Zakat atau penyucian harta dalam istilah bahasa bermaksud bersih, suci, subur berkat dan berkembang. Zakat boleh membersihkan harta dan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil serta sifat dengki dan dendam golongan miskin terhadap orang yang kaya. Zakat yang merupakan salah satu rukun islam seharusnya menjadi satu motivasi bagi setiap muslim untuk bekerja keras agar dapat membayar zakat.

Allah berfirman; "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (at-Tawbah : 103)

Harta kekayaan yang dicari dan dikumpul merupakan amanah dan ujian daripada Allah S.W.T mungkin ada yang terfikir... harta bukan ujian.. harta adalah nikmat !. Betul.. Kita diuji dengan nikmat harta kerana ianya mampu melalaikan kita dari memperingati Allah S.W.T.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (al-Munafiqun : 9)

Alangkah baiknya jika semua orang kaya muslim menangis syukur dengan rezeki yang melimpah ruah yang mereka terima. Betapa kerdilnya diri mereka berbanding dengan Allah yang maha kaya. Seharusnya mereka (dan juga kita) meminta panduan Ilahi berkenaan cara memberi manfaat kepada seramai mungkin umat islam dengan kekayaan yang dimiliki.

Bagaimana boleh terjadi mereka yang tidak bertaqwa atau tidak dilihat dengan mata kasar sebagai orang yang beriman tetapi mendapat rezeki yang melimpah ruah ? Ini dikenali dengan istidraj atau pemberian yang diberi bukan dengan penuh rahmat daripada Allah S.W.T.

Bandingkan Qorun dan Nabi Sulaiman a.s berkenaan sikap mereka dengan kekayaan. Qorun tenggelam dengan kesombongannya tetapi Nabi Sulaiman mensyukuri nikmat yang Allah berikan dan memanfaatkan harta yang dimiliki. Selain daripada kerajaan dan kekayaan, Nabi Sulaiman a.s boleh memahami komunikasi semut dan mampu memanfaatkan kekuatan angin untuk pengangkutan. Semua kelebihan ini membuat beliau bersyukur seraya berdoa,

"...Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh." (an-Naml : 19)

Zakat itu WAJIB.
Zakat dalam islam terdapat 2 jenis iaitu Zakat Fitrah dan Zakat Harta. Zakat Harta pula di bahagikan kepada 8 iaitu Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Binatang Ternakan, Zakat Pertanian, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas dan Perak, Zakat Saham dan Zakat KWSP.

Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai zakat, di bawah ini disediakan link mengikut negeri-negeri;

Pusat Zakat Negeri

1 ulasan

  1. Natata // 16 Februari 2009 pada 4:20 PTG  

    Kalo rajin nak buat ... sila la buat ek ...

    http://the27circus.blogspot.com/2009/02/thousand-words-of-craps.html