Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan

Antara petikan dari buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam ?',
karangan Dr. Fathi Yakan.

###############################################

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Akidah yang benar adalah perkara pokok yang perlu ada dan diterima oleh seorang yang telah menerima islam samada melalui keturunan atau tidak. Secara ringkasnya untuk saya menjadi seorang muslim saya percaya bahawa saya perlu mengimani dan meyakini perkara-perkara berikut;

  1. Bahawa Pencipta alam ini adalah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain.

  2. Bahawa Allah tidak mencipta alam ini tanpa tujuan atau bermain-main sahaja.

  3. Bahawa Allah telah mengutuskan Rasul-Rasul dan menurunkan kitab untuk mengajar manusia mengenai Allah dan mengajar tentang matlamat dari kewujudan mereka di dunia ini dan ke mana arah penghidupan. Saya mengimani Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul terakhir dan al-Quran adalah mukjizat yang kekal abadi.

  4. Bahawa matlamat hidup manusia dalam kehidupan dunia ini ialah untuk mengenal Allah sebagaimana sifat-sifat-Nya yang diterangkan Allah, taat kepada Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya.

  5. Bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat dan neraka adalah balasan dan ganjaran siksa bagi orang kafir.

  6. Bahawa manusia dapat dan boleh mencapai kebaikan melalui usaha, ikhtiar dan kehendaknya dengan taufik dan pertolongan Allah, dan kejahatan melalui usaha, ikhtiar dan kehendaknya tetapi dengan kehendak dan keizinan Allah.

  7. Bahawa syariat (penciptaan dan penggubalan) undang-undang adalah hak Allah.

  8. Bahawa saya akan mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

  9. Bahawa saya hendaklah takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada selain dari Allah yang mana ini akan menjauhkan diri saya dari perkara mungkar dan haram.

  10. Bahawa saya mestilah sentiasa mengingati Allah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah.

  11. Bahawa saya mestilah mencintai Allah dengan kecintaan yang menyebabkan saya rindu Allah dan sentiasa bergantung kepada-Nya.

  12. Bahawa saya akan sentiasa bertawakal kepada Allah dalam semua urusan.

  13. Bahawa saya mesti bersyukur kepada Allah atas nikmat dan kurnia-Nya yang tiada terhingga.

  14. Bahawa saya mestilah meminta ampun dari Allah dan sentiasa bertaubat.

  15. Bahawa saya mestilah sentiasa dalam keadaan bermuraqabah terhadap Allah dalam keadaan terang atau tersembunyi.

    ###############################################
Muraqabah = Pemerhatian diri yang berterusan kepada Allah kerana mengharapkan rahmat-Nya dan takut pada azab-Nya.

Antara petikan dari buku 'Satu Rasa Dua Hati',
karangan Pahrol Mohamad Juoi.

###############################################

Majlis akad nikah itu baru sahaja usai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Tiba-tiba, seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan bertanya,

“kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?”

Saya lantas menjawab, “Tuk dulu kahwin cepat?”

“Umur 15 tahun nenek kau dah dapat anak seorang…”

Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang. Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak.

“Bahagia Tuk?”

“Tak bahagia apa…anak Tuk 12 orang!”

Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka.

“Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh kata saya tak sabar,” adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

“Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira dah terlajak dah tu.”

“Betulkah saya tak sabar Tuk?”

“Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat dari maksiat. Kalau tak sabar, Tuk lagilah tak sabar, umur 17 tahun dah kahwin, hehehe.”

“Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal lambat atau cepat, tapi soal dah bersedia ataupun tidak?”

“Setuju. Tapi kenalah huraikan maksud bersedia tu.” Tajam Tuk membalas.

“Kalau ikut Tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?”

“Soal ni tak boleh agak-agak, mesti tepat.”

Terkedu saya dibuatnya. Tuk ni bukan sebarang orang.

“Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur. Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting kematangan diri. Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang.”

Saya merenung panjang. Tertikam di sudut hati pertanyaan, sudahkah saya matang sewaktu berkahwin dulu?

“Jangan termenung. Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul. Nanti tak kahwin pulak.” Usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya. Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading.

“Macam mana saya nak matang?” Tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa lambat.

“Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan, umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar fardhu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK. Bila sudah baligh, buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggungjawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga.”

“Itu saja? Ilmu lain?” Tanya saya ringkas.

“Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan, ikut keadaan zaman tulah. Tuk ni nasib tak baik. Kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang Tuk kutip hasilnya sekarang ni..”

“Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali naik Haji.”

“Tak senang, tapi mudah-mudahan tenang. Tu la doa Tuk, biar hidup kita tenang.”

“Agaknya, sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?” Cuit saya, kembali ke tajuk asal.

“Ni agak Tuk lah. Budak sekarang ni tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 tahun dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan berzanji tu, dah lancar. Tapi sekarang, umur dah 23 pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali.” Terbayang kekesalan di wajahnya.

Dia menyambung, “Sekali tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadi. Bila ditanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja.”

“Kalau macam tu macam mana?”

“Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anak nanti? Tu baru ilmu paling asas, belum lagi ilmu…apa orang putih kata…parenting skill.”

“Tuk pun tahu parenting skill?”

“Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku. Macam-macam ada.”

“Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga…nanti terjebak dengan maksiat,” kilas saya.

“Tulah, ajaran islam ni macam rantai. Lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya. Ilmu Tauhid, Fekah, dan akhlak perlu diasak di awal usia. Diiring ilmu akademik. Jadi bila dah kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material pun ada.”

“Macam mana kalau dilambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?”

“Apa pun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama, sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan ditambah lagi selepas kahwin. Begitu juga soal kerja, profesion. Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada.”

“Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?” terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

“Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, buat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab.”

“Antara dua keadaan ni, yang mana kita patut pilih?”

“Perlukah membuat pilihan? Pada Tuk, pilihlah keadaan yang tak memaksa kita membuat pilihan!”

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana!

###############################################

Sumber di blog ( www.themalaypress.blogspot.com )


"Mana ko dapat tu, Imam Syafie penghulu segala imam?" Soal seorang kenalan dalam masa menyembang tentang masalah umat Malayu di Malaya tercinta ini.

Soalan sebegini sememangnya menarik, tetapi payah hendak dijawab oleh 'orang awam' seperti penulis. Masalahnya bukan apa, sebabnya penyataan itu 'tiada dalam Al-Quran atau pun hadis', jadi sudah dikira macam mengada-ngadakan cerita pulak. Hendak buka Al-Quran dan Hadis, kita pun bukannya pakar, kang tersalah sedut kang lain pulak jadinya.

Oleh kerana tidak mahu menimbulkan fitnah yang berpanjangan dan demi kebaikan para pembaca, disini penulis sertakan sebuah buku karangan H Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki berkenaan Imam Syafie. Jadi bukanlah penulis sengaja melebih-lebihkan cerita keunikan umat Malayu yang bermazhab Syafie, tetapi hakikatnya, kelebihan Imam Syafie itulah yang menjadikan keberuntungan kepada umat Malayu yang mengikutnya dan bukanlah sebaliknya.

Berkenaan dengan tajuk 'penghulu' tersebut silalah rujuk kepada guru-guru yang mempunyai nasab yang lengkap dan boleh dipercayai hulu dan pangkalnya. Terkadang ada juga yang berguru Agama Islam dengan Tok Guru omputih fahaman Orientalis, jadi susahlah sikit, takut-takut tidak ada berkat, yang kita tidak mahu itu ilmu yang tiada berkat. Cakap pandai, tetapi kosong, maka rugilah kita yang mendengar dan beramal dengannya.

Yang bercakap banyak dalam tele tu, belum bertemu ruas...gamaknya.

Sedikit mengenai nasab Imam Syafie:
Beliau adalah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi'e bin al-Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutthalib bin Abdul Manaf bin Qusai al-Quraisyi al-Muthalibi Al-Syafi'e. Pertemuan nasab beliau dengan Rasullullah s.a.w adalah pada datuknya yang keempat iaitu Abdul Manaf.

Sedikit dari mutiara kata Imam Syafie:
"Barang siapa tidak menyenangi ilmu bererti tidak akan ada kebaikan pada dirinya. Oleh itu jangan sampai ada diantara anda dan dia saling kenal-mengenal dan menjadi teman".

