oleh Pahrol Mohamad Juoi ( www.genta-rasa.com )


Hidup mesti dilihat mengikut ketetapan Penciptanya. Hanya dengan itu kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki dan abadi dapat dimiliki. What you get is what you see – apa yang kita dapat, bergantung kepada apa yang dilihat. Dan tidak ada penglihatan yang paling tepat dan jelas melainkan dirujuk kepada pandangan Allah.
Mereka yang dapat mengikut ketetapan Allah itulah yang dikatakan celik mata hati – melihat hidup dengan penuh kesedaran. Untuk jadi sedar (celik mata hati) kita perlu memahami skrip kehidupan seperti yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita tidak minta untuk dihidupkan tetapi hidup ini adalah kurniaan daripada Allah.

Untuk hidup selamat, tenang, dan bahagia, hiduplah mengikut “skrip” Pencipta. Jadilah hamba yang sebenarnya kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat hidup ini. Who you are determines how you see – siapa anda menentukan bagaimana anda melihat (memandang). Jadi, apabila kita merasakan diri kita hamba Allah, maka kita akan melihat hidup ini dari kaca mata Penciptanya (Allah)!

Skrip Kehidupan

Skrip kehidupan inilah jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah, akan menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara diri dan masyarakat, material dan spiritual, dunia, dan akhirat. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan sewajarnya yang kita dapat. Sebaliknya, jika apa yang kita lihat tersalah ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana kita dapat apa yang sepatutnya “tidak kita dapat”. Terasa benarlah hidup di dunia hanya sia-sia.

Inilah yang digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah al-Naba’ 78: 40).

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup. Pendek kata sewaktu itulah pandangan kita tentang hidup (worldview) akan tepat dan jelas.

Namun sayang sekali, di sana segala-gala yang tepat dan jelas itu sudah tidak berguna lagi.

Kata Hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal (akhirat).”
Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi.

Umar Ibnu Abd. Aziz pernah berkata, manusia diciptakan untuk selamanya. Mengapa Umar berkata begitu? Maksudnya, bermula manusia diciptakan buat kali pertama, diri manusia akan terus hidup dan mengembara dari satu alam ke satu alam. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di syurga atau di neraka. Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan, sama ada dengan limpahan nikmat, atau mendapat azab buat selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara.

Ada kalanya bersama jasad, ada masanya hanya dengan roh sahaja. Setiap alam berbeza daripada alam sebelumnya. Kembara itu adalah satu perjalanan yang panjang. Penuh ujian dan cabaran. Dan perbezaan alam itu menuntut peranan dan respons yang berbeza pula. Apakah alam-alam itu?

Takah Hidup Insan

Kembara manusia bermula dari alam roh. Di sana manusia tidak mempunyai jasad. Tidak ada jantina, lelaki ataupun perempuan. Bagaimana keadaan kita pada waktu itu? Sangat sedikit yang kita ketahui tentang alam itu. Firman Allah: “Jika kamu bertanya tentang roh, katakan yang roh itu urusan Tuhanmu. Dan tidaklah kamu mengetahui daripada ilmu Allah melainkan sedikit sekali.”

• Alam Roh
Tetapi apa yang pasti di alam itu manusia sangat rapat dengan Tuhan. Sehingga pengakuan ini dicatat dalam al-Quran:
“Tidakkah Aku ini Tuhanmu? Roh menjawab, ya kami menjadi saksi (kewujudan-Mu).”
Pada ketika itu, roh sangat kenal dan mengakui keesaan Allah sebagai Rabb (Penciptanya). Pada ketika itu juga roh berjanji untuk menjadi hamba Allah yang patuh. Perjanjian ini termeterai antara manusia dengan Allah sehingga dengan itu manusia telah sanggup untuk memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi. Walaupun semua makhluk lain menolak amanah ini, manusia sebaliknya, telah menyatakan kesanggupannya.

