oleh Ustaz Zaharuddin ( zaharuddin.net )

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem, iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Diketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa (berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, dramaTV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya,tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti KungFu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancanganTV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupunseseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

  • ketika sedang minum arak,
  • hadiri parti penuh maksiat,
  • hadiri majlis dosa,
  • sedang berpelukan lelaki wanita
  • atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
  • dan sebagainya.
Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-
كل أمتيمعافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقدستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبحيكشف ستر الله عليه

Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telahatau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengaburi mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Didalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-
أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya: Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu, Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu (dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya (Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauhmana pun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Sekian.

oleh Atok Zamany ( kubranewszamany.blogspot.com )

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan." (HR Abu Daud, no. 4596)
Daripada 'Auf bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah." (HR Ibn Majah, no. 3992)

Di dalam bab akidahlah yang paling serius kesesatannya kerana terlampau ramai kaum muslim yang telah terjebak di dalamnya yang amat sukar untuk dipulihkan kerana menyangkut kepada etikad dan keyakinan yang jauh di lubuk hati. Ia bukan saja hanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh malahan mengambil masa yang sangat lama untuk berpatah balik ke pangkal jalan. Jadi perhatikanlah akan 72 golongan-golongan yang sesat di dalam akidah seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW di dalam Hadis dan banyak sekali yang diperkatakan orang tentangnya hingga ada yang membuat lirik lagu tetapi tidak mengenal akan golongan-golongan ini. Maka perhatikanlah akan golongan yang sesat di dalam bab akidah seperti di bawah ini :

GOLONGAN-GOLONGAN YANG SESAT DALAM BAB AKIDAH :

Terdapat 72 golongan yang telah disabitkan sebagai golongan yang sesat dalam bab akidah atau terkeluar dari ajaran sebenar Agama Islam seperti yang telah dinyatakan di dalam Hadis Nabi SAW. Golongan-golongan tersebut digabungkan menjadi 6 kelompok kaum yang besar yang di dalamnya terdapat pula 12 puak-puak kecil di setiap satunya pula. Kaum-kaum tersebut adalah seperti berikut :

1) KAUM RAFIDHIYAH

Pecahannya ada 12 puak.

Kesesatan puak-puak ini di dalam bab akidah terjadi akibat daripada pegangan dan kepercayaan mereka yang sangat jelas bertentangan dengan pegangan ASWJ walaupun mereka semua itu masih mengaku sebagai seorang yang beragama Islam. Di antara pegangan dan kepercayaan yang didapati menyeleweng di dalam bab akidah yang sangat nyata itu ialah:

a) Beretikad bahawa Saidina Ali kwh akan kembali hidup semula di akhir zaman nanti sebelum berlakunya kiamat. Beliau didakwa akan menghukum semua musuh-musuhnya. Tempat tinggalnya sekarang ini adalah dikepolan awan. Petir dan guruh di langit itu adalah merupakan bunyi cematinya.

b) Mereka mendakwa bahawa jawatan Khalifah Kerajaan Islam selepas kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam itu hanya khusus buat Saidina Ali kwh sahaja, manakala khalifah-khalifah yang lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman adalah kafir kerana menerima jawatan tersebut. Mereka yang begitu taksub dengan fahaman dan berkeyakinan itu juga sanggup menghina dan mengeji malah memakihamun sahabat-sahabat agung Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ini, keturunan mereka juga termasuklah isteri-isteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam iaitu Saidatina Aisyah dan Saidatina Habsah yang sebenarnya tiada kaitannya dengan semua cerita yang mereka ada-adakan itu sehinggakan mereka sanggup sifatkan kedua-dua wanita agung itu sebagai pelacur. Selain dari itu mereka juga akan mengeji dan menghina kepada semua para sahabat-sahabat yang lain serta keturunan mereka semua yang tidak seketurunan dengan Saidina Ali kwh.

c) Mereka juga beretikad bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam itu bekerja sama dan bersekutu dengan Saidina Ali kwh di dalam semua kerja-kerja kerasulan dan kenabian di dunia ini hingga hari kiamat.

