Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Rasuah ialah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudaratan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan.

Dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba mengatakan bahawa "Ini bukan rasuah, tetapi upah."

Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan al-Quran dan Hadis.

Allah (SWT) berfirman :
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah : 188)

Disebutkan dalam Hadis :
"Rasulullah S.A.W telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)." (Riwayat al-Tirmizi)

Takrif Rasuah dan Sogokan.

  • Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpamanya.

  • Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.

  • Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya, atau sebahagian daripadanya.

  • Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.

  • Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

  • Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada sudah dimulakan atau tidak, dan termasuk menggunakan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.

Beberapa bentuk kesalahan rasuah secara umum :

  • Meminta / Menerima Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.

  • Menawar / Memberi Rasuah. Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang / benda / perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal / majikan berkenaan.

  • Membuat Tuntutan Palsu. Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada prinsipal / majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan dengan tujuan untuk mengeliru / memperdayakan prinsipal / majikannya.

  • Menyalahguna Jawatan / Kedudukan. Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan agar membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara-maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

Bagi sesiapa yang bekerja di sektor perniagaan dan politik terutamanya, saya berpendapat tidak sukar untuk menemui atau mendapati salah satu antara empat kategori tadi berlaku. Ingatlah sekali lagi beberapa penekanan islam berikut :

1. Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)." (Riwayat Abu Daud)

2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan untuk mengutip zakat daripada kabilah Azad. Maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian daripada wang yang dikutip sambil berkata:

"Ini untukmu (bahagian untuk islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)." Maka Baginda murka sambil berkata: "Ketahuilah, pergilah kamu duduk dirumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W, mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah S.A.W telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua, separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah : "Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih daripada separuh." Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi ! Demi Allah, kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu ialah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya !"

Mendengar jawapan tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak !" (Imam Malik, Al-Muwattha : 1450)

4. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur." (Riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, tidak kira sama ada itu ialah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya jelas haram di dalam islam.

Semua harta yang diperolehi daripada jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini pasti akan kehilangan peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat mereka, akibat makan, minum, pakai mereka datang daripada sumber kotor sebegini.

Zakat atau penyucian harta dalam istilah bahasa bermaksud bersih, suci, subur berkat dan berkembang. Zakat boleh membersihkan harta dan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil serta sifat dengki dan dendam golongan miskin terhadap orang yang kaya. Zakat yang merupakan salah satu rukun islam seharusnya menjadi satu motivasi bagi setiap muslim untuk bekerja keras agar dapat membayar zakat.

Allah berfirman; "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (at-Tawbah : 103)

Harta kekayaan yang dicari dan dikumpul merupakan amanah dan ujian daripada Allah S.W.T mungkin ada yang terfikir... harta bukan ujian.. harta adalah nikmat !. Betul.. Kita diuji dengan nikmat harta kerana ianya mampu melalaikan kita dari memperingati Allah S.W.T.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (al-Munafiqun : 9)

Alangkah baiknya jika semua orang kaya muslim menangis syukur dengan rezeki yang melimpah ruah yang mereka terima. Betapa kerdilnya diri mereka berbanding dengan Allah yang maha kaya. Seharusnya mereka (dan juga kita) meminta panduan Ilahi berkenaan cara memberi manfaat kepada seramai mungkin umat islam dengan kekayaan yang dimiliki.

Bagaimana boleh terjadi mereka yang tidak bertaqwa atau tidak dilihat dengan mata kasar sebagai orang yang beriman tetapi mendapat rezeki yang melimpah ruah ? Ini dikenali dengan istidraj atau pemberian yang diberi bukan dengan penuh rahmat daripada Allah S.W.T.

Bandingkan Qorun dan Nabi Sulaiman a.s berkenaan sikap mereka dengan kekayaan. Qorun tenggelam dengan kesombongannya tetapi Nabi Sulaiman mensyukuri nikmat yang Allah berikan dan memanfaatkan harta yang dimiliki. Selain daripada kerajaan dan kekayaan, Nabi Sulaiman a.s boleh memahami komunikasi semut dan mampu memanfaatkan kekuatan angin untuk pengangkutan. Semua kelebihan ini membuat beliau bersyukur seraya berdoa,

"...Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh." (an-Naml : 19)

Zakat itu WAJIB.
Zakat dalam islam terdapat 2 jenis iaitu Zakat Fitrah dan Zakat Harta. Zakat Harta pula di bahagikan kepada 8 iaitu Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Binatang Ternakan, Zakat Pertanian, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas dan Perak, Zakat Saham dan Zakat KWSP.

Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai zakat, di bawah ini disediakan link mengikut negeri-negeri;

Pusat Zakat Negeri

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadis yang menerangkan besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan pemberi riba diperangi Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Allah memberi ingatan :
Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil serta tidak mahu meninggalkan "saki-baki" riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah (SWT) dan Rasulullah S.A.W.

Ayat ini menyebut "saki-baki", menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar mengikut sunnah dan menjadi Mukmin sejati, perlu memiliki pengetahuan yang jelas tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya secara 100%.

Selain itu, ayat ini secara tidak langsung membuktikan seorang Mukmin mampu menjauhi riba dalam hidupnya, tidak sebagaimana dakwaan segelintir masyarakat kononnya kita tidak dapat lari daripada riba di akhir zaman ini.

Zahir daripada ayat ini juga menunjukkan "peperangan" berlaku sejak di alam dunia lagi. Malang bagi seseorang dan pemimpin yang tidak memperdulikan dosa ini.

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :
Maksudnya; "Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah (SWT)."

