oleh Ustaz Zaharuddin ( zaharuddin.net )
Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat (sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat (atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook.
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar.. anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian.



- Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter, tebal tidak lebih 1.25 cm.
- Jika pesalah hamil, hukuman dilaksanakan selepas 2 bulan melahirkan anak.
- Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
- Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
- Sebatan dengan kekuatan sederhana.
- Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala.
- Tidak melukakan kulit pesalah.




- Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
- Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat.
- Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.
- Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat.
- Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
- Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
- Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan.
- Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.
Apa hukum mempelajari tasawuf?
Imam al-Ghazali berkata;
"Hukum mempelajari tasawuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia."
Syeikh al-Syazili berkata;
"Siapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya."
Syeikh Dahlan al-Kadiri dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawuf adalah wajib 'aini pada setiap orang mukalaf. Ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap "Siapa mempelajari tasawuf tanpa fiqah, dia kafir zindik. Siapa mempelajari fiqah tanpa tasawuf, dia fasiq. Siapa mempelajari kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar)."
Ibn 'Ajibah berkata;
"Orang yang mempelajari tasawuf tanpa fiqah menjadi kafir zindik kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fiqah sahaja tanpa tasawuf menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas.
Sementara tahkik hanya diperolehi melalui fiqah dan tasawuf sehingga seorang itu dapat melaksanakan segala kewajipannya berdasarkan ilmunya dan melakukannya dengan sepenuh hati.
Oleh itu, jelaslah bahawa tasawuf dan feqah itu dua ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak sempurnalah fiqah itu tanpa tasawuf, sebagaimana pincangnya tasawuf tanpa fiqah."
Apa faedah mempelajari ilmu tasawuf?
Tasawuf dipelajari untuk mendidik hati dan untuk mengenali (makrifat) Allah Yang Maha Mengetahui.
Sepertimana kata Ibn 'Ajibah;
"Hasil mempelajari tasawuf adalah untuk melepaskan diri daripada runtunan hawa nafsu, memelihara hati daripada sifat keji dan berakhlak dengan akhlak yang mulia."
Apakah tajuk perbahasan tasawuf?
Tasawuf ialah ilmu yang membincangkan tentang zat Allah Yang Maha Tinggi untuk membolehkan seorang hamba mengenali-Nya berdasarkan ayat-ayat (bukti-bukti) yang ditunjukkan-Nya.
Tasawuf juga membimbing jiwa, hati dan roh agar menyucikannya. Tasawuf menitikberatkan persoalan akhlak dengan mengalakkan sifat mahmudah (yang terpuji) dan menghindari sifat mazmumah (yang dikeji).
Apakah matlamat mempelajari tasawuf?
Antara matlamat mempelajari tasawuf itu adalah seperti berikut;
- Makrifat (mengenali) Allah SWT dengan cara beribadah kepada-Nya bersungguh-sungguh.
- Penyucian, pembersihan dan peningkatan jiwa sehingga ia layak memperolehi makrifat Ilahi.
- Membina masyarakat yang sejahtera dengan asas yang baik, akhlak yang mulia, berpegang dengan peraturan-peraturan agama dan jalan -jalan rahsia kesufian yang meningkatkan martabat pengamal.
oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )
Rasuah ialah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudaratan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan.
Dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba mengatakan bahawa "Ini bukan rasuah, tetapi upah."
Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan al-Quran dan Hadis.
Allah berfirman :
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah : 188)
Disebutkan dalam Hadis :
"Rasulullah S.A.W telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)." (Riwayat al-Tirmizi)
Takrif Rasuah dan Sogokan.
- Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpamanya.
- Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.
- Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya, atau sebahagian daripadanya.
- Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.
- Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.
- Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada sudah dimulakan atau tidak, dan termasuk menggunakan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.
Beberapa bentuk kesalahan rasuah secara umum :
- Meminta / Menerima Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.
- Menawar / Memberi Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.
- Membuat Tuntutan Palsu. Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada prinsipal / majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan dengan tujuan untuk mengeliru / memperdayakan prinsipal / majikannya.
- Menyalahguna Jawatan / Kedudukan. Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan agar membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara-maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.
