"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai.. leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."
"Eh, apa yang kau ngomelkan ni.. Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"
"Staf aku, si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."
"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."
"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan, nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai.. susah, susah.."
"Jangan cakap macam tu.. Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."
"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak.. Naim?"
"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang 'disadvantaged' atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."
"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap 'golongan yang tak berguna' kepada 'sayap kiri' kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."
"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."
"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara 'protes' tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih 'bengkok' daripada mereka!"
"Eh, eh.. engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."
"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."
"Apa maksud sebenar Hadis tu?"
"Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu 'penyempurnaan'. Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat 'pelindung'. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."
"Oh.. begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"
"Begitulah. Selain itu, maksud 'tulang rusuk yang bengkok' itu ialah sifat 'rahmah'. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan."
"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat 'bengkok' ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."
"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."
"Hmm.. betul tu.. Naim."
"Sebenarnya tiada siapa yang 'bengkok' mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."
"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."
"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih 'bengkok' daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih 'bengkok' daripada semua orang lain di muka bumi ini..."
:: Bismillahirrahmanirrahim ::
*************************************************************
"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Surah Al-Hajj : Ayat 46)
Di atas adalah salah satu daripada ayat al-Quran yang patut dijadikan pegangan di dalam kehidupan kita ketika ini. Ayat di atas yang ditulis pada 1400 tahun dahulu amat tepat menunjukkan senario yang berlaku pada hari ini. Subhanallah, yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Kita juga tidak terkecuali daripada mengalami sindrom buta mata hati seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran, Sesungguhnya Al-Quran itu benar. Segalanya adalah perancangan daripadaNya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Terlalu ramai diantara kita mempunyai sindrom seperti ini. Jika ditegur bagi menyatakan kebenaran, dikatakan mencari kesalahan bagi sesetengah individu. Itulah salah satu sifat, bagi manusia yang buta mata hatinya, seolah-olah manusia ini adalah paling sempurna sifatnya, maksum seperti Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam yang dipelihara daripada melakukan sebarang kesilapan atau kesalahan. Individu ini lupa, hidupnya adalah milik Allah , segala perancangan adalah datang dari Allah . Jika celik mata hatinya, pasti akan melihat ianya sesuatu yang positif . Tetapi bagi yang buta mata hatinya ianya akan dianggap sebagai satu serangan peribadi. Kerana itulah kita perlu mengosongkan jiwa daripada sesuatu yang negatif, supaya kita dapat mendengar adanya suara hati yang dihantar oleh Allah , untuk memandu arah perjalanan hidup kita.
Golongan yang buta mata hatinya juga, amat takut hidup susah. Takut hilang jawatannya. Takut hilang pendapatannya kerana mata hatinya buta mengenali siapakah pemberi rezeki yang sebenar. Seolah-olah seluruh kehidupannya hanya untuk menjadi hamba kepada majikan, menjadi hamba kepada wang. Tanpa mereka sedar bahawa mereka telah menyekutukan dan melupakan Allah . Tetapi tidak bagi golongan yang celik mata hatinya, kerana sentiasa sedar segala kekayaan , wang dan harta benda adalah milik Allah , sentiasa yakin sifat Maha Pengasih dan Penyayang yang sentiasa menjanjikan rezeki kepada hambanya, kerana itulah kita perlu berprasangka baik kepadaNya. Sentiasa berdoa dan membayangkan sesuatu yang positif.
Kerana golongan yang celik mata hatinya sentiasa berfikiran positif, golongan yang celik mata hatinya sentiasa berdoa. Golongan yang celik mata hatinya akan sentiasa percaya Allah memberikan yang terbaik untuk dirinya. Orang yang celik mata hatinya sentiasa menerima dengan redha apa saja yang ditentukan oleh Allah .
Inilah bukti kebenaran kata-kata Allah di dalam al-quran. Ramai manusia yang buta, walau celik matanya. Buta menilai betapa berkuasanya Allah . Buta melihat disebalik rahmat yang diterima. Astagfirullah al Azim. Ya Allah ampunilah dosa kami...