Imam Abu Hanifah berkata bahawa inilah ayat dalam al-Quran yang paling menakutkan.

Imam Malik bin Anas pula berkata :
Maksudnya; "Telahku buka lembaran-lembaran kitab Allah (SWT) dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidakku dapati (dosa) yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah (SWT) telah mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya"

Berkata Imam Qatadah : "Allah (SWT) menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada."

2. Kehilangan berkat harta dan kehidupan.

Tercatat didalam al-Quran :
Maksudnya; "Allah (SWT) menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276)

Kehilangan berkat itu akan berlaku didunia dan akhirat.

Hukuman di Dunia.
Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta bagi orang yang terlibat dengan riba adalah hartanya akan mudah hilang atau habis tanpa dirasai. Selain itu, harta itu mendorongnya melakukan pelbagai bentuk aktiviti tidak berfaedah dan dosa.

Ia juga akan berasa terlalu miskin dan fakir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Harta haram seperti ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan maksiat, perkara fasik dan hina, tatkala itu akan hilang sifat amanah dan kebaikan dalam diri.

Ia juga bakal ditimpa ujian harta yang banyak seperti dirompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim daripadanya juga lebih makbul.

Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibn Mas'ud r.a. :
Maksudnya; "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad, al-Hakim)

Hukuman di Akhirat.
Ibn Abbas berkata :
Maksudnya; "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihatnya dan persaudaraannya."

3. Seperti berzina dengan ibu bapa sendiri.

Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam satu hadis yang cukup mendalam maksudnya :
Maksudnya; "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (al-Tabrani, 7/158, al-Hakim)

4. Lebih berat daripada 36 kali zina.

Rasulullah S.A.W. juga memberi amaran :
Maksudnya; "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)

Hadis ini bukan untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memberi fokus kepada bahaya dosa riba. Justeru itu, saya amat mengharapkan umat islam membuka mata mereka kepada isu ini agar tidak terjebak dengannya.

Itulah gambaran betapa besarnya dosa riba, dan barangsiapa yang terlibat dengannya sudah pasti amat sukar memperolehi khusyuk di dalam solat mereka. Antara bentuk riba yang amat berleluasa ketika ini dan disertai oleh begitu ramai umat islam ialah:

  • Pinjaman membeli kereta (Car Loan)
  • Pinjaman membeli rumah (Home Loan)
  • Pinjaman mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft)
  • Pinjaman membeli mesin dan alatan untuk syarikat (Hire Purchase Loan)
  • Membuat pinjaman peribadi (Personal Loan)

Apakah transaksi yang berlaku?
Sebagai contoh sebenar yang berlaku di bank konvensional hari ini, di atas permintaan pelanggan A untuk membeli kereta, rumah, memperoleh modal syarikat atau sebarang tujuan peribadi, konvensional memberi pinjaman sebanyak RM10,000 kepada pelanggan A dan sebagai imbalan balik kepada bank, pihak bank menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8% (bersamaan RM8,000 sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu sebagai balasan kerana memberikan pelanggan wang yang diperlukan.

8% itulah yang dinamakan 'Riba al-Duyun' jenis al-Qard. Ulama menyepakati jenis pulangan seperti ini adalah riba.

Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan mengikut bulan. Menurut hukum islam, jumlah RM8,000 yang diperolehi ini ialah hasil bank yang haram. Pelanggan yang memberi RM8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba.

Rasulullah S.A.W. menyebut :
maksudnya; "Individu yang memberi (riba) dan yang mengambilnya adalah sama." (Riwayat Muslim).

Renungkanlah kisah ini ...

Abdul Rahman nekad untuk berhijrah ke England. Hidupnya di Pakistan memang perit sekali. Kadang-kala wang untuk membeli makanan keluarga pun tidak cukup. Lagipun sudah 4 hingga 5 keluarga dari kampungnya sudah ke sana.

Di England, Abdul Rahman bekerja siang dan malam. Petik buah, angkat barang, angkat sampah, cuci restoran semuanya dibuat tanpa jemu. Wang yang dikumpul oleh beliau akhirnya mampu membawa isteri dan anak-anak yang masih kecil ke Cheetham Hill, di Manchester, England.

Masa berlalu dan hidupnya bertambah senang. Di Cheetham Hill, beliau membuka kedai runcit berdekatan dengan masjid di situ. Kedai dibuka dari pagi hingga ke malam. Isterinya menjaga rumah dan jarang keluar ke mana-mana seperti isteri-isteri desa di Pakistan.

Anak-anaknya sudah mula masuk ke alam remaja. Abdul Rahman mulai risau. Di rumah anak-anaknya lebih gemar bertutur dalam bahasa inggeris. Anak lelakinya pula sudah liat mengerjakan sembahyang dan sering hilang dari rumah.

Abdul Rahman ini amat baik dengan pelajar-pelajar Malaysia di Manchester. Satu hari beliau mengeluh,

"I've found silver and gold but I'm losing diamonds and pearls - Aku telah mendapat emas dan perak tetapi sedang kehilangan mutiara dan berlian."

Abdul Rahman yang berhijrah ke England ini bertungkus-lumus mencari rezeki untuk menyara hidup keluarga. Beliau berjaya sehingga memiliki perniagaan sendiri.. tetapi beliau tetap mengeluh, "I've found silver and gold but I'm losing diamonds and pearls"

Yang dimaksudkan berlian dan mutiara itu ialah anak-anak beliau yang mula hanyut dengan nilai kehidupan barat dan sudah tidak peduli lagi kepada nasihat ibu bapa.