Bagi sesiapa yang bekerja di sektor perniagaan dan politik terutamanya, saya berpendapat tidak sukar untuk menemui atau mendapati salah satu antara empat kategori tadi berlaku. Ingatlah sekali lagi beberapa penekanan islam berikut :
1. Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)." (Riwayat Abu Daud)
2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan untuk mengutip zakat daripada kabilah Azad. Maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian daripada wang yang dikutip sambil berkata:
"Ini untukmu (bahagian untuk islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)." Maka Baginda murka sambil berkata: "Ketahuilah, pergilah kamu duduk dirumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W, mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah S.A.W telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua, separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.
Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah : "Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih daripada separuh." Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi ! Demi Allah, kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu ialah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya !"
Mendengar jawapan tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak !" (Imam Malik, Al-Muwattha : 1450)
4. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur." (Riwayat Ahmad)
Oleh yang demikian, tidak kira sama ada itu ialah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya jelas haram di dalam islam.
Semua harta yang diperolehi daripada jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini pasti akan kehilangan peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat mereka, akibat makan, minum, pakai mereka datang daripada sumber kotor sebegini.
oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )
Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadis yang menerangkan besarnya dosa riba.
1. Pemakan dan pemberi riba diperangi Allah dan Rasulullah S.A.W.
Allah memberi ingatan :
Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)
Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil serta tidak mahu meninggalkan "saki-baki" riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah dan Rasulullah S.A.W.
Ayat ini menyebut "saki-baki", menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar mengikut sunnah dan menjadi Mukmin sejati, perlu memiliki pengetahuan yang jelas tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya secara 100%.
Selain itu, ayat ini secara tidak langsung membuktikan seorang Mukmin mampu menjauhi riba dalam hidupnya, tidak sebagaimana dakwaan segelintir masyarakat kononnya kita tidak dapat lari daripada riba di akhir zaman ini.
Zahir daripada ayat ini juga menunjukkan "peperangan" berlaku sejak di alam dunia lagi. Malang bagi seseorang dan pemimpin yang tidak memperdulikan dosa ini.
Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :
Maksudnya; "Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah ."
Imam Abu Hanifah berkata bahawa inilah ayat dalam al-Quran yang paling menakutkan.
Imam Malik bin Anas pula berkata :
Maksudnya; "Telahku buka lembaran-lembaran kitab Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidakku dapati (dosa) yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah
telah mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya"
Berkata Imam Qatadah : "Allah menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada."
2. Kehilangan berkat harta dan kehidupan.
Tercatat didalam al-Quran :
Maksudnya; "Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276)
Kehilangan berkat itu akan berlaku didunia dan akhirat.
Hukuman di Dunia.
Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta bagi orang yang terlibat dengan riba adalah hartanya akan mudah hilang atau habis tanpa dirasai. Selain itu, harta itu mendorongnya melakukan pelbagai bentuk aktiviti tidak berfaedah dan dosa.
Ia juga akan berasa terlalu miskin dan fakir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Harta haram seperti ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan maksiat, perkara fasik dan hina, tatkala itu akan hilang sifat amanah dan kebaikan dalam diri.
Ia juga bakal ditimpa ujian harta yang banyak seperti dirompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim daripadanya juga lebih makbul.
Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibn Mas'ud r.a. :
Maksudnya; "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad, al-Hakim)
Hukuman di Akhirat.
Ibn Abbas berkata :
Maksudnya; "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihatnya dan persaudaraannya."
3. Seperti berzina dengan ibu bapa sendiri.
Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam satu hadis yang cukup mendalam maksudnya :
Maksudnya; "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (al-Tabrani, 7/158, al-Hakim)
4. Lebih berat daripada 36 kali zina.
Rasulullah S.A.W. juga memberi amaran :
Maksudnya; "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)
Hadis ini bukan untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memberi fokus kepada bahaya dosa riba. Justeru itu, saya amat mengharapkan umat islam membuka mata mereka kepada isu ini agar tidak terjebak dengannya.
Itulah gambaran betapa besarnya dosa riba, dan barangsiapa yang terlibat dengannya sudah pasti amat sukar memperolehi khusyuk di dalam solat mereka. Antara bentuk riba yang amat berleluasa ketika ini dan disertai oleh begitu ramai umat islam ialah:
- Pinjaman membeli kereta (Car Loan)
- Pinjaman membeli rumah (Home Loan)
- Pinjaman mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft)
- Pinjaman membeli mesin dan alatan untuk syarikat (Hire Purchase Loan)
- Membuat pinjaman peribadi (Personal Loan)
Apakah transaksi yang berlaku?
