oleh Pahrol Mohamad Juoi ( www.genta-rasa.com )
Kerap diungkapkan, cinta itu buta? Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.
Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”
Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.
Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.
Justeru, cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…
Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?
Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.
Kekadang ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…
Kekadang solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…
Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.
Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!
Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.
Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.
Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.
Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”
Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?
Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai bila-bila…

ADAM...
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah HAWA,
temanmu yang kau pinta semasa kau kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu.
Sentiasa aku mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan...
ADAM...
Maha Suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai
daripada bilangan kaummu di akhir zaman,
inilah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya..
Jika bilangan kaumku sedikit dari bilangan kaummu,
nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau bilaulah suasana, sesama ADAM bermusuhan kerana HAWA.
Buktinya sudah cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil
sehinggalah pada zaman cucu cicitnya.
Pun begitu, maka tidak selaraslah undang-undang Allah
yang mengharuskan beristeri lebih daripada satu, tapi tidak lebih dari satu waktu.
ADAM...
Bukan kerana ramai isterimu yang membimbangkan aku.
Tidak kerana sedikitnya yang merunsingkan aku.
Tapi, aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkah lakumu.
Kau sejak dahulu lagi tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.
Namun terasa berat pula untuk menyatakan isi perkara sebenarnya.
ADAM...
Aku tahu bahawa kau tahu dalam al-Qu'ran ada ayat yang menyatakan
‘kaum lelaki adalah penguasa kepada kaum wanita..’
kau diberi amaran untuk mendidik aku,
kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,
mengawasi dan menjaga aku agar aku sentiasa dalam redha Tuhanmu dan Tuhanku.
Tapi ADAM, nyata dan rata-rata apa yang sudah jadi pada kaumku ini??
Aku dan kaumku telah menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan.
Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah.
Jalan-jalan, pasar-pasar dan bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar rumah,
maka seluruh tubuhku mesti dibalut dari hujung rambut ke hujung kaki.
Tapi realiti dan hakikatnya kini, HAWA telah berbuat lebih dari apa yang patut.
ADAM...
Mengapa kau biarkan aku begini??
Aku jadi ibu, aku jadi guru, ‘itu sudah tentu’, katamu.
Aku ibu dan guru pada anak-anak mu.
Tapi sekarang, pada waktu yang sama,
aku ke medan menguruskan urusan negara.
Aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk-duduk sahaja.
Ada diantara kaummu yang menganggur tiada bekerja.
Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga di pejabat bomba.
Kainku tinggi menyingsing paha mengamankan negara.
Apa kau sekarang tidak lagi seperti dahulu?
Apakah telah hilang kasih sucimu terhadap diriku?
ADAM...
Marahkah kau jika ku katakan ‘Andainya HAWA yang terpesong,
maka kau yang patut tanggung’. Sebab apa ADAM?
Ramai yang berkata, jika anak jahat, mak bapak tak pandai mendidik,
jika murid bodoh, guru yang tak pandai mengajar.
ADAM, kau selalu berkata, ‘HAWA memang degil, tak mahu dengar kata,
tak mudah makan nasihat, kepala batu..’
Pada hematku yang dhaif ini ADAM, seharusnya kau tanya dirimu.
Adakah didikanmu terhadapku sama
seperti didikan Nabi s.a.w. terhadap isteri-isterinya??
Adakah ADAM melayani HAWA seperti psikologi Muhammad s.a.w. terhadap mereka?
Apakah akhlak ADAM boleh dijadikan contoh buat kaum HAWA?
Aku, kaum HAWA merindukan kata-kata yang penuh kelembutan
seperti Muhammad s.a.w.
Namun mungkin aku tidak akan mendengar kata-kata seperti itu lagi, kerana kau,
kaum ADAM kini bukanlah seperti Muhammad s.a.w. yang ku rindui...
ADAM...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmum.
Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku.
Jika kau lalai, maka lalailah aku.
Wahai ADAM, kau punya kelebihan akal, manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu. Akalku satu, nafsuku beribu!
Oleh itu ADAM, gunakanlah kelebihan akalmu itu, untuk membimbingku,
kerana aku sering lalai dan lupa, sering tergelincir ditolak nafsu dan konco-konconya.
ADAM...
Aku suka kalau kau mengimami solatku pada setiap waktu.
Akan ku aminkan bacaan doamu.
Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku untuk bertahajut bersamamu.
Kau kenalkan aku pada majlis-majlis agama.
Kau ajari aku untuk pandai membaca dan memahami al-Qur'an.
Kau khabarkan kepadaku tentang fardu-fardu yang aku patut tahu.
Tunjukkan perkara sebenar yang patut aku tahu wahai ADAM!
ADAM...
Akhir kata, ajari aku agar menjadi isterimu yang solehah.
Didiklah aku supaya aku tunduk, patuh dan menghormatimu setiap waktu.
