oleh Ibnuhasyim
"LEPAS sembahyang Jumaat di Masjid Negara KL, 3 lelaki Islam dari Negara China menghampiri gerai sekitar masjid tersebut. Gerai menjual selipar dan kasut kanak-kanak, antara banyak gerai-gerai lain di situ.
“Assalamu‘alaikum...” Salam dari cucunya, berumur kira-kira 15 tahun. Dia bersama ayahnya kira-kira 30 tahun lebih dan neneknya kira-kira 55 tahun.
Salam dijawab oleh tuan punya gerai bernama Syukri. Masing-masing perkenalkan diri, rupanya mereka baru beberapa hari sampai ke Malaysia . Hanya cucu dan ayahnya yang pandai sikit-sikit bahasa Inggeris. Bahasa Melayu, langsung mereka tidak tahu.. Walaupun begitu kemesraan tetap terjalin atas nama Islam.
“Barangan jualan ini kebanyakannya dari negeri kami..” Kata ayahnya, sambil tangan mereka membelek-belek selipar dan kasut kanak-kanak yang dipamirkan di atas meja jualan.
Mereka tinggal di Guangzhou, sebuah bandar di Negeri China, yang kira-kira 2 jam dari Macau menaiki bas, kerana penerbangan terus antara KL- Guangzhou tambang murah tidak ada, kena singgah di Macau. Dikatakan, orang Islam di daerah itu kini terdapat kira-kira 1 orang dari 1,000 penduduk.
“Itu sebabnya, wanita-wanita kami tidak berani memakai tudung kepala, kerana sering diganggu oleh samseng-samseng Cina yang memang anti Islam, kesan dari penindasan golongan pemerintah komunis.” Kata neneknya dengan rasa terharu, melalui anaknya yang berbahasa Inggeris. “Ayahku (ayah kepada nenek itu) terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai semasa kebangkitan awal revolusi komunis di China dulu, walaupun Islam betapak di China sudah lama sebelum itu lagi, melalui sahabat Nabi Muhammd S.A.W, iaitu Saad bin Abi Waqas.”
Dikatakan juga, kini orang-orang Islam di China terdiri dari ramai peniaga-peniaga.
“Kalau yang begini, harga pasaran di tempat anda (Negeri China) berapa??” Tanya Encik Syukri sambil memegang sepasang selipar, yang harga pasaran di Malaysia kira-kira RM10.
“Lebih kurang RM2..” Jawab salah seorang dari mereka.
Encik Syukri berkira-kira, patutlah dia boleh dapatkan dari pengedar selipar di KL dengan harga berjumlah RM4 sepasang (harga kepada pengedar). “Ha.. Kalau begitu berapa harga dari kilang agaknya??”
“Kalau pesan banyak, contohnya satu kontena, mungkin harganya tidak lebih dari RM1 sepasang!!” Jelas sahabat baru dari China itu. “Saya boleh tolong tunjukkan cara menguruskan hingga dagangan sampai ke tempat anda. Saya amat berbesar hati jika yang berurusniaga dengan kami di China adalah orang-orang Islam. Moga-moga cahaya kegemilangan Islam akan menerangi alam China kembali dan hubungan keIslaman kita makin akrab.”
Modal RM1, sepasang. Mungkin termasuk pengurusan menjadi RM2. Jual secara borong RM4, dan jualan secara runcit sampai kepada pengguna RM10. Jadi kalau boleh jadi pemborong barangan dari negeri China, main kontena-kontena, mungkin boleh untung bersih RM2 tiap satu unit. Ini satu peluang baik untuk kembangkan perniagaan dari berniaga depan masjid atau pasar malam menuju kepada berniaga import eksport di peringkat global.
“Apakah barang-barang lain pun begitu juga purata untungnya?”
“Kebanyakannya begitu! Contohnya, pakaian, baju, kain selimut, dan lain-lain. Apalagi kalau ubat-ubatan trasional, alatan letrik, komputer dan macam-macam lagi, boleh kita perincikan kalau betul-betul nak!” Jelasnya lagi.
Patutlah kerajaan Kelantan menggalakkan berniaga dengan negara tersebut, membuka pejabatnya di China, memberi peluang bagi sesiapa rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan rakyat China. Hingga ada yang menyebutkan ‘Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China!’
