Kebanyakan pasangan bakal pengantin tidak menitikberatkan soal persiapan untuk menghadapi hari bahagia mereka. Rata-rata bagi mereka urusan itu diserahkan 100% kepada ahli keluarga atau mak andam yang ditempah. Inilah antara punca di mana ada sesetengah pasangan pengantin yang tidak berpuas hati dengan majlis perkahwinan mereka.

Sepatutnya, pasangan pengantin ini, perlu meluangkan masa untuk merancang keseluruhan majlis serta kelancarannya. Majlis perkahwinan ini penting, kerana ia hanya hadir sekali dalam hidup pasangan tersebut.

Seeloknya, sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan di jari manis wanita idaman, kedua-dua pihak bolehlah menyediakan persiapan untuk majlis perkahwinan secara berperingkat-peringkat. Jangan tangguhkan persiapan perkahwinan, kerana dikhuatiri masalah-masalah lain akan timbul. Biarpun tempoh perkahwinan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak masih jauh lagi, misalnya dua atau tiga tahun akan datang, tetapi persiapan perkahwinan harus dimulakan. Paling tidakpun, anda perlu merancang jumlah perbelanjaan yang akan digunakan dalam majlis itu nanti. Senaraikan segala barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk majlis tersebut. Apa yang anda perlukan dan idamkan, perlulah dicatit supaya tidak tercicir dalam saat anda hampir menjadi raja sehari.

Dewasa ini, anda amat bertuah kerana anda boleh mendapatkan informasi perkahwinan di merata-rata media, terutamanya majalah. Terdapat beberapa majalah yang khusus untuk pasangan pengantin. Ia merangkumi tips, hantaran, pakaian, pelamin, kad jemputan dan sebagainya. Selain itu, anda boleh merujuk kepada butik-butik yang menawarkan perkhidmatan runding bagi majlis perkahwinan. Jurunikah atau 'tok kadi' merupakan orang yang paling penting dalam memastikan anda 'diijab kabulkan' dengan selamat, teratur dan lancar. Anda perlu mencari jurunikah ini lebih awal kerana dikhuatiri mereka telah ditempah oleh pasangan lain, pada tarikh yang sama.

Apabila menyentuh soal kenduri, pastikan kaedah mana yang ingin digunakan, sama ada menggunakan khidmat katering atau memasak sendiri. Jika anda memilih katering, tempahan hendaklah dibuat seawal mungkin. Jangan menyerahkan segala-galanya kepada katerer dalam soal menu, kerana selain kelancaran majlis, tetamu yang hadir juga menilai menu yang dihidangkan. Sebaiknya berbincanglah dengan katerer berkenaan, menu yang sesuai dengan suasana majlis anda dan pastikan ia berpatutan dan mencukupi. Anda juga boleh menempah katerer yang lain jika dirasakan tidak sesuai. Bagi mereka yang lebih selesa memasak sendiri, pastikan menu yang ingin dihidangkan dan senaraikan segala bahan yang diperlukan. Perkara penting yang harus dititkberatkan juga ialah tenaga kerja yang akan membantu anda untuk bergotong-royong. Tenaga kerja perlulah mencukupi dan sediakanlah sedikit wang, bagi menghargai bantuan dan pertolongan mereka. Tempahan khemah juga hendaklah dibuat lebih awal. Hal ini kerana penggunaan khemah mempunyai permintaan yang tinggi. Selain itu tujuannya bagi memastikan ia dapat didirikan pada masanya. Semasa memilih khemah, pastikan ia mempunyai kipas bagi memastikan keselesaan tetamu yang hadir.