"Sebagaimana mata mempunyai batasannya, begitulah dengan akal yang juga mempunyai ruang lingkup yang terbatas"

"Wahai Rabi', tuntutlah ilmu walaupun di negeri China"

Sedikit sedutan dari buku diatas:
"Janganlah kalian mencela orang-orang Quraisy kerana ilmu salah seorang daripada ulamanya bakal memenuhi seluruh alam ini" (H.R Baihaqi, Abu Daud dan Hakim)

"Cintailah Arab kerana tiga perkara: Kerana saya orang Arab, Al-Quran berbahasa Arab dan pertuturan Ahli Syurga dengan Bahasa Arab."

"Ya Salman, janganlah engkau membenciku kerana nanti menyebabkan engkau akan terpisah dari agamamu." Jawab Salman: "Wahai Rasullullah, bagaimana mungkin saya membencimu sedangkan engkau menyebabkan kami mendapat hidayat".

Sabda Rasullullah: "Jangan engkau membenci Arab, kerana kalau engkau membenci Arab bererti engkau membenci diriku". (H.R Ahmad bin Hambal, Tarmizi, Hakim, Tabrani dan Abu Nu'aim)

Imam Syafie di Yaman.
Sebelum ke Baghdad, Imam Syafie mengembara ke Yaman. Kerana baginya di Yaman terdapat sebilangan besar Ulama besar yang merupakan anak murid kepada Imam Ibnu Juraij yang wafat pada 150 Hijrah.

Imam Syafie yang pada awalnya tidak berkemampuan ke Yaman akhirnya berjaya ke sana setelah bertemu dengan seorang lelaki keturunan bani Abdul Muttalib di Mekah, yang menjadi gabenor disalah satu wilayah dalam negeri Yaman.

Di Yaman, setelah mengetahui hal kepintaran dan keperibadian Imam Syafie, Gabenor itu telah telah menawarkan jawatan tinggi dalam hal ehwal hukum syarak di negerinya. Imam Syafie telah menyambut baik tawaran tersebut dan telah bekerja di suatu tempat bernama Najran.

Disamping berguru dengan beberapa Ulama tersohor di Yaman, Imam Syafie juga telah berkahwin dengan Hamidah bin Nafi iaitu cucu Sayidina Uthman bin Affan dan dari perkahwinan itu beliau mendapat tiga orang anak. Seorang bernama Abu Uthman Muhammad bin Muhammad bin Idris yang kemudiannya menjadi qadi di Halab (Aleppo) Syam, dua orang lagi perempuan bernama Fatimah dan Zainab.

Sewaktu di Yaman beliau di fitnah dan akhirnya di bawa ke penghadapan Khalifah Harun al-Rasyid di Baghdad kerana dituduh berkomplot bersama-sama golongan Alawiyin untuk mengembalikan pemerintahan kepada keluarga Sayidina Ali, dan dituduh untuk melakukan [huru-hara] menjatuhkan kerajaan Bani Abassiah. Oleh kerana kepandaiannya berdialog dan berhujah di hadapan Khalifah Harun al-Rasyid akhirnya beliau hanya dihukum penjara sahaja. Waktu itu beliau dikatakan berumur 34 tahun.

Sewaktu didalam penjara di Baghdad, Imam Syafie bermimpi:

"Suatu malam ketika saya dalam penjara di Baghdad, saya telah bermimpi didatangi oleh Sayidina Ali ra. Sayidina Ali ra. telah duduk dihadapan saya. Beliau telah memecat cincin yang dipakainya, dan kemudian menyarungkannya ke tangan saya.

Saya telah menceritakan tentang mimpi saya tersebut kepada Imam Muhammad bin Hassan dan meminta beliau supaya mencari seseorang yang handal dalam ta'bir mimpi. Apabila penta'bir mimpi datang, saya telah menceritakan kepadanya tentang mimpi tersebut."