Kebahagian dan ketenangan hidup itu akan tercerna apabila kita menemui keseimbangan antara usaha mencapai matlamat kewangan peribadi dan matlamat kehidupan kita secara menyeluruh.

Mengumpul kekayaan tidak dilarang dalam islam selagi kekayaan itu tidak menghalang orang itu menunaikan tanggungjawab kepada Allah (SWT), keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam bab harta ini, bukan hanya disoalkan daripada mana datangnya, juga disoalkan kemana ianya dibelanjakan. Seram tu.. bagi kita yang membeli barangan berjenama.. kasut beratus ringgit, malah ada yang beribu ringgit, siap di tempah lagi secara eksklusif.. bagaimana nanti di depan Makamah Agung kelak? saksi pun tak diperlukan.. dalam istilah masa kini.. Allah (SWT) ada 'CCTV' yang akan merekod segalanya.

Petanda berkatnya harta kita itu ialah setakat mana harta itu mampu membawa manfaat kepada masyarakat. Tidak begitu tepat jika kita berdoa untuk menjadi kaya tetapi lebih tepat lagi jika kita berdoa untuk mampu membayar zakat yang banyak. Harta yang banyak itu patut dialirkan sebagai sedekah dan wakaf untuk masyarakat serta harta pusaka kepada ahli waris kita.

Masyarakat memerlukan orang kaya yang bersifat rendah diri serta mempunyai kekayaan jiwa. Kekayaan itu datang dari Allah (SWT) dan semua harta yang kita miliki merupakan amanah dari Allah (SWT). Setiap yang kita lakukan dengan harta tersebut akan dipersoalkan kelak.

"Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari kiamat dibakar emas perak (dan harta bendanya) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka) : Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu." (Surah At-Tawbah : Ayat 34-35)

Jelaslah bahawa pengumpulan harta tanpa membelanjakannya di jalan Allah (SWT) akan mendapat kemurkaan Allah (SWT) serta di timpa balasan yang berat. Ayat ini juga melarang kita dari bersifat kedekut atau hanya mementingkan diri sendiri.

oleh Ibnuhasyim

"LEPAS sembahyang Jumaat di Masjid Negara KL, 3 lelaki Islam dari Negara China menghampiri gerai sekitar masjid tersebut. Gerai menjual selipar dan kasut kanak-kanak, antara banyak gerai-gerai lain di situ.

“Assalamu‘alaikum...” Salam dari cucunya, berumur kira-kira 15 tahun. Dia bersama ayahnya kira-kira 30 tahun lebih dan neneknya kira-kira 55 tahun.

Salam dijawab oleh tuan punya gerai bernama Syukri. Masing-masing perkenalkan diri, rupanya mereka baru beberapa hari sampai ke Malaysia . Hanya cucu dan ayahnya yang pandai sikit-sikit bahasa Inggeris. Bahasa Melayu, langsung mereka tidak tahu.. Walaupun begitu kemesraan tetap terjalin atas nama Islam.

“Barangan jualan ini kebanyakannya dari negeri kami..” Kata ayahnya, sambil tangan mereka membelek-belek selipar dan kasut kanak-kanak yang dipamirkan di atas meja jualan.

Mereka tinggal di Guangzhou, sebuah bandar di Negeri China, yang kira-kira 2 jam dari Macau menaiki bas, kerana penerbangan terus antara KL- Guangzhou tambang murah tidak ada, kena singgah di Macau. Dikatakan, orang Islam di daerah itu kini terdapat kira-kira 1 orang dari 1,000 penduduk.

“Itu sebabnya, wanita-wanita kami tidak berani memakai tudung kepala, kerana sering diganggu oleh samseng-samseng Cina yang memang anti Islam, kesan dari penindasan golongan pemerintah komunis.” Kata neneknya dengan rasa terharu, melalui anaknya yang berbahasa Inggeris. “Ayahku (ayah kepada nenek itu) terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai semasa kebangkitan awal revolusi komunis di China dulu, walaupun Islam betapak di China sudah lama sebelum itu lagi, melalui sahabat Nabi Muhammd S.A.W, iaitu Saad bin Abi Waqas.”

Dikatakan juga, kini orang-orang Islam di China terdiri dari ramai peniaga-peniaga.

“Kalau yang begini, harga pasaran di tempat anda (Negeri China) berapa??” Tanya Encik Syukri sambil memegang sepasang selipar, yang harga pasaran di Malaysia kira-kira RM10.

“Lebih kurang RM2..” Jawab salah seorang dari mereka.

Encik Syukri berkira-kira, patutlah dia boleh dapatkan dari pengedar selipar di KL dengan harga berjumlah RM4 sepasang (harga kepada pengedar). “Ha.. Kalau begitu berapa harga dari kilang agaknya??”

“Kalau pesan banyak, contohnya satu kontena, mungkin harganya tidak lebih dari RM1 sepasang!!” Jelas sahabat baru dari China itu. “Saya boleh tolong tunjukkan cara menguruskan hingga dagangan sampai ke tempat anda. Saya amat berbesar hati jika yang berurusniaga dengan kami di China adalah orang-orang Islam. Moga-moga cahaya kegemilangan Islam akan menerangi alam China kembali dan hubungan keIslaman kita makin akrab.”

Modal RM1, sepasang. Mungkin termasuk pengurusan menjadi RM2. Jual secara borong RM4, dan jualan secara runcit sampai kepada pengguna RM10. Jadi kalau boleh jadi pemborong barangan dari negeri China, main kontena-kontena, mungkin boleh untung bersih RM2 tiap satu unit. Ini satu peluang baik untuk kembangkan perniagaan dari berniaga depan masjid atau pasar malam menuju kepada berniaga import eksport di peringkat global.