Kad jemputan memainkan peranan dalam menentukan jumlah tetamu yang dijemput menghadiri majlis anda. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kad jemputan di pasaran. Anda hanya perlu pilih yang sesuai dan senada dengan warna pelamin atau baju pengantin anda. Apa yang penting ialah, pastikan cetakan nama anda dan pasangan anda serta alamat betul. Jika tidak segeralah membuat pembetulan. Bagi mereka yang ingin mengelakkan pembaziran dan menghadkan perbelanjaan, bolehlah sertakan sekali kad jawapan di dalam kad jemputan anda. Bagi mereka yang akan hadir, mereka akan menghantar semula kad jawapan tersebut, berserta bilangan orang yang akan hadir ke majlis anda. Dengan itu, anda bolehlah merangka perbelanjaan anda. Tetapi awas, ada juga tetamu yang tidak menghantar semula kad jawapan tersebut, tetapi hadir ke majlis anda.

Mungkin anda pernah menghadiri majlis perkahwinan di mana kompangnya dimainkan melalui kaset atau cakera padat. Apa yang anda dapat rasakan ketika itu? Tentunya majlis itu kurang meriah. Bagi mengelakkan situasi itu, anda perlulah menempah pasukan kompang dengan lebih awal. Bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan mak andam, perlulah menempah mereka lima atau enam bulan lebih awal. Pilihlah mak andam yang bersesuaian, bagi memastikan penampilan anda sebagai raja sehari benar-benar memuaskan. Anda boleh meminta mereka menyolek anda (sebagai percubaan), agar solekan mereka memuaskan hati anda dan mampu menaikkan seri wajah anda. Selain perkhidmatan solekan, mak andam juga biasanya mempunyai set pelamin dan baju pengantin. Jadi anda berpeluang memilih pelamin dan baju yang bersesuaian dengan citarasa anda. Anda juga boleh meninjau di butik-butik pengantin yang menyediakan fesyen terkini atau kontemporari, yang mungkin lebih menarik perhatian anda.

Seperti yang kita sedia maklum, majlis seumpama ini dilakukan sekali seumur hidup. Bagi memastikan kenangan itu terus terpahat di hati, anda bolehlah menempah jurufoto atau jurukamera untuk merakamkan detik-detik manis anda bersama. Elakkan daripada meminta saudara-mara anda yang merakamkan gambar-gambar anda kerana mungkin ia kurang berkualiti. Bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, pilihlah jurufoto atau jurukamera yang pakar dalam bidang mereka, ini bagi memastikan detik manis anda bersama suami atau isteri sentiasa di ingatan. Jadikanlah majlis raja sehari anda, majlis yang diingati oleh semua tetamu yang hadir. Kelancaran dan kemeriahan majlis adalah penting, dengan itu rancangkan sebaik mungkin majlis yang anda inginkan.

Semoga berjaya dan selamat pengantin baru.

Belilah Kereta Berumur 1 - 2 Tahun

Ramai orang berlumba-lumba membeli kereta baru. Alasan mereka ialah kereta baru tidak rosak. Mungkin alasan itu benar. Tetapi dari kata-kata orang yang berpengalaman, kereta selalunya memberi ragam hanya selepas berumur 5 tahun. Ini bermakna jika kereta itu berumur antara 1 hingga 2 tahun, kereta itu bagaikan kereta baru, terutama jika pemiliknya menjaga dengan baik. Tahukah anda harga kereta akan turun sebanyak 20% sebaik saja berumur dalam 1 tahun. Jika kereta itu berumur 2 tahun harganya turun sebanyak 30%. Bayangkan sebuah kereta baru yang berharga RM 57 ribu menjadi RM 33 ribu setelah berumur dalam 2 tahun. Yang cantiknya, kereta ini masih cantik.

Jika anda seorang yang suka membeli sesuatu dengan harga yang berpatutan, anda perlu berhati-hati sebelum membeli kereta baru. Dengan sikap berhati-hati dan memilih, jangan terperanjat anda mungkin dapat berjimat banyak jika membeli kereta yang berumur 1 atau 2 tahun.

