oleh Hamka ( www.keretamayat.blogspot.com )

Satu hari seorang majikan menyuruh pekerjanya bertolak ke luar negara selama setahun, atas urusan kerja, dan mesti bertolak segera esok pagi. Pekerja itu meminta ditangguhkan untuk bertolak selama beberapa hari bagi membolehkan ianya membuat persiapan. Majikan itu membenarkan pekerja itu balik dan membuat persiapan selama beberapa hari.

Malaikat maut diperintahkan untuk menjadikan korang mayat selama-lamanya, tapi korang mintak ditangguhkan selama beberapa hari bagi membuat persiapan.
Nota: malaikat maut tak layan ‘surat menyurat’.

Kerana itu ada mayat yang ditemui dalam berbagai-bagai keadaan.

Ada Mayat yang nasi penuh nasi kat mulut.

Ada Mayat yang tengah mandi.

Ada Mayat yang baru nak bersarapan.

Ada Mayat yang sedang bersetubuh.

Ada Mayat yang sedang memasak.

Ada Mayat yang sedang baca blog.

Macam-macam mayat ada - (sila rujuk bilik mayat)

Untuk pengetahuan korang semua :
-Korang akan rasa best menyambut hari raya apabila korang dah buat persiapan sebulan sebelum raya dengan berpuasa, buat kuih, tempah baju dan lain-lain.

-Korang akan rasa best giler menjadi ‘raja sehari’ bila korang buat persedian berbulan-bulan dengan tempah baju, hias rumah, itu ini bla bla bla...

-Korang akan menjawab soalan peperiksaan dengan girang dan gembira seperti ‘enjin yang baru di servis’ apabila korang dah buat persedian sejak hari pertama pembelajaran.

-Korang akan rasa best giler menjadi mayat bila korang buat persedian seumur hidup untuk menjadi mayat yang soleh.

Adakah korang bersedia menjadi mayat besok pagi?

Dah buat persiapan? (Alhamdulillah)

Hari ini, aku nak bercerita mengenai persediaan.

Biasa kita tengok orang buat persediaan yang hebat-hebat just nak sambut hari raya, kahwin, bertunang, bla bla bla… tapi ada korang tengok orang buat persedian besar-besaran untuk menyambut hari menjadi mayat? Kenapa takde? Sebab semua orang fikir lambat lagi jadi mayat. Cubalah kalau dengan izin Allah, korang boleh interview mayat, apa yang mayat akan jawab?

Oh.. saya baru habis belajar PHD, tak sempat kerja lagi dah jadi mayat…

Oh.. saya baru kahwin, tak sempat buat ‘itu’ lagi dah jadi mayat…

Oh.. saya baru beli kereta, tak sempat naik lagi dah jadi mayat…

Oh.. loan saya baru lulus, tak sempat guna lagi dah jadi mayat…

Oh.. saya baru di lahirkan ke dunia ini, tak sempat baligh lagi dah jadi mayat…
Oh.. oh.. (macam tru calling)

Baru ? (dah lama dahhhhh..)

Tempat pertama yang korang dan aku akan pergi lepas jadi mayat adalah KUBUR, selamat kat sini maka selamatlah akhirat kelak insyaAllah!

Cerita benar.
Mamat : Hamka, ada tak azab kubur?

Aku : Takde, kalau kau orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Mamat : Tapi, ada pendapat mengatakan, bukankan orang yang jahat akan di azab kat akhirat, mengapa perlu di azab dalam kubur.

Aku : Engkau tak pernah tengok rancangan bersamamu tv3 tak? Bukankah ada orang kapir yang susah kat dunia ni, sedangkan mereka mati masuk neraka? Kenapa? Kerana langsung tak susah bagi Allah untuk buat apa-apa pun! Langsung!

Mamat : Tapi…

Aku : Dah-dah cukup mamat, senang macam ginilah, kau tutup lubang hidung dan mulut kau selama beberapa minit sehingga kau jadi mayat… dah jadi mayat nanti kau pergilah tanya malaikat Mungkar dan Nakir, ada tak azab kubur?

Sekian sebuah cerita kisah benar, sambung balik..

Aku nak bagi korang 3 perkara, soalan, jawapan, dan cara nak menjawab.

kalau tak ‘lulus’ jugak tak tahulah.. nauzubillah..

Apa-apa pun aku tuju nasihat ni kat diri aku sendiri sebanyak 99 peratus dan 1 peratus kat korang semua yang aku kasihi.

