Memaparkan catatan dengan label Petua dan Amalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua dan Amalan. Papar semua catatan

Apa yang kamu belajar sama ada di sekolah mahupun di universiti atau di dalam madrasah.. di peringkat awal hanyalah sebagai "panduan awal saja". Tetapi selepas itu, adalah menjadi kewajipan setiap umat manusia itu untuk mencari "punca segala ilmu". Iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah dari Baginda Rasulullah s.a.w. Kerana Allah telah "REDHA" hanya kepada dia sunahtullah harus kita sambut, barulah ilmu dan amal itu akan diiktiraf oleh Allah swt sama ada ilmu zahir atau ilmu batin, dunia akhirat.

Kenapa? kerana Iblis akan masuk di kesemua ruang yang terbuka di antara ilmu-ilmu itu kemudian akan merosakkan amalan umat itu sendiri. Bagaimana caranya? ia akan duduk pada setiap ilmu yang tiada Wasilah dan Rabitahnya. Wasilah bermaksud dari tangan ke tangan hingga menyampai ke tangan Rasulullah s.a.w. Rabitah adalah tambatan hati yang kukuh tidak boleh dirungkai lagi, kepada baginda.

Justeru tiada siapa wa'ima Raja Iblis, Izazil laknatullah sekali pun tidak mampu merungkainya kerana di setiap ruang dan waktu di dalam ilmu itu akan berdiri Rasulullah s.a.w itu sendiri sebagai WALI (penjaga) dan saksi (juga di panggil syafa’at) di hadapan Rabuljalil esok kepada kamu sebagai "anak muridnya". Dialah yang akan memberi jaminan itu kerana kamu mengambil segala ruang Ilmu dan amal yang beliau wariskan itu. Itulah sebab utama kenapa Ilmu dan amal itu harus menyampai wasilah dan rabitahnya kepada Rasulullah s.a.w.

Wallahu a'lam.

Ayat Seribu Dinar, bagaimana ayat ini boleh menjadi ayat seribu dinar. Mengikut cerita, ia adalah ayat yang diajar oleh jin laut kepada seorang pedagang untuk mendapat laba yang banyak dalam perniagaan. Pengerasnya ialah wang 1,000 dinar. Sudah dibayar maka dia pun dapat ayat itu. Dan bila diamalkan ternyata berhasil. Saudagar itu jadi kaya-raya. Itu serba sedikit latarbelakang ayat ini.

Mari kita lihat, pertama siapa yang ajar ayat ini? ialah seekor jin. Kedua pengerasnya 1,000 dinar. Ketiga amalan ayatnya. Ketiga-tiga perkara ini telah melanggar Syarak. Kamu dilarang belajar dengan jin atau bersekutu dengannya. Pengeras itu bermaksud persetujuan menjadikan diri menjadi hambanya. Dan apabila beramal kamu berserta dengannya. Jadi buat apa nak amal ayat ini, kalau bertujuan sebagai pelaris. Dengan tujuan utama nak beramal dah jadi perkara syirik pula?. Ayat lain kan ada contohnya surah al-Waqiah, ad-Dhuha, Alam Nasyrah semua itu ayat untuk keluar dari kesukaran rezeki, hutang dan kesukaran hidup. Atuk dah pesan, kalau nak beramal apa-apa sekali pun kena tahu asal usulnya guru yang perturunkan ilmu itu, guru itu mestilah berwasilah dan rabitah baru diiktiraf.

Dahulu atuk baca dalam kitab milik guru atuk. Pernah juga atuk tanyakan perkara itu kepada beberapa orang guru yang lain dan mereka memberikan jawapan yang sama. Pada satu ketika apabila atuk sendiri beramal dengan ayat ini, maka jin yang dimaksudkan itu sememangnya hadir di hadapan atuk. Ia adalah dari keturunan Jin Ifrit yang sangat jahat dengan pelbagai muslihat untuk menipu kita, lalu atuk halau dia dan berhenti beramal ayat itu.

Jadi fikirkanlah, kalau kita tak tahu dan tak kenal mereka, apa akan terjadi kepada kita? buta-buta akan ditipu olehnya. Penipuannya ialah apabila kita beramal ayat ini ia akan hadir dengan "sangkaan" seolah-olah sebab beramal, maka dapat rezeki, walhal dia lah dalangnya. Maka manusia yang bodoh itu akan selamanya "ditunggangi" bagi beramal ayat tersebut, bukan kerana Allah. Tetapi kerana duit, yang didatangkan oleh jin berkenaan. Tak secara langsung kamu "bertuhankan jin" itu. Sekarang nampak tak muslihatnya.

Ini adalah kerana pengambilan ayat itu tidak daripada guru yang berwasilah dan berabitah kepada Rasulullah s.a.w. Ia mendatangkan masalah besar kerana tak tahu siapa yang beri ayat itu, atau belajar dari buku, atau dengar cakap orang. Maka putuslah sanad ayat tadi, justeru batal lah ilmunya. Jadi berhati-hati jika mahu beramal ayat-ayat dari al-Quran.

Wallahu a'lam.

Kaedah menyebut nama di binkan kepada Ibu digunakan dalam beberapa acara tertentu di dalam islam. Ia lebih kepada sesuatu perkara khusus menyentuh soal Rohani. Jika kita perhatikan, terutama waktu talkin dibaca di atas kuburan si mati, maka diseru nama orang itu dengan bin ibunya. Kerana pada waktu itu jasad sudah terpisah dari roh. Jasad sudah mati, tetapi rohnya tidak.

Panggilan di alam roh memang mengunakan nama sifulan dan bin Ibunya. Maka roh akan hadir mendengar. Memang jika berurusan dengan roh, disunatkan menyebut nama ibunya. Di dalam perubatan islam juga banyak menggunakan kaedah ini. Kerana ia lebih padat dan tepat, berbanding dibinkan ayahnya yang kurang atau lemah kerana bersandarkan jasadnya.

Wallahu a'lam.

Jika hendak membuat Kenduri Arwah (Majlis Tahlil) dan hendak memastikan bahawa pahala sedekah dan bacaan ayat al-Quran itu sampai kepada semua arwah yang kamu hajati.