d) Mereka juga berpegang dan beretikad bahawa Saidina Ali kwh akan turun dari langit (sekarang ia tinggal di awan) pada satu hari nanti berupa awan ketuhanan kemudian menjelma menjadi manusia. Beliau akan mengerjakan beberapa pekerjaan yang bersifat ketuhanan dan kemudiannya akan naik semula ketempat kediamannya iaitu di awan (naik kelangit).

e) Mereka juga beranggapan bahawa Malaikat Jibril as telah salah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Sepatutnya wahyu itu dihantar kepada Saidina Ali kwh bukan kepada Nabi.

f) Mereka juga berkeyakinan bahawa apabila roh seseorang manusia itu keluar dari jasadnya iaitu mati, roh itu tadi akan masuk pula ke dalam jasad manusia yang baru iaitu bayi di dalam kandungan ibunya serta memilih untuk membawa rupa paras yang lain atau pun yang sama. Ini juga telah memasuki wilayah kesesatan akidah yang tergolong juga sebagai Tahazalul Arwah.

g) Mereka juga turut berpegang kepada etikad bahawa zat Allah itu juga boleh menjelma dan zahir di dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu ia dinamakan sebagai Nabi atau Imam. Mereka ini akan pula mengajak manusia ke jalan yang lurus. Jika zat Allah itu tidak menjelma cara demikian maka akan kafirlah seluruh manusia di alam ini.

h) Mereka juga turut beretikad di dalam keadaan tertentu zat Allah itu boleh menjelma dan memasuki ke dalam sesuatu benda seperti pokok, gunung, bukit, batu, patung dan lain-lain lagi seterusnya bersebati dengan zat benda itu dan menjadi satu.

2) KAUM JABARIAH

Pecahannya ada 12 puak.

Mereka yang berfahaman songsang ini dan beretikad di dalam golongan ini juga sangat bertentangan dengan pegangan ASWJ. Malahan mereka membenci ASWJ kerana tidak sehaluan dengan mereka. Di antara pegangan mereka itu ialah:

a) Mereka berpegang dan beretikad bahawa semua perbuatan baik itu tidak mendapat pahala dan semua perbuatan jahat juga tidak mendapat dosa. Dalam erti yang lain tiada dosa dan pahala. Oleh itu mereka bebas melakukan apa saja perbuatan sama ada ia baik atau buruk. Mereka juga percaya bahawa tiada pembalasan syurga dan neraka. Tiada akan dikenakan seksaan di akhirat kelak atas semua perbuatan jahat dan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.

b) Mereka juga beretikad bahawa semua perbuatan baik dan jahat, keimanan dan kekufuran, ketaatan dan maksiat, semua itu datangnya dari Allah. Manusia tidak punya daya upaya dan ikhtiar apa-apa pun kerana ia telah ditentukan oleh Allah semuanya. Oleh itu gugurlah semua Taklif Syarak ( kewajipan untuk melaksanakan perintah Allah) ke atas seluruh hamba Allah khasnya manusia.

c) Mewajibkan bertafakur (seperti meditasi dalam yoga) itu adalah lebih baik dari semua ibadah, sama ada ibadah itu fardu atau sunat.

d) Bagi orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat, mereka tidak akan di soal dan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan mereka itu di akhirat kelak kerana segala perbuatan mereka itu telah ditentukan dan atas kehendak Allah jua.

e) Mereka juga berpegang dengan keyakinan bahawa sesiapa yang telah terpilih menjadi kekasih Allah serta bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat kemudiannya ia pula mempunyai keilmuan yang tinggi, maka pada kedudukan (martabat) itu beliau itu tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadah lagi. Maksudnya ia juga telah terlepas dari Taklif Syarak.

f) Allah akan menghidupkan mereka yang kafir dan yang melakukan maksiat itu di dalam Neraka, kemudian Allah akan mematikan semua mereka itu dan tidak akan dihidupkannya lagi selama-lamanya. Maksudnya tiadalah seksaan abadi kepada mereka yang kafir dan maksiat itu.