Tolonglah aku ADAM agar aku tidak beku. Bantulah aku agar otakku tidak buntu.
Selamatlah aku dari seksa neraka yang sudah tentu tiada siapa yang tegar menanggungnya...
oleh Fatimah Syarha Noordin
Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.
Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!
Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.
"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumahtangga. Ingat tu!
Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.
Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang dibina. Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.
Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,
Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau bekerja atau mengejar cita-cita.
Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.
Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?
Kerisauan ini lumrah... Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya Rm1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain?
Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.
Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:
"Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah maha luas pemberian-Nya lagi maha mengetahui." (An-Nur: 32)
Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?
Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: "Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."
Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.: "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.
Buat kaum Hawa,
Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.
Buat syabab,
Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda: "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)
Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!
Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khibah (pertunangan)
Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.
Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya." (Riwayat Ahmad)
Oh, kaum Hawa!
Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!
Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.
"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah." (Riwayat Bukhari)
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga
Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.
Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.
Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.
Luar biasa…
Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.
Kecuali manusia bertaqwa.
Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.
Kecuali sebuah penceraian…
Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu
Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya
Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa
Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana
Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan
Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi
Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan
Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.
“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]
Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.
Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.
Sepatutnya, pasangan pengantin ini, perlu meluangkan masa untuk merancang keseluruhan majlis serta kelancarannya. Majlis perkahwinan ini penting, kerana ia hanya hadir sekali dalam hidup pasangan tersebut.
Seeloknya, sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan di jari manis wanita idaman, kedua-dua pihak bolehlah menyediakan persiapan untuk majlis perkahwinan secara berperingkat-peringkat. Jangan tangguhkan persiapan perkahwinan, kerana dikhuatiri masalah-masalah lain akan timbul. Biarpun tempoh perkahwinan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak masih jauh lagi, misalnya dua atau tiga tahun akan datang, tetapi persiapan perkahwinan harus dimulakan. Paling tidakpun, anda perlu merancang jumlah perbelanjaan yang akan digunakan dalam majlis itu nanti. Senaraikan segala barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk majlis tersebut. Apa yang anda perlukan dan idamkan, perlulah dicatit supaya tidak tercicir dalam saat anda hampir menjadi raja sehari.
Seperti yang kita sedia maklum, majlis seumpama ini dilakukan sekali seumur hidup. Bagi memastikan kenangan itu terus terpahat di hati, anda bolehlah menempah jurufoto atau jurukamera untuk merakamkan detik-detik manis anda bersama. Elakkan daripada meminta saudara-mara anda yang merakamkan gambar-gambar anda kerana mungkin ia kurang berkualiti. Bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, pilihlah jurufoto atau jurukamera yang pakar dalam bidang mereka, ini bagi memastikan detik manis anda bersama suami atau isteri sentiasa di ingatan. Jadikanlah majlis raja sehari anda, majlis yang diingati oleh semua tetamu yang hadir. Kelancaran dan kemeriahan majlis adalah penting, dengan itu rancangkan sebaik mungkin majlis yang anda inginkan.
oleh Idris Musa
TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.
Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.
Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.
Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.
Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan.
Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.
Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan.
“Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah.”
Nabi S.A.W bersabda, maksudnya: “Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina.”
Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.
Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.
Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.
Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan.
“Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram.
“Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama,” katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.
Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau ‘dating’ boleh mengundang pelbagai mala petaka, seperti rogol, pembunuhan dan persundalan.
Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria. Malah, seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an.
Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.
Berikutan itu, ramai di kalangan gadis menderita secara senyap, tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu.
Walaupun sesetengah mereka cuba memilih untuk bersuara bagi mendapatkan pembelaan, ia hanya membabitkan sebilangan kes tertentu.
Hari ini, bukan sedikit anak muda yang berada dalam keadaan mengelirukan dan keterpaksaan, bersama masa depan yang kabur selepas terjebak dalam perhubungan intim dengan pasangan masing-masing.
Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga.
Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan, ia dilarang sama sekali.
Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan.
Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.
“Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas, bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina,” katanya.
Nabi Muhammad S.A.W menegaskan: “Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka).”
Katanya, Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya.
“Menurut hukum ahli fiqah, perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram. Justeru, apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa, ia diputuskan haram.
“Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan, ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam,” katanya.
oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda S.A.W. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “ Wanita mendedahkan/menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah), juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu : “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”, maka anak perempuan Anas menyampuk : “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”, maka Anas menjawab : “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi S.A.W lalu menawarkan dirinya kepada baginda S.A.W” (Sohih Al-Bukhari, 7/17).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi S.A.W (Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : “telah datang kepada Nabi S.A.W seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : “Adakah kamu telah melihatnya? : “Belum jawabnya”, Nabi menjawab : “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)” ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : “Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian - (perkahwinan) kamu berdua” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif ; Sohih menurut Albani)
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Nabi S.A.W menyatakan : “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan berkasih adalah Nikah (Faidhul Qadir, 5/294).