Pertama, kenalah salah seorang ahli keluarga (kalau boleh yang lelaki sulung atau yang lebih faham bab agama) berniat selepas solat maghrib (sebelum kenduri malam itu). Kosad niat dengan bersungguh-sungguh dan dibaca nama-nama arwah (ahli keluarga kamu itu semua) dan dinyatakan bahawa kamu akan mengadakan kenduri arwah malam itu bersama-sama dengan kariah masjid/surau kampung kamu itu yang dibawa oleh (nyatakan nama imam yang mengapalai kenduri kamu itu).. pohon semoga Allah terima semua amalan sedekah dan bacaan ayat-ayat al-Quran, di mana semua pahala-pahala itu diberikan kepada mereka. Jadi kamu buat dulu “kosad niat” ini sebelum kenduri.. bukan suruh orang buat. Yang mereka buat itu hanya mereka (imam) ulang niat saja.. tapi yang paling penting ialah kamu sebagai kepala keluarga yang buat dulu.

Rasional kepada perkara ini ialah ia berkenaan dengan maksud ayat,
“Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,
1. Sedekah jariahnya,
2. Ilmu yang dimanfaatkan dengannya (kepada dirinya atau kepada orang lain),
3. ANAK SOLEH YANG MENDOAKAN UNTUKNYA”.
Jadi Dalil yang ketiga (3) itu adalah sandaran atas apa yang kamu buat di atas tadi.

Wallahu a'lam.

Ayat 1 hingga 10 daripada SURAH al-KAHFI

Semakin hampir waktu kemunculan Dajjal untuk menguasai dunia. Fitnahnya telah pun tersebar ke serata pelusuk bumi ini walaupun dia belum menzahirkan diri lagi. Apatah lagi setelah dia zahir dan menguasai muka bumi ini. Rasulullah SAW menyuruh kita beramal dengan ayat 1 hingga 10 daripada awal Surah al-Kahfi ini bagi menghindari fitnah Akhir Zaman.

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal". (HR Muslim, no. 1342)

Sebarkan kepada seberapa ramai orang Islam yang boleh sebagai usaha membantu menyelamatkan diri dari Fitnah Dajjal Laknatullah.

[1]
Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):
[2]
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata: ”Allah mempunyai anak”.
[5]
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
[9]
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.
*******

Cara beramal ayat 1 hingga 10 daripada Surah al-Kahfi

Pertama kamu kena tahu maksud ayat ini supaya kamu menjadi khusyuk dan yakin.

Selepas itu kamu kena hafalkannya.

Kemudian kamu buat ia sebagai wirid bacaan setiap hari yang kamu tentukan sendiri berapa banyak yang kamu sanggup buat setiap hari.

Yang terakhir kamu bersuluk dengan amalan ayat ini selama 41 hari disertakan dengan puasa sunat di siang hari dan di malam hari kamu buat solat-solat sunat 3 serangkai itu (di sinilah kamu nyatakan hajat kamu kepada Allah).


Sumber di blog ( www.panjihitamdaritimur.blogspot.com )

Setelah membuat pemerhatian dan mengaturkan soal jawab selama 3 bulan secara sampling rawak juga melalui kajian menggunakan kaedah kualitatif, kami mendapati tahap ambil berat pengguna Malaysia rata-rata sangat lemah terutama di kawasan luar bandar. Di mana mereka tidak punyai pendidikan asas tentang kepenggunaan dimana mereka kebanyakkan mudah saja diperdaya golongan-golongan tertentu seperti peniaga dalam pelbagai bidang terutama yang melibatkan direct sales.

Tahukah kenapa ekonomi China sangat cepat meningkat? Bagaimana kita menyumbang ke arah kecepatan kenaikkan ekonomi China?

Baiklah, mungkin ada dikalangan pembaca mengetahui bermacam-macam cerita mengenainya, mungkin juga ada yang tidak mengetahuinya. Kami akan mengupas dari satu sudut sahaja, yang kami fikir senarionya mudah difahami. Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2007, lebih 15000 tan sampah dihasilkan di Malaysia setiap hari. Plastik merupakan salah satu penyumbang utama kepada sisa sampah di Malaysia. Bahan buangan plastik kita dieksport ke China dengan anggaran harga 0.20 sen sekilo, sebagai contoh mereka kitar semula dan diproses menjadi tupperware. Mereka jual balik pada kita dengan harga beringgit-ringgit seunit. Beginilah proses asas yang berlaku, dan tahukah anda baju yang anda pakai juga mengandungi plastik, biasanya dalam kadar 30%. Bergantung pada jenis plastik sama ada kasar atau halus. Memandangkan cotton di pasaran agak mahal, plastik merupakan alternatif yang baik. Begitu juga dengan wallet dan tali pinggang, yang dikatakan kulit hanya di lapisan permukaan atas yang nipis sahaja, yang lain plastik. Inilah trend bisnes masa kini.

Dua bisnes yang paling baik untuk dibuat atas dunia ini ialah berasaskan angin (feng) dan air (shui). Sebagai contoh, roti yang kita selalu beli, ia membesar kerana mempunyai udara, cuba anda mampatkan, itu sahaja saiz sebenar makanan tersebut. Produk berasaskan air dipasaran terlalu banyak, baru-baru ini iklan bio aura sering di tontonkan di televisyen.

Sebagai pengguna yang bijaksana, anda harus bijak menilai duit anda dengan nilai barangan. Pakaian seperti baju atau seluar yang berjenama popular, (saya tidak mahu sebut secara direct) yang berada di pasaran, tetapi harganya tidak sepadan dengan pakaian tersebut. Saya ambil contoh: BRAND A ialah satu brand popular di dunia. Sebenarnya yang dikatakan original bukanlah pada baju atau seluar tapi hanya pada logo, mungkin butang dan sebagainya. Jika di China ada 3 jenis teknik replika barangan, iaitu yang biasa, sederhana dan terbaik. Apabila anda membeli sehelai baju yang berjenama yang sebenarnya ia di hasilkan, katakanlah di hasilkan Malaysia, hanya brand itu dicop di UK. Jadi yang original hanyalah pada cop brand tersebut sahaja. Kilang-kilang besar di Malaysia tidak berani untuk meletakkan brand kerana ia menyalahi akta undang-undang hakcipta dan perdagangan.