g) Semua perkara-perkara wajib dan fardu di dalam Syarak boleh saja di buat jika merasa rajin atau pun boleh juga ditinggalkan saja jika mereka merasa malas.

h) Semua harta benda di atas dunia ini adalah hak dan kepunyaan bersama seluruh manusia. Ia dihalalkan kepada sesiapa juga yang hendak mengambilnya kerana tiada ertikata mencuri di dalam kepercayaan mereka ini. Kepada tuan yang berhak atau tuan punya harta itu adalah dilarang atau pun mereka sudah tiada hak dan kuasa lagi untuk melarang sesiapa jua yang inginkan harta bendanya itu.

i) Mereka juga beretikad bahawa segala perintah Allah itu hanya perlu dilakukan sekali sahaja seumur hidup. Mereka tidak perlu melakukan perintah itu berulang-ulang kali sebagai contoh iaitu perintah mengerjakan solat 5 waktu, mereka hanya melakukan perintah itu pada 5 waktu pada hari pertama mereka di dalam Islam dan ia sekali seumur hidup selepas itu mereka tidak perlu lagi solat 5 waktu buat selama-lamanya.

j) Mereka juga berkeyakinan bahawa apabila Allah telah selesai menciptakan seluruh makhlukNya di dunia ini, maka Allah pun beristirehat di tempatNya. Setiap perkara ciptaanNya itu akan wujud, hidup, zahir, lahir dengan sendirinya apabila tiba saat dan waktu yang telah ditetapkan olehNya, ia tiada kena mengena dengan Kekuasaan Kudrat dan Iradat Allah lagi.

k) Mereka juga berpegang dengan keyakinan bahawa setiap manusia yang mempunyai rasa untuk berbuat perkara-perkara kebajikan atau pun perkara-perkara kejahatan dan maksiat, maka hendaklah ia segera melakukannya kerana semua perkara itu merupakan 'wahyu' dari Allah yang telah mencampakkanNya ke dalam hati manusia itu.

l) Mereka memberi kemudahan kepada sesiapa yang ingin memeluk agama Islam hanya perlu mengucapkan 2 kalimah sahadah sahaja, sedangkan semua perkara-perkara rukun fardu ain dan fardu kifayah serta seluruh hukum hakam di dalam Syarak tidaklah perlu dilakukan oleh mereka.

m) Mereka berfahaman bahawa Allah tidak akan menyeksa seluruh hambanya yang kafir dan maksiat. Jika Allah menghukum mereka semua bererti Allah itu zalim sedangkan Ia bersifat Maha Adil.

3) KAUM KHARIJIYAH

Pecahannya juga ada 12 puak.

a) Mereka berkeyakinan bahawa Saidina Ali kwh dan keluarganya (tidak termasuk Saidatina Fatimah) telah menjadi kafir semuanya. Yang masih Islam hanyalah Saidina Abu Bakar as Sidiq, Saidina Umar al Khatab dan Saidina Uthman al Affan di antara 4 orang Sahabat Nabi itu. Mereka ini pernah berperang dengan kaum Syiah dan ASWJ kerana menegakkan fahaman sesat mereka itu. Mereka juga bersifat perkauman yang sangat menebal di hati sanubari mereka.

b) Mereka juga mempunyai kepercayaan dan beretikad bahawa semua jenis kebaikan itu datangnya dari Allah sedangkan semua jenis kejahatan itu pula datangnya dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri.

c) Mereka juga menghukumkan umat Islam yang melakukan dosa-dosa besar itu sebagai kafir dan telah terkeluar dari pegangan agama. Mereka juga amat mudah mengkafirkan sesiapa saja yang mereka anggap bertentangan dengan pendapat mereka ini.