“Apakah barang-barang lain pun begitu juga purata untungnya?”

“Kebanyakannya begitu! Contohnya, pakaian, baju, kain selimut, dan lain-lain. Apalagi kalau ubat-ubatan trasional, alatan letrik, komputer dan macam-macam lagi, boleh kita perincikan kalau betul-betul nak!” Jelasnya lagi.

Patutlah kerajaan Kelantan menggalakkan berniaga dengan negara tersebut, membuka pejabatnya di China, memberi peluang bagi sesiapa rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan rakyat China. Hingga ada yang menyebutkan ‘Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China!’

Sebenarnya Nabi Muhammad S.A.W ada memberi panduan dalam mencari nafkah atau menjadi usahawan. Sila lihat hadith yang dikutip oleh Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam’, berkata Anas R.A lebih kurang begini...

Seorang pemuda dari kalangan sahabat Ansar datang kepada beliau meminta-minta. Kata beliau, “Engkau.. takde apa-apakah di rumah?”

“ Ada!” Jawab pemuda Ansar itu. “Hanya sehelai tikar dan sebuah takar (tempat air minum) sahaja..”

“Bawa kedua-dua barangan itu ke mari!!” kata Nabi.

Pemuda itu pun pergi mengambilnya dan membawa kepada Nabi. Nabi terus membuat tawaran, menjual secara lelong barangan tersebut kepada kawan-kawan di situ. Dijual dengan harga paling tinggi, iaitu 2 dirham.

“Nah! Satu dirham engkau beli makanan untuk keluarga engkau, dan bakinya engkau beli sebuah kapak!” Saran Nabi “.. bawa kapak itu kemari!!”

Pemuda itu terus mempraktikkan idea tersebut, ia kembali dengan sebuah kapak yang baru dibeli. Nabi mengambilnya dan mengikat pada sebatang tongkat (yakni siapkan hulu hingga boleh terus guna), dan menyerahkannya balik. Katanya, “Pergilah cari kayu api dengan kapak ini, dan juallah hasilnya! Jangan sampai aku nampak kamu lagi selama 15 hari (dari sekarang)!!”

Selepas 15 hari berlalu, kembalilah kawan itu, dia berjaya mengumpulkan wang sebanyak 10 dirham. Sebahagian dibeli makanan dan sebahagian lagi pakaian.

“Hal ini adalah lebih baik dari engkau datang di Hari Kiamat dengan wajahmu bernoda, tanda meminta-minta.” Jelas Nabi lagi. (Hadith dirawikan oleh Abu Daud).

Hadith ini menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan meminta-minta memang ada, walaupun perlu dihapuskan. Nabi mencetuskan idea kreatif, bagaimana menjadi usahawan, dapatkan modal, memotivasi (contohnya tempoh 15 hari sasaran masa ditetapkan), kecekapan melihat pasaran (waktu itu jual bahan bakar atau kayu api) dan sebagainya. Memang hebat Nabi Muhammad S.A.W.

Pengalaman masa mudanya pernah jadi usahawan. Pernah jadi gembala kambing sebagai tarbiah kepimpinan (Ingat hadith Nabi, setiap kamu adalah pengembala...). Pernah berkongsi atau usahasama niaga dengan ahli bisnes kecil As-Saa’ib bin Abis Saa’ib. Pernah berniaga import-eksport Mekah-Syam, di mana sumber ‘finance’nya ialah Khadijah sendiri walaupun waktu itu masih belum jadi isterinya (akhirnya taukeh finance itu jadi isteri atau miliknya).

Dikatakan beliaulah pencetus idea-niaga ‘sorong makan, tarik pun makan’, pergi ke Syam membawa dagangan dari Mekah, pulang membawa dagangan dari Syam. Di mana amalan sebelum itu cuma pergi membeli dagangan untuk penduduk Mekah dari Syam sahaja. Dengan itu penduduk Mekah dapat menikmati barang keperluan dengan harga yang lebih rendah. (Sila lihat ‘Encyclopedia of Seerah Volume II’ Afzalur Rahman - The Muslim School Trust, London).

Begitu juga ramai tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, adalah anak didik beliau, seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan sebagainya yang dijamin syurga. Mereka bukan sahaja berjaya dari sudut usahawan semata-mata, bahkan menjadi tokoh-tokoh politik dan pemimpin perjuangan Islam. Kalau tokoh korporat atau konglomerat masa kini, maka Usama bin Laden (yang dianggap pengganas oleh Amerika) juga disebut-sebut sebagai usahawan Islam yang berjaya. Betulkah??

Akhirnya pertemuan di Masjid Negara, menjadikan mereka sebagai sahabat seagama, yang lebih tinggi dari sahabat senegara dan sebangsa. Saya pun nak tumpang bersama-sama Encik Syukri, mungkin kami akan ke China kerana di sana sudah ada yang menunggu dan menggamit-gamit kami, Insya Allah!

Renungkanlah kisahnya dan bandingkan dengan diri kita.

Ini merupakan satu kisah benar yang berlaku kepada seorang eksekutif muda:
(Dipetik dari bahagian 1, buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang oleh Shamsuddin Abdul Kadir)

"Kamarul, esok result keluar." Suara Imran kedengaran di hujung corong telefon. "Kalau ada yang sangkut, habislah aku, extend 6 bulan lagilah." Nafas Kamarul seakan tersekat-sekat apabila mendengar kata-kata Imran tadi. Kamarul berdebar-debar, dia sudah tidak sanggup lagi burning the midnight oil. Apabila keputusan keluar pada keesokan harinya, ia benar-benar bermakna bagi Kamarul. "Alhamdulillah, aku lulus." Bagaikan arus sejuk singgah di kepalanya, dengan kelulusan itu Kamarul dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Sejak hari itu, berpuluh-puluh permohonan kerja resume dihantar ke syarikat-syarikat besar. Akhirnya dia mendapat kerja di syarikat di Petaling Jaya, sebagai eksekutif dengan gaji RM1,500.