Fikirkan,
Adakah berbaloi membeli baju yang berjenama popular sedangkan kualiti pakaian itu sama dengan baju biasa? Di sinilah kebanyakkan pengguna tewas, rata-rata menilai buku dari kulitnya. Kebanyakkan barang yang kita pakai ialah hasil dari sisa sampah kita sendiri.

Pada ketika keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, kuasa membeli juga terjejas, mungkin anda belum merasainya secara ketara, tapi beringatlah sebelum kena. Menjadi pengguna yang bijak adalah penting. Jika di Taiwan, pengguna di sana sangat berwaspada dari ditipu kerana mereka boleh black mail atau saman syarikat yang menipu tersebut. Sebagai contoh air coca-cola. Sekiranya mereka membeli air coke, air yang terdapat dalam tin tersebut mestilah penuh. Sekiranya mereka dapati air didalam tin tersebut hanya separuh atau 3 suku, pengguna di sana akan mula menggertak syarikat tersebut atas tuduhan cuba menipu pengguna. Inilah kesedaran pengguna di sana, mereka tidak mengambil mudah hak mereka. Tapi adakah anda tahu hak anda?

Untuk rujukan terbaik, anda bolehlah ke KPDN dan hal ehwal pengguna berdekatan dan mempelajari seberapa banyak yang boleh dipelajari. Dengan kesedaran dan maklumat yang ada insyaAllah dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik...

oleh Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid - Pensyarah di UIAM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) & Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab juga di UIAM. Sedang menyambung pengajian peringkat PHD di Universiti Malaya (UM).

Kebahagiaan keluarga merupakan tunjang bagi kejayaan seseorang. Melalui keluarga akan nanti melahirkan ulama, cendiakawan, usahawan atau pimpinan yang unggul.

Suami dalam keluarga memainkan peranan penting dalam memimpin seisi keluarga. Melalui kepimpinan suami itulah mempengaruhi kejayaan dan kebahagiaan sebuah keluarga.

Bagaimanakah ciri-ciri suami yang berjaya?

Bagi menjawab persoalan ini kita perlu menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang berjaya malah Baginda mempunyai ciri-ciri suami idaman seluruh wanita.

Ciri-ciri tersebut termasuk:

1- Menyayangi isteri dengan sepenuh hati

Rasulullah s.a.w. menyayangi Khadijah r.a. dengan sepenuh hati kerana isterinya merupakan satu nikmat Allah terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda amat menyayanginya kerana:

  • Khadijah tinggal bersama Baginda selama suku abad dan mereka sama-sama merasai saat-saat suka duka.
  • Dia membantu Baginda ketika suasana yang getir dan sukar.
  • Dia sama-sama membantu Baginda menyebarkan risalah Allah.
  • Dia menyertai Baginda dalam jihad menegak agama Allah.
  • Dia mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya.
  • Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 6/118)

2- Romantik

Rasulullah s.a.w. juga merupakan seorang yang romantik. Bagaimana romantiknya Rasulullah?

  • Tidur bersama isteri dalam satu selimut - Daripada Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a., selalu mandi bersama dalam satu bekas. Dan pernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah,” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.” (Riwayat Sa’id bin Manshur)
  • Saling memakaikan wangian - Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda akan memulai dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Ibnu Majah)
  • Mandi bersama isteri - Daripada Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).” (Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
  • Minum menggunakan bekas yang sama - Daripada Aisyah r.a. dia berkata, “Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.” (Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)
  • Membelai isteri - “Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di sana.” (Riwayat Ahmad)
  • Mencium isteri - Daripada Hafshah, puteri Umar r.ha. : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Riwayat Ahmad)
  • Berbaring di pangkuan isteri - Daripada Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.” (Riwayat Abdurrazaq)
  • Panggilan mesra - Rasulullah s.a.w. memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humaira‘ (si pipi merah delima).
  • Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra - Nabi s.a.w. memicit hidung Aisyah r.ha. sekiranya dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: “Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)
  • Memberi hadiah - Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, dia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. berkahwin dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya aku hendak memberikan hadiah kepada Raja Najasyi sepersalinan pakaian dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui bahawa Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Benarlah keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikan kepada isteri-isterinya sebotol minyak kasturi, manakala baki daripada minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda beri kepada Ummu Salamah.” (Riwayat Ahmad)

3- Menghormati dan menjaga perasaan isteri

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang suami yang sentiasa menghormati dan menjaga perasaan isterinya. Suatu ketika, ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, Baginda mendekati isterinya Aisyah. Aisyah berkata: “Di tengah malam Baginda mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku Baginda berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

4- Tidak berkasar dan berlemah lembut dengan isteri

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah yang sedang berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba Aisyah dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Aisyah sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda meminta Aisyah menggantikan makanan tersebut.

5- Membantu isteri

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.ha. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Demikianlah beberapa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Kepulangan Rasulullah s.a.w. ke rumah bukan sekadar untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, Baginda di rumahnya juga adalah untuk membantu isterinya menguruskan rumah tangga. Inilah yang Baginda lakukan walaupun mempunyai tugas dan tanggungjawab di luar rumah.

Kesimpulannya, kita perlu mencontohi akhlak dan keperibadian Baginda tersebut. Sesibuk-sibuk kita, tidak seperti sibuknya Rasulullah s.a.w. Setinggi-tinggi pangkat kita di tempat kerja, tidaklah setinggi pangkat dan darjat Rasulullah s.a.w. Maka apakah yang menghalang kita daripada membantu meringankan tugas dan urusan isteri kita di rumah?

Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami terhadap isterinya. Maka sebagai seorang suami, contohilah sikap Baginda ini ketika bermuamalah bersama isteri. Manakala buat para isteri, ingatkan suami anda tentang ciri-ciri suami idaman. Semoga berbahagia bersama pasangan anda!