Pada-Mu Allah kami memohon
Keberkatan hidup yang berpanjangan
Aman sentosa…Murah rezeki
Tenang beramal mengingati-Mu
Apa yang ada..Semua milik-Mu
Nikmat kau beri hanya pinjaman
Hanya yang sedar tahu bersyukur
Bukannya ia untuk dibangga
Biarlah sedikit asalkan diberkati-Nya
Daripada banyak yang memudaratkan
Berkat di dunia oh indah nikmatnya
Berkat di akhirat balasannya syurga
Manusia sering lalai..Mudah tewas cubaan
Ujian dugaan jadikanlah ianya tauladan
Putaran kehidupan
Pentas hidup untuk penilaian
Jawapan sebenar
Dari tuhan untuk insan
Bersabar hadapi ujian
Biarlah sedikit asalkan diberkati-Nya
Daripada banyak yang memudaratkan
Berkat di dunia oh indah nikmatnya
Berkat di akhirat balasannya syurga
Berkati hidup kami
Dengan sinar hidayah
Jauhkan segala
Dari pancaroba dunia
Berikan perlindungan
Selamatkan dari fitnah ngeri
Bahana derita
Yang tak mampu kami tanggung
Kasih Mu Sayang Mu Redha Mu
Segalanya, Untuk Kami
Pada Mu Allah …
Pada-Mu Allah kami memohon
Keberkatan hidup yang berpanjangan
Aman sentosa…Murah rezeki
Tenang beramal mengingati-Mu
Rangkap ini adalah satu doa, kita bermohon daripada Allah semoga diberikan keberkatan hidup yang berpanjangan. Iaitu hidup dengan Aman sentosa tidak di timpa dengan bala bencana seperti penyakit yang berbahaya, kesusahan berhutang, ramai musuh dan sebagainya. Dengan tidak ditimpa masalah yang berat, hati akan menjadi tenang dan akan seronok beramal ibadat mengingati Allah .
Apa yang ada..Semua milik-Mu
Nikmat kau beri hanya pinjaman
Hanya yang sedar tahu bersyukur
Bukannya ia untuk dibangga
Rangkap ini pula mengingatkan kita, supaya sedar bahawa apa yang kita miliki seperti isteri, anak-anak, rumah, kereta dan sebagainya adalah milik Allah . Allah hanya memberi pinjaman sementara sahaja dan Allah boleh ambil balik bila-bila masa sahaja. Apa yang kita perolehi adalah nikmat dari Allah dan hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan pemberiannya. Sedikit pun kita tak patut berbangga dengan benda yang hanya dipinjamkan kepada kita.
Biarlah sedikit asalkan diberkati-Nya
Daripada banyak yang memudaratkan
Berkat di dunia oh indah nikmatnya
Berkat di akhirat balasannya syurga
Inilah rangkap yang patut kita renungkan selalu dalam kehidupan kita. Biarlah pendapatan yang kita perolehi sedikit tetapi diberkati oleh Allah . Kalau Allah memberikan keberkatan kepada rezeki yang kita perolehi maka indahnya nikmat hidup ini. Pasti kita tidak akan susah di dunia ini. Dan yang pastinya bila hidup di berkati Allah , balasan di akhirat adalah Syurga.
Manusia sering lalai..Mudah tewas cubaan
Ujian dugaan jadikanlah ianya tauladan
Rangkap ini hendak mengingatkan kita supaya jangan lalai hidup di dunia ini.
Putaran kehidupan
Pentas hidup untuk penilaian
Jawapan sebenar
Dari tuhan untuk insan
Bersabar hadapi ujian
Rangkap ini pula menyedarkan kita bahawa kehidupan ini adalah berputar seperti roda kadang kala kita dikurniakan kesenangan dan kadang kala diberikan kesusahan oleh Allah untuk menguji hamba yang taat kepadaNya. Bila diuji maka penawarnya adalah kesabaran.
Berkati hidup kami
Dengan sinar hidayah
Jauhkan segala
Dari pancaroba dunia
Rangkap ini pula ialah kita bermohon doa’ kepada Allah . Berdoa’ bukan hanya ketika kita ditimpa kesusahan sahaja. Berdoa’ hendaklah berterusan. Ketika kita senang berdoa’lah agar diberkati hidup dan dijauhkan dari bala bencana.
Berikan perlindungan
Selamatkan dari fitnah ngeri
Bahana derita
Yang tak mampu kami tanggung
Rangkap ini kita berdoa’ ketika ditimpa kesusahan. Bermohon supaya Allah memberikan pertolonganNya dan diselamatkan dari segala fitnah yang dihadapi. Bermohon semoga Allah memberikan kekuatan agar derita yang ditanggung dapat dihadapi dengan tabah.
Kasih Mu, Sayang Mu, Redha Mu,
Segalanya, Untuk Kami
Rangkap terakhir kita bermunajat dan bermohon agar Allah mengasihi, menyayangi dan meredai kita.
Penyampai: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ( www.saifulislam.com )
Pastinya ada dikalangan kawan-kawan yang pernah membaca mahupun terserempak hasil karya Stephen R. Covey yang bertajuk "7 habits of highly effective people" yang dimana saat ini banyak mendapat perhatian bagi mereka-mereka yang dahagakan motivasi buat diri dan bercita-cita membangunkan diri.
