Sumber di blog ( www.eriyza.aeropama.com )
Khamis lalu bersamaan 9 Julai 2009, media massa sama ada media cetak atau media elektronik telah melaporkan bahawa Natrah telah meninggal dunia. Mungkin ramai anak-anak muda yang kurang tahu tentang kisah hidup Natrah yang telah mencetuskan tragedi berdarah atau lebih dikenali sebagai tragedi Natrah yang berbaur sentimen keagamaan dan warna kulit.
Berikut adalah kronologi perjalanan hidup Natrah yang penuh dengan dugaan maha hebat.
1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura
24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura
28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.
28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah.
2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.
12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.
25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.
20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.
26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans
1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
9 Julai 2009 Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.
Penulis tidak mahu bercerita lanjut tentang sejarah hidup Natrah kerana anda boleh merujuk Wikipedia. Kali ini penulis ingin membawa anda ke tempat Natrah dibesarkan iaitu Kemaman, Terengganu atau lebih tepat lagi Chukai. Kediaman penulis dengan Natrah boleh dikatakan terlalu hampir, hanya mengambil masa beberapa minit untuk ke lokasi berkenaan jika berjalan kaki. Rumah kayu yang agak besar itu dihuni oleh arwah abang ipar angkat Natrah. Malangnya beberapa bulan lalu, rumah kayu itu telah dirobohkan kerana tanahnya telah dijual setelah arwah meninggal dunia.
Menurut ayahanda penulis, Natrah dididik dengan ajaran Islam sehingga berjaya khatam Al Quran dan tidak mengabaikan solat 5 waktu. Che Aminah juga disebut orang sebagai seorang wanita kaya yang budiman. Secara peribadi, penulis pernah menjejakkan kaki ke sekolah rendah yang sama dengan cucu saudara angkat Natrah iaitu Mohd Akram Bin Abd Aziz. Sewaktu kecil dahulu, penulis selalu mengikut ayahanda menyewa filem aksi Jackie Chan dari kedai video milik salah seorang anak saudara angkat Natrah.
Natrah lambang wanita yang tersepit antara kemahuan dirinya untuk terus kekal menjadi wanita muslim seperti didikan Che Aminah tetapi dipaksa untuk menjadi kristian atas desakan keluarganya sendiri. Kesalan jelas terpahat di hati Natrah apabila 18 orang pejuang Islam syahid dan beratus-ratus orang lagi cedera kerana keberanian mereka mempertahankan akidah seorang gadis muslim. Natrah kekal dikenang di dalam sejarah Malaysia, Singapura dan Belanda dan British.
Antara petikan kata-kata lelaki Islam ketika Tragedi Natrah :-
Pada waktu tersebut orang melayu hendak masuk bagi membantah keputusan ke dalam mahkamah, Orang melayu diketuai oleh Karim Ghani telah ditahan oleh Inspektor Taha yang berkhidmat dengan kerajaan British.
Karim Ghani menyatakan kepada Inspektor Taha
“Ko orang Islam, aku orang Islam, aku datang hari ini bagi menyelamatkan akidah seorang anak yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH” , adakah kamu yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH” juga mahu menghalang aku? kamu halanglah aku akan tetap pergi….”
Dengar tu saja Inspektor Taha terus cabut uniform dia, buang senjata dia.. Inspektor Taha menyatakan
“Demi Allah, aku akan bersama kamu pada hari ini.”
Laungan Allahukabar bergema disetiap sudut.. Inspektor Taha terus serbu untuk masuk ke dalam mahkamah bersama orang-orang melayu. Lalu datang askar British tembak orang-orang melayu. Mengalir darah orang melayu di tangga mahkamah tinggi singapura. Seramai 18 orang telah gugur Syahid.
0 ulasan
Catat Ulasan