Nota : Aku bukan ustaz dan tidak bertauliah, segala maklumat yang tidak betul boleh di kesampingkan dan yang baik harap dapat di guna pakai. Sesiapa yang tak suka baca blog yang berunsur ‘mengajar’ boleh pergi blog lain. Contoh : blog cerita lucu ha ha ha.

SOALAN SATU :

SIAPA TUHAN KAMU?

Semua orang islam boleh jawab : Allah.
Tapi bolehkah menjawab yang benar bila di tanya oleh malaikat Mungkar nanti?

Aku nak soal korang, Apabila berlaku ‘kejutan’ apakah perkataan yang keluar dari mulut korang?

Mencarut?

Mencela?

Memaki?

Aku hairan sungguh, bila lelaki melatah disebutnya, ‘alat kelamin wanita’, sedangkan dia lelaki. Wanita pulak bila melatah disebutnya, ‘alat kelamin wanita’ juga. (ni banyak terjadi kat terengganu, negeri lain aku tak tahu dan aku tak nak buat kajian kerana menyahut kempen budi bahasa ha ha ha)

Satu lagi aku nak soal korang, sebelum ‘jatuh’ tidur, apakah perkara yang terakhir sekali korang fikir/ingat? : Allah? awek? kereta? rumah?, makhluk lain?…

Sekiranya korang fikir makhluk lain, maka itulah hakikat sebenar hati korang, apa yang ada dalam hati korang isk…

Tanya lagi : Apakah perkara pertama yang korang ingat bila bangkit dari tidur? : Allah? awek? Final exam? Isk.. itulah apa yang bertakhta di hati korang.

Dan bimbang-bimbang bila malaikat maut datang ambil nyawa korang, bukan perkataan Allah yang terpancul dari mulut korang isk… orang yang menyebut selain Allah ketika nak mati, maka tiada jaminan shurga untuknya. (Ya Allah, peliharakanlah kami)

Satu cerita : Seorang tok guru ada bela (pelihara) seekor burung cakmalakuba (gembala kerbau) guru ni ajar burung lafaz : Allah! Allah!

Maka pandailah burung ni sebut : Allah! Allah!

Satu hari burung ni mampus di makan kucing, tok guru menangis. Anak murid nasihat tok guru tak payah menangis, kita orang boleh cari burung lain yang lebih ‘best’.

Tok guru berkata, Aku menangis bukan kerana meratapi kematiannya. Tadi ketika si kucing menerkam/membahamnya, aku dapati dia menjerit, “kuakkkk!, Kuakkk!” suara burung, lafaz yang datang dari hatinya. Bukan lafaz, Allah! Allah!, aku takut, kalimah Allah yang aku lafazkan hari-hari ini hanya meniti dibibir sahaja dan bila malaikat maut datang kelak, aku takut lafaz lain yang terpancul di mulutku. oh… uhuk… uhuk…(hingus berleluasa di hidungnya)

Moral : Korang dan aku kena banyak sebut Nama Allah, Puji Allah, fikir Kehebatan Allah, lihat Kebesaran Allah agar Kehebatan Allah meresap ke dalam hati dan mengalir dalam setiap gerak darah, urat saraf, mudah-mudahan di akhir kalam dapat ucap :

LA ILA HAIL L-ALLAH… atau ALLAH! (amin)

SOALAN KEDUA :

SIAPA NABI KAMU?

Apa-apa pun korang semua dah tahu jawapanya adalah : NABI MUHAMMAD S.A.W.

Nanti dalam kubur, malaikat akan gambarkan Nabi kat depan kita dan tanya, “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepadamu?” (Aku dengar sajak ‘sakaratul maut’ cakap macam ni)

Kata ustaz : Orang yang tak amal sunnah Nabi, tak dapat kenal Nabi dan Nabi pun tak kenal ummat dia yang tak amal sunnah Nabi.

Jadi aku soal balik : Berapa banyakkah antara kita yang dah amal sunnah Nabi?