Langkah-langkah Penting

Perkara paling utama semasa membeli kereta terpakai ialah pastikan keadaan cuaca ketika itu adalah terang. Jangan sekali-kali memeriksa kenderaan di waktu gelap.

a) Pemeriksaan Luaran

  1. Sila periksa pemegang pintu.
  2. Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan senang.
  3. Pastikan 'bumper' belakang tidak calar dan karat.
  4. Pastikan sistem ekzos tidak berkarat.
  5. Pastikan rim tidak bengkok dan berkarat.
  6. Pastikan semua lampu berfungsi dengan baik.

b) Pemeriksaan Enjin
  1. Pastikan keadaan enjin mestilah bersih.
  2. Pastikan enjin tidak diubahsuai.
  3. Pastikan keadaan enjin dan pastikan tiada bocoran. Bagi menunjukkan ada kebocoran pada enjin, anda boleh meletakkan sekeping kotak putih di bawah enjin selepas menguji pandu kenderaan tersebut.
  4. Tiada kebocoran pada radiator dan sistem penyejuk.
  5. Pastikan semua 'belt' berada dalam keadaan baik.

c) Pemeriksaan Dalaman
  1. Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan mudah.
  2. Pastikan semua cermin berada dalam keadaan baik.
  3. Pastikan karpet kereta berada dalam keadaan baik.
  4. Pastikan lantai tidak berkarat.
  5. Pastikan 'dashboard' tidak retak.
  6. Pusingkan stereng ke kiri dan ke kanan.
  7. Tiada masalah dengan pedal brek dan clutch.
  8. Pastikan penghawa dingin berfungsi dengan baik.
  9. Pastikan tali pinggang boleh dipakai.
  10. Pastikan 'jeck clan' tayar simpanan berada dalam keadaan baik.

d) Cuba Memandu Dalam Masa 30 minit
  1. Cuba hidupkan 'switch' tetapi jangan hidupkan enjin.
    • Pastikan meter suhu bergerak.
    • Pastikan lampu minyak enjin menyala.
    • Pastikan lampu bateri menyala.

  2. Cuba hidupkan enjin.
    • Pastikan semua meter berfungsi dengan baik.
    • Pastikan tiada masalah dengan sistem gearbox.
    • Cuba matikan enjin dan hidupkan semula.
    • Pastikan tiada kebocoran minyak enjin berlaku di bawah.
    • Semasa memandu kenderaan tersebut, pastikan tiada bunyi dan gegaran.
    • Tiada masalah semasa penukaran gear.
    • Cuba pusingkan stereng 360° darjah. Adakah ia mengeluarkan bunyi ?
    • Cuba anda pandu kenderaan tersebut dan lalui kawasan yang ada bonggol kerana ia akan menguji sistem suspension.
    • Cuba biarkan enjin kenderaan itu hidup dalam beberapa minit dan pastikan suhu kepanasannya berada dalam keadaan stabil.

e) Pemeriksaan Terakhir

Perkara paling penting ialah periksa nombor casis dan nombor enjin. Pastikan nombor tersebut sama dengan dokumen pendaftaran kereta.

p/s : Adalah lebih nyaman jika kita mempunyai duit di dalam poket dari kita memandu kereta mewah atau mahal tetapi dengan kurang duit di poket.

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.

Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.

Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W tidak akan masuk syurga.

Nabi S.A.W bersabda :
Ertinya : "Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS". (Riwayat Ahmad & An-Nasaie : Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278)

Dalam sebuah hadith lain pula :
Ertinya : "Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya". (Riwayat Ahmad)

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus ?

ERTI DAYUS

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-

1) Sabda Nabi :
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah S.A.W berkata : "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : "Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS ?", berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA)". (Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi :

Ertinya : "Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?". Jawab Nabi : "Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya)".

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya)". (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus". (Umdatul Qari, 18/228)

Berkata pula An-Nuhas :
Ertinya : "cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram". (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
Ertinya : "Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya". (Faidhul Qadir, 3/327)

Imam Az-Zahabi pula berkata :
Ertinya : "Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya". ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata :
Ertinya : "Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

Ertinya : "Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya)". (Matalib uli nuha, 5/320)

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

Ertinya : "Al-Qawwad (salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina". (Manar as-sabil, 2/340, rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :

Ertinya : "Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat". (Al-kabair, 1/45)

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak)". (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertaubat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.