d) Mereka juga mengeluarkan fatwa mereka sendiri bahawa mengeluarkan zakat itu tidak wajib dan tidak penting. Oleh kerana itu mereka bolehlah mengumpulkan harta benda sebanyak-banyaknya dengan menggunakan apa saja cara mengikut kesukaan mereka. Semua jenis Zakat tidak perlu dikeluarkan kerana mereka tidak tahu sama ada penerima zakat-zakat itu adalah orang Islam atau orang kafir. Jadi itulah sebabnya kenapa zakat itu tidak perlu dikeluarkan.

e) Mereka juga beretikad bahawa tidak diwajibkan untuk percaya kepada perkara-perkara ghaib di dalam Taklif Syarak dan di dalam Rukun Iman. Sebagai contoh, tidak wajib percaya adanya Malaikat, tidak wajib percaya kepada Qada dan Qadar, tiadanya hari Kiamat, tiadanya soal Kubur, tiada seksaan neraka dan lain-lain lagi. Itu semua menyusahkan hidup mereka saja.

f) Mereka berkeyakinan bahawa Allah akan mengampunkan semua dosa Syirik Jali (Syirik besar yang tiada keampunan Allah di dalam kepercayaan ASWJ) yang tidak memerlukan seseorang Islam itu mengucap 2 kalimah sahadah semula untuk kembali menjadi Islam.

g) Mereka juga percaya bahawa di akhirat kelak Allah tidak akan menyeksa semua perbuatan dosa, orang kafir dan mereka yang membuat maksiat semasa hidup di dunia. Itu adalah kerana Allah mempunyai sifat Maha Mengasihani serta Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada semua makhlukNya.

h) Mereka turut berkeyakinan bahawa semua yang berada di Cakrawala seperti bulan, bintang, matahari dan semua planet-planet itu bukannya makhluk Allah. Ia terjadi dengan sendirinya di luar daripada Kekuasan Kudrat dan Iradat Allah.

i) Mereka turut percaya serta mengamalkan perbuatan seks bebas kerana beranggapan bahawa semua kaum wanita itu adalah perhiasan bagi kaum lelaki. Oleh itu mereka boleh melakukan seks sebelum nikah dan bertukar pasangan jika mereka merasakan tidak sesuai dengan wanita itu. Mereka juga beranggapan perbuatan seks bebas itu tidak berdosa kerana manusia itu telah rela melakukannya.

4) KAUM QADARIYAH

Pecahannya juga 12 puak.

Antara kepercayaan dan etikad mereka yang dianggap menyalahi akidah itu ialah:

a) Mereka mempunyai keyakinan bahawa Syaitan dan Allah itu sama saja kerana masing-masing tidak mempunyai jisim (jasad) dan tidak dapat dilihat (tiada rupa paras).

b) Mereka juga beretikad bahawa semua bentuk perbuatan jahat itu adalah ciptaan Syaitan semata-mata, manakala semua bentuk perbuatan kebaikkan pula adalah ciptaan Allah semata-mata. Ia tiada hubungan antara keduanya.

c) Mereka turut percaya bahawa Allah tidak mencipta Syaitan. Syaitan itu telah wujud dengan sendirinya. Ia adalah kerana jika Allah menciptakan makhluk Syaitan bererti Allah juga turut menciptakan kekufuran dan maksiat, ini menunjukkan bahawa Allah juga sukakan kekufuran dan maksiat.

d) Mereka percaya bahawa Syurga dan Neraka, Hisab dan Mizan itu belum wujud lagi kerana belum diciptakan Allah. Nanti apabila telah berlakunya hari Kiamat baharulah Allah akan menciptakannya, itu pun kalau Allah sempat cipta kerana terlalu sibuk dengan hal-hal lain. Mungkin juga Ia tidak akan mencipta Neraka kerana lebih pentingkan hal-hal yang lain itu.

e) Mereka beretikad bahawa perbuatan baik serta melakukan ibadah itu adalah perbuatan yang sia-sia belaka kerana semua bentuk perbuatan sama ada baik atau jahat itu telah diciptakan Allah semenjak azali lagi. Maka semua perbuatan manusia itu akan berjalan dengan sendirinya mengikut apa yang telah diciptakanNya itu sama ada ia berbentuk kebaikan atau pun kejahatan.