Sebenarnya Nabi Muhammad S.A.W ada memberi panduan dalam mencari nafkah atau menjadi usahawan. Sila lihat hadith yang dikutip oleh Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam’, berkata Anas R.A lebih kurang begini...
Seorang pemuda dari kalangan sahabat Ansar datang kepada beliau meminta-minta. Kata beliau, “Engkau.. takde apa-apakah di rumah?”
“ Ada!” Jawab pemuda Ansar itu. “Hanya sehelai tikar dan sebuah takar (tempat air minum) sahaja..”
“Bawa kedua-dua barangan itu ke mari!!” kata Nabi.
Pemuda itu pun pergi mengambilnya dan membawa kepada Nabi. Nabi terus membuat tawaran, menjual secara lelong barangan tersebut kepada kawan-kawan di situ. Dijual dengan harga paling tinggi, iaitu 2 dirham.
“Nah! Satu dirham engkau beli makanan untuk keluarga engkau, dan bakinya engkau beli sebuah kapak!” Saran Nabi “.. bawa kapak itu kemari!!”
Pemuda itu terus mempraktikkan idea tersebut, ia kembali dengan sebuah kapak yang baru dibeli. Nabi mengambilnya dan mengikat pada sebatang tongkat (yakni siapkan hulu hingga boleh terus guna), dan menyerahkannya balik. Katanya, “Pergilah cari kayu api dengan kapak ini, dan juallah hasilnya! Jangan sampai aku nampak kamu lagi selama 15 hari (dari sekarang)!!”
Selepas 15 hari berlalu, kembalilah kawan itu, dia berjaya mengumpulkan wang sebanyak 10 dirham. Sebahagian dibeli makanan dan sebahagian lagi pakaian.
“Hal ini adalah lebih baik dari engkau datang di Hari Kiamat dengan wajahmu bernoda, tanda meminta-minta.” Jelas Nabi lagi. (Hadith dirawikan oleh Abu Daud).
Hadith ini menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan meminta-minta memang ada, walaupun perlu dihapuskan. Nabi mencetuskan idea kreatif, bagaimana menjadi usahawan, dapatkan modal, memotivasi (contohnya tempoh 15 hari sasaran masa ditetapkan), kecekapan melihat pasaran (waktu itu jual bahan bakar atau kayu api) dan sebagainya. Memang hebat Nabi Muhammad S.A.W.
Pengalaman masa mudanya pernah jadi usahawan. Pernah jadi gembala kambing sebagai tarbiah kepimpinan (Ingat hadith Nabi, setiap kamu adalah pengembala...). Pernah berkongsi atau usahasama niaga dengan ahli bisnes kecil As-Saa’ib bin Abis Saa’ib. Pernah berniaga import-eksport Mekah-Syam, di mana sumber ‘finance’nya ialah Khadijah sendiri walaupun waktu itu masih belum jadi isterinya (akhirnya taukeh finance itu jadi isteri atau miliknya).
Dikatakan beliaulah pencetus idea-niaga ‘sorong makan, tarik pun makan’, pergi ke Syam membawa dagangan dari Mekah, pulang membawa dagangan dari Syam. Di mana amalan sebelum itu cuma pergi membeli dagangan untuk penduduk Mekah dari Syam sahaja. Dengan itu penduduk Mekah dapat menikmati barang keperluan dengan harga yang lebih rendah. (Sila lihat ‘Encyclopedia of Seerah Volume II’ Afzalur Rahman - The Muslim School Trust, London).
Begitu juga ramai tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, adalah anak didik beliau, seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan sebagainya yang dijamin syurga. Mereka bukan sahaja berjaya dari sudut usahawan semata-mata, bahkan menjadi tokoh-tokoh politik dan pemimpin perjuangan Islam. Kalau tokoh korporat atau konglomerat masa kini, maka Usama bin Laden (yang dianggap pengganas oleh Amerika) juga disebut-sebut sebagai usahawan Islam yang berjaya. Betulkah??
Akhirnya pertemuan di Masjid Negara, menjadikan mereka sebagai sahabat seagama, yang lebih tinggi dari sahabat senegara dan sebangsa. Saya pun nak tumpang bersama-sama Encik Syukri, mungkin kami akan ke China kerana di sana sudah ada yang menunggu dan menggamit-gamit kami, Insya Allah!
Renungkanlah kisahnya dan bandingkan dengan diri kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan
Catat Ulasan