Katanya "Jika benar mimpi tuan guru itu, suatu hari nanti segala pandangan dan pendapat tuan guru akan tersebar dan diamalkan di seluruh pelosok dunia dimana sahaja sampainya dan tersebarnya nama Sayidna Ali RA."- (Imam Baihaqi meriwayatkan dari Imam al-Rabi')

Imam Syafie dibebaskan dari penjara dan Khalifah Harun al-Rashid mengetahui bahawa Imam Syafie berbangsa Quraish dari keturunan bani Abdul Muttalib dan sebelum ini beliau di fitnah. Imam Syafie telah dipandang tinggi oleh khalifah, ini dapat dibuktikan bila mana suatu ketika beliau ditawarkan jawatan qadi dan kadang-kadang dijemput menghadap khalifah semata-mata untuk memberi nasihat dan tazkirah kepada khalifah.

Mimpi berjumpa Rasulullah s.a.w
Imam Syafie berkata: "Saya pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w sebelum saya baligh lagi. Baginda telah bersabda kepada saya: " Wahai anak!" Saya jawab: "Labbaika ya Rasulullah!"

Tanya Baginda: "Dari mana asal keturunanmu?" Saya menjawab: "Dari keturunanMu." Baginda menambah: "Sila dekatkan diri kamu ke sini." Kemudian Baginda mengambil air liurNya dan saya pun membuka mulut saya. Lalu baginda menyapukan air liurNya tadi ke lidah, mulut dan kedua bibir saya, lantas Baginda bersabda: "Pergilah kamu, semoga Allah s.w.t memberkatimu".

Setelah itu saya tidak pernah lagi terkeliru dalam hal membaca dan menghafal Hadis mahupun syair atau sastera.

Abu Hassan al-Syafie berkata "Aku telah bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w Aku bertanya "Wahai Rasulullah, ganjaran apa yang seharusnya diberikan kepada Imam Syafie terhadap ucapan Salawat dan Salamnya yang terdapat dalam kitab al-Risalah (Wa Solallahu'ala Muhammad Kullama Zakarahul Zakirun, waghafala'an zikrhil Ghafilun)." Rasullullah menjawab: "Sebagai balasannya, dia dibebaskan dari hisab."

Jadi tuan-tuan sekalian, walau bagaimana sekalipun sejarah kita diubah dan dan digodam oleh orientalis, umat Malayu masih lagi beruntung besar kerana masih menjadi pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang setia dari zaman dahulu sampailah sekarang. Oleh itu disamping kita mencari asal-usul sejarah realiti bangsa yang telah digelapkan, jangan pula sampai hati kita digelapkan oleh anasir-anasir lain yang lebih berbahaya yang tidak membawa kita diatas landasan yang telah digariskan imam-imam terdahulu yang bersusur galur dan diakui sampai ke Rasullulah S.A.W

Juga berterima kasihlah kita tidak terhingga kepada sultan-sultan (Khalifah) dan ulama-ulama yang berjiwa panglima yang terdahulu mempertahankan aqidah umat Malayu Islam di No-San-Ta-Ra ini dengan bersungguh hati. Samada melalui jalan dakwah atau atas jalan perang fisabillah mempertahankan agama Allah. Dalam segala hal, soalnya pegangannya hati itulah yang akan diambil kira dipenghujungnya kelak. Hakikatnya, itulah realitinya sejarah ini dan itulah benteng terakhir umat Islam di Malaya hari ini.

Beberapa petikan dari buku 'Kunci Kejayaan Minda',
karangan Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al Qarni.

###############################################

YANG BULAT TAK DATANG BERGOLEK, YANG PIPIH TAK DATANG MELAYANG.


Bagaimana para sahabat dan solafus soleh berjuang memiliki ilmu hingga ke titisan darah yang akhir.

"Jika mereka yang hidup ribuan tahun dahulu boleh cemerlang, kenapa anda pada hari ini yang hidup dalam 100% kemewahan dan kemudahan tidak mampu menghasilkan 10% pun daripada usaha mereka."

AL-NAISABURI
Membaca sahih muslim sebanyak 100 kali.

IBN SINA
Membaca buku Al-Farabi 40 kali dan ada ulama yang membaca kitab Al-Mughni sebanyak 10 kali.

Selepas seluruh bukunya terbakar, IBN HAZIM mulai menulis semula daripada hafalannya.

QATADAH
Menghafal buku seberat muatan keldai.