4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal’ lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
- Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
- Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ( www.saifulislam.com )
“Abang tidak cinta kepada saya sepenuh hati. Tidak seratus peratus,” rungut seorang isteri kepada sang suami.
Suami terdiam.
Lidahnya kelu. Tetapi hatinya menghitung-hitung.
“Bagaimanakah isteriku mencongak kasihku kepadanya? Hingga timbul peratusan begitu. Apakah cintaku kepadanya hanya 50%, atau 80% atau 90% pada saat paling manis aku bersamanya?” benak hati suami berkata-kata.
Jiwanya bergelora.
Selama ini, hatinya sebagai suami tidak pernah dikongsi dengan sesiapa. Biar pun dia tidak mampu menyalut tubuh isteri dengan intan permata, namun hatinya yang lebih jernih dari berlian itu diberikan sepenuhnya buat si isteri, wanita yang dikahwininya kerana cinta.
Di mana silapku?
Merungut tentang kelemahan-kelemahan diri seorang lelaki bernama suami, adalah sesuatu yang lumrah dalam bahtera rumahtangga. Suami ada kalanya ditimpa malas, ada masanya kurang sensitif dengan perasaan isteri. Terlalu sibuk dengan kerja, hingga mungkin sesekali terabai anak-anak dan rumahtangga. Rungutan isteri, boleh diterima sebagai tazkirah dari Dia untuk kebahagiaan dan masa depan rumahtangga.
Tetapi rungutan isteri yang mempertikaikan cinta sang suami… ia bukan rutin kebiasaan.
Rungutan itu mempersoalkan sesuatu yang paling kudus dan suci dalam ikatan hubungan di antara seorang lelaki dan perempuan bergelar suami dan isteri.
PERANAN SUAMI
Sesuatu yang ada kalanya terbentang dalam bahasa yang tidak seimbang, tanggungjawab seorang suami ke atas isteri sebenarnya jauh lebih banyak berbanding dengan tugasan isteri terhadap suami. Namun ‘cuaca’ perbahasan hal ehwal rumahtangga di dalam gelanggang Islam, sering terkesan oleh kecenderungan dominasi kaum lelaki (male chauvinism), hingga yang banyak diperkatakan adalah kelemahan, kesilapan dan kesalahan kaum isteri.
Isteri yang sering dileter dalam ceramah-ceramah agama.
Ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang bercakap tentang peranan isteri, yang sering dipetik di dalam ucapan dan tulisan.
Sedangkan, wahyu Allah dan petunjuk Nabawi sarat berisi dengan tugas serta tanggungjawab seorang lelaki bernama suami. Tanggungjawab itu bermula dari soal nafkah zahir dan batin, hinggalah kepada soal keperluan emosi isteri. Belaian sang suami, kata-kata yang baik, malah segala kebajikan harus mendahulukan isteri, juga anak-anak berbanding orang lain di luar daerah rumahtangga.
Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang begitu banyak terpikul di bahu seorang suami, dia harus menjadi seorang pencinta yang hebat.
Cinta yang mendorongnya bekerja.
Cinta yang merangsangnya berperanan.
Cinta yang menjadikan segala tugas dan tanggungjawab yang dilakukannya itu suatu keseronokan dan kepuasan dalam hidup.
Tanggungjawab tanpa cinta, adalah beban dan derita.
Tidak mungkin seorang suami mampu untuk menjalankan peranannya dengan baik sebagai seorang suami, jika dirinya bukan seorang pencinta yang hebat.
MASIH DIPERTIKAI
Justeru, andai seorang suami itu bersungguh-sungguh dalam peranan yang dimainkannya, mengapa isteri masih mempersoalkan cinta suami?
“Abang tidak cintakan saya sepenuh hati!’ mengapa begitu mudah seorang isteri melontarkan soalan sedemikian rupa?
Kembalilah kita kepada suatu amaran luar biasa seorang Nabi:
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!” [hadith riwayat al-Bukhari]
Ia bukan hadith yang memberi maksud bahawa wanita itu tempatnya di Neraka. Naudhubillah…
Kita tidak ke Syurga atau Neraka kerana jantina.
Justeru hadith ini bukan kenyataan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang Syariatullah.
Sebaliknya ia merupakan indikasi baginda tentang sesuatu yang bersangkutan dengan Sunnatullah.
Tentang kecenderungan perlakuan kaum perempuan yang mudah mengkufuri nikmat berumahtangga.
Hadith yang menjawab tanda tanya sang suami itu tadi.
Suami berlaku baik kepada sang isteri sepanjang tahun. Namun tatkala ada sesuatu yang tidak kena dilakukan oleh seorang suami, mudah sekali seorang isteri berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Perlakuan seperti ini diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai berkait rapat dengan wanita, merujuk kepada kebiasaan dan mudahnya wanita terjerumus kepada tindak tanduk seperti ini. Ia harus diambil sebagai peringatan, bukan hukuman atau keputusan.
