Antara petikan dari buku 'Satu Rasa Dua Hati',
karangan Pahrol Mohamad Juoi.

###############################################

Majlis akad nikah itu baru sahaja usai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Tiba-tiba, seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan bertanya,

“kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?”

Saya lantas menjawab, “Tuk dulu kahwin cepat?”

“Umur 15 tahun nenek kau dah dapat anak seorang…”

Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang. Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak.

“Bahagia Tuk?”

“Tak bahagia apa…anak Tuk 12 orang!”

Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka.

“Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh kata saya tak sabar,” adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

“Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira dah terlajak dah tu.”

“Betulkah saya tak sabar Tuk?”

“Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat dari maksiat. Kalau tak sabar, Tuk lagilah tak sabar, umur 17 tahun dah kahwin, hehehe.”

“Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal lambat atau cepat, tapi soal dah bersedia ataupun tidak?”

“Setuju. Tapi kenalah huraikan maksud bersedia tu.” Tajam Tuk membalas.

“Kalau ikut Tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?”

“Soal ni tak boleh agak-agak, mesti tepat.”

Terkedu saya dibuatnya. Tuk ni bukan sebarang orang.

“Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur. Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting kematangan diri. Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang.”

Saya merenung panjang. Tertikam di sudut hati pertanyaan, sudahkah saya matang sewaktu berkahwin dulu?

“Jangan termenung. Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul. Nanti tak kahwin pulak.” Usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya. Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading.

“Macam mana saya nak matang?” Tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa lambat.

“Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan, umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar fardhu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK. Bila sudah baligh, buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggungjawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga.”

“Itu saja? Ilmu lain?” Tanya saya ringkas.

“Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan, ikut keadaan zaman tulah. Tuk ni nasib tak baik. Kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang Tuk kutip hasilnya sekarang ni..”

“Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali naik Haji.”

“Tak senang, tapi mudah-mudahan tenang. Tu la doa Tuk, biar hidup kita tenang.”

“Agaknya, sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?” Cuit saya, kembali ke tajuk asal.

“Ni agak Tuk lah. Budak sekarang ni tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 tahun dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan berzanji tu, dah lancar. Tapi sekarang, umur dah 23 pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali.” Terbayang kekesalan di wajahnya.

Dia menyambung, “Sekali tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadi. Bila ditanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja.”

“Kalau macam tu macam mana?”

“Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anak nanti? Tu baru ilmu paling asas, belum lagi ilmu…apa orang putih kata…parenting skill.”

“Tuk pun tahu parenting skill?”

“Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku. Macam-macam ada.”

“Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga…nanti terjebak dengan maksiat,” kilas saya.

“Tulah, ajaran islam ni macam rantai. Lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya. Ilmu Tauhid, Fekah, dan akhlak perlu diasak di awal usia. Diiring ilmu akademik. Jadi bila dah kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material pun ada.”

“Macam mana kalau dilambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?”

“Apa pun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama, sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan ditambah lagi selepas kahwin. Begitu juga soal kerja, profesion. Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada.”

“Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?” terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

“Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, buat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab.”

“Antara dua keadaan ni, yang mana kita patut pilih?”

“Perlukah membuat pilihan? Pada Tuk, pilihlah keadaan yang tak memaksa kita membuat pilihan!”

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana!

###############################################

1 ulasan

  1. Unknown // 1 April 2010 pada 9:48 PTG  

    abg...nnt belikan syg buku ni, mcm best je kandungannya