AL-SYA'BI berkata,
"Aku tidak pernah menuliskan tinta hitam ke atas kertas putih tentang sesuatu ilmu kecuali aku menghafalnya terlebih dahulu. Yang paling sedikit aku hafal ialah syair, jika kamu mahu, maka aku bacakan kepada kamu syair-syair itu selama sebulan penuh."

SUFYAN AL-TSAURI
Berdiri lama untuk solat sampai ke pagi. Sanggup, berlapar selama 3 hari demi mencari hadis.

IBN MUBARAK
Dan salah seorang ulama mengulang hadis sambil berdiri sehingga terbit fajar.

MUHAMMAD AL-AMIN AL-SYINQITHI
Meneliti satu permasalahan selama sehari semalam.

YAHYA BIN MA'IN
Menulis lafaz "Sallallahualaihiwassallam" sebanyak sejuta kali dan menulis setiap hadis sebanyak 50 kali.

IBN DURAID
Menyalin kitab Al-Jamharah sebanyak 4 kali.

IMAM BUKHARI
Meneliti kitab sahihnya selama 16 tahun. Setiap hadis yang ditulisnya dimulakan dengan mandi dan solat sunat 2 rakaat.

AHMAD BIN HANBAL
Menjadikan dirinya sebagai orang suruhan demi mencari ilmu.

ABU HANIFAH
Menjual sebahagian perabot rumahnya demi mencari ilmu.

IMAM NAWAWI
Selalu belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.

*******

JIKA ANDA IBU BAPA - JADILAH IBU BAPA TELADAN.

Sering kali terjadi salah tanggapan sesetengah pihak bahawa ilmu keibubapaan lahir serentak dengan kelahiran anak.

Kemahiran keibubapaan bukan lahir secara "kebetulan" apabila bergelar bapa. Seorang bapa perlu belajar daripada kursus-kursus, pembacaan, pengalaman dan penghayatan yang berterusan.

Tanggungjawab ibu bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan jika dilambakkan segala harta dunia, masih belum tertunai amanah Allah kepada ibu bapa. Tugas ibu bapa meliputi keperluan rohani dan jasmani anak-anak.

Ibu dan bapa misali menjadikan anak dan keluarga sebagai inspirasi untuk terus gigih bekerja dan sebagai penenang jiwa dan penyejuk hati. Sedangkan bapa yang tidak bertanggungjawab menganggap keluarga satu beban dan menambah tekanan jiwa.

Anak Anda, tidak mendengar apa yang anda cakap tetapi sentiasa melihat apa yang anda lakukan.

Awas! anda berhak menentukan siapa teman anak anda.

###############################################


Antara petikan dari buku 'Ayat-Ayat Cinta',
karangan Habiburrahman El-Shirazy

###############################################

Tiba-tiba saja aku berada dalam alam yang tidak pernah kulihat sebelumnya. Dari kejauhan aku melihat istana megah hijau bersinar-sinar. Aku datang ke sana. Aku belum pernah melihat bangunan istana yang luasnya tiada terkira, dan indahnya tiada pernah terpikir dalam benak manusia. Luar biasa indahnya. Ia memiliki banyak pintu. Dari jarak sangat jauh aku telah mencium wanginya. Aku melihat banyak sekali manusia berpakaian indah satu persatu masuk ke dalamnya melalui sebuah pintu yang tiada terbayangkan indahnya.

Kepada mereka aku bertanya, “Istana yang luar biasa indahnya ini apa?” Mereka menjawab, “Ini syurga!” Hatiku bergetar. Dari pintu yang terbuka itu aku boleh sedikit melihat apa yang ada di dalamnya. Sangat menakjubkan. Tak ada kata-kata yang dapat digambarkan. Tak ada fikiran yang mampu melukiskan. Aku sangat tertarik maka aku ikut barisan orang-orang yang satu persatu masuk ke dalamnya. Ketika kaki mahu melangkah masuk seorang penjaga dengan senyum menawan berkata padaku, “Maaf, Anda tidak boleh melalui pintu ini. Ini namanya Babur Rayyan. Pintu khusus untuk orang-orang yang berpuasa. Anda tidak termasuk golongan mereka!” Aku sangat kecewa.

