oleh Dr. Azhar Hj. Sarip ( www.soulpower-kuasajiwa.blogspot.com )
Jika kita perhatikan kain batik yang indah coraknya apatah lagi jika digubah menjadi pakaian yang cantik rekaannya, kekadang kita lupa bahawa ianya bermula dengan kain tanpa warna yang bersih tanpa ada sedikit pun kotoran. Jika kain tersebut kotor maka pasti akan memberi kesan kepada corak yang akan dilukis serta warna yang bakal digunakan. Kita tahu juga bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah ibarat kain putih, dan itulah yang dinamakan fitrah. Ianya begitu bersih dan menerima apa sahaja corak yang bakal dicoret diatasnya dan kemudian membentuk perlakuan mengikut corak yang telah dilukis tadi.
Kain putih yang datang dengan fitrahnya itu amat bergantung kepada orang tuanya untuk memberi corak samada ia corak yahudi, nasrani mahupun majusi. Jika itu corak yang kita lukis maka kita telah melakukan banyak kesilapan dan pelaburan kita. Jika corak yahudi kita taburkan tidak pula bermakna si kain putih ini menjadi orang yahudi tetapi apa yang pastinya dia akan membawa sikap yahudi dalam dirinya. Dia akan sentiasa ingin duduk di atas dan sentiasa merasakan bahawa dirinya adalah yang terbaik. Keegoaan yang tinggi ini bukan sahaja akan membawa kemusnahan hidup pada si anak tetapi mungkin juga kepada orang tua kerana berkemungkinan mereka akan disisihkan dari kehidupan si anak.
Kita mungkin melihat bahawa takrifan samada ibubapa yang membentuknya samada menjadikannya seorang yahudi, nasrani, majusi mahupun Islam bermaksud agama yang akan dianuti. Itu satu kesalahfahaman yang besar. Ianya sebenarnya juga merujuk kepada kiasan jalan hidup. Kalau cara kita mencorakkan anak ialah cara nasrani maka kita akan dapat melihat corak kehidupan anak di masa hadapan cenderung kepada nasrani. Inilah yang dimaksudkan yang kadangkala kita ambil ringan kerana pada fikiran kita mereka sudahpun beragama Islam dan mana mungkin mereka menjadi selain dari Islam. Namun kita lupa bahawa Islam warisan hanya mungkin bermaksud pengakuan namun pada kehidupannya adalah corak yang sudah dibentuk dari kecil.
Kali ini saya ingin mengupas tentang apakah yang dimaksudkan dengan mencorakkan anak. Cuba kita renung dan buat satu pemerhatian. Cuba kita ambil sehelai kain putih yang bersih dan bentangkan di hadapan kita untuk kita corakkan. Sebelum kita mencorakkan apakah yang perlu kita lakukan seandainya kita bukan seorang pelukis. Sudah pasti kita akan memikirkan apakah yang perlu kita lakukan untuk melukis dan warna apakah yang sesuai serta corak sebagaimana yang patut kita coretkan di atasnya.
Itu bagi kita yang tidak pandai melukis namun bagi mereka yang berjiwa seni mereka terus sahaja memegang alat untuk mencanting untuk melakarkan corak. Mungkin kita berkata “oh itu memang tugasnya, jadi memang lah mudah untuk mereka lukis”. Bagi saya itu hanyalah kata-kata mereka yang kurang mengkaji dan membuat pemerhatian atas kehidupan. Mereka sebenarnya melukis dengan penuh perasaan dan adakalanya mereka melontarkan perasaan mereka di atas kain putih samada mencanting batik mahupun melukis lukisan.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah seorang pelukis akan melukis dengan penuh kesenian dan kesenian itu datang dari perasaannya. Dia membentuk setiap strok lukisan dengan jiwanya dan hasilnya pasti akan menyenangkan hatinya. Tetapi berbeza dengan mereka yang tidak berjiwa seni, mereka membentuk lukisan dengan apa yang difikirkan bagus tanpa ada jiwanya. Maka lukisannya akan berhadapan dengan banyak kemungkinan, mungkin cantik, mungkin tidak. Dan sekiranya tidak, mudah sahaja, tak perlulah kita fikirkan untuk menggantungnya jauh sekali menjualnya.
Jika sekiranya lukisan itu cantik, mungkin tanpa sedar kita telah melukisnya dengan penuh perasaan dan mungkin kita telah meniru satu bentuk lukisan yang lain. Kemungkinan yang berlaku ialah kita mungkin menjualnya dengan harga yang mahal jika ia lukisan asli namun jika ianya adalah salinan dari lukisan yang lain mungkin ada harga atau mungkin tiada.
Begitulah dengan corak yang bakal kita bentuk dengan anak kita. Sebenarnya kita hari ini sering memikirkan bagaimana membentuk anak kita agar berjaya mengikut acuan yang ingin kita lihat. Seringkali kita terlupa adakalanya atau selalunya acuan kita itu tidak sama dengan saiz yang sepatutnya untuk anak kita jika ianya kecil dan sempit, tanpa sedar kita telah menyiksa jiwa si anak hingga mental dan jiwa cedera. Ini boleh dilihat dari segi perlakuan dan jika acuan kita terlalu besar, pastinya berlaku juga ketidak selesaan kerana si anak dapat merasakan dia berada di bawah potensi dirinya yang sebenar.
