereka cuba hapuskan 3 serambi Mekah yang ada di Nusantara ini, Acheh diganyang, Pattani diganyang dan Kelantan juga cuba dihapuskan.

Tetapi juga tidak berjaya. Apa yang ada pada bangsa kita ini. Kenapa begitu payah ingin dilenyapkan. Ini yang menarik minat mereka mendalami masyarakat Nusantara.

Sesungguhnya, jati diri Melayu terletak pada Islam. Sebab itu, barang pertama yang mereka cuba sembunyikan ialah kedatangan Islam ke sini. Mereka kata kita mendapat Islam lambat dan hanyalah “second hand" iaitu bukan dari Arab tetapi dari India dan China. Jika benar dari India kenapa tidak ada seorang pun orang Melayu yang bermazhab Hanafi.

Saya sempat membetulkan beberapa pandangan yang masih menganggap bangsa Melayu bangsa picisan, layu, lemah dan sebagainya. Inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanamkan pada pemikiran bahawa bangsa Melayu tiada jati diri.

Saya mengatakan bahawa bangsa Turki pernah menjadi bangsa rendah. Imam Ghazali sendiri pada zamannya pernah menulis bahawa bangsa Turki bangsa yang tidak bertamaddun. Tetapi dengan Islam mereka menjadi bangsa yang kuat dan pernah memimpin dunia.

Keunikan bangsa Melayu ialah ia adunan dari bangsa seluruh dunia. Dalam bangsa Melayu ada acuan Arab, Inggeris, China, India, Turki, Negro dan sebagainya. Jika benar Nusantara bakal menjadi tapak kuatnya Islam, maka Melayu adalah satu bangsa dari acuan seluruh umat Islam. Kebangkitan Melayu bermakna kebangkitan Islam keseluruhannya.

Ini yang ditakuti oleh musuh Islam. Mereka terus mengkaji dan mengkaji untuk memberikan teori-teori tentang tiada jati dirinya bangsa Nusantara ini. Dan ada golongan yang akan terus mempercayainya.

Syabas kepada kita yang semakin memahami mengenai bangsa adunan ini. Sesungguhnya, kita mempelajari sejarah bukan untuk membuang masa, kita mempelajari sejarah untuk mencipta sejarah.

Jika tidak generasi ini, maka generasi akan datang akan kita dodoikan dengan semangat perjuangan ini. Agar, bangsa Nusantara akan bersama-sama dengan bangsa lain di dalam arus kebangkitan Islam.

2 ulasan

  1. kelisa_samudera // 2 Oktober 2009 pada 2:42 PTG  

    blog yang banyak ilmu yang bermanfaat. izinkan saya link dengan blog saya. terima kasih.

  2. Humaira // 2 Oktober 2009 pada 6:35 PTG  

    Silakan...