Belilah Kereta Berumur 1 - 2 Tahun

Ramai orang berlumba-lumba membeli kereta baru. Alasan mereka ialah kereta baru tidak rosak. Mungkin alasan itu benar. Tetapi dari kata-kata orang yang berpengalaman, kereta selalunya memberi ragam hanya selepas berumur 5 tahun. Ini bermakna jika kereta itu berumur antara 1 hingga 2 tahun, kereta itu bagaikan kereta baru, terutama jika pemiliknya menjaga dengan baik. Tahukah anda harga kereta akan turun sebanyak 20% sebaik saja berumur dalam 1 tahun. Jika kereta itu berumur 2 tahun harganya turun sebanyak 30%. Bayangkan sebuah kereta baru yang berharga RM 57 ribu menjadi RM 33 ribu setelah berumur dalam 2 tahun. Yang cantiknya, kereta ini masih cantik.

Jika anda seorang yang suka membeli sesuatu dengan harga yang berpatutan, anda perlu berhati-hati sebelum membeli kereta baru. Dengan sikap berhati-hati dan memilih, jangan terperanjat anda mungkin dapat berjimat banyak jika membeli kereta yang berumur 1 atau 2 tahun.

Langkah-langkah Penting

Perkara paling utama semasa membeli kereta terpakai ialah pastikan keadaan cuaca ketika itu adalah terang. Jangan sekali-kali memeriksa kenderaan di waktu gelap.

a) Pemeriksaan Luaran

  1. Sila periksa pemegang pintu.
  2. Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan senang.
  3. Pastikan 'bumper' belakang tidak calar dan karat.
  4. Pastikan sistem ekzos tidak berkarat.
  5. Pastikan rim tidak bengkok dan berkarat.
  6. Pastikan semua lampu berfungsi dengan baik.

b) Pemeriksaan Enjin
  1. Pastikan keadaan enjin mestilah bersih.
  2. Pastikan enjin tidak diubahsuai.
  3. Pastikan keadaan enjin dan pastikan tiada bocoran. Bagi menunjukkan ada kebocoran pada enjin, anda boleh meletakkan sekeping kotak putih di bawah enjin selepas menguji pandu kenderaan tersebut.
  4. Tiada kebocoran pada radiator dan sistem penyejuk.
  5. Pastikan semua 'belt' berada dalam keadaan baik.

c) Pemeriksaan Dalaman
  1. Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan mudah.
  2. Pastikan semua cermin berada dalam keadaan baik.
  3. Pastikan karpet kereta berada dalam keadaan baik.
  4. Pastikan lantai tidak berkarat.
  5. Pastikan 'dashboard' tidak retak.
  6. Pusingkan stereng ke kiri dan ke kanan.
  7. Tiada masalah dengan pedal brek dan clutch.
  8. Pastikan penghawa dingin berfungsi dengan baik.
  9. Pastikan tali pinggang boleh dipakai.
  10. Pastikan 'jeck clan' tayar simpanan berada dalam keadaan baik.

d) Cuba Memandu Dalam Masa 30 minit
  1. Cuba hidupkan 'switch' tetapi jangan hidupkan enjin.
    • Pastikan meter suhu bergerak.
    • Pastikan lampu minyak enjin menyala.
    • Pastikan lampu bateri menyala.

  2. Cuba hidupkan enjin.
    • Pastikan semua meter berfungsi dengan baik.
    • Pastikan tiada masalah dengan sistem gearbox.
    • Cuba matikan enjin dan hidupkan semula.
    • Pastikan tiada kebocoran minyak enjin berlaku di bawah.
    • Semasa memandu kenderaan tersebut, pastikan tiada bunyi dan gegaran.
    • Tiada masalah semasa penukaran gear.
    • Cuba pusingkan stereng 360° darjah. Adakah ia mengeluarkan bunyi ?
    • Cuba anda pandu kenderaan tersebut dan lalui kawasan yang ada bonggol kerana ia akan menguji sistem suspension.
    • Cuba biarkan enjin kenderaan itu hidup dalam beberapa minit dan pastikan suhu kepanasannya berada dalam keadaan stabil.

e) Pemeriksaan Terakhir

Perkara paling penting ialah periksa nombor casis dan nombor enjin. Pastikan nombor tersebut sama dengan dokumen pendaftaran kereta.

p/s : Adalah lebih nyaman jika kita mempunyai duit di dalam poket dari kita memandu kereta mewah atau mahal tetapi dengan kurang duit di poket.

oleh Dr. Azhar Hj. Sarip ( www.soulpower-kuasajiwa.blogspot.com )


Jika kita perhatikan kain batik yang indah coraknya apatah lagi jika digubah menjadi pakaian yang cantik rekaannya, kekadang kita lupa bahawa ianya bermula dengan kain tanpa warna yang bersih tanpa ada sedikit pun kotoran. Jika kain tersebut kotor maka pasti akan memberi kesan kepada corak yang akan dilukis serta warna yang bakal digunakan. Kita tahu juga bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah ibarat kain putih, dan itulah yang dinamakan fitrah. Ianya begitu bersih dan menerima apa sahaja corak yang bakal dicoret diatasnya dan kemudian membentuk perlakuan mengikut corak yang telah dilukis tadi.

Kain putih yang datang dengan fitrahnya itu amat bergantung kepada orang tuanya untuk memberi corak samada ia corak yahudi, nasrani mahupun majusi. Jika itu corak yang kita lukis maka kita telah melakukan banyak kesilapan dan pelaburan kita. Jika corak yahudi kita taburkan tidak pula bermakna si kain putih ini menjadi orang yahudi tetapi apa yang pastinya dia akan membawa sikap yahudi dalam dirinya. Dia akan sentiasa ingin duduk di atas dan sentiasa merasakan bahawa dirinya adalah yang terbaik. Keegoaan yang tinggi ini bukan sahaja akan membawa kemusnahan hidup pada si anak tetapi mungkin juga kepada orang tua kerana berkemungkinan mereka akan disisihkan dari kehidupan si anak.