Disebabkan tiada pengangkutan awam ke tempat kerja dari rumahnya, Kamarul membuat keputusan membeli sebuah motosikal yang berharga RM3,500. Dia kekurangan wang lalu ingin meminjam daripada ibunya sebagai wang pendahuluan dan membayar bakinya dengan ansuran bulanan sebanyak RM200 selama 3 tahun. Ibunya memberikan RM3,500 kepadanya supaya membeli motor itu secara tunai.

Apabila ada masa terluang pada hujung minggu, Kamarul pergi ke pusat membeli-belah bagi bermain boling dan menonton filem. Pada suatu hari dia diperkenalkan dengan kad kredit, selepas diberitahu dia tidak perlu membayar satu sen pun bagi memilikinya. Tanpa berlengah-lengah lagi, Kamarul pun bersetuju. "Encik boleh faks satu salinan borang EA (borang pendapatan)." Lebih kurang dua minggu kemudian, kad kredit itu sampai dan dia pergi ke bank bagi mendapatkan nombor PIN kad itu. Sejak hari itu, kad itu tersimpan kemas tidak terusik di dalam dompetnya. Kini hampir setahun ia tersimpan di dalam dompet tanpa menggunakannya.

Genap setahun bekerja di Syarikat ABC, Kamarul membeli sebuah kereta. Dia sudah tidak tahan dengan kepanasan cuaca dan terpaksa berteduh di bawah jambatan setiap kali hujan lebat. Harga kereta : RM53,000 Wang Pendahuluan: RM1,500 Tempoh : 9 Tahun (108 bulan) Ansuran : RM624

Sejak memandu kereta, Kamarul mula menggunakan kad kredit bagi mengisi minyak keretanya. Sekiranya dahulu, dia membayar tunai kerana RM5 cukup bagi satu tangki minyak motornya, tetapi sekarang RM50 pun belum penuh satu tangki keretanya. Kamarul membayar minyak petrol keretanya menggunakan kad kredit dan menjelaskan bilnya apabila mendapat gaji pada hujung bulan. Pernah sekali kad kreditnya tidak dapat digunakan. Selepas kejadian itu, dia memohon satu lagi kad kredit dari bank yang lain. Sekiranya salah satu kad kreditnya rosak ataupun tidak diterima, dia masih ada satu lagi kad kredit yang dapat digunakan.

Seperti biasa, setiap tahun, gajinya akan naik di antara 5 - 9%. Kini gajinya RM2,750. "Alhamdulillah dengan umur 26 tahun, aku sudah mendapat gaji sebesar ini." Hatinya benar-benar puas.

Jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Apabila sampai waktunya, semua remaja akan bersatu termasuklah Kamarul. Dia bertunang dengan Balqis dengan menetapkan hantaran kahwin sebanyak RM6,666.

Semasa dalam pertunangan, Kamarul membuat satu pinjaman peribadi bagi urusan perkahwinannya. "Alhamdulillah, pinjaman aku lulus." Kamarul merasa gembira pinjaman peribadi sebanyak RM15,000 dari sebuah bank tempatan diluluskan. Dia memerlukan duit yang banyak bagi menampung kos hantaran dan majlis perkahwinannya yang akan diadakan secara sederhana. Selepas berkahwin dengan Balqis, Kamarul membawa isterinya ke Kuala Lumpur dan mereka menyewa rumah teres setingkat dengan kadar sewa sebanyak RM600 sebulan.

Seperti kebiasaan pada setiap pasangan baru berkahwin, terdapat banyak kekurangan yang perlu disediakan bagi keselesaan hidup berdua. Semasa bujang dia banyak menggunakan televisyen, mesin basuh dan peralatan lain yang dimiliki oleh rakan-rakan serumah. Selain daripada keretanya, harta bujangnya adalah sebuah radio. Rumah Kamarul sunyi sepi, sekiranya dahulu balik dari tempat kerja, dia dapat menonton televisyen. Tetapi kini, selepas sembahyang Isyak, mereka terus masuk tidur. Tidak sampai seminggu, dia pulang dengan sebuah TV berjenama 29 inci. Hatinya puas apabila melihat senyuman Balqis yang sedang menonton drama kegemarannya itu.

Setiap hari dia terpaksa membeli lauk dan sayur-sayur kerana dia tidak mempunyai peti sejuk bagi menyimpannya. Akhirnya dia membeli sebuah peti sejuk yang besar dan selesailah sudah satu lagi masalahnya. Semasa bujang, dia menghantar pakaiannya ke kedai dobi, kini pakaiannya dibasuh di lantai bilik air yang sempit. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia membawa pulang sebuah mesin basuh automatik yang dapat memuat muatan sehingga 7 kilogram. "Sayang, comforter pun kita boleh basuh dengan mesin ini, tidak payah lagi hendak hantar kedai dobi." Kamarul memberitahu isteri kesayangannya.

"Mana abang dapat duit beli semua ini? Abang dapat bonus, ya?" tanya si isteri. Kamarul menjawab sambil tersenyum, "Alah, abang ambil di Court, bayar ansur-ansur." "Kalau macam itu, boleh tak abang ambil microwave satu, senang lauk sejuk boleh kita panas, tahan lama sikit, tak payah buang." Balqis meminta. "Yelah sayang, nanti hujung minggu ini kita pergi ambil."