Hanya dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas... !!!

Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak handphone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"

Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi,

Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ?, Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS ?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

"Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku".

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman... jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.

Nabi S.A.W bersabda :
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid". (Riwayat Ahmad, Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya kepada pemuda itu "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu, Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

oleh Dr. Azhar Hj. Sarip ( www.soulpower-kuasajiwa.blogspot.com )


Jika kita perhatikan kain batik yang indah coraknya apatah lagi jika digubah menjadi pakaian yang cantik rekaannya, kekadang kita lupa bahawa ianya bermula dengan kain tanpa warna yang bersih tanpa ada sedikit pun kotoran. Jika kain tersebut kotor maka pasti akan memberi kesan kepada corak yang akan dilukis serta warna yang bakal digunakan. Kita tahu juga bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah ibarat kain putih, dan itulah yang dinamakan fitrah. Ianya begitu bersih dan menerima apa sahaja corak yang bakal dicoret diatasnya dan kemudian membentuk perlakuan mengikut corak yang telah dilukis tadi.

Kain putih yang datang dengan fitrahnya itu amat bergantung kepada orang tuanya untuk memberi corak samada ia corak yahudi, nasrani mahupun majusi. Jika itu corak yang kita lukis maka kita telah melakukan banyak kesilapan dan pelaburan kita. Jika corak yahudi kita taburkan tidak pula bermakna si kain putih ini menjadi orang yahudi tetapi apa yang pastinya dia akan membawa sikap yahudi dalam dirinya. Dia akan sentiasa ingin duduk di atas dan sentiasa merasakan bahawa dirinya adalah yang terbaik. Keegoaan yang tinggi ini bukan sahaja akan membawa kemusnahan hidup pada si anak tetapi mungkin juga kepada orang tua kerana berkemungkinan mereka akan disisihkan dari kehidupan si anak.

Kita mungkin melihat bahawa takrifan samada ibubapa yang membentuknya samada menjadikannya seorang yahudi, nasrani, majusi mahupun Islam bermaksud agama yang akan dianuti. Itu satu kesalahfahaman yang besar. Ianya sebenarnya juga merujuk kepada kiasan jalan hidup. Kalau cara kita mencorakkan anak ialah cara nasrani maka kita akan dapat melihat corak kehidupan anak di masa hadapan cenderung kepada nasrani. Inilah yang dimaksudkan yang kadangkala kita ambil ringan kerana pada fikiran kita mereka sudahpun beragama Islam dan mana mungkin mereka menjadi selain dari Islam. Namun kita lupa bahawa Islam warisan hanya mungkin bermaksud pengakuan namun pada kehidupannya adalah corak yang sudah dibentuk dari kecil.

Kali ini saya ingin mengupas tentang apakah yang dimaksudkan dengan mencorakkan anak. Cuba kita renung dan buat satu pemerhatian. Cuba kita ambil sehelai kain putih yang bersih dan bentangkan di hadapan kita untuk kita corakkan. Sebelum kita mencorakkan apakah yang perlu kita lakukan seandainya kita bukan seorang pelukis. Sudah pasti kita akan memikirkan apakah yang perlu kita lakukan untuk melukis dan warna apakah yang sesuai serta corak sebagaimana yang patut kita coretkan di atasnya.