Kita mungkin melihat bahawa takrifan samada ibubapa yang membentuknya samada menjadikannya seorang yahudi, nasrani, majusi mahupun Islam bermaksud agama yang akan dianuti. Itu satu kesalahfahaman yang besar. Ianya sebenarnya juga merujuk kepada kiasan jalan hidup. Kalau cara kita mencorakkan anak ialah cara nasrani maka kita akan dapat melihat corak kehidupan anak di masa hadapan cenderung kepada nasrani. Inilah yang dimaksudkan yang kadangkala kita ambil ringan kerana pada fikiran kita mereka sudahpun beragama Islam dan mana mungkin mereka menjadi selain dari Islam. Namun kita lupa bahawa Islam warisan hanya mungkin bermaksud pengakuan namun pada kehidupannya adalah corak yang sudah dibentuk dari kecil.

Kali ini saya ingin mengupas tentang apakah yang dimaksudkan dengan mencorakkan anak. Cuba kita renung dan buat satu pemerhatian. Cuba kita ambil sehelai kain putih yang bersih dan bentangkan di hadapan kita untuk kita corakkan. Sebelum kita mencorakkan apakah yang perlu kita lakukan seandainya kita bukan seorang pelukis. Sudah pasti kita akan memikirkan apakah yang perlu kita lakukan untuk melukis dan warna apakah yang sesuai serta corak sebagaimana yang patut kita coretkan di atasnya.

Itu bagi kita yang tidak pandai melukis namun bagi mereka yang berjiwa seni mereka terus sahaja memegang alat untuk mencanting untuk melakarkan corak. Mungkin kita berkata “oh itu memang tugasnya, jadi memang lah mudah untuk mereka lukis”. Bagi saya itu hanyalah kata-kata mereka yang kurang mengkaji dan membuat pemerhatian atas kehidupan. Mereka sebenarnya melukis dengan penuh perasaan dan adakalanya mereka melontarkan perasaan mereka di atas kain putih samada mencanting batik mahupun melukis lukisan.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah seorang pelukis akan melukis dengan penuh kesenian dan kesenian itu datang dari perasaannya. Dia membentuk setiap strok lukisan dengan jiwanya dan hasilnya pasti akan menyenangkan hatinya. Tetapi berbeza dengan mereka yang tidak berjiwa seni, mereka membentuk lukisan dengan apa yang difikirkan bagus tanpa ada jiwanya. Maka lukisannya akan berhadapan dengan banyak kemungkinan, mungkin cantik, mungkin tidak. Dan sekiranya tidak, mudah sahaja, tak perlulah kita fikirkan untuk menggantungnya jauh sekali menjualnya.

Jika sekiranya lukisan itu cantik, mungkin tanpa sedar kita telah melukisnya dengan penuh perasaan dan mungkin kita telah meniru satu bentuk lukisan yang lain. Kemungkinan yang berlaku ialah kita mungkin menjualnya dengan harga yang mahal jika ia lukisan asli namun jika ianya adalah salinan dari lukisan yang lain mungkin ada harga atau mungkin tiada.

Begitulah dengan corak yang bakal kita bentuk dengan anak kita. Sebenarnya kita hari ini sering memikirkan bagaimana membentuk anak kita agar berjaya mengikut acuan yang ingin kita lihat. Seringkali kita terlupa adakalanya atau selalunya acuan kita itu tidak sama dengan saiz yang sepatutnya untuk anak kita jika ianya kecil dan sempit, tanpa sedar kita telah menyiksa jiwa si anak hingga mental dan jiwa cedera. Ini boleh dilihat dari segi perlakuan dan jika acuan kita terlalu besar, pastinya berlaku juga ketidak selesaan kerana si anak dapat merasakan dia berada di bawah potensi dirinya yang sebenar.

Saya berpendapat jika kain putih yang ingin kita corakkan perlukan satu corakan yang mempunyai nilai seni, kita perlu bermula dengan jiwa. Pendidikan awal ialah pendidikan jiwa. Dari jiwa barulah datang corak yang sesuai dengan si anak. Jika jiwa si anak ialah jiwa seorang ahli sukan tetapi kita ingin mencorakkannya menjadi seorang chef maka pasti berlaku konflik diri yang bakal memberi kecederaaan yang teruk. Justeru kita yang mencorakkan anak haruslah terlebih dahulu mencorakkan diri kita dengan perasaan yang betul kerana anak yang dicorak dengan perasaan marah akan membawa sifat marah hingga ke akhir hayat jika dia tiada inisiatif untuk megubahnya.

Kita perlu mendidik atau mencorakkan anak kita dengan penuh perasaan dan dari situ akan timbullah rasa hormatnya kepada kita. Bentuklah anak dengan penuh perasaan bukan dengan hanya logik akal. Fahamilah apa yang dapat dilakukan oleh si anak dengan kekuatan jiwanya. Rumah merupakan sekolah pertama untuk setiap dari kita. Rumah juga suatu tempat untuk membentuk anak-anak dalam menyelusuri masa hadapannya. Sebelum anak itu mengenal masyarakat besar, dia terlebih dahulu mengenal komuniti kecil dalam keluarganya. Jika dalam komuniti kecil ini anak tidak didik dengan perasaan tetapi dididik dengan paksaan, suatu hari nanti anak akan mencapai satu titik maksima dan berlakulah sesuatu di luar jangkaan kita. Pada waktu itu kita mungkin menyalahkan anak tetapi kita lupa unsur paksaan itu amat besar impak negatifnya.

Ini tidak pula bermakna kita perlu mengikut apa jua yang dikehendaki oleh si anak. Kita perlu menolak kemahuan yang diinginkan oleh mereka seandainya ianya bakal memberi kemudaratan samada secara fizikal ataupun mental. Namun caranya bukan dengan paksaan, kita perlu membentuknya dengan perasaan. Saya sering diingatkan oleh bos lama saya sewaktu bekerja dulu… don’t get the respect but earn it. Jika kita ingin dihormati kita tidak perlu memaksa orang untuk menghormati kita kerana itu satu penghormatan palsu tetapi biarlah rasa hormat itu datang tanpa diminta. Begitu juga dengan anak. Kita perlu melakukan sesuatu agar rasa hormat datang dari jiwanya bukan sekadar meminta mereka menghormati kita.