Dan kesediaan ini menyebabkan manusia menjadi pelakar sejarah dalam kehidupan di muka bumi dan memberi impak yang besar kesannya kepada kehidupannya sendiri. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-ahzab 33: 72).

Tidak diketahui berapa lama tempoh manusia berada di alam roh. Namun yang pastinya setiap manusia mengambil gilirannya untuk “diturunkan” ke alam dunia. Kita pun datang ke bumi generasi demi generasi. Sayangnya, pengakuan, perjanjian, kesanggupan dan segala yang berlaku di alam roh seolah-olah sudah dilupakan oleh manusia. Mengapa kita boleh lupa? Memang logik kita lupa kerana alam itu telah begitu lama kita tinggalkan. Sedangkan hal yang berlaku seminggu yang lalu pun kita boleh ‘terlupa’, inikan pula entah berapa ratus ribu tahun sudah kita membuat perjanjian itu?

• Alam Rahim
Sebelum dilahirkan ke alam dunia, manusia terlebih dahulu “transit” di alam rahim. Alam rahim terletak di dalam perut ibu. Indah sekali namanya; rahim (nama Allah Al-Rahim). Sekali gus melambangkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, yang hakikatnya berasal daripada kasih sayang Allah. Di sini janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.
Bayi akan tinggal di alam yang kukuh dan penuh kasih sayang ini selama lebih kurang 9 bulan 10 hari (mengikut kebiasaannya). Dalam tempoh yang itu ada beberapa proses biologi dan rohani yang berlaku. Daripada sari pati tanah, menjadi nutfah, kemudian menjadi alaqah dan diikuti pembentukan mudghah. Kemudian menjadi tulang dan selepas itu mula diliputi dengan daging, dan dibungkus dengan kulit. Akhirnya terbentuklah bayi yang lengkap sifatnya.

Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kehidupan, celaka atau bahagianya.
Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. seorang yang benar serta dipercayai pernah bersabda: “Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t. mengutus malaikat untuk meniupkan roh serta memerintah supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t. di mana tiada tuhan selain-Nya, seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni neraka sehingga dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”

Tegasnya, segala persediaan dan kelengkapan untuk menuju alam dunia telah dipersiapkan di sini. Jasadnya mula dilengkapi oleh komponen pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain). Sepertimana penyelam yang perlu memakai pakaian khas untuk menyelam, lengkap dengan bekalan oksigennya, maka begitulah manusia yang berpindah ke alam dunia, pakaian khasnya ialah jasad dan kelengkapannya ialah pancaindera.

• Alam Dunia
Tiba masanya, butang hidup pun di“on”kan. Manusia pun lahir ke alam dunia dengan diiringi tangisan. Tangisan ini ada maknanya yang tersendiri. Dalam kalangan ahli kerohanian ada yang mentafsirkan tangisan ini sebagai tanda protes bayi tersebut terhadap syaitan yang sejak lahir sahaja manusia ke dunia sudah diajak kepada kejahatan. Begitulah erti tangisan itu.

Manakala ahli perubatan pula menjelaskan bahawa tangisan itu diperlukan untuk si bayi mula mengepam oksigen ke paru-parunya yang baru berfungsi.

Apa pun makna dan tafsirannya, hidup memang dimulakan dengan tangisan, dicelah-celah kehidupan ada tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Tidak ada manusia yang lahir dengan ketawa!

Di alam dunia inilah bermulanya ujian kerana memang manusia hidup untuk diuji. Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik amalannya.”
Lazimnya hidup manusia ini sekitar 60 hingga 70 tahun, namun perlu diingat hidup di dunia inilah yang paling kritikal, kerana ia menentukan sama ada kita bahagia atau derita selama-lamanya. Dunia ini penuh dengan ujian. Dunia umpama “dewan peperiksaan”. Manusia mesti menjawab beberapa “soalan peperiksaan” yang sebenarnya telah pun “bocor”. Saya katakan demikian kerana soalan-soalan yang akan ditanyakan di alam kubur dan alam Mahsyar itu telah pun dimaklumkan kepada manusia di dunia lagi. Berikut adalah soalan-soalan itu:

Soalan di dalam kubur:
• Siapa Tuhan kamu?
• Siapa Imam kamu?
• Siapa saudara kamu?
• Apakah kiblat kamu?