Setiap kali ada jualan murah, Kamarul mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga yang murah. Pada masa ini, Kamarul sudah tidak lagi membayar semua perbelanjaannya melalui hutang kad kredit. Dia hanya membuat bayaran minimum kad kredit setiap kali menerima gaji. Pada masa ini dia sudah mulai mempunyai hutang kad kredit.

Semasa di tempat kerja, seorang rakan menegur, "Kamarul, engkau sudah buka e-mel?" tanya si Man. "Kenapa Man? Boss declare bonus ke ?"

Biji mata Kamarul hampir terkeluar apabila membaca e-mel daripada pihak pengurusan yang tertera 2.5. Dalam hatinya. "Ni bukan 1 bulan tapi 2.5 bulan." Muka Kamarul berubah berseri-seri . "Wow, banyak ni, orang kaya barulah kita."

Sejak duit bonus sudah masuk ke dalam akaun semalam, Kamarul tidak dapat duduk diam. Dia asyik terkenangkan duit bonus itu. Akhirnya dia menjual keretanya dan membeli kereta 1.6 Automatik. Seperti biasa, bayar duit pendahuluan serendah yang mungkin dan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga maksimum.

Enam bulan selepas berkahwin, Kamarul membawa isterinya ke klinik pakar. Betapa gembiranya apabila doktor memberitahu isterinya mengandung. Setiap bulan Kamarul membawanya ke klinik pakar bagi memastikan kesihatan kandungan isterinya. Klinik ini menerima pembayaran melalui kad kredit.

Apabila sampai waktu bersalin, Kamarul memilih hospital swasta demi keselesaan isteri tercinta melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mengambil pakej tiga hari dua malam yang berharga RM 2,500 bagi bersalin secara normal. Akhirnya isterinya melahirkan anak lelaki yang comel seberat 3.2 kilogram melalui pembedahan Caesaran. Kamarul menggunakan salah satu kad kreditnya bagi membayar kos hospital yang berjumlah RM4,863.50. Dari lampin sehinggalah ke susu, semuanya berjenama dan berkualiti demi puteranya pewaris keturunan.

Kamarul berjaya mendapat kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat gergasi dengan gaji permulaan RM3,900. Bagi meraikannya, dia membawa isteri dan anaknya makan besar di sebuah restoran makanan Jepun. Pembayaran dibuat dengan menggunakan kad kredit berjumlah RM258.70.

Sudah tujuh tahun dia tinggal di rumah sewa dengan isteri dan anaknya. Sudah tiga kali dia berpindah, dari rumah teres setingkat tiga bilik sehinggalah rumah teres dua tingkat empat bilik. Daripada sewa RM600 sehinggalah kini dia membayar RM1,000 sebulan.

Terdetik juga di hatinya, "Sampai bila aku nak hidup dengan menyewa?" Dia pergi ke bank menanyakan jumlah pembiayaan bagi sebuah rumah teres satu tingkat yang berharga RM130,000. Alangkah terkejutnya apabila mendapati dia layak membuat pinjaman membeli rumah yang cantik, besar dan mahal. Apa lagi, dia pun membeli sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM 176,000 dengan ansuran sebanyak RM1,233 selama 30 tahun. Semasa rumah sedang dalam pembinaan, dia membayar RM700 sebulan bagi faedah selama dua tahun.

Akhirnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak pemaju perumahan menyerahkan anak kunci rumah idamannya tiga bulan lebih awal daripada yang termaktub dalam perjanjian jual beli. Banyak juga barang yang tidak dibawa bersama ke rumah baru ini. Peti sejuk, mesin basuh dam sofa yang sudah usang tidak terkecuali disenaraikan dalam barangan yang akan dibuang.

Kamarul dan Balqis ingin memastikan mereka sekeluarga berpindah ke rumah baru dengan gembira dan selesa. Apa tidaknya, daripada sofa sehinggalah katil anak-anaknya, semuanya baru. Dengan 'Skim Bayaran Mudah', Kamarul dapat mengambil barangan bernilai hampir RM15,000 dan hanya perlu membayar RM419 setiap bulan secara ansuran selama 5 tahun.

Harga barang asyik meningkat, belum cukup bulan duit sudah habis. Bermula pada saat itu, Kamarul mula berjinak-jinak dengan kad kredit. Sekiranya dahulu kad kredit digunakan bagi membayar petrol kereta, kini bayaran servis kereta, bil telefon, bil elektrik sehinggalah barangan dapur semuanya dibayar dengan kad kredit. Setiap kali mendapat gaji, Kamarul memastikan pembayaran minimum dibuat bagi setiap kad kredit yang dimilikinya.

Kamarul dan Balqis sangat gembira semasa menyambut kelahiran anaknya yang keempat. Akhirnya Kamarul menukar lagi keretanya dengan membeli sebuah MPV yang berharga RM100,000 lebih. Memang cantik, besar, selesa, dan kuasa enjinnya pula adalah 2.5 cc. Dia menggunakan duit lebihan dari kereta 1.6 Automatiknya yang dijual. Ansuran bulanan hanyalah RM1,271 bagi tempoh 9 tahun. Lagipun dia baru menerima kenaikan gaji sebanyak 5% (gaji baru RM4090).

Pada suatu hari, berita memaparkan kenaikan minyak sebanyak 30 sen seliter bagi petrol. Perbelanjaan petrolnya sudah meningkat tetapi tidak dirasainya kerana pembayaran dibuat menggunakan kad kredit. Sehingga kini, dia masih tidak tahu berapa jumlah yang dibelanjakannya bagi minyak keretanya setiap sebulan.