Perbuatan menafikan kebaikan suami digelar sebagai kufr al-’asyeer iaitu kufur terhadap nikmat di dalam rumahtangga. Ia dikategorikan oleh al-Imam al-Bukhari sebagai “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur” iaitu tajuk kepada hadith ini di dalam Kitab al-Imaan.
PELAJARAN KEDUA BELAH PIHAK
Hadith ini memberikan pelajaran yang penting kepada kedua belah pihak.
Bahawa bagi isteri, hindarkanlah diri dari mudah terjerumus kepada percakapan-percakapan yang membinasakan ini.
Manakala bagi seorang suami, ketahuilah bahawa, tugasmu adalah untuk memberikan seratus peratus komitmen dan kasih sayang kepada isteri. Tetapi JANGAN sekali-kali kamu cuba mengejar seratus peratus tersebut. Beri 100% tetapi jangan kejar 100% itu kerana bahayanya bagi seorang suami terjerumus ke lembah kecenderungan seorang isteri untuk menafikan pemberian suaminya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar akan meninggalkan perjuangan.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mendurhakai serta mensesiakan ibu dan bapanya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mengabaikan anak-anak mereka sendiri.
Semuanya kerana terlalu mengikut desakan isteri yang terus menerus mahu suaminya memberikan seratus peratus cinta yang tidak pernah dikecapinya itu. Ketika inilah, isteri malah anak-anak boleh bertukar dari penyejuk mata dan hati, kepada musuh yang membinasakan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…” [al-Thaghaabun 64: 14]
Namun, sebagai seorang pencinta yang benar dalam cinta dan kasih sayangnya kepada isteri, seorang suami harus ada keupayaan untuk bersabar, memaafkan, tidak marah dan mengampunkan kesalahan isteri serta anak-anak itu tadi, maka ketahuilah wahai suami, Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada engkau, isteri dan anak-anakmu.
“… dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Taghaabun 64: 14)
MENCARI PELENGKAP 100%
Manakala bagi seorang isteri, sesungguhnya dirimu tidak akan sekali-kali dapat merasakan yang suamimu mencintaimu sepenuh hati, sehinggalah kamu hindarkan dirimu DARI KUFUR KEPADA SYUKUR. Jauhkan dirimu dari kufr al-asyeer, menafikan kebaikan-kebaikan yang telah suamimu berikan di atas cintanya kepadamu kerana Dia, sebaliknya belajarlah untuk bersyukur kerana syukur itulah yang mengganda-gandakan nikmat yang engkau terima.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Ibrahim 14: 7]
Sesungguhnya, perasaan bahawa suamimu tidak mencintaimu sepenuh hati, biar pun dia telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya terhadap dirimu, rasa kekurangan itu mungkin bukan datang dari kekurangan suamimu, tetapi kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak menambah nikmat-Nya berupa kasih sayang suami kepadamu untuk melengkapkan rasa kurang itu, kerana terjerumusnya dirimu ke lembah kufr al-’asyeer. Sang isteri bukan mengkufuri Allah, tetapi kufur kepada nikmat Allah berupa kasih sayang suami kepada dirimu.
Demi untuk merasakan kesempurnaan pada cinta dan kasih itu, bersyukurlah… nescaya Allah akan tambah-tambahkan lagi nikmat-Nya. Suamimu tidak akan mampu memberikan ’seratus peratusmu’ itu sehinggalah engkau mendapatnya dari Allah, Tuhan yang menggandakan nikmat sebagai balasan syukur seorang hamba.
Dan jika kita biarkan diri terbelenggu dalam kekufuran, ketahuilah bahawa sesungguhnya azab Allah itu amat pedih kesannya. Usahkan azab Akhirat yang tidak terbayang itu, pedihnya sampai ke dunia hingga Baiti Jannati yang kau dambakan selama ini, menjadi neraka dunia yang menyeksa lagi membinasa.
Sebagaimana suami amat mudah terheret ke Neraka kerana tidak memberi seratus peratus, begitulah juga isteri amat mudah terheret ke Neraka kerana meminta-minta seratus-peratus itu.
Bertaqwalah kepada Allah wahai suami yang tidak memberi seratus peratus.
Bertaqwalah kepada Allah wahai isteri yang meminta seratus peratus itu.
oleh Ustaz Hj. Mohd Zamri ( www.mantop.com.my )
"Apakah hukum bercinta dalam islam? Maksud saya bercinta sebelum kahwin. Seperti belia yang kebanyakan di zaman ini. Ada yang cakap hukumnya boleh selagi tidak melanggar batas-batas syariat, kerana cinta adalah fitrah manusia. Ada pula yang cakap cinta sebelum kawin tidak boleh.. menggunakan hujah "Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)" ( Surah al-Isra : 32). Kalau difikirkan, bercinta sebelum kahwin mendatangkan banyak cabaran dan mudah melalaikan seseorang. Apa pandangan ustaz?"