Soalan di Alam Mahsyar:
• Ke mana hartamu kamu belanjakan?
• Ke mana ilmumu kamu gunakan?
• Ke mana umurmu kamu gunakan?
• Bagaimana umur muda kamu habiskan?

Namun, harus diingat soalan-soalan itu bukan dijawab secara lisan berdasarkan pemikiran. Tetapi perbuatan dan amalan kita di alam dunia itulah yang membantu memberi ‘jawapan’ kepada soalan-soalan itu. Jika kita melakukan sesuatu yang selaras dengan kehendak Allah, maka itu jawapan kepada soalan “Siapa Tuhan kamu?”. Jika kita benar-benar mengikut panduan sunnah Rasulullah, maka itulah jawapan kepada soalan “Siapa imam kamu?”

• Alam Barzakh (Alam Kubur)
Hidup di dunia akan berakhir melalui proses kematian. Jika kelahiran adalah proses yang membawa kita pindah dari alam rahim ke alam dunia, maka mati pula adalah proses yang membawa kita pindah dari alam dunia ke alam barzakh. Hakikatnya, kelahiran dan kematian adalah sama – satu proses yang mesti dilalui sebelum berpindah ke alam selepas dari alam sebelumnya. Sayangnya, ramai manusia yang hanya membuat persediaan untuk menghadapi kelahiran berbanding kematian. Kain lampin lebih popular daripada kain kapan!

Alam barzakh (ertinya pemisah) ialah sempadan antara dunia dan akhirat. Di sana manusia ibarat dalam tahanan reman, sementara menunggu saat perbicaraan. Tetapi di alam barzakh ini sudah ada petunjuk-petunjuk awal sama ada kembara seterusnya akan berjalan dengan baik atau sebaliknya. Di sini sudah mula soal siasat terhadap segala perlakuan di dunia. Dua malaikat, Munkar dan Nakir, sudah menjalankan tugas awalnya. Mukadimah nikmat (bagi yang soleh) dan mukadimah azab (bagi yang toleh) sudah ketara dan dirasai. Di sini manusia akan menunggu saat perbicaraan sama ada dalam keadaan selesa atau seksa. Perbicaraan dan keputusan muktamadnya adalah di Padang Mahsyar.

• Alam Mahsyar
Dua tiupan (bumi dilipatkan semula dengan sistem aturannya diterbalikkan. Dan berlakulah letupan kuat). Sangkakala dikumandangkan oleh Israfil – kali pertama untuk mematikan mereka yang masih hidup di saat itu dan kali kedua untuk menghidupkan semula semua yang sudah mati. Manusia pun dibangkitkan semula dari alam kubur menuju Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke sana ditentukan oleh amalan masing-masing. Visualnya, digambarkan dengan jelas dalam peristiwa Israk Mikraj.

Di sanalah keadilan yang mutlak dan muktamad ditegakkan. Jika di dunia yang benar tidak selalu dimenangkan, dan yang salah tidak selalu dikalahkan, tetapi di akhirat yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Allah Maha Adil dalam menentukan sesuatu hukuman.

Walaupun Dia Hakim yang Maha Mengetahui, namun Dia masih mahu pengadilan itu dibuktikan oleh para saksi. Sedangkan apa perlunya saksi jika segala-galanya sudah diketahui? Ketika itu anggota badan kitalah yang menjadi saksi – segalanya dibenarkan bersuara malah mendakwa.