Dari hari ke hari, hutang Kamarul semakin meningkat disebabkan semua perbelanjaan dicajkan kepada kad kredit. Dia pula hanya membayar dengan bayaran minimum dan juga dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi. Hutang semakin bertambah dan kini sudah setinggi gunung. Dia sudah tidak mampu mengira jumlah hutang sekarang. Lalu datanglah idea memotong separuh daripada hutangnya. Pinjaman perumahan yang sudah tinggal RM90,000 dibiayai semula. Harga pasaran rumah itu pada masa ini adalah RM280,0000. Dia mengambil pinjaman sebanyak RM 240,000 dan menyelesaikan pinjaman perumahan di bank lama sebanyak RM90,000. Baki RM130,000 digunakan membayar hutang kad kredit, skim bayaran mudah, pinjaman peribadi dan kereta.

Duit selebihnya digunakan bagi mengubahsuai rumahnya. Dia menyangkakan membuat keputusan yang bijak. "Aku sudah membuat keputusan yang bijak, semua hutang aku bayar. Cuma hutang rumah bertambah sikit, ansuran tinggi sikit, tempoh ansuran bertambah sikit dan kadar faedah (keuntungan) yang dikenakan sikit sekiranya dibandingkan dengan dahulu, semuanya sikit-sikit sahaja." Kamarul mengelamun seketika sambil menghirup kopi panas di kawasan beranda rumah yang sudah diubahsuai. Jangan lupa sikit-sikit lama-lama jadi bukit....

Kamarul terjebak semula dengan hutang kad kredit. Dahulu dia merasakan dialah pengguna yang bijak, rupa-rupanya pengguna yang sudah dipijak. Kini hampir setiap hari dia diganggu oleh panggilan dari bank yang memintanya membayar ansuran yang tertunggak. Bagaimana dia hendak bayar, sekiranya hutang bagi satu kad kredit sudah mencapai beribu-ribu ringgit. Dia pula memiliki enam kad kredit. Belum lagi dicampur dengan hutang sofa, katil dan lain-lain yang diambil dengan skim bayaran mudah. Ia sudah pun tertunggak selama dua bulan.

Pulang dari kerja, dia dikejutkan lagi dengan surat-surat hutang. Kandungan surat itu memintanya menjelaskan hutang dalam masa 14 hari ataupun mereka akan mengambil tindakan saman. Segala simpanannya dikeluarkan bagi mengelakkannya menerima surat saman. Ada kalanya dia terpaksa menangguhkan bayaran ansuran rumah supaya dapat menjelaskan ansuran kad kredit yang sudah tiga bulan tertunggak.

"Abang, susu Aiman sudah habis." Balqis berkata pada suatu hari semasa Kamarul pulang dari pejabat. "Kenapa Balqis tidak beritahu awal bulan, sekarang mana abang ada duit!" Dalam poket seluarnya hanya ada RM3, dalam bank RM 16.42. Dia terpaksa mendapatkan bekalan susu di pasar raya yang menerima pembayaran melalui kad kredit. "Ah, lega... kad kredit diterima" katanya sambil matanya tertumpu pada mesin pembaca kad kredit.

Sampai sahaja di rumah telefon bimbitnya berbunyi. Balqis bingung mengapa Kamarul tidak menjawab panggilan itu. "Abang, telefon tu, kenapa tidak angkat?" tegur Balqis. "Biarlah, orang yang menguruskan kad kredit tu. Sudah pukul 7 malam pun masih nak bekerja, susahlah kalau macam ini."

"Sudahlah sehari suntuk bank menelefon bertanyakan ansuran kereta yang dua bulan tertunggak. Bukan aku tidak mahu bayar, tetapi duit bulan ini sudah habis, tunggulah bulan depan," hatinya berbicara.

"Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Begitulah nasib Kamarul. Sehingga kini, sudah tiga kali dia naik turun mahkamah.

Hutang kad kreditnya sahaja sudah mencapai berpuluh-puluh ribu ringgit, tetapi gajinya masih di takuk lama. Kini hanya tinggal satu kad kredit sahaja yang dapat digunakan. Semua keperluannya terpaksa dibayar melalui kad kredit. Faedah yang perlu ditanggung lebih daripada RM500 sebulan itu belum dicampur pokok yang perlu dibayar.

Dia merasa takut apabila dilanda musibat kerana tidak mempunyai duit simpanan. Apabila keretanya rosak, dia tidak dapat menggunakan kad kredit kerana semua kad kreditnya sudah hampir mencapai had maksimum. Dia terpaksa menangguhkan pembayaran ansuran rumah dan kereta dan menggunakan duit gaji itu bagi membaiki keretanya. Kemalangan, kena saman, kereta rosak, anak masuk wad, ahli keluarga sakit dan insurans kereta tamat adalah perkara-perkara yang mampu membuatkan dirinya tertekan.

Kini, satu-satunya kenderaannya baru sahaja ditarik. Bagi mengurangkan kos, dia menghantar anak dan isterinya balik ke kampung buat sementara waktu. Sebenarnya dia tidak sanggup berpisah dengan mereka tetapi dia terpaksa. Dia sudah mendapat notis dari bank bagi mengosongkan rumah kerana ia akan dilelong.

Di kala Kamarul memerlukan sokongan daripada orang yang tersayang, dia diuji lagi dengan ujian yang besar. Isterinya memohon cerai kerana tidak tahan dengan keadaan hidup mereka yang semakin susah. Dia sudah tidak mampu memberi keperluan zahir kerana duit gajinya terpaksa digunakan membayar hutang-hutang itu.