Aku lalu berjalan ke sebelah lain. Di sana ada pintu yang juga sedang penuh dimasuki anak manusia berpakaian indah. Aku mahu ikut masuk. Seorang penjaga yang ramah berkata, “Maaf, Anda tidak boleh melalui pintu ini. Ini Babush Shalat. Pintu khusus untuk orang-orang shalat. Dan Anda tidak termasuk golongan mereka!” Aku sangat sedih. Hatiku kecewa luar biasa.

Aku melihat di kejauhan masih ada pintu. Aku berjalan ke sana dengan harapan dapat masuk melalui pintu itu. Namun ketika hendak masuk seorang penjaga yang wajahnya bercahaya berkata, “Maaf, Anda tidak boleh masuk melalui pintu ini. Ini Babuz Zakat. Pintu khusus untuk orang-orang yang menunaikan zakat. Anda bukanlah golongan dari mereka. Ada banyak pintu. Dan setiap kali aku hendak masuk selalu dicegah penjaganya.

Sampai di pintu terakhir namanya Babut Taubah. Aku juga tidak boleh masuk. Kerana itu khusus untuk orang-orang yang taubatnya diterima Allah. Dan aku tidak termasuk golongan mereka. Aku kembali ke pintu-pintu sebelumnya. Semuanya tertutup rapat. Orang-orang sudah masuk kesemuanya. Hanya aku sendirian di luar. Aku mengetuk-ngetuk pintu bernama Babur Rahmah. Tak ada yang membuka.

Aku hanya mendengar suara, “Jika kau memang penghuni syurga kau tidak perlu mengetuknya kerana kau pasti mempunyai kuncinya. Bukalah pintu-pintu itu dengan kunci syurga yang kau miliki!” Aku menangis sepuas-puasnya. Aku tidak memiliki kuncinya. Aku berjalan dari pintu ke pintu yang lain dengan air mata menitis di sepanjang jalan. Aku putus asa. Aku tergugu di depan Babur Rahmah. Aku mengharu biru pada Tuhan. Aku ingin menarik belas kasihNya dengan membaca ayat-ayat suciNya. Yang kuhafal adalah surah Maryam yang tertera di dalam Al-Quran. Dengan mengharu biru aku membacanya penuh penghayatan.

Selesai membaca surat Maryam aku teruskan surah Thaha. Sampai ayat sembilan puluh sembilan aku berhenti kerana Babur Rahmah terbuka perlahan. Seorang perempuan yang luar biasa anggun dan sucinya keluar mendekatiku dan berkata,

“Aku Maryam. Yang baru saja kau sebut dalam ayat-ayat suci yang kau baca. Aku diutus oleh Allah untuk menemuimu. Dia mendengar haru biru tangismu. Apa yang kau mahu?”

“Aku ingin masuk syurga. Bolehkah?”

“Boleh. Syurga memang diperuntukkan bagi semua hambaNya. Tapi kau harus tahu kuncinya?”

“Apa itu kuncinya?”

“Nabi pilihan Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajarkannya berulang-ulang. Apakah kau tidak mengetahuinya?”

“Aku tidak mengikuti ajarannya.”

“Itulah salahmu.”

“Kau tidak akan mendapatkan kunci itu selama kau tidak mahu tunduk penuh ikhlas mengikuti ajaran Nabi yang paling dikasihi Allah ini. Aku sebenarnya datang untuk memberitahukan kepadamu kunci masuk surga. Tapi kerana kau sudah menjaga jarak dengan Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam, maka aku tidak diperkenankan untuk memberitahukan padamu.”

Bonda Maryam lalu membalikkan badan dan hendak pergi. Aku terus memeluknya dan bersimpuh di kakinya. Aku menangis tersedu-sedu. Memohon agar diberitahu kunci syurga itu. “Aku hidup untuk mencari keredhaan Tuhan. Aku ingin masuk syurga hidup bersama orang-orang yang beruntung. Aku akan melakukan apa saja, asal masuk syurga. Bonda Maryam, tolonglah aku. Berilah aku kunci itu!. Aku tidak mahu rugi selama-lamanya.” Aku terus menangis sambil menyebut-nyebut nama Allah.