Itu bagi kita yang tidak pandai melukis namun bagi mereka yang berjiwa seni mereka terus sahaja memegang alat untuk mencanting untuk melakarkan corak. Mungkin kita berkata “oh itu memang tugasnya, jadi memang lah mudah untuk mereka lukis”. Bagi saya itu hanyalah kata-kata mereka yang kurang mengkaji dan membuat pemerhatian atas kehidupan. Mereka sebenarnya melukis dengan penuh perasaan dan adakalanya mereka melontarkan perasaan mereka di atas kain putih samada mencanting batik mahupun melukis lukisan.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah seorang pelukis akan melukis dengan penuh kesenian dan kesenian itu datang dari perasaannya. Dia membentuk setiap strok lukisan dengan jiwanya dan hasilnya pasti akan menyenangkan hatinya. Tetapi berbeza dengan mereka yang tidak berjiwa seni, mereka membentuk lukisan dengan apa yang difikirkan bagus tanpa ada jiwanya. Maka lukisannya akan berhadapan dengan banyak kemungkinan, mungkin cantik, mungkin tidak. Dan sekiranya tidak, mudah sahaja, tak perlulah kita fikirkan untuk menggantungnya jauh sekali menjualnya.

Jika sekiranya lukisan itu cantik, mungkin tanpa sedar kita telah melukisnya dengan penuh perasaan dan mungkin kita telah meniru satu bentuk lukisan yang lain. Kemungkinan yang berlaku ialah kita mungkin menjualnya dengan harga yang mahal jika ia lukisan asli namun jika ianya adalah salinan dari lukisan yang lain mungkin ada harga atau mungkin tiada.

Begitulah dengan corak yang bakal kita bentuk dengan anak kita. Sebenarnya kita hari ini sering memikirkan bagaimana membentuk anak kita agar berjaya mengikut acuan yang ingin kita lihat. Seringkali kita terlupa adakalanya atau selalunya acuan kita itu tidak sama dengan saiz yang sepatutnya untuk anak kita jika ianya kecil dan sempit, tanpa sedar kita telah menyiksa jiwa si anak hingga mental dan jiwa cedera. Ini boleh dilihat dari segi perlakuan dan jika acuan kita terlalu besar, pastinya berlaku juga ketidak selesaan kerana si anak dapat merasakan dia berada di bawah potensi dirinya yang sebenar.

Saya berpendapat jika kain putih yang ingin kita corakkan perlukan satu corakan yang mempunyai nilai seni, kita perlu bermula dengan jiwa. Pendidikan awal ialah pendidikan jiwa. Dari jiwa barulah datang corak yang sesuai dengan si anak. Jika jiwa si anak ialah jiwa seorang ahli sukan tetapi kita ingin mencorakkannya menjadi seorang chef maka pasti berlaku konflik diri yang bakal memberi kecederaaan yang teruk. Justeru kita yang mencorakkan anak haruslah terlebih dahulu mencorakkan diri kita dengan perasaan yang betul kerana anak yang dicorak dengan perasaan marah akan membawa sifat marah hingga ke akhir hayat jika dia tiada inisiatif untuk megubahnya.

Kita perlu mendidik atau mencorakkan anak kita dengan penuh perasaan dan dari situ akan timbullah rasa hormatnya kepada kita. Bentuklah anak dengan penuh perasaan bukan dengan hanya logik akal. Fahamilah apa yang dapat dilakukan oleh si anak dengan kekuatan jiwanya. Rumah merupakan sekolah pertama untuk setiap dari kita. Rumah juga suatu tempat untuk membentuk anak-anak dalam menyelusuri masa hadapannya. Sebelum anak itu mengenal masyarakat besar, dia terlebih dahulu mengenal komuniti kecil dalam keluarganya. Jika dalam komuniti kecil ini anak tidak didik dengan perasaan tetapi dididik dengan paksaan, suatu hari nanti anak akan mencapai satu titik maksima dan berlakulah sesuatu di luar jangkaan kita. Pada waktu itu kita mungkin menyalahkan anak tetapi kita lupa unsur paksaan itu amat besar impak negatifnya.