Dipendekkan cerita, pada 23 Ogos yang lepas, dia diisytiharkan muflis. Dia berasa sangat malu melihat namanya terpampang di dada akhbar-akbar tempatan.

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA DALAM KEBANKRAPAN NO: XX-XXXX-XXXX BER: SI POLAN BIN SI POLAN
(NO. K/P: XXXXXX-XX-XXXX) .... Penghutang EX-PARTE: XYZ BANK BERHAD ........... ............................................... ..............................................

Habis semua harta Kamarul dilelong bagi membayar balik segala hutangnya. Selepas rumah dan keretanya dijual, dia masih berhutang sebanyak RM45,000.

Kamarul berasa sangat tertekan. Dia merintih, "Mana aku hendak letak lagi muka aku ini, nama aku sudah tidak ada nilai lagi. Sekiranya dahulu dunia ini satu pinjaman, maka aku pinjamlah. Tetapi, kini aku sudah tidak ada apa-apa lagi. Hidup aku porak-peranda kerana hutang. Oh, malangnya nasibku, seorang yang mempunyai ijazah tetapi akhirnya kecundang. Tetapi kenapa yang banyak kecundang adalah orang yang berpendidikan tinggi seperti aku ? Harga diri aku sudah tergadai."

"Wahai cucuku, setiap yang lahir ke dunia ini dimuliakan oleh Tuhan dengan maruah. Tetapi yang menjatuhkan dan menggadaikannya adalah kita. Tuhan tidak pernah ingin perkara yang tidak baik kepada kita, hanya kita yang menghancurkan diri kita. Bertaubatlah, sesungguhnya Tuhan itu maha pemurah dan pengampun." Suara seorang tua berpakaian serba putih yang muncul dalam mimpi semalam masih terngiang-ngiang di corong telinga Kamarul.

Ketika ini terdengar di corong telinga Kamarul. "Roh seorang Muslim..." "Ya Allah, janganlah ambil nyawaku pada masa ini. Aku benar-benar takut sekiranya Tuhan mengambil nyawa aku pada masa ini kerana aku mungkin menjadi muflis di dunia dan akhirat."

Hidup aku Porak Peranda Keranamu Hutang

Sinopsis Kewangan Kamarul ( Melalui 4 Fasa)

Fasa 1 - Kais sebulan makan sebulan setengah Sekiranya dahulu, pendapatan dan perbelanjaan Kamarul dapat diibaratkan 'Kais bulan makan sebulan setengah'. Tetapi selepas setahun di alam pekerjaan, Kamarul mengorak langkah dengan meningkatkan satu demi satu perbelanjaan tetap seperti ansuran kereta. Pada masa ini, Kamarul dapat menyimpan sebahagian daripada duit gajinya setiap bulan. Dia tiada hutang lain kecuali keretanya.

Fasa 2 - Kais sebulan makan sebulan Selepas dua tahun, akhirnya Kamarul diibaratkan kais sebulan makan sebulan. Gaji bulanannya hanya cukup membayar perbelanjaan bulanan dan perbelanjaan melalui kad kredit yang semakin bertambah. Pada masa ini Kamarul tidak mampu lagi menyimpan kerana duit gajinya yang diperuntukkan bagi menyimpan telah dikikis oleh hutang kad kredit. Dia membayar balik segala perbelanjaan yang dibeli melalui kad kredit pada setiap bulan. Hutangnya pada masa ini adalah kereta dan rumah.

Fasa 3 - Kais sebulan makan setengah bulan Tanpa menyedari hakikat yang satu malapetaka yang teramat besar akan menimpanya tidak lama lagi, dia masih berbelanja tanpa membuat sebarang perancangan. Pada masa ini pendapatan bulanannya hanya mampu menanggung kos perbelanjaannya bagi setengah bulan manakala baki separuh lagi gajinya digunakan bagi membayar ansuran hutang. Dalam masa yang sama, dia terpaksa berhutang bagi separuh daripada keperluan yang tidak mampu dibayarnya dengan tunai. Akibatnya hutang kad kreditnya bertambah dari hari ke hari. Sekiranya dia memilih melambatkan pembayaran hutangnya, surat saman akan sampai kurang daripada tujuh hari. Ini kerana hampir semua ansuran hutangnya tertunggak 2 bulan.

Fasa Terakhir - Kais sebulan boleh makan seminggu Sekarang Kamarul benar-benar di persimpangan, ¾ daripada gajinya digunakan bagi membayar ansuran minimum ataupun yang sudah tertunggak 3 bulan. Hanya tinggal suku daripada gajinya bagi makan, minum, pakai dan memenuhi keperluan asas yang lain. Gaji masuk setiap 28 haribulan. Pada 29 haribulan, duit dalam akaun sudah tinggal RM78.42. Pada masa ini, Kamarul diwartakan sebagai muflis. Bukan kebaikannya yang dipamerkan di dada-dada akhbar tetapi hutang piutang yang tidak mampu dibayarnya.

Moral of the story: Perancangan kewangan perlulah dilakukan dengan penuh disiplin. Tambahkan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan peribadi setiap hari. Ilmu pengurusan kewangan amat bernilai ketika ini kerana kita tidak pernah diajar ilmu sebegini di sekolah mahupun universiti.

Tips : Ketepikan sekurang-kurangnya 10% dari duit gaji setiap bulan untuk simpanan, balance nya barulah boleh digunakan untuk membayar hutang ataupun belanja harian.