Kita perlu faham bahawa anak yang baik belum tentu soleh tetapi anak yang soleh sudah tentu baik. Jika anak kita berjaya dalam hidup secara fizikalnya belum tentu dia berjaya secara rohaninya. Orang yang sebenar kaya ialah orang yang kaya jiwanya. Orang yang kaya jiwanya adalah orang yang sedar bahawa dirinya sentiasa memerlukan Allah swt dan dirinya sentiasa faqir di hadapan Allah swt. Kita perlu mendidik anak-anak kita peranan Allah swt dalam hidup kita bukan sekadar hanya berkata Allah itu Tuhan sekalian alam. Berkata amat mudah tetapi menjiwainya amat sukar tanpa pemahaman yang betul. Biar sebijak mana anak kita tetapi jika dia tidak faham kedudukan dia dan Allah swt maka kecendurangan untuk menjadi orang yang egois amatlah besar.

Adakah kita mahu anak-anak kita menjadi seperti kita yang hanya mengingat Allah swt di kala susah dan melupakannya di kala senang walaupun kita sedar bahawa kesenangan itu adalah pemberian Allah swt. Cuba kita renungkan sewaktu kita di alam barzakh, apakah perasaan kita jika kita melihat anak-anak kita hanya sedih di hari kematian kita tetapi setelah pengagihan harta diselesaikan semuanya tersenyum tanpa memikirkan penat lelah kita yang berusaha untuk membahagiakan mereka.

Kita perlu didik anak-anak kita agar faham bahawa kita perlukan Allah swt sepanjang masa. Jika anak kita melakukan kesalahan janganlah kita hanya berkata bahawa dia telah melakukan kesalahan tetapi sampaikan kepadanya bahawa masih punya peluang untuk diampunkan Allah swt, dia masih dicintai Allah swt. Kita perlu mengajarnya untuk berterima kasih kepada Allah swt. Kita sering mengajar anak kita untuk berterima kasih kepada orang apabila diberi pemberian tetapi jarang sekali kita memberitahu anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt atas setiap kebaikan yang kita perolehi dan keburukan yang kita hadapi kerana apabila kita ditimpa musibah itu juga tandanya Allah swt mengingati kita…. Manakan tidak hanya sewaktu susah kita beriya-iya meminta pertolongan darinya jika tidak kita akan minta pertolongan dari mereka yang kita fikirkan boleh membantu kita.

Bermula dari hari ini cubalah kita ajar anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt. Persoalannya bagaimana… jika kita memaksa, mereka akan memberontak. Cara paling mudah ialah kita terlebih dahulu melakukannya dan anak pasti mengikut perlakuan kita. Sama ada kita sedar atau tidak anak adalah cermin kita, jika kita berhias, anak akan berhias. Jika kita dapat mencorakkan anak kita dengan kefahaman tentang cinta Ilahi maka Insya Allah anak kita akan hidup dengan penuh kasih sayang sesama makhluk.

oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi
(Dipetik dari buku “Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengalaman Islami” susunan Mohd Zaidi Abdullah. Beliau juga merupakan penyumbang artikel dan penyunting buku ini.)

Saya diminta bercakap berkenaan tasawwuf dan tariqah tasawwuf dalam persidangan ini. Bagaimana saya hendak mencakapkan tasawwuf kerana ia adalah jenis jiwa ruh kebatinan? Bagaimana hendak diceramahkan kerana ia cahaya dan keimanan?
Kita sekarang sedang hidup dalam dunia yang berserabut dengan gejala-gejala kebendaan fikiran dan usaha-usaha yang berlumba-lumba untuk hawa nafsu syahwat dan keinginan syaitan, hati yang dinoda tamak haloba angkara murka kejahilan dan kekeliruan melainkan orang yang arif bijaksana dan beriman.

Untuk tahu dan mengenal tasawwuf itu, cuba buang dan jauhkan diri (akan) sebarang larangan Allah Ta‘ala. Hampir dan kerjakanlah apa-apa yang disuruh Allah Ta‘ala. Bersihkan dan heningkan fikiran dan hati dengan nur dan petunjuk Tuhan. Jauhkanlah dari fitnah dunia dan bisikan syaitan. Amalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Buangkan sifat-sifat mazmumah (tercela). Bangunkanlah insan kamil. Tinggalkanlah dunia yang fana ini dan berhadaplah kepada negeri akhirat yang kekal. Hadaplah dunia ini dengan penuh rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Isilah budi pekerti dengan timbang rasa keadilan dan ihsan. Hiasilah diri dengan adab akhlaq yang bersih baik, taat mengerjakan ibadah. Kasih kepada Allah Ta‘ala dan mahluknya, asyik bercinta dengan kecantikan kesempurnaan Tuhan Yang Maha Tinggi Maha Besar, berkecimpung di lautan rahmat dan keridaan Tuhan. Peranglah nafsu dan syaitan. Kenallah diri yang sebenarnya. Dengan demikian, nampaklah kesucian dan kebenaran tasawwuf itu.

Tasawwuf Itu Nyawa Islam

Tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna, sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh tolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah ilmu batin sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya.

Al-Quran dan Tasawwuf

Daripada ayat-ayat al-Quran diambil sandaran dan pegangan tasawwuf dan tariqah-tariqah, berpaling dari dunia dan berhadap kepada yang menjadikan hidup dan dunia alam buana ini, berhadap kepada Tuhan dengan penuh harapan kasih dan fana fillah. Di antara ayat-ayat itu :

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid : 20)

Seluruh ayat al-Quran itu tujuannya mengharapkan dan memimpin diri manusia itu kepada ruh yang suci, menghadap kembali kepada Tuhan yang menjadikan sekalian makhluk ini, balik ke negeri akhirat yang kekal abadi. Allah Ta‘ala dalam al-Quran dengan tegas berfirman :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (adh-Dhariyat : 56)

Semua dalam alam wujud ini menurut fitrahnya ingat dan tunduk bertasbih kepada Allah Ta‘ala :

“Bertasbih bagi-Nya oleh langit-langit dan bumi dan mana-mana makhluk pada kedua-duanya.”