Ini tidak pula bermakna kita perlu mengikut apa jua yang dikehendaki oleh si anak. Kita perlu menolak kemahuan yang diinginkan oleh mereka seandainya ianya bakal memberi kemudaratan samada secara fizikal ataupun mental. Namun caranya bukan dengan paksaan, kita perlu membentuknya dengan perasaan. Saya sering diingatkan oleh bos lama saya sewaktu bekerja dulu… don’t get the respect but earn it. Jika kita ingin dihormati kita tidak perlu memaksa orang untuk menghormati kita kerana itu satu penghormatan palsu tetapi biarlah rasa hormat itu datang tanpa diminta. Begitu juga dengan anak. Kita perlu melakukan sesuatu agar rasa hormat datang dari jiwanya bukan sekadar meminta mereka menghormati kita.

Kita perlu faham bahawa anak yang baik belum tentu soleh tetapi anak yang soleh sudah tentu baik. Jika anak kita berjaya dalam hidup secara fizikalnya belum tentu dia berjaya secara rohaninya. Orang yang sebenar kaya ialah orang yang kaya jiwanya. Orang yang kaya jiwanya adalah orang yang sedar bahawa dirinya sentiasa memerlukan Allah swt dan dirinya sentiasa faqir di hadapan Allah swt. Kita perlu mendidik anak-anak kita peranan Allah swt dalam hidup kita bukan sekadar hanya berkata Allah itu Tuhan sekalian alam. Berkata amat mudah tetapi menjiwainya amat sukar tanpa pemahaman yang betul. Biar sebijak mana anak kita tetapi jika dia tidak faham kedudukan dia dan Allah swt maka kecendurangan untuk menjadi orang yang egois amatlah besar.

Adakah kita mahu anak-anak kita menjadi seperti kita yang hanya mengingat Allah swt di kala susah dan melupakannya di kala senang walaupun kita sedar bahawa kesenangan itu adalah pemberian Allah swt. Cuba kita renungkan sewaktu kita di alam barzakh, apakah perasaan kita jika kita melihat anak-anak kita hanya sedih di hari kematian kita tetapi setelah pengagihan harta diselesaikan semuanya tersenyum tanpa memikirkan penat lelah kita yang berusaha untuk membahagiakan mereka.

Kita perlu didik anak-anak kita agar faham bahawa kita perlukan Allah swt sepanjang masa. Jika anak kita melakukan kesalahan janganlah kita hanya berkata bahawa dia telah melakukan kesalahan tetapi sampaikan kepadanya bahawa masih punya peluang untuk diampunkan Allah swt, dia masih dicintai Allah swt. Kita perlu mengajarnya untuk berterima kasih kepada Allah swt. Kita sering mengajar anak kita untuk berterima kasih kepada orang apabila diberi pemberian tetapi jarang sekali kita memberitahu anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt atas setiap kebaikan yang kita perolehi dan keburukan yang kita hadapi kerana apabila kita ditimpa musibah itu juga tandanya Allah swt mengingati kita…. Manakan tidak hanya sewaktu susah kita beriya-iya meminta pertolongan darinya jika tidak kita akan minta pertolongan dari mereka yang kita fikirkan boleh membantu kita.

Bermula dari hari ini cubalah kita ajar anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt. Persoalannya bagaimana… jika kita memaksa, mereka akan memberontak. Cara paling mudah ialah kita terlebih dahulu melakukannya dan anak pasti mengikut perlakuan kita. Sama ada kita sedar atau tidak anak adalah cermin kita, jika kita berhias, anak akan berhias. Jika kita dapat mencorakkan anak kita dengan kefahaman tentang cinta Ilahi maka Insya Allah anak kita akan hidup dengan penuh kasih sayang sesama makhluk.

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Kelebihan yang Allah s.w.t berikan pada Nabi Allah Sulaiman adalah baginda boleh dengar binatang bercakap dan faham maknanya dan boleh bercakap dengan binatang yang melata di bumi ini.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut : "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab : "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya : "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut : "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan : "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman lantas mengambil satu bekas, baginda mengangkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas tersebut, seterusnya Nabi Allah Sulaiman mengambil sebiji gandum dan memasukkannya ke dalam bekas itu dan menutupnya.

Kemudian Nabi Sulaiman tinggalkan semut tersebut didalam bekas itu dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut : "Kamu rupanya berbohong pada aku !!.

Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu hanya makan setengah".

Jawab semut : "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut !!! Biar tubuhnya kecil tapi imannya besar namun manusia tubuhnya besar imannya belum tentu sebesar tubuhnya…

oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi
(Dipetik dari buku “Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengalaman Islami” susunan Mohd Zaidi Abdullah. Beliau juga merupakan penyumbang artikel dan penyunting buku ini.)

Saya diminta bercakap berkenaan tasawwuf dan tariqah tasawwuf dalam persidangan ini. Bagaimana saya hendak mencakapkan tasawwuf kerana ia adalah jenis jiwa ruh kebatinan? Bagaimana hendak diceramahkan kerana ia cahaya dan keimanan?
Kita sekarang sedang hidup dalam dunia yang berserabut dengan gejala-gejala kebendaan fikiran dan usaha-usaha yang berlumba-lumba untuk hawa nafsu syahwat dan keinginan syaitan, hati yang dinoda tamak haloba angkara murka kejahilan dan kekeliruan melainkan orang yang arif bijaksana dan beriman.

Untuk tahu dan mengenal tasawwuf itu, cuba buang dan jauhkan diri (akan) sebarang larangan Allah Ta‘ala. Hampir dan kerjakanlah apa-apa yang disuruh Allah Ta‘ala. Bersihkan dan heningkan fikiran dan hati dengan nur dan petunjuk Tuhan. Jauhkanlah dari fitnah dunia dan bisikan syaitan. Amalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Buangkan sifat-sifat mazmumah (tercela). Bangunkanlah insan kamil. Tinggalkanlah dunia yang fana ini dan berhadaplah kepada negeri akhirat yang kekal. Hadaplah dunia ini dengan penuh rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Isilah budi pekerti dengan timbang rasa keadilan dan ihsan. Hiasilah diri dengan adab akhlaq yang bersih baik, taat mengerjakan ibadah. Kasih kepada Allah Ta‘ala dan mahluknya, asyik bercinta dengan kecantikan kesempurnaan Tuhan Yang Maha Tinggi Maha Besar, berkecimpung di lautan rahmat dan keridaan Tuhan. Peranglah nafsu dan syaitan. Kenallah diri yang sebenarnya. Dengan demikian, nampaklah kesucian dan kebenaran tasawwuf itu.

Tasawwuf Itu Nyawa Islam

Tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna, sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh tolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah ilmu batin sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya.

Al-Quran dan Tasawwuf

Daripada ayat-ayat al-Quran diambil sandaran dan pegangan tasawwuf dan tariqah-tariqah, berpaling dari dunia dan berhadap kepada yang menjadikan hidup dan dunia alam buana ini, berhadap kepada Tuhan dengan penuh harapan kasih dan fana fillah. Di antara ayat-ayat itu :

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid : 20)

Seluruh ayat al-Quran itu tujuannya mengharapkan dan memimpin diri manusia itu kepada ruh yang suci, menghadap kembali kepada Tuhan yang menjadikan sekalian makhluk ini, balik ke negeri akhirat yang kekal abadi. Allah Ta‘ala dalam al-Quran dengan tegas berfirman :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (adh-Dhariyat : 56)

Semua dalam alam wujud ini menurut fitrahnya ingat dan tunduk bertasbih kepada Allah Ta‘ala :

“Bertasbih bagi-Nya oleh langit-langit dan bumi dan mana-mana makhluk pada kedua-duanya.”