• Alam Syurga atau Neraka
Setelah menerima catatan amal (lengkap dengan fakta dan data yang terperinci), yang bukan hanya mencatat setiap langkahan kaki tetapi juga lintasan hati, maka “keputusan” peperiksaan itu melayakkan manusia ke alam syurga jika berjaya dan ke alam neraka jika gagal. Di sanalah kembara yang panjang itu berakhir. Ada yang “happy ending”. Ada pula yang berakhir dengan sengsara. Sampai bila? Sampai bila-bila. Tidak ada kembara lagi selepas itu! Itulah hidup yang hakiki dan di sanalah perhentian yang abadi.

Sehingga di sini istirahatkan minda anda kerana lelah juga menyusuri perjalanan hidup kita. Itu baru menerusi perantaraan minda atau pemikiran. Perjalanan sebenarnya tentu menuntut kelelahan yang berganda. Kembara ini penuh liku, cabaran dan kesusahan. Jika kembara di satu alam (dunia) ini pun kita boleh tersesat dan melarat, apatah lagi kembara yang melalui di lima alam yang serba unik itu.

Dan yang paling penting ialah bagaimana hendak menjalani kehidupan yang sebaik-baiknya di alam dunia – alam yang sedang kita hidup sekarang. Masa lalu tidak dapat diputar kembali. Kita tidak boleh merayu untuk tidak dijadikan, menerima amanah dan dihantar ke dunia.

Manakala masa depan, tidak boleh dijangkau. Apa yang penting ialah kita boleh menentukan masa depan (di Alam Barzakh, Mahsyar, Syurga atau Neraka) dengan bekerja kuat pada hari ini (di dunia) dengan input dan peringatan yang kita dapat daripada masa lampau (di alam roh). Insya-Allah.

oleh Pahrol Mohamad Juoi ( www.genta-rasa.com )


Jika ditanyakan siapa kita? Ramai yang tahu bahawa kita adalah hamba Allah. Namun berapa ramai antara kita yang sedar bahawa kita hamba Allah? Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar bahawa dirinya hamba Allah.

Justeru, ramai yang berlagak seolah-olah ‘tuan’ (malah Tuhan) dalam kehidupan sehari-hari. Sikap angkuh, tamak, pemarah dan bangga diri yang sepatutnya tidak ada pada diri seorang hamba, menjadi tabiat dan budaya dalam kehidupan. Ya, tahu dan sedar adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tahu letaknya di akal – dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati – dengan memiliki penghayatan dan hikmah. Ini menjelaskan mengapa ada pelajar yang lulus A1 dalam mata pelajaran agama Islam tetapi tidak solat. Dia mungkin tahu tentang kebaikan solat tetapi tidak sedar akan kebaikan itu. Tahu, hanya ‘di permukaan’, yakni baru bersifat pengetahuan dan teori. Manakala sedar adalah mendalam, melibatkan kemahuan dan amali.

Kata Hikmah dari Sayidina Ali

Untuk mengetahui apakah hakikat sebenar kesedaran, marilah kita dengar apa yang pernah dikatakan oleh Sayidina Ali k.w. yang antara lain bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat.

Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).” Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah pahala.

Ah, betapa tersasarnya tujuan hidup selama di dunia akibat buta mata hati. Dalam alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’, barulah kita terjaga daripada “mimpi” selama ini. Sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Sepatutnya kesedaran semacam itu perlu kita miliki sewaktu hidup di dunia ini. Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, barulah ada kebaikan dan manfaatnya. Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya dimiliki di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat! Sedar vs Tahu

Kesedaran itu terletak di mana? Apabila Sayidina Ali menggunakan istilah ‘tidur’ dan ‘terjaga’, apakah beliau merujuk kepada mata? Selalunya, ketika hidup mata seseorang terbuka (terjaga) dan apabila mati matanya tertutup. Tetapi anehnya, Sayidina Ali menyatakan sebaliknya – bila hidup, yakni ketika mata terbuka itu yang dikatakan bermimpi manakala apabila mati (mata tertutup) dikatakan terjaga.

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya?