Mulai dari zaman Rasulullah S.A.W lagi, ketika al-Quran masih bersambung-sambung turun, ada golongan manusia yang banyak sekali beribadat dan banyak membaca dan menghafaz al-Quran itu. Golongan ini terkenal Ahli al-Suffah, yang menjadi pangkal menimbulkan ahli tasawwuf itu. Inilah sedikit pandangan daripada al-Quran. Mazhab ahli tasawwuf itu :

Kasih mereka kepada Allah, kasih Allah kepada insan, kasih insan kepada Allah, kasihlah yang menegakkan hidup. Kerana itulah kasihkan Allah itulah pujaan hidup ahli-ahli tasawwuf itu mulai dari jasmaninya lantas kerohanian sentiasa kasihkan Allah. Lidahnya sentiasa berzikir dan bertasbih. Tiap nafas turun naiknya, keluar masuknya dengan berzikir. Hati budinya terus dengan zikir yang sentiasa.

Jiwa mereka taat beribadat dan berjihad melawan nafsu, melawan kezaliman, berjuang dalam lapangan umum, meninggikan kalimah Allah hingga jadi agama Islam itu pegangan hidup dan jalan hidupnya semata-mata kerana Allah Ta‘ala.

Rasulullah S.A.W. dengan Hidup Tasawwuf

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bertapa di Gua Hira’ sehingga menjadi rasul. Rasulullah S.A.W sangat kuat bertahajjud, istighfar, zikir, sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana lama berdiri qiyam. Rasulullah S.A.W menangis kerana takutkan Tuhannya. Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang-barang buruk buangan. Semuanya ini terang dalam hadith yang sahih.

Rasulullah S.A.W mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk. Dalam suatu Hadith Qudsi : “Aku adalah di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya.” Rasulullah S.A.W tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Umar dengan penderitaan nabi itu.

Banyak sungguh hadith-hadith yang dipegang oleh ahli tasawwuf itu. Pada orang tasawwuf, siapa yang hendak dunia, seperti sabda Rasulullah itu, silalah dan siapa yang hendakkan akhirat dan keredaan Tuhannya jalan atau tariqahnya adalah terang dan nyata.

Keperluan Tasawwuf Di Zaman Ini

Apakah gunanya tasawwuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini?
Tidakkah akan mematahkan semangat usaha dan kerja pembangunan?

Tasawwuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang tasawwuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat nabi, sahabat-sahabat dan ulama-ulama.

Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tidak berjasad.

Syara‘ dan haqiqat perlu sama maju. Masing-masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapang masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik jika ada orang yang tak boleh minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak suka teh, ambillah minuman masing-masing.

p/s : Tasawwuf itulah adalah ruh dalam pengamalan Islami. Tanpa ruh, maka tidaklah hidup jasad itu. Peranan tasawwuf sungguh besar dalam kehidupan masa kini. Apa tidaknya, kerana tasawwuf itu sendiri asasnya berdiri di atas prinsip tauhid dan mengesakan Allah. Kemudian ianya dihiasi dengan akhlaq yang mulia dan baik. Maka, melalui tasawwuf peradaban kaum Muslimin terbina. Jika masyarakat mempunyai akhlaq yang buruk, hidup mengikut nafsu syahwat dan kebinatangan, maka akan musnahlah sesuatu peradaban itu.

Seperti yang disebut Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi di atas, melalui tasawwuf terbinalah episod baru peradaban kaum muslimin yang gemilang. Peradaban yang gemilang terbentuk apabila rakyatnya terdiri daripada mereka yang berakhlaq mulia, mata hatinya tajam, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang dan saling menghormati. Hati mereka sentiasa mengingati Allah.

Apakah yang akan terjadi kepada sesebuah institusi korporat sekiranya para pekerjanya mempunyai akhlaq yang cemar?
Masing-masing ingin menjatuhkan di antara satu sama lain. Majikan bersifat zalim dan kasar kepada pekerjanya dan para pekerja tidak amanah dalam menjalankan tugas?

Sudah pasti institusi korporat tersebut akan menuju kehancuran. Begitulah juga halnya dalam sesebuah peradaban. Mungkin ada antara yang tidak setuju dengan istilah tasawwuf, tetapi tasawwuf itu tidak lain daripada maksud hadith Rasulullah S.A.W iaitu : “Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu.” Itulah dia tujuan tasawwuf, untuk mencapai peringkat ihsan.

:: Bismillahirrahmanirrahim ::

Luruskan saf ! Rapatkan saf !

Ungkapan ini sering kita dengar dari mulut imam dalam hendak memulakan solat secara berjemaah. Tetapi adakah kita faham dengan ungkapan itu? Luruskan saf? Rapatkan saf? Cuba kita lihat gambar di bawah.


Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki. Ketika solat berjemaah jarak yang terbaik ialah sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain di sebelah kita. Ia sekali gus mempertautkan ukhuwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Seperti yang disebut hadis sahih riwayat al-Bukhari di bawah:

"Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki." (Riwayat al-Bukhari)

Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak. Antara hadis-hadis yang lain:

"Luruskanlah saf kamu (ketika solat), sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku." (Riwayat al-Bukhari)

"Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu akan bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Tanpa disiplin tersebut, manusia akan berada dalam rasa keegoaan masing-masing hingga berasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka. Di samping itu, ia juga menunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah S.W.T akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini.

Tanpa merapatkan saf juga memberi peluang dan ruang untuk syaitan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

"Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung (urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus (urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)

Semoga dengan ilmu ini kita boleh memperbaiki sifat solat kita untuk menyamai sifat solat Nabi S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W :

"Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat" (HR Bukhari dan Ahmad, dalam Irwaul Ghalil 213).

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda S.A.W. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “ Wanita mendedahkan/menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah), juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu : “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”, maka anak perempuan Anas menyampuk : “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”, maka Anas menjawab : “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi S.A.W lalu menawarkan dirinya kepada baginda S.A.W” (Sohih Al-Bukhari, 7/17).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi S.A.W (Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : “telah datang kepada Nabi S.A.W seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : “Adakah kamu telah melihatnya? : “Belum jawabnya”, Nabi menjawab : “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)” ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : “Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian - (perkahwinan) kamu berdua” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif ; Sohih menurut Albani)

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Nabi S.A.W menyatakan : “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan berkasih adalah Nikah (Faidhul Qadir, 5/294).

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal’ lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  • Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.

  • Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.

  • Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)

  • Awas fitnah masyarakat sekeliling.

  • Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.

  • Haram melihat kepada aurat masing-masing.

  • Awas daripada bertukar gambar.

  • Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

BANYAK penyakit yang menyerang manusia berkait rapat dengan makan minum. Justeru, Nabi Muhammad s.a.w sering mengingatkan umat Islam berkaitan bahaya perut agar mereka berwaspada dengannya.

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyenaraikan tujuh adab sebelum makan yang perlu dijaga :

  1. Memastikan makanan daripada sumber halal.
  2. Membersihkan tangan.
  3. Meletakkan makanan dalam bekas yang diletakkan di lantai kerana ia melatih diri untuk bertawaduk. Tetapi jika makanan diletakkan di atas meja tanpa melampaui batas, ia tidaklah dilarang.
  4. Duduk secara betul. Dilarang makan sambil berbaring atau bersandar.
  5. Berniat agar makanan itu mendatangkan kekuatan untuk beribadat kepada Allah (SWT).
  6. Bergembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur.
  7. Berusaha untuk tidak makan seorang diri, tetapi bersama-sama dengan orang lain walaupun daripada kalangan keluarga dan anak sendiri.

Imam al-Ghazali juga menyenaraikan adab ketika makan yang perlu dijaga agar makanan itu diberkati oleh Allah (SWT) :

  1. Mulakan dengan bismillah dan doa.
  2. Makan dengan tangan kanan.
  3. Mengunyah dengan baik.
  4. Jangan dicaci sebarang makanan.
  5. Sebaik-baiknya dijamah makanan yang terdekat kecuali buah-buahan.
  6. Jangan menghembus di atas makanan yang panas. Tunggulah dengan sabar.
  7. Jangan makan secara berlebihan.
  8. Apabila terpaksa minum air, pastikan ia sedikit saja kecuali jika perlu.

Berhubung dengan adab selepas makan, Imam al-Ghazali memberikan beberapa panduan :

  1. Berhenti makan sebelum kenyang.
  2. Menjilat jari.
  3. Membasuh tangan.
  4. Berdoa.
  5. Mengeluarkan makanan yang terlekat di celah gigi.
  6. Banyak bersyukur kepada Allah (SWT).
  7. Beristighfar agar diampunkan Allah (SWT) andai ada unsur syubhah pada makanan.

:: Bismillahirrahmanirrahim ::

Malaysia kini telah menyertai kelab mewah dalam tahap pemakanan. Jumlah mereka yang gemuk dan terlampau gemuk (obese) bertambah setiap tahun. Teringat pula iklan di TV yang memaparkan seorang lelaki 'boroi' dan ditanya oleh 'nurse' "Berapa Bulan?" keadaan ini mengundang beban penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ingat, penyakit seperti ini merupakan penyakit seumur hidup... makan ubat sepanjang hayat.

Apakah cara pemakanan yang sihat?
Berikut diperturunkan petua-petua sebagai panduan.

  1. Minum 8 gelas air sehari.
    Air mengurangkan selera makan kita secara semulajadi dan membantu badan memetabolisme simpanan lemak didalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat-berat, cuba minum air pasti kita tidak akan makan dengan banyak.

  2. Kurangkan garam.
    Pengambilan garam yang tinggi menggalakkan penakungan air. Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan kita menakung sedikit air. Ini bermakna kita kurang berat yang disebabkan air.

  3. Sarapan pagi.
    Mengambil sarapan pagi membantu mengurangkan berat badan kita. Sarapan pagi menstabilkan hormon dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolisme juga meningkat untuk membakar kalori.

  4. Makan dengan perlahan-lahan.
    Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan. Apabila makan secara perlahan, tubuh akan menunjukkan isyarat menunjukkan kepuasan.

  5. Makan buah dan sayur.
    Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik untuk vitamin, mineral dan serat dan mengandungi kandungan lemak yang rendah.

  6. Elak minuman bergas.
    Minuman bergas biasanya mengandungi 7 hingga 8 sudu gula dan tidak baik untuk kesihatan tubuh.

  7. Gula-gula getah.
    Jika kita terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi atau kunyahlah gula-gula getah kerana rasa mint atau berangin akan membantutkan selera kita.

  8. Kurangkan marjerin.
    Kurangkan pengambilan marjerin dalam menu harian kita.

  9. Rebus, panggang dan kukus.
    Cara memasak paling baik ialah dengan merebus, memanggang dan mengukus untuk mengurangi jumlah kalori dalam makanan.

  10. Kurangkan gula.
    Kurangkan pengambilan gula kerana setiap 1 sudu gula mengandungi 32 kilo kalori.

  11. Makan oat.
    Oat adalah makanan yang kaya dengan serat larut (beta glukan), sejenis serat yang telah terbukti secara klinikal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Oat memerlukan masa lebih panjang untuk dihadamkan. Bermaksud kita akan berasa kenyang untuk jangka masa yang panjang dan tidak akan menyebabkan kita makan secara berlebihan.

  12. Senaman.
    Sesibuk mana jadual kita, luangkan waktu untuk bersenam. Apa yang kita perlukan adalah sekurang-kurangnya 20 minit senaman setiap hari dalam seminggu.

Nabi pernah berpesan supaya makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Juga, agihkan ruang dalam perut kita supaya sepertiga untuk makan, sepertiga untuk air dan selebihnya ruang untuk bernafas.

Corak makan pun penting, bersarapan pagi seperti raja, makan tengah hari seperti anak raja dan makan malam seperti hamba.

Hikmahnya semasa pagi kita telah berpuasa semalaman dan perlukan tenaga yang cukup sehingga tengah hari. Semasa tengah hari hingga ke petang pula makan untuk maintain tahap tenaga dan tidak makan terlalu berat untuk elak rasa mengantuk. Sebelah malam pula tahap aktiviti kita kurang dan lebih kepada rehat dan tidur, jadi makan secara ringan pun memadai. Tetapi ingat, makanlah seperti yang disarankan dalam petua-petua diatas.

Adik comel mula melangkah,
Abang di kolam asyik berenang,
Kurangkan makan lajukan langkah,
Badan sihat hatipun senang.