Apa yang cuba dibawakan oleh Ustaz Hasrizal adalah dengan mengolah prinsip yang dibawa oleh Covey dengan nilai Islam.
Dimensi Kecemerlangan bagi sesebuah organisasi (termasuklah diri) dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu manusia (people), keperluan (purpose), proses (process). Dalam ketiga-tiga faktor yang paling besar dan penting peranannya ialah manusia.
Faktor kecemerlangan manusia boleh dipengaruhi oleh empat perkara iaitu;
* Ilmu
* Kemahiran
* Sikap
* Maklumat
Dalam keempat-empat perkara ini element sikaplah yang paling penting sebagai penentu kecemerlangan seseorang. "People don`t care how much you know, but how much you care"
Menurut kajian dari seorang professor, Thommas C Barry, MBA Harvard. Kebanyakkan lepasan graduan harvard yang semestinya "cream of the cream", tak semuanya cemerlang dalam hidup mereka kerana menurut kajian beliau, ilmu dan maklumat hanya menyumbangkan 7% dari kecemerlangan seseorang selebihnya 93% adalah dipengaruhi oleh sikap.
Satu realiti yang amat menarik untuk difikir-fikirkan bersama. Sering dilihat didada akhbar mahupun dalam temubual di kaca televisyen, seandainya berlaku sesuatu kemalangan. Pihak media akan bertanya kepada pihak keluarga.
- "semenjak dua menjak nie.. ada tak arwah lakukan perkara yang pelik-pelik?"
+ "perasan juga.. sebelum nie arwah jarang ke surau.. sebelum kejadian dia rajin benar ke surau .."
Hmm.. begitulah minda masyarakat kita bila mana jika berlaku perubahan SIKAP akan disama ertikan dengan BUANG TABIAT!
Sikap adalah sesuatu yang sukar diubah, tetapi betapa indahnya Islam bila mana berjaya mengubah sikap bangsa Arab dan seterusnya tersebar Islam diserata pelusuk dunia.
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah Ar-Ra'd: ayat 11)
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah Al-Ahzab: ayat 21)
Jelas sudah, sesungguhnya Rasulullah SAW itu sebagai Qudwah Hasanah (contoh yang baik). Namun segala-galanya adakah terletak juga bagaimana kita memandang atau melihat contoh teladan dan sunnah yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Bagaimana kita mentafsir sirah dan perjalanan hidup Rasulullah SAW untuk dijadikan contoh teladan. Cara Pandang kita terhadap kehidupan itu yang penting dalam menilai sesuatu.
Apa yang menentukan cara pandang kita?
* Pandangan Mata
* Pandangan Akal
* Pandangan Nafsu
* Pandangan Hati
Satu analogi yang boleh dibuat;
Pada 10 Ramadhan yang terakhir, di sebuah kolej di luar negara.. seorang pelajar Malaysia terima satu bungkusan dari tanah air.. bila dibukanya terdapat satu bungkusan kuih bahulu..
Pandangan mata: "Wah! nampak sedap sungguh kuih nie, tapi agak besar."
Pandangan akal: "Hmm.. teksture kuih kurang menarik.. aroma.. boleh tahan.. tapi saiz kurang memuaskan."
Pandangan nafsu: "Wah! kuih bahulu! ngap! ngap! er.. sapa punyer eh..? korang nak?"
Pandangan hati: "Oh.. Ibuku! sadisnya..."
Hmm... begitulah antara analogi pandangan-pandangan manusia... bilamana mengikut pandangan mata selalu menipu.. pandangan akal selalu tersalah.. pandangan nafsu melulu.. dan pandangan yang hakiki adalah pandangan hati.. BILA HATI ITU BERSIH!
Maka.. nilailah peribadi Rasulullah SAW dan sirahnya dengan pandangan hati yang bersih berpandukan iman.
First habits >>> PROAKTIF!
MULAKAN DENGAN ANDA yang BERADA DIHADAPAN CERMIN ITU
Di sini kita diibaratkan berada dalam dua kawasan iaitu "circle of control" dan "circle of no control ".
Circle of control = perkara yang kita sendiri boleh kawal, contohnya emosi.
Circle of no control = keadaan diluar kawalan, contohnya cuaca.
analoginya, ada beberapa individu yang gagal mengawal pasti dan bertindak dengan baik bila mana situasinya begini..
"Cuaca panaslah... tak de mood nak buat keje..."
Seandainya berterusan menyalahkan sesuatu yang diluar kawalan, maka anda akan KEKAL BEGITU!
