Seorang muslim yang sejati akan melihat dunia ini sebagai ladang akhirat. Didunia ialah tempatnya bercucuk tanam untuk mendapat imbuhan di akhirat nanti.
Tetapi di dalam keadaan itu manusia boleh menjadi terlupa. Di sinilah manusia itu akan terkejar-kejar dan mengejar material dunia. Dunia dikatakan bagaikan air laut kerana kita tidak akan merasa puas dalam mengecapi kenikmatan dunia ini.
Hari ini kita mungkin berkereta kecil. Tetapi apabila pendapatan kita meningkat barangkali kita akan bertukar kepada kereta besar. Jika meningkat lagi, mungkin kereta mewah yang akan kita beli. Selepas itu, tidak cukup satu, kita akan menambah lagi kereta-kereta selagi kita mampu.
Begitu juga dengan rumah. Dari rumah kecil kita akan berumah besar. Kemudian kita akan tambah dan ubahsuai di dalamnya. Apabila meningkat kita akan ubahsuai di luar dengan menambah kehadapan, kebelakang atau ketepi. Dari sebuah rumah kecil kita mungkin meningkat ke rumah berkembar dan kemudian kerumah sebiji. Setiap rumah yang kita berada di dalam akan diubahsuai dengan seberapa yang boleh.
Begitu juga dengan perabut. Dari perabut yang harga beratus ringgit, mungkin akan naik kepada beribu ringgit dan jika mampu kita akan membeli perabut bernilai lima angka. Begitu juga dari perabut kayu getah, kita bertukar kepada perabut kayu jati, rosewood dan sebagainya. Begitu juga dengan pakaian dan barang kemas. Kita akan membeli dan menambah sebanyak-banyaknya.
Bilakah kita akan berhenti? Itulah satu persoalan yang susah mahu dijawab. Setiap kali kita seronok berbelanja akan perkara di atas, setiap kali itulah nafsu kita mahu yang lebih besar, mahal dan baik. Ia bagaikan kita minum air laut. Ianya masin dan semakin kita minum, kita semakin haus dan kita akan terus minum.
Jika tidak berhati-hati, kita akan tenggelam lemas di dalam air laut yang di katakan dunia ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan
Catat Ulasan