Emel seumpama di atas, biasa memasuki kotak emel Ustaz.
CINTA. Kalimah yang sering menghantui remaja dulu, kini dan selamanya. Satu fitrah manusia yang tidak dapat tidak perlu dikendalikan dengan bijaksana. Jika tidak, tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran. Adakah Islam membenarkan percintaan sebelum pernikahan? Persoalan yang sering membelenggu benak remaja.
Pertama sekali, sebagai seorang muslim sejati, seharusnya kita menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Telah aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya maka kamu tidak akan tersesat untuk selamanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku”.
Kita lihat kepada dalil Quran yang dibangkitkan oleh si penanya iaitu Surah al-Isra’ : ayat 32. "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
Dalam konteks bercinta sebelum kahwin, kalau dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di tempat sunyi atau ditempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat sebagai muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, lepas tu… hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua.
Justeru, ada pertanyaaan seperti “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup, ustaz?”. Bila direnung-renung, betul jugak kan? So, ustaz berpendapat bahawa “term” bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada “term” berkenalan sebelum kahwin. Jom kita refer kepada sirah sekejap. Pada zaman Rasulullah S.A.W ada seorang sahabat yang ingin kahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah S.A.W untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya.
Rasulullah S.A.W menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu. Kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami atau isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak.
Macam mana plak prosedurnya? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpe berdua je. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insya Allah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina.
Selain itu, di zaman cyber ni faham-faham laa. Macam-macam teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.
Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat boleh lah rujuk,
Bagi lelaki, Surah An-Nur : ayat 30
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."
Bagi wanita, Surah An-Nur : ayat 31
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
Sekian dimaklumkan. Bagi mengakhiri artikel ini, ustaz selitkan seloka untuk renungan semua.
ANDA TELAH BERSEDIA UNTUK BERCOUPLE JIKA...
Anda telah bersedia untuk bercouple jika...
Niat anda memang untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.
Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...
Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu semata-mata.
Anda telah bersedia untuk bercouple jika...
Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi, berpegangan tangan dan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.
Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...
Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti berpegangan tangan, menyentuh dan..
Anda telah bersedia untuk bercouple jika...
Sudah lepas ilmu ‘fardhu ain’ dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda. Atau sebaik-baiknya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap.
Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...
Masih kandas ilmu fardu ain, mengaji Quran pun lintang pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran. Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan..
Anda telah bersedia untuk bercouple jika...
Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan dan sedaya upaya menjadi muslimin dalam erti kata yang sebenar.
Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika..
Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih, solat jarang-jarang, puasa kadang-kadang... aduhai!
Anda, ada apa-apa cerita tentang cinta?
- Kecantikan seorang wanita ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) malunya, sementara kegagahan seorang lelaki ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) marahnya.
- Orang yang membujang adalah orang yang belum menemukan penghibur duka dan dia baru memperolehinya dengan berkahwin.
- Suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian kemerdekaannya.
- Wanita menghadapi banyak permasalahan, sebahagian diatasi dengan berkahwin dan sebahagian yang lain diatasi setelah dia masuk ke liang kubur.
- Mata yang paling indah tetapi juga harus diwaspadai adalah mata kaum wanita.
- Jangan menyalahkan perasaan isteri anda kerana perasaannya yang terbaik ialah ketika ia menerima anda sebagai suami.
- Perawan tua ialah wanita yang kehilangan kesempatan menyusahkan seorang lelaki.
- Yang diinginkan seorang gadis dari dunia ini hanyalah seorang suami, dan apabila ia sudah memperolehinya, ia menginginkan segala-galanya.
- Wanita bisa memaafkan suatu pengkhianatan suaminya, tetapi dia tidak bisa melupakannya.
- Kecantikan wanita tidak bererti apa-apa dibandingkan dengan kemuliaan akhlak dan perilakunya.
- Sebelum kahwin, wanita hafal seluruh jawaban dan sesudah kahwin, ia hafal seluruh pertanyaan.
- Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.
- Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.
- Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.
- Wanita tertawa bila ia mampu dan menangis apabila ia menginginkan sesuatu.
- Pudarlah kebahagiaan seorang wanita jika ia tidak mampu menjadikan suaminya teman yang termulia.
- Wanita sangat berlebihan dalam mencintai dan membenci, dan tidak mengenal pertengahannya.
- Wanita selalu tergolong manusia halus dan lembut sampai saat dia berkahwin.
- Tidak mungkin seorang lelaki hidup bahagia tanpa didampingi oleh isteri yang mulia.