Satu peristiwa di padang masyar, Nabi akan bagi minum air yang mana sesiapa minum air ini tidak akan dahaga buat selama-selamanya, Nabi bagi dengan tapak tangannya yang mulia kepada umatnya air dari telaga kausar, tiba-tiba satu golongan ditahan oleh malaikat walaupun tangan dan mukanya bercahaya-cahaya kesan wudhu yang sempurna, bila nabi tanya malaikat, kenapa tahan? mereka kan umat aku?, malaikat jawab mereka menolak sunnahmu. Maka Nabi pun halau mereka sebanyak 3 kali dan sekali Nabi halau mereka, malaikat heret *sejauh mata memandang dan kalau nabi dah tak ngaku umat, syaitan lah pulak akan mengaku mereka tu umat dia (na’uzubillah)

*sejauh mata memandang = bintang yang 4 tahun cahaya pun nampak. Oh.. betapa jauhnya..

Sunnat : buat dapat pahala banyak, tak buat rugi.
Sunnah : buat dapat pahala banyak, tak nak buat, Nabi tak mengaku ummat.

Satu lagi cerita:
Zaman Nabi Musa a.s. Ada seorang pelawak ‘yoyo’ namanya, kerjanya buat lawak, bila firaun sedih dengan kehebatan nabi Musa a.s. maka pelawak ni telah buat lawak dengan memakai pakaian macam nabi musa, bertongkat macam nabi musa, dan pakai janggut palsu tiru nabi Musa a.s. Kemudian ajuk percakapan nabi Musa (nabi Musa bercakap agak gagap kerana waktu kecil makan bara api), satu istana gelak dengan ‘lawak mayat’ mamat nih, sampai firaun pun ketawa sama… pendekan cerita bila firaun dan tenteranya musnah dalam laut, Allah telah selamat kan pelawak ‘yoyo’ ni?, tanya nabi Musa pada Allah, kenapa selamatkan dia, dia bukan pengikutku? Allah berfirman (lebih kurang) “Aku tak akan menghancurkan orang yang mengikut sunnah mu”, akhirnya pelawak ‘yoyo’ dapat hidayat…
Tengok orang yang amal sunnah nabi walaupun dengan niat mempersendakan Allah bagi hidayat… macam mana kalau korang buat betul-betul.

Biar betul, biar betul-betul
Nanti tak payah nak di perbetul
Dah memang betul
Baru betul…!

Cerita bab Sunnah :

Sunnah terbahagi kepada 3 :

1- Surah (penampilan) contoh : janggut, serban, celak, minyak wangi dan lain-lain.

2- Sirrah (perjalanan@cara hidup) contoh : solat jemaah, kahwin, masuk tandas, makan, tidur dan lain-lain.

3- Sarirrah (pemikiran) contoh : nabi menangis kenangkan umat... rungsing, risau, bimbang umat...

Apa nabi fikir?
Nabi fikir macam mana semua orang dapat masuk syurga dan selamat dari azab api neraka, kita kena belajar benda-benda nih, kita kena fikir macam mana semua orang lelaki dapat solat jemaah 5 waktu, semua wanita tutup aurat sempurna, semua kanak-kanak taat perintah ibu bapa, semua isteri taat perintah suami, semua perempuan solat awal waktu, wujud suasana ugama yang mana lelaki jumpa lelaki cakap kebesaran Allah, wanita jumpa wanita cakap kebesaran Allah, kanak-kanak jumpa kanak-kanak cakap kebesaran Allah. Fikir macam mana bayi yang paling akhir zaman pun dapat ucap kalimah Tauhid. Boleh, insyaAllah?

Sekarang cuba kita fikir-fikirkan, Berapa ramai dari kita yang merasa jijik dengan ciri-ciri wajah nabi di wajah kita? Berapa ramai yang dipagi hari mencukur janggut dengan anggapan dengan tidak berjanggut adalah lebih hensem dari berjanggut? Berapa ramai yang memperleceh solat berjemaah sedangkan itu sunnah Nabi yang sangat besar? Bolehkah jawab soalan malaikat Mungkar nanti? Siapa nabi kamu? Oh…

Oh… oh…
(lagu latar)

“Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela”

SOALAN KETIGA :

DIMANA KIBLAT KAMU?

Selamba korang jawab, kaabah kiblatku.
Aku nak tanya, bila orang Azan mana dada korang menghadap?

Kaabah?

TV?

Awek?

Ha! Itulah sebenarnya ‘kiblat’ korang!

Bila time azan korang pun pergi kedai makan, itulah ‘kiblat’ korang (walaupun kedai itu menghadap kiblat!)