Akhirnya hati Bonda Maryam luluh. Dia duduk dan menggosok-gosok kepalaku dengan penuh kasih sayang,
“Maria dengarkan baik-baik! Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam, telah memberi petunjuk mengenai kunci masuk syurga. Dia bersabda, ‘Barangsiapa berwudhu dengan baik, kemudian mengucapkan: Asyhadu an laa ilaaha illallah wa asyhadu anna Muhammadan abduhu wa rasuluh (Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan utusanNya) maka akan dibukakan delapan pintu surga untuknya dan dia boleh masuk yang mana ia suka!’

Jika kau ingin masuk syurga lakukanlah apa yang diajarkan olah Nabi pilihan Allah itu. Dia nabi yang tidak pernah bohong, dia nabi yang semua ucapannya benar. Itulah kunci syurga! Dan ingat Maria, kau harus melakukannya dengan penuh keimanan dalam hati, bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah. Tanpa keimanan itu, yang kau lakukan sia-sia. Sekarang pergilah untuk berwudhu. Dan cepat kembali kemari, aku akan menunggumu di sini. Kita nanti masuk bersama. Aku akan membawamu ke syurga Firdaus, tempat para anbiya, syuhada, shalihiin, dan orang-orang yang dimuliakan Tuhannya!”

Setelah mendengar nasihat dari Bonda Maryam, aku lalu pergi mencari air untuk wudhu. Aku berjalan ke sana kemari namun tidak juga menemukan air. Aku terus menyebut nama Allah. Akhirnya aku terbangun dengan hati sedih. Aku ingin masuk syurga. Aku ingin masuk syurga. Aku ingin ke sana, Bonda Maryam menungguku di Babur Rahmah.

###############################################

Antara petikan dari buku 'Di Atas "Sajadah" Cinta',
karangan Habiburrahman El-Shirazy

###############################################

Kepada Afirah,


Salamullahi'alaik...

Benar aku sangat mencintaimu. Namun sakit dan deritaku ini tidaklah semata-semata kerana rasa cintaku padamu. Sakitku ini kerana aku menginginkan sebuah cinta suci yang mendatangkan pahala dan diredhai Allah 'Aza wajalla. Inilah yang ku damba. Dan aku ingin mendamba yang sama . Bukan sebuah cinta yang menyeret kepada kenistaan dosa dan murka-Nya.

Afirah,

Kedua tawaranmu itu tidak ada yang aku terima. Aku ingin mengubati kehausan jiwa ini dengan secangkir air cinta dari syurga. Bukan air timah dari neraka.
Afirah, " inni akhaafu in 'ashaitu Rabbi adzaaba yaumin adzim "


Afirah,

Jika kita terus bertakwa, Allah akan memberikan jalan keluar. Tak ada yang bisa aku lakukan saat ini kecuali menangis padanya. Tidak mudah meraih cinta berubah pahala. Namun aku sangat yakin dengan firmannya "Wanita-wanita yang tidak baik adalah untuk laki-laki yang tidak baik, dan laki-laki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik ( pula ), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki - laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh itu) bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka. Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (yaitu surga). Kerana aku ingin mendapatkan seorang bidadari yang suci dan baik. Maka aku akan berusaha kesucian dan kebaikan. Selanjutnya Allah yang menentukan.

Afirah,

Bersama surat ini aku sertakan serbanku, semoga boleh menjadi penglipur lara dan rindumu. Hanya kepada Allah kita serahkan hidup dan mati kita.

Wassalam.

Zahid

###############################################

La Tahzan

11:30 PG | | 2 ulasan »

Beberapa petikan dari buku 'La Tahzan',
karangan Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al Qarni.

###############################################

Yakinilah bahawa anda tetap mulia bersama para penerima cubaan!


Sungguh, betapa banyaknya penderitaan yang terjadi, dan betapa banyak pula orang-orang yang sabar menghadapinya. Maka anda bukan hanya satu-satunya orang yang mendapat cubaan. Bahkan mungkin saja penderitaan atau cubaan anda tidak seberapa bila dibandingkan dengan cubaan orang lain.


"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan)" Al-Baqarah:214


Solat... solat...
solat...