Saya berpendapat jika kain putih yang ingin kita corakkan perlukan satu corakan yang mempunyai nilai seni, kita perlu bermula dengan jiwa. Pendidikan awal ialah pendidikan jiwa. Dari jiwa barulah datang corak yang sesuai dengan si anak. Jika jiwa si anak ialah jiwa seorang ahli sukan tetapi kita ingin mencorakkannya menjadi seorang chef maka pasti berlaku konflik diri yang bakal memberi kecederaaan yang teruk. Justeru kita yang mencorakkan anak haruslah terlebih dahulu mencorakkan diri kita dengan perasaan yang betul kerana anak yang dicorak dengan perasaan marah akan membawa sifat marah hingga ke akhir hayat jika dia tiada inisiatif untuk megubahnya.
Kita perlu mendidik atau mencorakkan anak kita dengan penuh perasaan dan dari situ akan timbullah rasa hormatnya kepada kita. Bentuklah anak dengan penuh perasaan bukan dengan hanya logik akal. Fahamilah apa yang dapat dilakukan oleh si anak dengan kekuatan jiwanya. Rumah merupakan sekolah pertama untuk setiap dari kita. Rumah juga suatu tempat untuk membentuk anak-anak dalam menyelusuri masa hadapannya. Sebelum anak itu mengenal masyarakat besar, dia terlebih dahulu mengenal komuniti kecil dalam keluarganya. Jika dalam komuniti kecil ini anak tidak didik dengan perasaan tetapi dididik dengan paksaan, suatu hari nanti anak akan mencapai satu titik maksima dan berlakulah sesuatu di luar jangkaan kita. Pada waktu itu kita mungkin menyalahkan anak tetapi kita lupa unsur paksaan itu amat besar impak negatifnya.
Ini tidak pula bermakna kita perlu mengikut apa jua yang dikehendaki oleh si anak. Kita perlu menolak kemahuan yang diinginkan oleh mereka seandainya ianya bakal memberi kemudaratan samada secara fizikal ataupun mental. Namun caranya bukan dengan paksaan, kita perlu membentuknya dengan perasaan. Saya sering diingatkan oleh bos lama saya sewaktu bekerja dulu… don’t get the respect but earn it. Jika kita ingin dihormati kita tidak perlu memaksa orang untuk menghormati kita kerana itu satu penghormatan palsu tetapi biarlah rasa hormat itu datang tanpa diminta. Begitu juga dengan anak. Kita perlu melakukan sesuatu agar rasa hormat datang dari jiwanya bukan sekadar meminta mereka menghormati kita.
Kita perlu faham bahawa anak yang baik belum tentu soleh tetapi anak yang soleh sudah tentu baik. Jika anak kita berjaya dalam hidup secara fizikalnya belum tentu dia berjaya secara rohaninya. Orang yang sebenar kaya ialah orang yang kaya jiwanya. Orang yang kaya jiwanya adalah orang yang sedar bahawa dirinya sentiasa memerlukan Allah swt dan dirinya sentiasa faqir di hadapan Allah swt. Kita perlu mendidik anak-anak kita peranan Allah swt dalam hidup kita bukan sekadar hanya berkata Allah itu Tuhan sekalian alam. Berkata amat mudah tetapi menjiwainya amat sukar tanpa pemahaman yang betul. Biar sebijak mana anak kita tetapi jika dia tidak faham kedudukan dia dan Allah swt maka kecendurangan untuk menjadi orang yang egois amatlah besar.
Adakah kita mahu anak-anak kita menjadi seperti kita yang hanya mengingat Allah swt di kala susah dan melupakannya di kala senang walaupun kita sedar bahawa kesenangan itu adalah pemberian Allah swt. Cuba kita renungkan sewaktu kita di alam barzakh, apakah perasaan kita jika kita melihat anak-anak kita hanya sedih di hari kematian kita tetapi setelah pengagihan harta diselesaikan semuanya tersenyum tanpa memikirkan penat lelah kita yang berusaha untuk membahagiakan mereka.
Kita perlu didik anak-anak kita agar faham bahawa kita perlukan Allah swt sepanjang masa. Jika anak kita melakukan kesalahan janganlah kita hanya berkata bahawa dia telah melakukan kesalahan tetapi sampaikan kepadanya bahawa masih punya peluang untuk diampunkan Allah swt, dia masih dicintai Allah swt. Kita perlu mengajarnya untuk berterima kasih kepada Allah swt. Kita sering mengajar anak kita untuk berterima kasih kepada orang apabila diberi pemberian tetapi jarang sekali kita memberitahu anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt atas setiap kebaikan yang kita perolehi dan keburukan yang kita hadapi kerana apabila kita ditimpa musibah itu juga tandanya Allah swt mengingati kita…. Manakan tidak hanya sewaktu susah kita beriya-iya meminta pertolongan darinya jika tidak kita akan minta pertolongan dari mereka yang kita fikirkan boleh membantu kita.
Bermula dari hari ini cubalah kita ajar anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt. Persoalannya bagaimana… jika kita memaksa, mereka akan memberontak. Cara paling mudah ialah kita terlebih dahulu melakukannya dan anak pasti mengikut perlakuan kita. Sama ada kita sedar atau tidak anak adalah cermin kita, jika kita berhias, anak akan berhias. Jika kita dapat mencorakkan anak kita dengan kefahaman tentang cinta Ilahi maka Insya Allah anak kita akan hidup dengan penuh kasih sayang sesama makhluk.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan
Catat Ulasan