Sebagai contoh sebenar yang berlaku di bank konvensional hari ini, di atas permintaan pelanggan A untuk membeli kereta, rumah, memperoleh modal syarikat atau sebarang tujuan peribadi, konvensional memberi pinjaman sebanyak RM10,000 kepada pelanggan A dan sebagai imbalan balik kepada bank, pihak bank menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8% (bersamaan RM8,000 sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu sebagai balasan kerana memberikan pelanggan wang yang diperlukan.
8% itulah yang dinamakan 'Riba al-Duyun' jenis al-Qard. Ulama menyepakati jenis pulangan seperti ini adalah riba.
Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan mengikut bulan. Menurut hukum islam, jumlah RM8,000 yang diperolehi ini ialah hasil bank yang haram. Pelanggan yang memberi RM8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba.
Rasulullah S.A.W. menyebut :
maksudnya; "Individu yang memberi (riba) dan yang mengambilnya adalah sama." (Riwayat Muslim).
oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )
Berikut adalah salah satu cabang dosa harta yang dimakan oleh sebahagian pekerja. Semuanya pasti merosakkan jiwa dan hati serta menjauhkan daripada keinginan solat, apatah lagi untuk mendapat khusyuk.
Contoh dosa harta seorang pekerja.
- Menggunakan peralatan syarikat untuk tujuan peribadi seperti kertas, pen, faks, fotostat, menelefon anak dirumah, rakan-rakan dan lain-lain, yang mana tiada hubungan dengan kerjanya. Maka penggunaan tidak sah ini mestilah dibayar oleh pekerja sama ada secara langsung atau tidak langsung.
- Menipu syarikat ketika membuat tuntutan wang yang digunakan seperti tuntutan kos minyak petrol, pembelian alatan untuk syarikat di luar dan lain-lain dengan membuat kos tambahan sendiri.
- Mengambil rehat tidak sah ketika waktu bekerja. Ia akan menyebabkan pendapatan gaji seseorang tidak sepenuh miliknya.
- Membuat tuntutan kerja lebih masa dengan perancangan. Ia pada asalnya adalah harus, tetapi menjadi haram apabila pekerja sengaja melambatkan kerjanya pada waktu biasa, dengan niat untuk melakukan kerja lebih masa atau overtime. Ini ialah salah satu bentuk penipuan.
- Rasuah dalam membuat pemilihan. Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dan lain-lain untuk syarikat atau organisasinya. Sebagai contohnya, pihak pegawai memilih syarikat Z daripada empat syarikat lain yang menghantar quotation kerana syarikat Z itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan ikhlas.
Hukumnya adalah HARAM dan RASUAH dalam islam. - Mencipta quotation sendiri oleh pegawai atau kumpulan pegawai yang diberikan kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberi kepada 1 syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan agar quotation daripada 4 buah syarikat yang lain, pegawai ini telah mencipta beberapa quotation daripada syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan quotationnya adalah yang terbaik.
Hukum adalah HARAM kerana MENIPU. - Menaikkan harga. Seorang kakitangan diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah dan berjaya mencari dengan harga RM1500 tetapi menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.
Hukumnya adalah HARAM oleh sepakat ulama. - Menang Tender Bersyarat. Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk mengubah suai pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai itu telah melobi syarikat B kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat B yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat B dengan kadar keuntungan mengikut islam kononnya. Padahal, jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti pegawai itu tidak akan mengempen syarikat B.
Hukum tindakan sebegini adalah HARAM dalam islam dan ia termasuk dalam RASUAH BENTUK BARU dan berselindung di sebalik aktiviti pelaburan islam. - Tuntutan Palsu. Kakitangan membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza daripada jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini yang berlaku dalam kes-kes di atas.
Hukumnya adalah HARAM menurut islam kerana membuat penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu. - Resit Harga Ciptaan. Kakitangan membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.
Hukumnya adalah HARAM dalam islam kerana PENIPUAN. - Ambil Untung Sendiri. Pegawai diberi oleh syarikat bajet maksimum sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM5000 dalam invoice dan baki RM1000 hendaklah diberi kepadanya.
Hukumnya adalah HARAM kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang di sebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.
Wang yang diperolehi daripada kerja yang telah diberi gaji. Ramai individu yang cuba mendapat side income daripada cara-cara yang disebut tadi, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah hadis berikut,
Nabi bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)" (Riwayat Abu Daud)
MAKA JAUHILAH...