Sesungguhnya (mereka yang tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembunyi di dada.” (Surah al-Haj 22: 46) Seseorang akan memiliki satu kesedaran hanya apabila mata hatinya terbuka. Dia melihat sesuatu bukan hanya dengan pandangan mata kepala malah disertai dengan pandangan mata hati. Pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat dan benar kerana ia mampu melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, dapat menerobos yang batin daripada yang lahir dan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi.

Empat Pandangan Manusia

Sebenarnya, manusia memandang apa sahaja di dunia dengan empat jenis pandangan:

• Pandangan mata.

• Pandangan akal.

• Pandangan nafsu.

• Pandangan mata hati.

1. Pandangan Mata

Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus). Bulan dilihat indah dari jauh tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang-lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.

2. Pandangan Akal

Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Berdasarkan kajian Ciaudius Ptolemy (saintis terkemuka pada zamannya), bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ini ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu. Manusia zaman itu sangat percaya kepada “pandangan akal” Ptolemy hinggakan tidak ada siapa yang berani belayar jauh, takut-takut terjerlus ke hujung dunia. Manusia pada zaman pertengahan pula percaya bahawa bumi adalah pusat edaran jagatraya (Centre of Universe).

Tetapi kepercayaan mereka disalahkan kemudiannya oleh Galileo Galilei dan Nicholas Copernicus yang menjelaskan bumi bukanlah pusat edaran bagi jagatraya tetapi matahari. Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalah antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.

3. Pandangan Nafsu

Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas. Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melampiaskan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya.

4. Pandangan Mata Hati

Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.

Metafora Kuih

Supaya mudah difahami mari kita lihat metafora ini. Katalah, melihat kuih… Kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau kuih dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu apa nama kuih, warna dan bentuknya. Itu pandangan mata biasa. Bagaimana pula jika kuih dipandang dengan pandangan akal? Ini adalah pandangan pakar-pakar pembuat kuih (chef atau pakar masakan). Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah kuih itu seimbang dari segi bahan-bahannya, ketepatan mengadunnya, kemahiran menguli dan membakarnya?

Pakar-pakar masakan ini mempunyai ilmu yang cukup untuk mengkaji apakah kesilapan (jika ada) dan ketepatan pembuatan kuih tersebut. Inilah kelebihan pandangan akal berbanding pandangan mata biasa. Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang kuih dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung apakah bentuk, nama atau cara pembuatan kuih itu.

Yang penting, makan dulu. Hinggakan dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya kesedapan dan keseronokan. Bagaimana melihat kuih dengan pandangan mata hati?

Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat pembuat kuih tersebut. Katalah, anda sedang berada di luar negara. Bila musim Hari Raya tiba, anda mendapat kiriman bungkusan dari kampung. Bila bungkusan itu dibuka dan anda melihat kuih di dalamnya, dengan tidak semena-mena air mata anda mengalir. Bila terlihat sahaja kuih, hati anda sedih. Kenapa?

Ya, kerana anda melihat wajah ibu (pembuat kuih) di sebalik kuih itu. Anda terkenang kasih-sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripada ibu anda. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat ibu kita tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!

Diri pada Pandangan Mata Hati

Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan. Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Bila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa. Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal.

Bagaimana? Dengan akal fikiran, berlakulah analisa diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajahku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman. Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu.

Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi “nasihat” jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat pelesiran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi!

Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda. Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, ‘Life begin at forty. Man is like wine… Akibatnya, orang tua tidak merasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan.

Bila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi “orang lama”. Ya, mungkin si tua yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa. Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya.

Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30-an). Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang Mahsyar nanti ialah, ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan?

Allah tidak bertanyakan umur tua, ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?

Lalu hati orang muda itu pun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak bertangguh-tangguh taubat dan segera meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”

Pandangan Mata Hati Imam Syafii

Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka.

Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafii misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafii masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?

Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafii berkata, “Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian “orang tua” yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafii tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat “pengingat” seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat “penggiat” – tongkat Ali!

Kesimpulan:

Sekarang bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka kita disunatkan membaca doa berikut: “Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajahku, maka Kau sempurnakanlah pekertiku.” Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf 7:179).