oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ( www.saifulislam.com )

“Abang tidak cinta kepada saya sepenuh hati. Tidak seratus peratus,” rungut seorang isteri kepada sang suami.

Suami terdiam.

Lidahnya kelu. Tetapi hatinya menghitung-hitung.

“Bagaimanakah isteriku mencongak kasihku kepadanya? Hingga timbul peratusan begitu. Apakah cintaku kepadanya hanya 50%, atau 80% atau 90% pada saat paling manis aku bersamanya?” benak hati suami berkata-kata.

Jiwanya bergelora.

Selama ini, hatinya sebagai suami tidak pernah dikongsi dengan sesiapa. Biar pun dia tidak mampu menyalut tubuh isteri dengan intan permata, namun hatinya yang lebih jernih dari berlian itu diberikan sepenuhnya buat si isteri, wanita yang dikahwininya kerana cinta.

Di mana silapku?

Merungut tentang kelemahan-kelemahan diri seorang lelaki bernama suami, adalah sesuatu yang lumrah dalam bahtera rumahtangga. Suami ada kalanya ditimpa malas, ada masanya kurang sensitif dengan perasaan isteri. Terlalu sibuk dengan kerja, hingga mungkin sesekali terabai anak-anak dan rumahtangga. Rungutan isteri, boleh diterima sebagai tazkirah dari Dia untuk kebahagiaan dan masa depan rumahtangga.

Tetapi rungutan isteri yang mempertikaikan cinta sang suami… ia bukan rutin kebiasaan.

Rungutan itu mempersoalkan sesuatu yang paling kudus dan suci dalam ikatan hubungan di antara seorang lelaki dan perempuan bergelar suami dan isteri.

PERANAN SUAMI

Sesuatu yang ada kalanya terbentang dalam bahasa yang tidak seimbang, tanggungjawab seorang suami ke atas isteri sebenarnya jauh lebih banyak berbanding dengan tugasan isteri terhadap suami. Namun ‘cuaca’ perbahasan hal ehwal rumahtangga di dalam gelanggang Islam, sering terkesan oleh kecenderungan dominasi kaum lelaki (male chauvinism), hingga yang banyak diperkatakan adalah kelemahan, kesilapan dan kesalahan kaum isteri.

Isteri yang sering dileter dalam ceramah-ceramah agama.

Ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang bercakap tentang peranan isteri, yang sering dipetik di dalam ucapan dan tulisan.

Sedangkan, wahyu Allah dan petunjuk Nabawi sarat berisi dengan tugas serta tanggungjawab seorang lelaki bernama suami. Tanggungjawab itu bermula dari soal nafkah zahir dan batin, hinggalah kepada soal keperluan emosi isteri. Belaian sang suami, kata-kata yang baik, malah segala kebajikan harus mendahulukan isteri, juga anak-anak berbanding orang lain di luar daerah rumahtangga.

Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang begitu banyak terpikul di bahu seorang suami, dia harus menjadi seorang pencinta yang hebat.

Cinta yang mendorongnya bekerja.

Cinta yang merangsangnya berperanan.

Cinta yang menjadikan segala tugas dan tanggungjawab yang dilakukannya itu suatu keseronokan dan kepuasan dalam hidup.

Tanggungjawab tanpa cinta, adalah beban dan derita.

Tidak mungkin seorang suami mampu untuk menjalankan peranannya dengan baik sebagai seorang suami, jika dirinya bukan seorang pencinta yang hebat.

MASIH DIPERTIKAI

Justeru, andai seorang suami itu bersungguh-sungguh dalam peranan yang dimainkannya, mengapa isteri masih mempersoalkan cinta suami?

“Abang tidak cintakan saya sepenuh hati!’ mengapa begitu mudah seorang isteri melontarkan soalan sedemikian rupa?

Kembalilah kita kepada suatu amaran luar biasa seorang Nabi:

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!” [hadith riwayat al-Bukhari]

Ia bukan hadith yang memberi maksud bahawa wanita itu tempatnya di Neraka. Naudhubillah…

Kita tidak ke Syurga atau Neraka kerana jantina.

Justeru hadith ini bukan kenyataan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang Syariatullah.

Sebaliknya ia merupakan indikasi baginda tentang sesuatu yang bersangkutan dengan Sunnatullah.

Tentang kecenderungan perlakuan kaum perempuan yang mudah mengkufuri nikmat berumahtangga.

Hadith yang menjawab tanda tanya sang suami itu tadi.