Ingat! salah jawab, kena azab kat malaikat Nakir, satu jurus serangan akan menenggelamkan korang sedalam tujuh hasta. argh… aduh, sakitnyerr… isk…
Lepas tu tumbuh balik anggota korang yang rosak tu… sakit…

Cuba korang tengok orang yang jatuh motor dan patah kaki kanannya (prak!!!) sakit bukan?, pergi jumpa tok mudim, dan tok mudim betulkan balik, (prakkkkk!!!!) sakit jugakkan?

Begitulah kat dalam kubur.

Kena pukul : sakit,
Sembuh balik : pun sakit!

(lagu latar)

“Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya

Kami sembahyang limalah waktu
Siang dan malam sudahlah tentu
Hidup dikubur yatim piatu
Tinggalah seorang dipukul dipalu

Dipukul dipalu sehari-hari
Barulah dia sedarkan diri
Hidup didunia tiada berarti
Akhirat disana sangatlah rugi”

(Ya Allah, selamatkanlah aku dari azab kubur)

SOALAN KE EMPAT :

APAKAH PETUNJUK KAMU?

Korang nak tahu apa jawapannya, Nabi tinggalkan dua petunjuk, iaitu al-Quran dan ‘mayat’ (maut)

Selamba je korang jawab : al-Quran petunjukku!

Bagus!, aku nak soal : seharĂ­ berapa kali baca al-Quran?

Oh.. aku cakap kat aku sendiri nie.. oh… isk…

Sangat bagus kita orang islam nih (macam mak nenek aku ni, nasihat korang panjang berjela ha ha ha) baca Yassin di pagi hari dan surah sejadah, Al-Mulk di malam hari sekurang-kurangnya!

(Ya Allah, pilihlah aku baca al-quran setiap hari)

Dan korang tahu tak apakah hak al-Quran?

Korang dan aku kena habiskan baca al-Quran 2 kali setahun sekurang-kurangnya!

Baca blog, akhbar, novel, komik hari-hari boleh, al-Quran? (oh.. aku dah dua kali khatam komik drogonball.. oh!.. isk.. umat menderita membuang masa)

(Ya Allah, pilihlah aku dan korang baca al-quran habis! 2 kali setahun sekurang-kurangnya. Amin)

SOALAN KELIMA

SIAPAKAH SAUDARA KAMU?

Argh.. dah panjang sangat nie.

Senang cakap : jiran 40 kiri, kanan, 40 atas, bawah(jika rumah flat) korang kena ziarah dan ajak mereka yang tak ke masjid dengan hikmahnya. Semua orang islam adalah saudaraku… semua kena jumpa!

Soalan cepu emas : Siapakah nama jiran anda?

Kalau tak dapat jawab soalan ni… tak tahulah apa aku nak kata, (mengeluh)
Antara tanda akhir zaman, jiran saling tidak kenal mengenal.

Atau paling kurang : BAGILAH SALAM BILA BERJUMPA DENGAN ORANG ISLAM WALAUPUN KORANG TAK KENAL.

CONTOH : ASSALAMUALAIKUM…. (aku tak kenal korangpun, tapi selalu bagi salam, amacam? beriman tak aku? Ha ha , Bukankah korang semua saudaraku?)

Mamat kata : tapi Hamka, betul ke ada azab kubur? Cuba bagi dalil dan nas sikit!

Aku kata : Oii mamat! Aku bukan ustaz, pergilah rujuk ustaz.

Sebenarnya aku nak kata : Kau ni manusia ke badak?
Kalau kau manusia, kau tak dapat dengar azab kubur sebab Allah hanya benarkan binatang sahaja yang dengar azab kubur!, tapi jika kau badak, kau memang tak dapat dengar sebab kau adalah PEKAK BADAK! (tapi aku cakap dlm hati je nie)

Ps : Sesungguhnya berdebat akan menggelapkan hati. Hanya mayat yang mengerti tentang kehidupan kubur.

oleh Fatimah Syarha Noordin


Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.

Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!

Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumahtangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.

Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang dibina. Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.

Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,

Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau bekerja atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.

Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah... Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya Rm1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain?

Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:

"Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah maha luas pemberian-Nya lagi maha mengetahui." (An-Nur: 32)

Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?

Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: "Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.: "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa,

Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab,

Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda: "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khibah (pertunangan)

Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.

Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya." (Riwayat Ahmad)

Oh, kaum Hawa!

Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!

Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah." (Riwayat Bukhari)

oleh Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid - Pensyarah di UIAM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) & Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab juga di UIAM. Sedang menyambung pengajian peringkat PHD di Universiti Malaya (UM).