f) Mereka turut beretikad bahawa perbuatan beribadah, beramal dan melakukan maksiat serta kufur itu adalah hasil usaha manusia semata-mata yang berjalan dengan sendirinya, oleh itu tidaklah diketahui lagi bahawa perbuatan itu akan mendapat pahala atau akan berdosa jika mereka meninggalkannya.

g) Mereka turut berpegang serta mempercayai bahawa segala usaha, ikhtiar, cita-cita dan rangkaian doa itu akan memberi bekas (berhasil) dengan sendirinya, setelah Allah menciptakan usaha, ikhtiar, cita-cita dan rangkaian doa itu kepada manusia.

h) Mereka percaya bahawa Qada dan Qadar itu bukannya datang daripada Allah tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri.

i) Mereka juga turut berpegang kepada kepercayaan bahawa semua Kitab-kitab (Taurat, Injil dan Zabur) tidak dimansuhkan atau pun tidak terbatal setelah Allah menciptakan dan menurunkan al-Quran kepada umat manusia sekalian. Maka mereka menfatwakan bahawa adalah wajib untuk beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut termasuk juga al-Quran itu sendiri.

j) Puak-puak ini turut membenci serta sesetengahnya pula telah meninggalkan amalan-amalan fardu di dalam Taklif Syarak, tetapi mengemari dan sesetengahnya pula taksub dengan amalan-amalan sunat yang seolah-olah menampakkan amalan-amalan sunat itu telah menjadi wajib pula.

k) Mereka juga telah mengubah jumlah rakaat di semua solat fardu yang 4 rakaat menjadikannya hanya dilakukan 2 rakaat saja. Malahan pula pada sesetengah solat sunat yang dilakukan 2 rakaat dibuat sebanyak 4 rakaat pula. Mereka lakukan ini semua dengan dalil-dalil yang mengunakan akal dan fikiran mereka yang telah rosak dan sesat di mana dalil-dalil tersebut tersangat lemah serta jauh terpesong dari Taklif Syarak yang sebenarnya.

5) KAUM JAHMIAH

Pecahannya ada 12 puak juga.

Diantara kepercayaan dan menjadi pegangan akidah bagi golongan-golongan ini yang didapati telah terpesong dari Taklif Syarak dan ajaran Islam sebenar ialah :

a) Mereka percaya apabila sesorang Islam yang derhaka serta banyak melakukan dosa-dosa besar dan maksiat akan dihumban ke dalam Neraka dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Ini bermakna bahawa mereka itu telah sama tarafnya dengan orang kafir yang tidak akan Allah ampunkan untuk selama-lamanya daripada azab Neraka itu.

b) Mereka beretikad bahawa Zat Allah itu wujud di semua tempat dan benda melalui rupa hulul dan itihad (meresap dan bersatu).

c) Mereka berkeyakinan bahawa semua Sifat-sifat Allah dan Asma-asma Allah itu juga merupakan makhluk seperti manusia dan alam ini.

d) Mereka juga turut berkeyakinan bahawa Zat Allah itu berdiri (terletak) di antara langit dan bumi dari semenjak azali lagi.

e) Mereka turut percaya bahawa apabila semua isi Neraka itu telah terbakar dan menjadi abu, maka ia tidak akan dihidupkan semula oleh Allah. Mereka juga akan hilang begitu saja selepas itu. Ini bererti seksaan Neraka itu telah selesai menjalankan kerjanya dan tiada lagi apa yang di panggil Neraka sesudah itu.

f) Mereka berkeyakinan dan percaya bahawa mayat manusia yang telah mati itu tidak akan di azab atau pun balasan nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan didalam kubur (seksa kubur) sahaja.

g) Mereka juga turut berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah semasa di alam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di alam Akhirat pula.

6) KAUM MURJIAH

Pecahannya juga 12 puak.