- Wanita hidup untuk berbahagia dengan cinta, sementara lelaki mencintai untuk hidup berbahagia.
- Kebijaksanaan wanita terletak di dalam hatinya.
- Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.
- Cincin perkahwinan adalah cincin termahal di dunia, sebab mengharuskan pemberinya mengingatkan harganya setiap bulan tanpa henti.
- Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.
- Bagi lelaki, yang terakhir kali mati ialah jantungnya dan bagi wanita adalah lidahnya.
- Wanita tidak diciptakan untuk dikagumi semua lelaki tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang suami.
- Pada waktu bertunang, lelaki banyak berbicara dan perempuan mendengarkan. Pada saat perkahwinan, perempuan berbicara dan pengantin lelaki mendengarkan. Sesudah perkahwinan, suami dan isteri banyak berbicara dan para jiran tetangga mendengarkan.
- Setiap wanita mempunyai dua mata. Adapun wanita yang cemburu berlebihan mempunyai tiga mata. Satu di sebelah kanan, satu di sebelah kiri dan yang ketiga diarahkan kepada suami.
- Wanita pada umumnya takut akan tiga hal yaitu tikus, munculnya uban dan wanita-wanita cantik yang menjadi saingannya.
- Isteri yang bersikap jujur dan setia kepada suami meringankan setengah beban kehidupan suaminya.
- Seorang wanita menghadapi kesulitan apabila ia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya.
Diriku,
Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
Kau terlupa membajai taman hatimu sendiri,
Agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
Tersentuh dengan daulat-Nya,
Merasa terpikul amanah ad-deen ini,
Bukan kerana kau berjemaah,
Namun kerana engkau di bawah perintah-Nya.
Diriku,
Seringkah kau mencari jalan,
Agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya,
Agar sentiasa sedar akan keagungan-Nya,
Insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan & kesilapan dirimu.
Ketahuilah diriku,
Hatimu itu keras, khusyu'mu kurang,
Syukur & redhamu tidak banyak kau hadiahkan pada-Nya,
Terlalu banyak kurang & salahmu.
Diriku,
Tunaikanlah solatmu dalam khusyu' & tenang..
Muhasabahlah dirimu kala sunyi,
Selamilah kalam-kalam al-Quran yang kau perjuangkan,
Padanya ada bekalan,
Untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini.
Diriku,
Pada nawafil & amalan sunat
Ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan Tuhanmu,
Pada qiamullail di keheningan malam,
Bersama bisikan doa & munajatmu,
Diiringi esak airmata keinsafan & keikhlasanmu,
Kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaran-Nya,
Di situ ada bekalnya...
Lazimilah awal dirimu dengan al-Mathurat,
Pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai daie.
Diriku,
Pada tawadhu', pada ukhwah fillah, pada infaq fi sabilillah,
Pada uzlah muhasabah diri, pada zikir selawat,
Ada ketenangan dan kekuatanmu.
Diriku,
Ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja,
Yang bisa memberikan nafas kepada hati yang mati,
Hati yang turut mati tidak mungkin menyembuhkan hati yang sakit,
Apatah lagi menghidupkan hati yang mati.
Diriku,
Amanahlah kau di hadapan manusia,
Kerana kedaulatan Tuhanmu,
Namun rasailah kekerdilan dirimu,
Di hadapan qudrat dan iradat-Nya.
PASAKKAN KEYAKINAN UNTUK SATU PERUBAHAN

Ya ALLAH
Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada hamba-MU
Yang menyintai-MU setulus hatinya
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu..
Ya RAHIM
Kalau aku jatuh hati
Pautkanlah hatiku ini pada hamba-MU
Yang hatinya terpaut pada-MU
Agar tidak berpaling hatiku daripada-MU
Ya RABBI
Kiranya berlayar bahtera kasihku ini
Halakanlah ia pada hamba-MU
Yang melabuhkan kasihnya pada-MU
Moga bertambah kekuatanku untuk mengasihi-MU
Ya RABBUL IZZATI
Andai terlerai jua rinduku
Rindukanlah aku pada hamba-MU
Yang merindukan syahid di jalan-MU
Semoga subur impianku untuk syahid di jalan-MU
AMIN YA RABBAL 'ALAMIN....
Perbezaannya antara Lelaki dan Perempuan
5:06 PTG | Cinta, Motivasi, Wanita dan Keluarga | 0 ulasan »- Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita.
- Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.
- Kulit lelaki lebih kasar, kulit perempuan lebih halus.
- Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya.
- Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.
- Demikian juga pada segi psikologi, wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan.
- Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita menggunakan lebih pengamatan luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda.
- Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.
- Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka. Lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank. Dalam beg tangan wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan perempuan ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon, tuala ehem.. ehem...dan macam-macam lagi.
- Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar.
- Pada lelaki, cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli. Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.
Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza. Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja, mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi.
Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat. Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi. Kalau bolehnya, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya? Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres.
Apabila si suami dan si isteri ke kompleks membeli belah. Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan digeselkan. Kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli.
Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.
Contoh-contoh tersebut menunjukkan wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.
Akuilah kita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang.
Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu, maka kita lebih berkasih sayang.
Kerana itu, kita berbeza supaya saling sayang menyayangi.
Seorang lelaki dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh megah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut. Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. Mempelai wanita begitu cantik dan anggun dalam gaun putihnya dan pengantin lelaki dengan tuxedo hitam yang gagah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling mencintai dan sepadan.
Beberapa bulan kemudian, si isteri berkata kepada suaminya, "Abang, saya baru membaca sebuah artikel dlm majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita" katanya manja sambil menunjukkan majalah tersebut. "Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita. Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia..."
Suaminya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik sebab hal tersebut untuk kebaikan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.
Besok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya. " Saya akan mulakan dulu ya", kata isteri. Ia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 3 muka surat. Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai dari suaminya, ia memperhatikan bahawa airmata suaminya mulai mengalir... "Maafkan saya bang, apakah saya harus berhenti ?" tanyanya."Oh..tak apa, teruskanlah sayang... " jawab suaminya.
Dan si isteri terus membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia "Sekarang giliran abang membacakan senarai yang abang tulis". Dengan suara perlahan suaminya berkata "Abang tidak mencatat sesuatupun diatas kertas ini. Abang berfikir bahawa dirimu sudah sempurna, dan abang sekali-kali tidak ingin mengubah akan dirimu. Abang menyayangi dan menyintaimu kerana dirimu seadanya. Awak terlalu cantik dan baik bagi abang. Tidak satupun dari peribadimu yang tidak menyenangkanku, sayang...."
Si isteri tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya.
Bahawa suaminya menerimanya apa adanya... Ia menunduk dan menangis.
Dalam hidup ini, banyak kali kita merasa dikecewakan, depressi, dan sakit hati. Sesungguhnya tak perlu menghabiskan waktu memikirkan hal-hal tersebut. Hidup ini penuh dengan keindahan, kesukacitaan dan pengharapan. Mengapa harus menghabiskan waktu memikirkan perkara yang buruk, mengecewakan dan menyakitkan jika kita boleh menemukan banyak hal-hal yang indah yang baik dan yang boleh kita terima di sekeliling kita? Kita akan menjadi orang yang berbahagia jika kita mampu melihat dan bersyukur untuk hal-hal yang baik dan mencuba melupakan yang buruk.

Dua manusia yang merasa saling berjodoh pasti memiliki ikatan emosional, spiritual dan fizikal antara keduanya. Hanya dengan menatap mata atau mendengar suaranya, kita akan merasakan getaran dan seolah ingin terus bersamanya. Benarkah seperti itu?
Lalu, apakah ada petanda lainnya agar seseorang dapat merasakan bahawa si dia jodoh (soulmate) kita atau bukan?
Petanda 1
Rahsia sepasang kekasih agar dapat memiliki usia hubungan yang panjang adalah dengan adanya saling kerjasama. Kamu dan dia selalu dapat saling membantu, dalam urusan remeh atau besar. Paling penting adalah kamu berdua selalu dapat melalui segala aspek kehidupan secara bersama-sama. Dan semuanya terasa amat menyenangkan meskipun tanpa harus melibatkan orang lain. Apakah kamu sudah merasakan perkara tersebut? Jika ya, selamat... kerana ada harapan bahawa dia adalah calon pendamping hidup kamu!
Petanda 2
Salah satu kriteria yang menentukan sesuai atau tidaknya dia sebagai jodoh kamu atau bukan adalah kemampuannya bersikap bersahaja di depan kamu. Cuba sekarang perhatikan, apakah gerak-gerinya, caranya berpakaian, gaya rambutnya, caranya berbicara serta tertawanya mengesankan apa adanya? Apakah setiap ucapannya selalu tampak spontan dan tidak dibuat-buat? Jika tidak, maaf kemungkinan besar dia bukan jodoh kamu!
Petanda 3
Adanya deria batiniah membuat hati kamu berdua dapat selalu saling tahu. Dan bila kamu atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaannya satu sama lainnya pada situasi tertentu. Selamat! Sebenarnya dialah destini kebahagian kamu..
Petanda 4
Bersamanya dapat membuat perasaan kamu menjadi tenang, selesa dan tanpa perasaan tertekan. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tanpa membuat kamu merasa bosan... Inilah petanda bahawa kamu berdua kelak akan saling terikat.