Kebahagiaan keluarga merupakan tunjang bagi kejayaan seseorang. Melalui keluarga akan nanti melahirkan ulama, cendiakawan, usahawan atau pimpinan yang unggul.

Suami dalam keluarga memainkan peranan penting dalam memimpin seisi keluarga. Melalui kepimpinan suami itulah mempengaruhi kejayaan dan kebahagiaan sebuah keluarga.

Bagaimanakah ciri-ciri suami yang berjaya?

Bagi menjawab persoalan ini kita perlu menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang berjaya malah Baginda mempunyai ciri-ciri suami idaman seluruh wanita.

Ciri-ciri tersebut termasuk:

1- Menyayangi isteri dengan sepenuh hati

Rasulullah s.a.w. menyayangi Khadijah r.a. dengan sepenuh hati kerana isterinya merupakan satu nikmat Allah terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda amat menyayanginya kerana:

  • Khadijah tinggal bersama Baginda selama suku abad dan mereka sama-sama merasai saat-saat suka duka.
  • Dia membantu Baginda ketika suasana yang getir dan sukar.
  • Dia sama-sama membantu Baginda menyebarkan risalah Allah.
  • Dia menyertai Baginda dalam jihad menegak agama Allah.
  • Dia mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya.
  • Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 6/118)

2- Romantik

Rasulullah s.a.w. juga merupakan seorang yang romantik. Bagaimana romantiknya Rasulullah?

  • Tidur bersama isteri dalam satu selimut - Daripada Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a., selalu mandi bersama dalam satu bekas. Dan pernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah,” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.” (Riwayat Sa’id bin Manshur)
  • Saling memakaikan wangian - Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda akan memulai dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Ibnu Majah)
  • Mandi bersama isteri - Daripada Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).” (Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
  • Minum menggunakan bekas yang sama - Daripada Aisyah r.a. dia berkata, “Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.” (Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)
  • Membelai isteri - “Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di sana.” (Riwayat Ahmad)
  • Mencium isteri - Daripada Hafshah, puteri Umar r.ha. : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Riwayat Ahmad)
  • Berbaring di pangkuan isteri - Daripada Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.” (Riwayat Abdurrazaq)
  • Panggilan mesra - Rasulullah s.a.w. memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humaira‘ (si pipi merah delima).
  • Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra - Nabi s.a.w. memicit hidung Aisyah r.ha. sekiranya dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: “Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)
  • Memberi hadiah - Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, dia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. berkahwin dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya aku hendak memberikan hadiah kepada Raja Najasyi sepersalinan pakaian dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui bahawa Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Benarlah keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikan kepada isteri-isterinya sebotol minyak kasturi, manakala baki daripada minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda beri kepada Ummu Salamah.” (Riwayat Ahmad)

3- Menghormati dan menjaga perasaan isteri

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang suami yang sentiasa menghormati dan menjaga perasaan isterinya. Suatu ketika, ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, Baginda mendekati isterinya Aisyah. Aisyah berkata: “Di tengah malam Baginda mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku Baginda berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

4- Tidak berkasar dan berlemah lembut dengan isteri

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah yang sedang berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba Aisyah dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Aisyah sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda meminta Aisyah menggantikan makanan tersebut.

5- Membantu isteri

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.ha. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Demikianlah beberapa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Kepulangan Rasulullah s.a.w. ke rumah bukan sekadar untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, Baginda di rumahnya juga adalah untuk membantu isterinya menguruskan rumah tangga. Inilah yang Baginda lakukan walaupun mempunyai tugas dan tanggungjawab di luar rumah.

Kesimpulannya, kita perlu mencontohi akhlak dan keperibadian Baginda tersebut. Sesibuk-sibuk kita, tidak seperti sibuknya Rasulullah s.a.w. Setinggi-tinggi pangkat kita di tempat kerja, tidaklah setinggi pangkat dan darjat Rasulullah s.a.w. Maka apakah yang menghalang kita daripada membantu meringankan tugas dan urusan isteri kita di rumah?

Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami terhadap isterinya. Maka sebagai seorang suami, contohilah sikap Baginda ini ketika bermuamalah bersama isteri. Manakala buat para isteri, ingatkan suami anda tentang ciri-ciri suami idaman. Semoga berbahagia bersama pasangan anda!