"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat"
Al-Baqarah:153

Jika anda diliputi ketakutan, dihimpit kesedihan, dan dicekik kerisauan, maka segeralah bangkit untuk melakukan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya, solat itu-dengan izin Allah-sangatlah cukup untuk menyirnakan kesedihan dan kerisauan.


Setiap kali dirundung kesedihan dan kegelisahan, Rasulullah s.a.w selalu meminta kepada Bilal bin Rabbah: "Tenangkanlah kami dengan solat, wahai Bilal" (al-Hadith). Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah s.a.w


Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung


Meneragkan semua perkara kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya sepenuhnya terhadap janji-janjiNya, redha dengan ketentuanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar akan pertolongan dariNya merupakan buah keimanan yang paling agung dan sifat paling mulia dari seorang mukmin.


Dan ketika seorang hamba tenang dan yakin bahawa apa yang terjadi itu baik baginya, dan ia menggantungkan setiap permasalahannya hanya kepada Rabbnya, maka ia akan mendapatkan pengawasan, perlindungan, pencukupan serta pertolongan dari Allah.


Ketika Nabi Ibrahim a.s dilempar ke dalam kobaran api, baginda mengucapkan, "Hasbunallah wa ni'mal wakil", maka Allah pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika.


"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar"
(Ali-Imran:173-174)

Manusia tidak akan pernah mampu melawan setiap bencana, menaklukkan setiap derita, dan mencegah setiap mala petaka dengan kekuatannya sendiri. Sebab, manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Mereka akan mampu menghadapi semua itu dengan baik hanya bila bertawakkal kepada Rabbnya. Kerana, jika tidak demikian, jalan keluar mana lagi yang akan ditempuh manusia yang lemah tak berdaya ini saat menghadapi ujian dan cubaan?


Wahai orang yang ingin menyedarkan dirinya, bertawakallah kepada Yang Maha Kuat dan Maha Kaya yang kekuatan amat besar ada padaNya. Jadikanlah "Hasbunallah wa ni'mal wakil" sebagai zikir dan kata-kata yang tulus yang selalu menyelimuti langkah hidup Anda.


"Dan cukuplah RabbMu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong" (Al-Furqan:31)


Katakanlah: 'Berjalanlah di muka bumi!'


Di antara perkara yang dapat melapangkan dada dan melenyapkan awan kesedihan dan kesusahan adalah dengan berjalan menjelajah negeri dan membaca 'Buku Penciptaan' (Bumi) yang terbuka lebar ini untuk menyaksikan bagaimana pena-pena kekuasaan menuliskan tanda-tanda keindahan di atas lembaran-lembaran kehidupan. Betapa tidak, kerana anda akan banyak menyaksikan taman, kebun, sawah dan bukit-bukit hijau yang indah mempersona.


Keluarlah dari rumah, lalu perhatikan apa yang ada di sekitar anda, di depan mata anda, dan di belakang anda! Dakilah gunung-gunung, jamahlah tanah di lembah-lembah, panjatlah batang-batang pepohonan, teguklah air yang jernih, dan ciumkanlah hidungmu atas bunga mawar! Pada saat-saat yang demikian itu, anda akan menemukan jiwa anda yang benar-benar merdeka dan bebas seperti burung yang berkicau melafazkan tasbih di angkasa kebahagiaan. Keluarlah dari rumah anda, tutup kedua mata anda dengan kain hitam, kemudian berjalanlah di bumi Allah yang sangat luas ini dengan sentiasa berzikir dan bertasbih.


"Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka" (Ali-Imran:191)


Sabar itu Indah


Bersabar merupakan ciri orang-orang yang menghadapi pelbagai kesulitan dengan lapang dada, kemahuan yang keras, serta ketabahan yang besar. Kerana itu, jika kita tidak bersabar, maka apa yang bisa kita lakukan?


Bersabarlah kerana Allah! Seberapa pun besar permasalahn yang anda hadapi, tetaplah bersabar. Kerana kemenangan itu sesungguhnya akan datang bersama dengan kesabaran. Jalan keluar datang bersama kesulitan. Bukankah dalam setiap kesulitan itu ada kemudahan? (Surah Al-Insyirah)

"Innallaha ma'as sabirin"
(Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar) (Al-Qur'an)

###############################################