Antara pegangan dan etikad mereka yang didapati terkeluar dari ajaran Islam sebenarnya adalah seperti berikut :

a) Mereka percaya bahawa Allah telah menjadikan semua makhluk diseluruh alam ini dan Allah juga tidak menyuruh mereka berbuat semua kejahatan yang berada di alam ini, begitu juga Allah tidak pula melarang mereka dari meninggalkannya.

b) Mereka juga memegang etikad bahawa apabila seseorang manusia itu telah mengucapkan 2 kalimah sahadah maka dengan sendirinya mereka juga telah bebas untuk melakukan ketaatan terhadap Allah atau pun melakukan kekufuran.

c) Mereka juga percaya bahawa sesorang manusia itu boleh menjadi mukmin pada ketika yang dikehendaki Allah dan mereka juga boleh menjadi kafir pada ketika yang dikehandakiNya dalam sesuatu masa.

d) Mereka juga beretikad bahawa Allah itu terdiri dari unsur-unsur Jauhar dan 'Aradh (sel dan nuklius) yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.

e) Mereka juga percaya bahawa apabila seseorang manusia itu mengesakan Zat Allah, Sifat-sifat Allah, Asma Allah dan Afaal Allah maka mereka terlepas dan tidak akan dicatitkan apa-apa dosa besar yang telah dilakukan sebelum itu.

f) Mereka juga beretikad bahawa apabila seseorang manusia itu telah membicarakan hal-hal yang bersangkutan dengan Rukun Iman maka ia tidak lagi difardukan ke atas dirinya semua perkara-perkara fardu di dalam Syarak.

g) Mereka menggunakan akal fikiran mereka dari mengkaji hal-hal yang bersangkutan dengan masalah sifat Allah dan akhirnya mereka merumuskan bahawa Allah tidak bersifat dengan segala sifat Wujudiah.

h) Mereka hanya mengambil jalan mudah untuk mengkafirkan seseorang muslim itu jika mereka tidak berilmu kerana mereka memegang fahaman bahawa Iman itu adalah Ilmu, sesiapa yang tidak berilmu bererti mereka telah menjadi kafir dengan sendirinya.

i) Mereka percaya bahawa Iman seseorang Islam itu akan berkurangan pada setiap tahun malahan mereka mengangap Iman itu tidak akan bertambah lagi sampai bila-bila.

j) Mereka juga beretikad bahawa adalah sah melakukan sujud kepada Matahari, Bulan, Bintang dan juga makhluk-makhluk lain, sama seperti sujud kepada Allah.

k) Mereka juga turut berpegang dengan etikad bahawa adalah di bolehkan dan sah hukumnya mengikut perintah Jin dan Syaitan, sama ada Jin itu Islam atau Kafir, walaupun perintah itu untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan.

Begitulah serba sedikit penjelasan yang dapat dirungkai akan golongan-golongan yang telah sesat di dalam akidah mereka seperti yang telah diperkatakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam iaitu 72 golongannya yang telah sesat. Nabi hanya memperkatakan 72 golongan yang sesat dan hancur musnah yang bermaksud mereka-mereka yang terjebak di dalam kesesatan akidahnya. Ini adalah rumusan dari beberapa orang Ulama tafsir yang mentafsirkan Hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam itu.

Maka daripada 72 golongan itu pula dibahagi kepada 6 kaum yang masing-masingnya boleh dipecahkan kepada 12 puak pula. Malangnya mereka tidak pula menyenaraikan nama-nama puak tersebut. Oleh itu cukuplah sekadar kita mengenal akan nama 6 golongan itu saja serta fahaman dan etikad yang mereka pegang supaya menjadi batasan serta garis pemisah atas pemikiran, pegangan akidah, ilmu dan amalan kita yang sudah tentu mahukan diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita semua terselamat dari dakyah mereka itu. Pengetahuan ini amat penting kepada diri kita supaya kita akan bertambah kuat di dalam Ilmu dan amal yang berpegang teguh dengan ajaran ASWJ mengharungi hayat kita di dunia ini hingga akhirnya.