Suami berlaku baik kepada sang isteri sepanjang tahun. Namun tatkala ada sesuatu yang tidak kena dilakukan oleh seorang suami, mudah sekali seorang isteri berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Perlakuan seperti ini diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai berkait rapat dengan wanita, merujuk kepada kebiasaan dan mudahnya wanita terjerumus kepada tindak tanduk seperti ini. Ia harus diambil sebagai peringatan, bukan hukuman atau keputusan.

Perbuatan menafikan kebaikan suami digelar sebagai kufr al-’asyeer iaitu kufur terhadap nikmat di dalam rumahtangga. Ia dikategorikan oleh al-Imam al-Bukhari sebagai “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur” iaitu tajuk kepada hadith ini di dalam Kitab al-Imaan.

PELAJARAN KEDUA BELAH PIHAK

Hadith ini memberikan pelajaran yang penting kepada kedua belah pihak.

Bahawa bagi isteri, hindarkanlah diri dari mudah terjerumus kepada percakapan-percakapan yang membinasakan ini.

Manakala bagi seorang suami, ketahuilah bahawa, tugasmu adalah untuk memberikan seratus peratus komitmen dan kasih sayang kepada isteri. Tetapi JANGAN sekali-kali kamu cuba mengejar seratus peratus tersebut. Beri 100% tetapi jangan kejar 100% itu kerana bahayanya bagi seorang suami terjerumus ke lembah kecenderungan seorang isteri untuk menafikan pemberian suaminya.

Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar akan meninggalkan perjuangan.

Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mendurhakai serta mensesiakan ibu dan bapanya.

Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mengabaikan anak-anak mereka sendiri.

Semuanya kerana terlalu mengikut desakan isteri yang terus menerus mahu suaminya memberikan seratus peratus cinta yang tidak pernah dikecapinya itu. Ketika inilah, isteri malah anak-anak boleh bertukar dari penyejuk mata dan hati, kepada musuh yang membinasakan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…” [al-Thaghaabun 64: 14]

Namun, sebagai seorang pencinta yang benar dalam cinta dan kasih sayangnya kepada isteri, seorang suami harus ada keupayaan untuk bersabar, memaafkan, tidak marah dan mengampunkan kesalahan isteri serta anak-anak itu tadi, maka ketahuilah wahai suami, Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada engkau, isteri dan anak-anakmu.

“… dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Taghaabun 64: 14)

MENCARI PELENGKAP 100%

Manakala bagi seorang isteri, sesungguhnya dirimu tidak akan sekali-kali dapat merasakan yang suamimu mencintaimu sepenuh hati, sehinggalah kamu hindarkan dirimu DARI KUFUR KEPADA SYUKUR. Jauhkan dirimu dari kufr al-asyeer, menafikan kebaikan-kebaikan yang telah suamimu berikan di atas cintanya kepadamu kerana Dia, sebaliknya belajarlah untuk bersyukur kerana syukur itulah yang mengganda-gandakan nikmat yang engkau terima.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Ibrahim 14: 7]

Sesungguhnya, perasaan bahawa suamimu tidak mencintaimu sepenuh hati, biar pun dia telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya terhadap dirimu, rasa kekurangan itu mungkin bukan datang dari kekurangan suamimu, tetapi kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak menambah nikmat-Nya berupa kasih sayang suami kepadamu untuk melengkapkan rasa kurang itu, kerana terjerumusnya dirimu ke lembah kufr al-’asyeer. Sang isteri bukan mengkufuri Allah, tetapi kufur kepada nikmat Allah berupa kasih sayang suami kepada dirimu.

Demi untuk merasakan kesempurnaan pada cinta dan kasih itu, bersyukurlah… nescaya Allah akan tambah-tambahkan lagi nikmat-Nya. Suamimu tidak akan mampu memberikan ’seratus peratusmu’ itu sehinggalah engkau mendapatnya dari Allah, Tuhan yang menggandakan nikmat sebagai balasan syukur seorang hamba.

Dan jika kita biarkan diri terbelenggu dalam kekufuran, ketahuilah bahawa sesungguhnya azab Allah itu amat pedih kesannya. Usahkan azab Akhirat yang tidak terbayang itu, pedihnya sampai ke dunia hingga Baiti Jannati yang kau dambakan selama ini, menjadi neraka dunia yang menyeksa lagi membinasa.

Sebagaimana suami amat mudah terheret ke Neraka kerana tidak memberi seratus peratus, begitulah juga isteri amat mudah terheret ke Neraka kerana meminta-minta seratus-peratus itu.

Bertaqwalah kepada Allah wahai suami yang tidak memberi seratus peratus.

Bertaqwalah kepada Allah wahai isteri yang meminta seratus peratus itu.

0 ulasan