Apa hukum mempelajari tasawuf?
Imam al-Ghazali berkata;
"Hukum mempelajari tasawuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia."
Syeikh al-Syazili berkata;
"Siapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya."
Syeikh Dahlan al-Kadiri dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawuf adalah wajib 'aini pada setiap orang mukalaf. Ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap "Siapa mempelajari tasawuf tanpa fiqah, dia kafir zindik. Siapa mempelajari fiqah tanpa tasawuf, dia fasiq. Siapa mempelajari kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar)."
Ibn 'Ajibah berkata;
"Orang yang mempelajari tasawuf tanpa fiqah menjadi kafir zindik kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fiqah sahaja tanpa tasawuf menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas.
Sementara tahkik hanya diperolehi melalui fiqah dan tasawuf sehingga seorang itu dapat melaksanakan segala kewajipannya berdasarkan ilmunya dan melakukannya dengan sepenuh hati.
Oleh itu, jelaslah bahawa tasawuf dan feqah itu dua ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak sempurnalah fiqah itu tanpa tasawuf, sebagaimana pincangnya tasawuf tanpa fiqah."
Apa faedah mempelajari ilmu tasawuf?
Tasawuf dipelajari untuk mendidik hati dan untuk mengenali (makrifat) Allah Yang Maha Mengetahui.
Sepertimana kata Ibn 'Ajibah;
"Hasil mempelajari tasawuf adalah untuk melepaskan diri daripada runtunan hawa nafsu, memelihara hati daripada sifat keji dan berakhlak dengan akhlak yang mulia."
Apakah tajuk perbahasan tasawuf?
Tasawuf ialah ilmu yang membincangkan tentang zat Allah Yang Maha Tinggi untuk membolehkan seorang hamba mengenali-Nya berdasarkan ayat-ayat (bukti-bukti) yang ditunjukkan-Nya.
Tasawuf juga membimbing jiwa, hati dan roh agar menyucikannya. Tasawuf menitikberatkan persoalan akhlak dengan mengalakkan sifat mahmudah (yang terpuji) dan menghindari sifat mazmumah (yang dikeji).
Apakah matlamat mempelajari tasawuf?
Antara matlamat mempelajari tasawuf itu adalah seperti berikut;
- Makrifat (mengenali) Allah SWT dengan cara beribadah kepada-Nya bersungguh-sungguh.
- Penyucian, pembersihan dan peningkatan jiwa sehingga ia layak memperolehi makrifat Ilahi.
- Membina masyarakat yang sejahtera dengan asas yang baik, akhlak yang mulia, berpegang dengan peraturan-peraturan agama dan jalan -jalan rahsia kesufian yang meningkatkan martabat pengamal.
refrensi nya dari mana ya
mau tau dong