Mulai dari zaman Rasulullah S.A.W lagi, ketika al-Quran masih bersambung-sambung turun, ada golongan manusia yang banyak sekali beribadat dan banyak membaca dan menghafaz al-Quran itu. Golongan ini terkenal Ahli al-Suffah, yang menjadi pangkal menimbulkan ahli tasawwuf itu. Inilah sedikit pandangan daripada al-Quran. Mazhab ahli tasawwuf itu :

Kasih mereka kepada Allah, kasih Allah kepada insan, kasih insan kepada Allah, kasihlah yang menegakkan hidup. Kerana itulah kasihkan Allah itulah pujaan hidup ahli-ahli tasawwuf itu mulai dari jasmaninya lantas kerohanian sentiasa kasihkan Allah. Lidahnya sentiasa berzikir dan bertasbih. Tiap nafas turun naiknya, keluar masuknya dengan berzikir. Hati budinya terus dengan zikir yang sentiasa.

Jiwa mereka taat beribadat dan berjihad melawan nafsu, melawan kezaliman, berjuang dalam lapangan umum, meninggikan kalimah Allah hingga jadi agama Islam itu pegangan hidup dan jalan hidupnya semata-mata kerana Allah Ta‘ala.

Rasulullah S.A.W. dengan Hidup Tasawwuf

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bertapa di Gua Hira’ sehingga menjadi rasul. Rasulullah S.A.W sangat kuat bertahajjud, istighfar, zikir, sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana lama berdiri qiyam. Rasulullah S.A.W menangis kerana takutkan Tuhannya. Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang-barang buruk buangan. Semuanya ini terang dalam hadith yang sahih.

Rasulullah S.A.W mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk. Dalam suatu Hadith Qudsi : “Aku adalah di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya.” Rasulullah S.A.W tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Umar dengan penderitaan nabi itu.

Banyak sungguh hadith-hadith yang dipegang oleh ahli tasawwuf itu. Pada orang tasawwuf, siapa yang hendak dunia, seperti sabda Rasulullah itu, silalah dan siapa yang hendakkan akhirat dan keredaan Tuhannya jalan atau tariqahnya adalah terang dan nyata.

Keperluan Tasawwuf Di Zaman Ini

Apakah gunanya tasawwuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini?
Tidakkah akan mematahkan semangat usaha dan kerja pembangunan?

Tasawwuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang tasawwuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat nabi, sahabat-sahabat dan ulama-ulama.

Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tidak berjasad.

Syara‘ dan haqiqat perlu sama maju. Masing-masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapang masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik jika ada orang yang tak boleh minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak suka teh, ambillah minuman masing-masing.

p/s : Tasawwuf itulah adalah ruh dalam pengamalan Islami. Tanpa ruh, maka tidaklah hidup jasad itu. Peranan tasawwuf sungguh besar dalam kehidupan masa kini. Apa tidaknya, kerana tasawwuf itu sendiri asasnya berdiri di atas prinsip tauhid dan mengesakan Allah. Kemudian ianya dihiasi dengan akhlaq yang mulia dan baik. Maka, melalui tasawwuf peradaban kaum Muslimin terbina. Jika masyarakat mempunyai akhlaq yang buruk, hidup mengikut nafsu syahwat dan kebinatangan, maka akan musnahlah sesuatu peradaban itu.

Seperti yang disebut Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi di atas, melalui tasawwuf terbinalah episod baru peradaban kaum muslimin yang gemilang. Peradaban yang gemilang terbentuk apabila rakyatnya terdiri daripada mereka yang berakhlaq mulia, mata hatinya tajam, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang dan saling menghormati. Hati mereka sentiasa mengingati Allah.

Apakah yang akan terjadi kepada sesebuah institusi korporat sekiranya para pekerjanya mempunyai akhlaq yang cemar?
Masing-masing ingin menjatuhkan di antara satu sama lain. Majikan bersifat zalim dan kasar kepada pekerjanya dan para pekerja tidak amanah dalam menjalankan tugas?

Sudah pasti institusi korporat tersebut akan menuju kehancuran. Begitulah juga halnya dalam sesebuah peradaban. Mungkin ada antara yang tidak setuju dengan istilah tasawwuf, tetapi tasawwuf itu tidak lain daripada maksud hadith Rasulullah S.A.W iaitu : “Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu.” Itulah dia tujuan tasawwuf, untuk mencapai peringkat ihsan.