"We can`t direct the wind.. but we can direct the sail!"
Sikap finger pointing nie.. biasanya adalah kerana ia hanya sebagai satu ALASAN, buat diri sendiri!
Betul tak??? fikir-fikirkanlah...
Kerana ingin berada dalam zon selesa dan tidak berani mengambil risiko.. maka situasi ini akan wujud.
Cubalah untuk MENJADI bukan MENCARI...
Maksud di sini, bertindaklah sesuatu PERUBAHAN itu pada diri sendiri.. itu akan lebih memberi impak yang besar...
Ubah DIRI anda.. Tak MUSTAHIL untuk anda MENGUBAH DUNIA
Allah SWT sudah pun berpesan buat hambaNya yang tercinta...
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah Ar-Ra'd: ayat 11)
Jadi! Jadilah insan yang PROAKTIF
BUT HOW ?
PROAKTIF >>> RANSANGAN >>> NILAI >>> BERTINDAK MENGIKUT KEPERLUAN
NILAI = Sabar ("PUSH ur PAUSE button")
Berfikir dalam mengambil tindakan, pilihan dan keputusan.
Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat.
YANG BULAT TAK DATANG BERGOLEK, YANG PIPIH TAK DATANG MELAYANG.
Bagaimana para sahabat dan solafus soleh berjuang memiliki ilmu hingga ke titisan darah yang akhir.
"Jika mereka yang hidup ribuan tahun dahulu boleh cemerlang, kenapa anda pada hari ini yang hidup dalam 100% kemewahan dan kemudahan tidak mampu menghasilkan 10% pun daripada usaha mereka."
AL-NAISABURI
Membaca sahih muslim sebanyak 100 kali.
IBN SINA
Membaca buku Al-Farabi 40 kali dan ada ulama yang membaca kitab Al-Mughni sebanyak 10 kali.
Selepas seluruh bukunya terbakar, IBN HAZIM mulai menulis semula daripada hafalannya.
QATADAH
Menghafal buku seberat muatan keldai.
AL-SYA'BI berkata,
"Aku tidak pernah menuliskan tinta hitam ke atas kertas putih tentang sesuatu ilmu kecuali aku menghafalnya terlebih dahulu. Yang paling sedikit aku hafal ialah syair, jika kamu mahu, maka aku bacakan kepada kamu syair-syair itu selama sebulan penuh."
SUFYAN AL-TSAURI
Berdiri lama untuk solat sampai ke pagi. Sanggup, berlapar selama 3 hari demi mencari hadis.
IBN MUBARAK
Dan salah seorang ulama mengulang hadis sambil berdiri sehingga terbit fajar.
MUHAMMAD AL-AMIN AL-SYINQITHI
Meneliti satu permasalahan selama sehari semalam.
YAHYA BIN MA'IN
Menulis lafaz "Sallallahualaihiwassallam" sebanyak sejuta kali dan menulis setiap hadis sebanyak 50 kali.
IBN DURAID
Menyalin kitab Al-Jamharah sebanyak 4 kali.
IMAM BUKHARI
Meneliti kitab sahihnya selama 16 tahun. Setiap hadis yang ditulisnya dimulakan dengan mandi dan solat sunat 2 rakaat.
AHMAD BIN HANBAL
Menjadikan dirinya sebagai orang suruhan demi mencari ilmu.
ABU HANIFAH
Menjual sebahagian perabot rumahnya demi mencari ilmu.
IMAM NAWAWI
Selalu belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
JIKA ANDA IBU BAPA - JADILAH IBU BAPA TELADAN.
Sering kali terjadi salah tanggapan sesetengah pihak bahawa ilmu keibubapaan lahir serentak dengan kelahiran anak.
Kemahiran keibubapaan bukan lahir secara "kebetulan" apabila bergelar bapa. Seorang bapa perlu belajar daripada kursus-kursus, pembacaan, pengalaman dan penghayatan yang berterusan.
Tanggungjawab ibu bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan jika dilambakkan segala harta dunia, masih belum tertunai amanah Allah kepada ibu bapa. Tugas ibu bapa meliputi keperluan rohani dan jasmani anak-anak.
Ibu dan bapa misali menjadikan anak dan keluarga sebagai inspirasi untuk terus gigih bekerja dan sebagai penenang jiwa dan penyejuk hati. Sedangkan bapa yang tidak bertanggungjawab menganggap keluarga satu beban dan menambah tekanan jiwa.
Anak Anda, tidak mendengar apa yang anda cakap tetapi sentiasa melihat apa yang anda lakukan.
Awas! anda berhak menentukan siapa teman anak anda.