Petanda 5
Dia selalu ada untuk kamu dalam situasi apapun. Dan dia selalu dapat memahami situasi dalam hati kamu baik dalam suka dan duka. Percayalah pasangan yang berjodoh pasti tak takut mengalami pasang-surut, suka-duka saat bersama. Sekarang, ingat-ingat kembali. Apakah dia orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala kamu dirundung musibah? Dia selalu faham saat emosi kamu terganggu? Dia tahu keadaan waktu anda sakit? Jika ya, tak salah lagi. Dialah orangnya...
Petanda 6
Dia tak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga kamu, dia tak peduli dengan masa lalu kamu saat bersama kekasih terdahulu. Dia juga tak malu-malu menceritakan masa lalunya... Nah, kalau begitu ini bisa berarti dia sudah siap menerima kamu apa adanya..
Petanda 7
Setiap orang pasti memiliki kekurangan, dan kamu tak malu-malu perlihatkannya pada si dia. Bahkan pada saat kamu tampil buruk di depannya sekalipun, misalnya saat kamu bangun tidur atau saat kamu sakit dan tak mandi selama dua hari. Ataupun menceritakan sejujurnya kepada kamu tentang kelemahan dan kekurangannya... Nah! Kamu dan dia memangnya disuratkan untuk bersama!
Petanda 8
Bila merasa rahsia kamu bisa lebih selamat di tangannya daripada di tangan sahabat-sahabat kamu yang lain. Atau kamu merasa sudah tak dapat lagi menyimpan rahsia apapun darinya, maka berbahagialah! Kerana ini bererti pasangan sejati telah kamu temukan!
Apakah kelapan petanda di atas telah kamu temukan padanya? "Manusia Hawa diciptakan dari rusuk manusia Adam, bukan dari kepalanya untuk dijunjung diatasnya, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya, tetapi disisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat pada lengannya untuk dilindungi & dekat dihatinya untuk dicintai.

“Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?” tanya Dara.
“Sudah pasti kamu!” balas Jejaka.
“Pada pandangan kamu, aku ini siapa?” tanya Dara lagi.
Jejaka diam sejenak, berfikir, lalu menatap Dara dengan tenang dan berkata, “Kamu adalah tulang rusukku! Ada tertulis, Tuhan melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam tidur, Tuhan mengambil rusuk dari Adam dan menciptakan Hawa. Semua lelaki mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, dia tidak lagi merasakan sakit di hati.”
Mereka kemudiannya bernikah dan melalui masa-masa yang indah dan manis untuk sesaat. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kepenatan hidup yang kain mendera. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain.
Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari, pada akhir sebuah pertengkaran, Dara membentak, “Kamu tak cintakan aku lagi!”
Jejaka sangat membenci ketidakdewasaan Dara dan secara spontan membalas, “Aku juga menyesal menikah dengan kamu! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!”
Dara terkedu, berdiri terpaku untuk beberapa saat. Matanya basah. Dia menatap Jejaka, seakan tak percaya dengan apa yang telah didengarnya tadi. Jejaka pula menyesal dengan apa yang sudah dia ucapkan. Tetapi seperti air yang telah tertumpah, ucapan itu tidak mungkin untuk ditarik kembali. Dengan linangan air mata, Dara mengemas barang-barangnya, bertekad untuk berpisah.
“Jika aku bukan tulang rusukmu, aku akan pergi! Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing.”
Lima tahun berlalu…
Jejaka tidak menikah lagi, tetapi berusaha mencari khabar tentang kehidupan Dara. Khabarnya Dara pernah menikah dengan seseorang selepas itu, tetapi jodohnya tidak panjang juga. Jejaka yang tahu semua tentang Dara, merasa kecewa kerana dia tak pernah diberi kesempatan untuk kembali. Dara tak pernah menunggunya.
Suatu malam yang sunyi, saat Jejaka menghirup secawan kopi panas, dia merasakan ada yang sakit di dadanya. Tapi dia tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan Dara. Ditakdirkan mereka bertemu kembali secara tidak sengaja.
“Kamu apa khabar?” tanya Jejaka.
“Baik-baik saja. Hmm, apakah kamu sudah menemukan rusukmu yang hilang?” tanya Dara spontan.
“Belum,” jawab Jejaka sepatah.
“Aku akan ke luar negara esok. Mungkin akan pulang dua minggu lagi,” beritahu Dara.
“Telefon aku kalau kamu sempat. Kamu tahu nombor telefon rumah kita, bukan? Masih tidak berubah. Dan, tak akan ada yang berubah,” kata Jejaka.
Dara tersenyum kemudian berlalu.
Seminggu kemudian, Jejaka mendengar khabar bahawa Dara mengalami kemalangan, dan meninggal.
Malam itu, sekali lagi, Jejaka menghirup kopi panas dan kembali merasakan sakit di dadanya. Akhirnya dia sedar bahawa sakit itu adalah kerana Dara - tulang rusuknya sendiri, yang telah dengan bodohnya dia patahkan